Terus-terang, pada awalnya, kami teragak-agak untuk membawa anak-anak ke Sungai Lembing semasa trip ke Kuantan baru-baru ini. Sebut sahaja Sungai Lembing, yang terlintas adalah gambaran sebuah sleepy town yang sunyi tanpa banyak pembangunan mahupun aktiviti yang ditawarkan. Hmmm... Tak boring ke anak-anak nanti?
Walaubagaimanapun, mengetahui bahawa terdapat terowong hasil peninggalan perlombongan bijih timah yang masih boleh dijejaki menimbulkan minat untuk membawa anak-anak ke sini. Bukan sahaja sejarah mencatatkan perlombongan bijih timah di Sungai Lembing sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Bolivia, malahan teknik yang digunakan menjadikan kawasan perlombongan ini sebagai lombong bijih timah bawah tanah terpanjang di dunia. Bukan selalu dapat membawa anak-anak ke tempat menarik begini.
Lokasi
Terletak kira-kira 42 km dari bandar Kuantan, perjalanan ke Sungai Lembing mengambil masa lebih kurang 50 minit ke sejam berkenderaan. Seperti yang kami bayangkan, sesampai sahaja di Sungai Lembing, kami disambut oleh pekan kecil dengan deretan kedai lama di kiri-kanan jalan. Terasa masa bergerak perlahan dengan suasana hujung minggu yang kelihatan sangat tenang di sini.
Memandangkan kunjungan kami ke sini hanyalah sebagai day trip dari bandar Kuantan dan kami tidak bermalam di Sungai Lembing, terus sahaja kami menuju ke destinasi dalam perancangan - Muzium Sungai Lembing.
Muzium Sungai Lembing
Sebelum ke terowong yang pernah menjadi saksi perlombongan bijih timah, rasanya lebih bermakna jika anak-anak terlebih dahulu mengetahui kisah di sebalik aktiviti yang pernah menjadikan Sungai Lembing bandar terkaya dalam pengeluaran bijih timah di Pahang ini. Disebabkan itu, kami membawa mereka ke muzium yang terletak di banglo lama bekas kediaman pegawai lombong itu sendiri. Harapan kami, dapatlah mereka lebih menghayati keadaan dan suasana tempat kerja yang pernah dilalui para pelombong suatu ketika dahulu.
Tiket masuk & waktu operasi
Bayaran masuk ke muzium ini berbeza antara warganegara dan bukan warganegara Malaysia. Untuk warganegara Malaysia, pengunjung dewasa (13 tahun ke atas) dikenakan bayaran RM2, manakala warga emas (55 tahun ke atas) dan OKU pula hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1. Kanak-kanak 12 tahun ke bawah tidak dikenakan apa-apa bayaran.
Untuk pengunjung bukan warganegara Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM5 untuk pengunjung dewasa dan warga emas, manakala kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun dikenakan bayaran sebanyak RM2. Kanak-kanak bukan warganegara Malaysia berusia 5 tahun ke bawah masuk secara percuma.
Muzium Sungai Lembing dibuka setiap hari kecuali semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Waktu operasi adalah dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali pada hari Jumaat di mana muzium akan ditutup sebentar dari pukul 12.15 tengahari hingga 2.45 petang.
Sebelum ke sini, perlu saya akui bahawa saya sekadar mengetahui bahawa Sungai Lembing pernah mencatat sejarah sebagai kawasan perlombongan bijih timah di Malaysia. Tak lebih daripada itu. Namun, tidak pernah saya sangka sleepy town ini dahulunya pernah memainkan peranan yang besar dalam bidang ekonomi sehingga menjadi pekan yang sangat kaya dan termoden pada zamannya.
Sebelum ke sini, perlu saya akui bahawa saya sekadar mengetahui bahawa Sungai Lembing pernah mencatat sejarah sebagai kawasan perlombongan bijih timah di Malaysia. Tak lebih daripada itu. Namun, tidak pernah saya sangka sleepy town ini dahulunya pernah memainkan peranan yang besar dalam bidang ekonomi sehingga menjadi pekan yang sangat kaya dan termoden pada zamannya.
Pameran
Bagi kami, pameran di Muzium Sungai Lembing tidak jauh bezanya daripada muzium-muzium lain. Banglo dua tingkat yang dijadikan muzium ini membuka tirai dengan sejarah asal-usul nama Sungai Lembing itu sendiri, sejarah mengenai Tok Tangguk atau Wan Mohamad yang merupakan tokoh perintis dalam pembukaan dan perlombongan Sungai Lembing, kisah kegemilangan dan kejatuhan Sungai Lembing sebagai kawasan perlombongan bijih timah serta peristiwa-peristiwa penting yang tercatat dalam sejarah bandar ini.
Info: Kegemilangan & kejatuhan Sungai Lembing
Kegiatan perlombongan di Sungai Lembing telah mewujudkan sebuah bandar sejak lebih 100 tahun dahulu. Kekayaan hasil galian menyaksikan Sungai Lembing mencatatkan pengeluaran sehingga 13 juta tan metrik bijih timah kasar. Pada zaman kegemilangannya, penduduk di sini dikatakan mencecah 10,000 orang manakala bandar Sungai Lembing pula dilengkapi kemudahan asas seperi sekolah, hospital, kedai, balai polis, rumah kediaman dan sistem pengangkutan yang baik. Dengan sejarah begini, tak hairanlah jika Sungai Lembing pernah menerima jolokan sebagai El Dorado of the East.
Sayangnya, segala kemegahan ini boleh dikatakan hilang sekelip mata akibat kejatuhan harga timah yang berterusan pada tahun 1985. Penutupan lombong bijih timah pada tahun 1986 melambangkan berakhirnya era kegemilangan Sungai Lembing sebagai sebuah bandar yang maju. Kesibukan urusan seharian suatu ketika dahulu hanya tinggal kenangan. Sebahagian besar penduduk mula berhijrah mencari rezeki di bandar-bandar lain. Sungai Lembing akhirnya bertukar wajah menjadi sebuah pekan yang sunyi dan lengang.
Sungai Lembing, 1939 semasa upacara pembukaan Sekolah Chung Hwa |
Bagi anak-anak kami, pameran di tingkat atas lebih menarik perhatian mereka. Ini adalah kerana berbanding dengan tingkat bawah di mana info yang dipersembahkan lebih banyak dalam bentuk tulisan, bahagian atas pula menempatkan lebih banyak bahan sejarah dan artifak berkaitan perlombongan dan gaya hidup masyarakat dahulu. Alatan seperti mesin taip, mesin kira-kira, peralatan rumah yang digunakan oleh pegawai British dan sebagainya boleh dilihat di bahagian ini.
Selain artifak bahan-bahan yang digunakan dalam perlombongan, pengujung juga didedahkan secara ringkas tentang teknik-teknik lain yang digunakan dalam perlombongan bijih timah, rupa fizikal bijih kasar hingga diproses menjadi jongkong, hasil-hasil bumi yang lain dan sebagainya. Antara yang paling menarik perhatian anak-anak adalah model lombong bawah tanah yang kelihatan seperti sarang koloni semut. Dengan melihat model sebegini, barulah sedikit-sebanyak dapat mereka bayangkan suasana tempat kerja yang mencabar dan risiko yang diambil oleh pekerja-pekerja lombong atas nama mencari rezeki.
Setelah puas melihat bahan-bahan pameran di tingkat atas, kami tidak lupa untuk ke suatu sudut di tingkat bawah di mana syarikat British yang memajukan industri perlombongan di sini diperkenalkan. Bukan sekadar beroperasi dalam industri perlombongan, malah syarikat bijih Pahang Consolidated Company Limited atau PCCL ini turut dipertanggungjawabkan untuk mentadbir bandar ini. Ini sekaligus menjadikan Sungai Lembing bandar pertama di Semenanjung Tanah Melayu yang diletakkan di bawah pentadbiran sebuah syarikat bijih British.
Secara keseluruhan, walaupun muzium ini tidak besar, kami merasakan pameran yang disediakan sangat menarik dan informatif. Setelah mengetahui sedikit-sebanyak sejarah yang berkaitan, tidak sabar anak-anak untuk melihat apa yang ada di Terowong Sungai Lembing pula...
Apa lagi yang best?
Kuantan
Aktiviti...
3. Daytrip ke Terowong Sungai Lembing
4. Air Terjun Sungai Pandan yang best!
5. Tempat menarik di Kuantan bersama anak-anak
Hotel...
4. Air Terjun Sungai Pandan yang best!
5. Tempat menarik di Kuantan bersama anak-anak
Hotel...
3. Hotel murah yang best di pinggir Sungai Kuantan
4. Pilihan hotel best di Kuantan untuk cuti bersama keluarga
4. Pilihan hotel best di Kuantan untuk cuti bersama keluarga
Cherating
Tiada ulasan:
Catat Ulasan