Cuti Kuantan yang best: Air Terjun Sungai Pandan

Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Air Terjun Sungai Pandan

Dalam perjalanan pulang dari Sungai Lembing ke Kuantan, kami singgah sebentar di satu lagi tarikan menarik di sini - Air Terjun Sungai Pandan! Alang-alang ke Sungai Lembing, sememangnya kami berhasrat membawa mereka menikmati tarikan semulajadi begini. Maklumlah, tinggal di Kuala Lumpur, bukannya selalu dapat merasai kenikmatan mandi di air terjun.


Lokasi

Air Terjun Sungai Pandan terletak di antara Kuantan dan Sungai Lembing. Jarak air terjun ini dari Kuantan dan Sungai Lembing adalah lebih kurang sama dan mengambil masa kira-kira 40 minit berkenderaan dari kedua-dua tempat tersebut.



Bayaran & Waktu Operasi

Sebuah pondok tiket ringkas menyambut kunjungan kami di AIr Terjun Sungai Pandan. Bayaran konservasi sebanyak RM 2 dikenakan untuk pengunjung dewasa, manakala kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun pula hanya dikenakan bayaran sebanyak RM 1.

Walaubagaimanapun, jika anda bukan pemegang MyKad, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM 5 untuk dewasa dan RM 3 untuk kanak-kanak. Selain caj konservasi, bayaran meletak kenderaan turut dikenakan sebanyak RM 3.

Air Terjun Sungai Pandan dibuka setiap hari kecuali pada hari Jumaat. Waktu operasi adalah dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada hari-hari biasa. Pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah pula, waktu operasi dilanjutkan hingga pukul 6 petang.



Air Terjun Sungai Pandan

Dikelilingi kehijauan alam semulajadi, Air Terjun Sungai Pandan atau turut dikenali sebagai Air Terjun Panching menjadi tempat menarik untuk beriadah bersama anak-anak baik untuk warga Kuantan mahupun mereka yang sedang dalam percutian di sini. Kawasan air terjun ini bukan sahaja bersih, malah dilengkapi kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan juga surau selain beberapa gerai yang menjual hidangan ringkas seperti bakso, pisang goreng dan keropok buat pengalas perut.

Berdekatan dengan tempat meletak kenderaan, kami dapat melihat kolam takungan yang kelihatan seolah-olah swimming pool di bahagian bawah. Bahagian dewasa dan kanak-kanak diasingkan berdasarkan kedalaman kolam selain air di kawasan kolam ini turut kelihatan tenang. Melihatkan beberapa keluarga seronok meluangkan masa di sini, anak-anak kami juga excited untuk turut serta. Namun, kmi meminta mereka bersabar kerana dari awal lagi kami berhasrat untuk membawa mereka ke kawasan air terjun yang terletak di bahagian yang lebih tinggi.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Kolam takungan di bahagian bawah

Untuk ke kawasan air terjun, anda perlu berjalan sedikit mendaki kawasan berbukit. Laluan ke sini tidak sukar, malah perjalanan ke sini hanya mengambil masa beberapa minit. Tak sempat penat, deruan air terjun sudah kuat kedengaran. Semakin menghampiri kawasan air terjun, kami membawa anak-anak menyeberang ke opposite side melalui jambatan gantung untuk mendapatkan port rehat yang lebih menarik. Walaupun laluan jambatan tersebut tidak panjang dan masih baik, kami merasakan bahawa 'dinding' jambatan yang menggunakan pagar chain-link berwarna hijau sudah perlu dibaikpulih pihak pengurusan.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Laluan ke kawasan air terjun

Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Merentasi jambatan gantung ke seberang

Sebaik sampai di seberang jambatan, subhanallah! Sememangnya hebat ciptaan-Nya. Air Terjun Sungai Pandan memang sangat cantik. Anak-anak tak sabar mengajak untuk duduk di bawah kawasan air terjun merasa natural spa hasil aliran deras air di sini. Kawasan air di kawasan ini juga tidak dalam... sesuai untuk mereka yang membawa kanak-kanak. Namun, sudah tentu anak-anak kecil terutamanya masih memerlukan pengawasan ibu bapa. 

Selain mandi-manda, kami melihat beberapa orang kanak-kanak juga sibuk bermain pasir di kawasan berhampiran. Beberapa kumpulan pengunjung juga mendirikan khemah dan ada juga yang sedang berbabeque. Pendek kata, air terjun ini sangat sesuai sebagai lokasi riadah bersama anak-anak dan keluarga.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Seronok beriadah di Air Terjun Sungai Pandan

Jangkaan kami untuk hanya singgah sebentar menikmati keindahan air terjun di sini meleset apabila anak-anak akhirnya meluangkan masa lebih dua jam di sini. Itupun, kami terpaksa memanggil mereka pulang berkali-kali apabila langit mula kelihatan mendung. Memang tak puas jika mandi sekejap sahaja di tempat begini. 

Bagi kami, kunjungan ke Air Terjun Sungai Pandan sememangnya menarik dan tak menghampakan. Anak-anak sangat enjoy trip ke sini sehingga ada yang mengatakan "tempat ni lagi best daripada swimming pool di hotel!".









Tiada ulasan:

Catat Ulasan