Tempat menarik di Kuantan cuti bersama anak-anak

Bawa anak-anak bercuti ke Kuantan? Apa yang best untuk kanak-kanak di sana, ya? Jangan risau, Kuantan sebenarnya menawarkan destinasi percutian yang menarik untuk anda meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Daripada tarikan alam semulajadi, sejarah hinggalah ke tarikan moden, semuanya terhidang untuk pilihan anda. Hanya tepuk dada dan tanya selera.

Untuk kami, tarikan yang menjadi pilihan tentulah sesuatu yang jarang-jarang kami berpeluang lakukan. Disebabkan di tengah-tengah hutan konkrit, tarikan seperti shopping mall kebiasaannya kurang menjadi keutamaan kami. Di sini, saya senaraikan aktiviti-aktiviti dan tarikan-tarikan yang menjadi pilihan kami semasa bercuti di Kuantan.



1. Santai di Teluk Cempedak

Bagi kami, tak sah rasanya jika tidak singgah di Teluk Cempedak apabila membawa anak-anak bercuti di Kuantan. Ibarat ikon bandar Kuantan, kini pantai Teluk Cempedak dipebuhi pelbagai aktiviti hingga larut malam.

Sambil mendengar deruan ombak, anda boleh membawa anak-anak menjamu selera di salah satu restoran dan gerai yang disediakan, berjalan-jalan sambil membeli pelbagai goodies yang dijual, bermain giant bubble atau menyewa inflatable sofa sambil menikmati pemandangan pantai yang menenangkan. 


Cuti menarik di Kuantan bersama anak-anak
Pelbagai aktiviti yang disediakan di Teluk Cempedak


2. Nikmati pemandangan Sungai Kuantan di Kuantan Esplanade

Laluan di tebing Sungai Kuantan yang telah diberi facelift ini sememangnya indah, sesuai sebagai tempat santai bersama anak-anak yang menenangkan. Walaupun hari sudah gelap semasa kami ke sini, laluan yang disediakan tetap diterangi cahaya lampu menjadikan kawasan ini tumpuan keluarga bersiar-siar.

Untuk anak-anak kecil, pastinya mereka gembira bermain di playground yang disediakan. Bukan hanya playground, malahan ketika ke sini, kami dapat melihat pengusaha tempatan menawarkan sewaan basikal untuk kegunaan pengunjung Esplanade. Pilihan basikal biasa, basikal jenis tandem dan basikal beca menarik perhatian anak-anak kami untuk meluangkan lebih masa di kawasan tebing sungai ini.

Nota: Ketika ke sini juga, kami melihat sebuah menara di tebing sungai ini sedang dalam pembinaan. Apabila siap, menara tersebut bakal menawarkan pengunjung panorama bandar dan sungai Kuantan dari ketinggian 180 meter. 

Cuti best di Kuantan bersama anak-anak
Palyground di Kuantan Esplanade

Cuti best di Kuantan untuk anak-anak
Memilih basikal sewa untuk bersiar-siar di Kuantan Esplanade


3. Jalan-jalan di Taman Gelora

Jika mempunyai masa terluang di sebelah pagi ataupun petang, anda boleh membawa anak-anak meluangkan masa di Taman Gelora. Dengan kemudahan taman permainan dan jogging trek yang terurus, taman ini sentiasa menjadi tumpuan penduduk tempatan mahupun pengunjung di Kuantan.

Kami memilih untuk membawa anak-anak minum petang di gerai yang terletak di sekitar taman ini. Selesai menjamu selera, anak-anak tidak melepaskan peluang bermain di playground berdekatan gerai sebelum kami membawa mereka untuk evening walk di jogging trek yang disediakan. Trek di sini bersih dan dipayungi rimbunan pokok menjadikan keseluruhan kawasan redup dan sesuai untuk bersantai bersama anak-anak. Bukan hanya sesuai untuk berjogging dan bersiar-siar, malahan kami juga dapat melihat beberapa keluarga menghamparkan tikar dan meluangkan masa berkualiti dengan mengadakan mini picnic bersama anak-anak di kawasan lapang di sekitar trek di sini.


Cuti best di Kuantan dengan anak-anak
Playground di Taman Gelora

Cuti best di Kuantan dengan anak-anak
Jogging trek


4. Kenali warisan negara di Natural Batik Village

Alang-alang ke Kuantan, kami tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mendekati seni warisan negara yang popular terutamanya di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini. Terletak di Balok, pusat pembuatan dan penjualan hasil batik ini terbuka untuk kunjungan dari pukul 10 pagi ke 7 malam setiap hari.

Tiada bayaran dikenakan untuk melihat proses pembuatan batik yang dilakukan. Namun, jika anak-anak berminat untuk mewarna batik, terdapat caj yang dikenakan untuk setiap keping kain yang dipilih. Warna dan berus disediakan untuk aktiviti ini dan anak-anak juga boleh mambawa balik hasil karya masih-masing untuk disimpan sebagai kenang-kenangan. Untuk info lanjut, anda juga boleh membaca pengalaman kami membawa anak-anak ke Natural Batik Village di sini.


Cuti best di Kuantan untuk anak-anak
Mencuba bakat mewarna batik


5. Mandi-manda di Air Terjun Sungai Pandan

Satu lagi tarikan semulajadi yang boleh anda nikmati semasa percutian di Kuantan ialah Air Terjun Sungai Pandan yang terletak hanya kira-kira 40 minit berkenderaan dari bandar Kuantan. Kawasan air terjun yang dilengkapi kemudahan seperti tandas, surau dan gerai ini sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan juga pengunjung luar. Setiap hujung minggu, air terjun ini pastinya menjadi pilihan tempat riadah keluarga bersama anak-anak tanpa mengira peringkat usia.

Laluan ke air terjun ini agak mudah. Hanya beberapa minit berjalan, anak-anak sudah boleh menikmati air terjun yang menyegarkan. Bukan itu sahaja, air di kawasan air terjun ini juga tidak dalam membuatkan anak-anak yang masih kecil turut dapat mandi sepuas-puasnya.



Cuti best di Kuantan untuk anak-anak
Mandi-manda di Air Terjun Sungai Pandan



6. Daytrip ke Terowong Sungai Lembing

Terletak hanya lebih kurang 40 km dari bandar Kuantan, Sungai Lembing sangat sesuai dijadikan destinasi kunjungan bersama anak-anak semasa percutian di Kuantan. Dengan keunikan tarikan yang ditawarkan, jangan lupa untuk memasukkan pekan kecil ini ke dalam to-go list anda walau hanya sekadar lawatan daytrip.

Sejarah kegemilangan pekan kecil ini, ditambah pula pengalaman meneroka sendiri sebahagian terowong hasil perlombongan bijih timah tentu memberi pengalaman yang berbeza untuk anda dan anak-anak. Siapa sangka, pekan kecil ini menyimpan seribu satu kisah penting, terutamanya dalam sejarah ekonomi Tanah Melayu. Aanak-anak kami sememangnya excited melawat Muzium dan Terowong Sungai Lembing yang menjadi tarikan utama di sini.

Selain muzium dan terowong, Sungai Lembing juga menawarkan tempat menarik lain seperti Bukit Panorama dan Air Terjun Pelangi. Trip ke Air Terjun Pelangi memerlukan permit dan kebiasaannya diuruskan oleh tour company yang bertanggungjawab. Pelangi yang terbentuk pula bergantung pada cuaca dan pancaran pagi matahari. Ketika ke Sungai Lembing, kami tidak berkesempatan untuk ke air terjun ini memandangkan trip ke sana kebiasaannya bermula pada awal pagi ketika hari masih lagi gelap. Insya-Allah, di lain masa, mungkin kami boleh merancang untuk bermalam di Sungai Lembing pula untuk membolehkan kami membawa anak-anak menyertai trip ke air terjun yang luar biasa ini.


Cuti best di Kuantan untuk anak-anak
Bersedia untuk meneroka Terowong Sungai Lembing



7. Makan ikan bakar sedap!

Walaupun kebiasaannya kami tidak mempunyai tempat specific untuk makan apabila bercuti bersama anak-anak, lain pula halnya di Kuantan. Ikan bakar di Kampung Tanjung Lumpur seakan-akan berhantu bagi kami. Memang tak sah untuk tidak makan malam di sini apabila ke Kuantan.

Sejujurnya, kami hanya pernah mencuba di tiga restoran yang berlainan - Aina Ikan Bakar Petai, Mail Ikan Bakar dan juga Restoran dan Cafe Santai. Jika dilihat dari segi ambience, Restoran dan Cafe Santai adalah yang terbaik. Kawasannya dikelilingi pagar, dan landscape di restoran juga menarik, sesuai dengan nama Santai yang diberikan. Namun jika ditanya dari segi masakan, walaupun hidangan di ketiga-tiga tempat sedap dan mempunyai cara masakan yang sedikit berlainan dari satu sama lain, Mail Ikan Bakar adalah yang paling menepati selera kami.

Selain restoran ikan bakar, satu lagi warung yang anak-anak kami sukai apabila ke sini ialah Rezeki Gelas Besar. Di sini, anak-anak lebih suka mencuba pelbagai jenis air buah yang disediakan di dalam gelas besar sambil menikmati keropok lekor goreng panas. Walaupun tempat ini turut menyediakan hidangan ikan bakar, kami tidak pernah mencuba masakan tersebut di sini.


Cuti best di Kuantan untuk anak-anak
Di salah satu pondok sementara menunggu hidangan di Restoran Santai


8. Berkelah dan mandi pantai

Kedudukan Kuantan berhampiran Laut China Selatan sememangnya menjadikan aktiviti pantai sebagai aktiviti popular baik di kalangan penduduk setempat mahupun pengunjung luar. Kawasan pantai Pantai Teluk Cempedak dan Pantai Batu Hitam umpamanya sering menjadi tumpuan pengunjung yang ingin mengadakan aktiviti perkelahan dan mandi-manda bersama keluarga.

Sejujurnya, secara peribadi, kami lebih suka membawa anak-anak ke Cherating jika merancang untuk mandi-manda di pantai. Cherating terletak hanya setengah jam ke 45 minit berkenderaan dari bandar Kuantan. Seperti juga Sungai Lembing, Cherating juga sesuai untuk dijadikan destinasi daytrip ketika percutian di Kuantan. Namun, jika anda ingin lebih menikmati suasana dan keindahan pantai di sini, anda juga boleh memilih untuk menginap di salah satu penginapan menarik yang terdapat di Cherating.


Cuti best di Kuantan untuk anak-anak
Anak-anak seronok bermain di pantai Cherating




Tiada ulasan:

Catat Ulasan