Cuti best dengan anak-anak di Melaka: Menjadi chef cilik Mamee Monster

Siapa yang tak kenal dengan Mamee Monster? Snek popular keluaran tempatan ini sudah sebati dengan dunia kanak-kanak sejak zaman 1970-an lagi. Maskot monster biru yang comel disetiap bungkusan Mamee Monster ini seakan-akan mempunyai daya penarik yang tersendiri di kalangan kanak-kanak.

Kerana itu, tidak hairanlah apabila kanak-kanak jelas sangat gembira apabila berpeluang melawat Mamee Monster Jonker House yang bertempat di bandaraya Melaka. Ditambah pula dengan aktiviti menarik dan persekitaran yang selesa, memang tak sedar masa berjalan di rumah Mamee Monster ini. 

Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Monster Mamee menyambut kedatangan pengunjung


Seperti juga ramai kanak-kanak lain, anak-anak kami sangat tertarik sebaik sahaja membaca mengenai Mamee Monster Jonker House di dalam brochure yang disediakan di tempat penginapan. Dari yang besar hingga ke kecil, masing-masing sangat berminat.

Oleh itu, walaupun kami tidak merancang lawatan ke sini pada awalnya, kami cuba juga membawa mereka. Setelah selesai ke tempat-tempat menarik di sekitar bandaraya, kami sempat juga ke sini pada hari terakhir. Itupun setelah selesai urusan check out dari penginapan.
                            
Masuk sahaja ke rumah Mamee Monster, kami disambut oleh patung biru Mamee. Walaupun berada di lokasi deretan kedai lama, suasana di dalam bangunan ini terasa sangat luas dan selesa. Ini membuatkan anak-anak jtidak sabar untuk meluangkan masa di sini.

Anak-anak kami memilih untuk menyertai Lil Monster Kitchen, iaitu program workshop membuat mee Mamee Monster pada harga RM20 seorang. Kami tidak membuat apa-apa booking untuk workshop ini memandangkan keputusan untuk ke sini adalah last minute decision dan bukanlah dalam perancangan awal. Risau juga anak-anak tidak dapat menyertainya. Ini adalah kerana, berdasarkan website mereka, workshop ini memerlukan tempahan lebih awal dan diadakan hanya pada waktu-waktu tertentu. Alhamdulillah, sudah menjadi rezeki, staf di sini bukan hanya membenarkan mereka menyertai, malah kami melihat mereka tidak rigid dengan masa yang ditetapkan. Sesiapa sahaja yang ingin menyertai, pasti ada sahaja staf yang akan membawa mereka terus memulakan workshop. Tidak perlu menunggu. Saya sendiri tidak pasti jika memang kebiasaannya begini atau cuti sekolah menyebabkan mereka terpaksa mengubah cara mengendalikan permintaan untuk menyertai workshop.


Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Little Chef bersedia membuat mee Mamee


Di dalam workshop ini, anak-anak kami berpeluang mengadun bahan, membuat dan menguli doh serta memproses mee menggunakan mesin manual yang disediakan. Setelah itu, hasil air tangan mereka akan diambil untuk digoreng oleh staf di sini. Atas sebab keselamatan, kawasan untuk menggoreng dipisahkan oleh viewing glass dan peserta hanya boleh melihat mee mereka digoreng dari luar.


Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Mengadun dan menguli doh

Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Menggunakan mesin mee

Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Melihat hasil tangan digoreng menerusi viewing glass


Sementara menunggu mee mereka siap, anak-anak diberi masa menghias plastik yang akan digunakan sebagai pek Mamee Monster mereka. Terpulang pada kreativiti mereka menggunakan pen khas yang disediakan untuk melukis dan menulis nama masing-masing. Personalised sungguh!


Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Melukis dan menghias personalised peket


Sebenarnya, workshop ini bukan hanya terbuka untuk kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa. Kami melihat beberapa ibu turut menyertai anak-anak mereka. Menarik juga melihat mereka meluangkan quality time bersama-sama begitu. Namun, kami sengaja membiarkan anak-anak mempunyai masa we-time sesama adik-beradik di sini. Sementara itu, kami menunggu sambil memerhatikan mereka meluangkan masa melakukan aktiviti yang mengambil masa lebih kurang sejam setengah ini.

Di pebghujung workshop ini, anak-anak bukan hanya membawa pulang mee kering hasil tangan masing-masing, malah setiap mereka turut diberikan beg kertas Mamee Monster yang mengandungi 10 paket snek kegemaran mereka ini. Bertambah seronok masing-masing dengan cenderahati ini.


Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Goodie bag Mamee Monster


Jika anak-anak anda lebih berminat dengan kerja kraf berbanding aktiviti memasak, mereka boleh memilih untuk menyertai Noodle Doodle workshop pada harga yang sama dengan Lil Monster Kitchen. Kami diberitahu bahawa di dalam workshop ini, peserta akan diberi beberapa cawan Mamee yang kosong untuk mereka decorate mengikut kreativiti mereka. Cawan-cawan ini kemudiannya akan diisi dengan mee oleh pekerja di sana.

Selain aktiviti-aktiviti hands-on ini. pengunjung juga boleh ke Mamee Museum. Tiket masuk ke muzium ini adalah RM5 seorang. Hmmm.... walaupun dipanggil muzium, bagi saya tarikan ini lebih mirip sebuah galeri kecil berkenaan snek kegemaran ini. Walaupun ringkas, kami melihat ia tetap mendapat perhatian beberapa rombongan pengunjung yang sangat excited melihat pameran yang diadakan.


Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Di hadapan Mamee Museum


Selepas selesai workshop, kami membawa anak-anak menjamu selera di Mamee cafe sebagai penutup lawatan ini. Cafe yang berada di tingkat bawah ini menyediakan makanan halal dan tempat makan yang selesa. Kami mencuba nasi ayam manakala anak-anak lebih berminat dengan mee tomyam. Komen tentang makanan di sini? Bagi saya biasa sahaja tetapi anak-anak kami sangat menyukai rasa kedua-dua mee tomyam dan nasi ayam di sini.


Cuti best di Mamee Jonker House, Melaka
Suasana di Mamee Cafe


Alhamdulillah, lawatan saat akhir ke sini terasa sangat berbaloi. Anak-anak kami sangat menyukai aktiviti yang disediakan. Bagi saya, Mamee Monster Jonker House sememangnya satu tarikan yang memberi kelainan dalam percutian kami.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan