Tempat menarik di Kuantan untuk anak-anak : Natural Batik Village

Aktiviti menarik di Kuantan untuk anak-anak
Natural Batik Village, Kuantan

Persinggahan hanya semalaman di Kuantan sememangnya menghadkan tempat menarik yang boleh anak-anak kunjungi. Dengan lawatan yang sangat singkat ini, kami tahu bahawa kami tidak boleh membawa anak-anak ke banyak tempat, dan perlu memilih hanya sejumlah kecil tempat menarik untuk anak-anak lawati.

Walau masa tidak memihak kepada kami, kalau boleh, kami ingin memberi pengalaman baru kepada anak-anak semasa cuti ini. Hendak ke East Cost Mall, rasanya mereka sudah biasa ke kompleks membeli-belah, hendak ke Petrosains Playsmart, mereka sudah pernah ke Petrosains di KLCC, hendak membawa mandi pantai di sekitar Kuantan, sememangnya destinasi kami seterusnya selepas Kuantan adalah Cherating. Setelah berkira-kira, akhirnya kami membawa anak-anak ke Natural Batik Village, sebuah pusat pembuatan batik yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan kami.

Walaupun produk batik tidak asing bagi kami, kami sendiri tidak pernah berpeluang melihat proses pembuatan batik di mana-mana pusat pembuatan batik seperti di Natural Batik Village. Natural Batik Village terbuka kepada kunjungan pelancong setiap hari dari pukul 10 pagi ke 7 malam. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke pusat ini.

Dari luar, pusat pembuatan batik ini kelihatan ringkas dengan kawasan parking luas di hadapannya. Semasa di sini, kami melihat rombongan pelancong asing turut meluangkan masa sekejap, terutamanya di bahagian produk jualan.

Masuk sahaja ke sini, terdapat ruangan luas yang menjual pelbagai produk berasaskan batik. Terpulang kepada jenis produk dan bajet pengunjung,harga produk yang dijual bermula daripada hanya beberapa ringgit hingga ke ratusan ringgit. Produk yang ditawarkan termasuklah barangan cenderahati, kain, baju dan sebagainya. Koleksi produk yang lebih eksklusif diletakkan di bahagian belakang ruangan jualan yang diasingkan dengan pintu kaca.


Aktiviti menarik di Kuantan untuk anak-anak
Bahagian jualan

Kami tidak banyak meluangkan masa di bahagian jualan produk memandangkan anak-anak lebih berminat ke kawasan pemprosesan batik yang terletak di bahagian belakang ruangan jualan. Inilah pertama kali kami dan anak-anak melihat sendiri alat-alat yang digunakan dalam proses membuat batik. Kain-kain sudah siap direntang dan diregang dan bau campuran lilin cair yang panas adalah sesuatu pengalaman baru untuk kami. Blok-blok yang digunakan untuk mengecap batik kelihatan bergantung dan anak-anak dapat melihat dengan lebih dekat alat untuk mencanting yang biasanya dapat dilihat di dalam buku.

Pekerja yang membuat batik di sini kelihatan tekun dan sibuk dengan kerjanya. Mereka tidak banyak bercakap, namun, langsung tidak hesitate untuk menjawab sebarang persoalan yang ditanya. Oleh itu, jika anda ingin lebih memahami proses pembuatan batik, jangan segan untuk bertanya. Tiada tour guide disediakan untuk menerangkan apa yang dilihat. Satu-satunya cara untuk mengetahui dengan lebih lanjut adalah bertanya sendiri pekerja yang sedang melakukan tugas mereka.

Ketika di sini, kami berpeluang melihat proses mengecap batik dilakukan. Sebelum ini, saya sendiri tidak pernah tahu bahawa proses menerap atau mengecap permukaan blok dilakukan berulang kali untuk memberi kombinasi warna pada corak batik. Walaubagaimanapun, kami tidak berpeluang melihat proses mencanting batik dalam penghasilan batik lukis. Nasib kurang menyebelahi kami memandangkan proses mencanting tidak dilakukan pada hari lawatan kami ke sini.


Aktiviti menarik di Kuantan untuk anak-anak
Bahagian pembuatan batik di Natural Batik Village, Kuantan

Dalam keseluruhan lawatan ke sini, sudah tentu yang paling membuatkan anak-anak teruja adalah aktiviti mewarna batik. Setelah bertanya kepada staf di sini, kami dibawa untuk memilih corak yang telah siap dicap ke kain berbentuk segiempat sama untuk diwarnakan. Terdapat dua saiz kain dengan pelbagai corak untuk pilihan. Harga yang dikenakan adalah sama untuk mana-mana saiz iaitu RM10 setiap kain. 

Setelah masing-masing berpuas hati dengan corak yang dipilih, anak-anak dibawa ke bahagian luar ruangan jualan. Di sini, staf yang bertugas meregangkan kain di atas bingkai selain menyediakan warna-warna asas, berus dan sebagainya. Berdekatan dengan kawasan tersebut turut disediakan carta campuran warna sebagai panduan untuk membantu anda mencampurkan warna-warna yang diberi untuk menghasilkan warna baru.

Anak-anak kami sangat seronok bermain warna dalam menghasilkan karya batik masing-masing. Daripada yang besar, hinggalah yang kecil, mereka khusyuk mewarnai corak pilihan. Walaupun yang kecil rasanya hanya menconteng tanpa apa-apa motif tertentu, mereka tetap gembira dan berbangga dengan kerja yang dihasilkan.


Aktiviti menarik di Kuantan untuk anak-anak
Menghasilkan karya batik masing-masing

Aktiviti menarik di Kuantan untuk anak-anak
Mewarna atau menconteng?

Selesai mewarna, anak-anak diminta untuk meletakkan batik masing-masing di bawah terik matahari untuk dikeringkan. Setelah kering, batik-batik tersebut dimasukkan ke dalam plastik untuk anak-anak membawa pulang karya masing-masing.

Aktiviti mewarna batik ini sebenarnya bukan hanya terbuka untuk kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa yang berminat untuk menghasilkan karya batik sebagai cenderahati untuk dibawa pulang. Jika anda mahu, anda boleh meminta pihak Natural Batik Village untuk menanggalkan lilin pada karya batik anda pada caj tambahan. Proses ini bagaimanapun memakan sedikit masa dan anda hanya boleh mengambil hasil batik anda pada keesokan harinya.

Secara keseluruhannya, anak-anak kami sangat gembira dengan lawatan di Natural Batik Village. Walaupun aktiviti yang disediakan ringkas, namun ia memberi pengalaman baru kepada mereka, lebih-lebih lagi inilah pertama kali mereka berpeluang ke pusat pembuatan batik seperti ini. Selain di sini, pusat pembuatan batik juga terdapat di Cherating. Klik di sini untuk aktiviti menarik yang boleh anda lakukan bersama anak-anak di Cherating. 


Tips

Jika anda merancang untuk ke sini, terdapat beberapa tips yang mungkin bermanfaat untuk lawatan anda

  1. Tiada apron yang disediakan untuk mengelakkan anak-anak daripada mengotori baju mereka. Oleh itu, jika anda membawa anak-anak kecil terutamanya, elakkan daripada memakai baju baru atau baju kesayangan mereka. 
  2. Tiada tour guide disediakan, oleh itu, jangan segan bertanya pekerja yang sedang memproses batik. Insya-Allah, mereka bersedia menjawab soalan-soalan anda tentang langkah-langkah pembuatan batik yang sedang dilakukan.
  3. Rancang waktu lawatan anda. Elakkan datang ketika lunch hour. Kami tiba di sini lebih kurang pukul 1 dan pekerja yang bertugas membuat batik baru sahaja keluar untuk makan tengahari. Akibatnya, kami terpaksa menunggu agak lama untuk melihat proses pembuatan batik dilakukan.
  4. Terdapat gerai makan ringkas yang menyediakan hidangan lazat di kawasan Natural Batik Village. Jika anda mahu, anda boleh membawa anak-anak menjamu selera di sini sementara menunggu hasil karya mereka kering dan dimasukkan ke dalam plastik untuk dibawa pulang.
  5. Tiada ruangan solat disediakan di sini. Namun, terdapat masjid yang agak besar dan bersih tidak jauh dari Natural Batik Village yang boleh anda kunjungi untuk bersolat. Tanya sahaja kepada staf dan mereka bersedia membantu menerangkan di mana masjid tersebut atau lebih mudah, gunakan sahaja bantuan waze. 





2 ulasan: