Cuti best dengan anak-anak di Melaka - tempat menarik untuk seisi keluarga

Cuti akhir tahun 2017, kami mengambil peluang untuk sekali lagi membawa anak-anak ke Melaka. Sudah tentu, dengan pelbagai tarikan yang ditawarkan, kami hanya memilih beberapa tarikan yang kami rasakan sesuai untuk anak-anak kami. Kalau mahu ke semua tempat, seminggu pun belum tentu dapat habiskan rasanya. Sememangnya banyak. Disebabkan ini juga, kami turut memilih tempat penginapan yang kami rasakan strategik sebagai pangkalan percutian kali ini agar tidak banyak masa dihabiskan di dalam kesesakan lalu lintas. Berikut adalah tempat-tempat dan aktiviti menarik yang kami rasakan sesuai untuk percutian bersama anak-anak.


Muzium dan peninggalan sejarah

1. Free Melaka Heritage Trail

Walau telah berkali-kali ke sini, secara peribadi, saya merasakan kunjungan kali ini adalah yang paling membuka mata kami dalam menghargai sejarah negeri bersejarah ini. Melaka Heritage Trail yang kami sertai anjuran Persatuan Sahabat Muzium Melaka di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menjadikan cuti kali ini lebih bermakna dalam menerokai kesan sejarah di bandaraya Melaka. Bagi saya, tour seperti ini sesuai jika anda mempunyai anak-anak di usia persekolahan yang sudah boleh memahami peri pentingnya sejarah.

Dengan hanya berjalan kaki, tour yang mengambil masa selama 2 jam setengah ini merangkumi banyak tempat bersejarah yang secara kasarnya mengetengahkan tentang penjajahan dan kepelbagaian budaya di Melaka. Malah, boleh dikatakan kebanyakan kesan sejarah yang kami lawati kali ini adalah ketika menyertai guided tour ini (Klik di sini untuk pengalaman mengikuti guided tour secara percuma ini).  Di bawah adalah muzium dan kesan sejarah yang kami lawati selain daripada apa yang di lawati ketika menyertai Melaka Heritage Tour.

2. Muzium Kapal Selam, Klebang

Teknologi kapal selam seringkali mempesonakan kanak-kanak, dan peluang untuk berada di perut kapal sebenar pastinya membuatkan mereka sangat teruja. Malah, untuk saya sendiri, muzium seperti ini membuka peluang untuk melihat kapal selam sebenar. Tidak seperti sebelum ini, bagi saya, kapal selam hanya dapat dilihat di dalam buku atau filem.

Muzium Kapal Selam yang terletak di Klebang, Melaka, kira-kira setengah jam berkenderaan dari bandaraya bersejarah ini bukan sahaja memberi peluang anda melihat exterior kapal seumpama ini, malah pengunjung dapat memasuki kapal tersebut dan melihat keadaan dalam kapal. Di sini, anda dapat melihat bahagian kawalan, bilik tidur, bilik makan, dapur dan tandas yang digunakan anak kapal.

Bukan itu sahaja, anda juga dapat merasai sendiri bagaimana sempitnya laluan di tengah-tengah kapal tempat anak-anak kapal berulang-alik. Berada sekejap sahaja pun sudah membuatkan saya berasa rimas, tak dapat bayangkan bagaimana perasaan anak-anak kapal selam yang terpaksa menempuh masa yang lama dalam laluan begitu. Melihat keadaan begitu membuatkan saya berasa kagum apabila memikirkan bagaimana anak-anak kapal mampu mengendalikan keadaan jika berlaku apa-apa kecemasan.

Selain kapal selam, anda juga berpeluang melihat dua buah jet perang. Tidak seperti kapal selam, jet-jet ini hanyalah pameran dan pengunjung tidak dibenarkan duduk di dalamnya.


Cuti best dengan anak-anak
Kapal Selam yang kini dijadikan muzium

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Di dalam perut kapal selam

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Jet yang turut dipamerkan


3. Muzium Samudera

Kapal zaman silam yang 'berlabuh' di tengah-tengah bandaraya Melaka ini  sebenarnya adalah sebuah muzium. Secara amnya, muzium ini mengingatkan kita kepada sebahagian bibit-bibit sejarah suka duka kesultanan Melayu Melaka yang pernah gah di mata dunia suatu ketika dahulu. Replika kapal yang sangat eye-catching ini diilihamkan daripada kapal Flor De La Mar milik Portugis yang karam di Selat Melaka pada November 1511. Kapal yang pernah menjadi saksi peristiwa penaklukan Melaka ini akhirnya tewas jua di lautan. Ketika itu, kapal ini baru sahaja memulakan pelayaran dalam misi pulang membawa harta rampasan milik Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbillion-billion pound untuk dipersembahkan kepada raja Portugis ketika itu.

Untuk anak-anak kami yang masih kecil, sudah tentu mereka seronok berpeluang menaiki kapal begini sambil berangan menjadi kapten dan pirate dalam pelayaran merentasi lautan. Tangga yang curam tidak menjadi halangan untuk mereka meneroka bahagian-bahagian kapal yang boleh diakses.

Sementara replika kapal ini menjadi permainan anak-anak kecil, untuk anak yang sudah bersekolah pula, Muzium Samudera adalah tempat di mana mereka dapat mempelajari dan menghargai serba-sedikit tentang sejarah tanahair. Tidak banyak artifak di dalam muzium ini,tetapi pameran yang disediakan lebih kepada diorama. Walaupun tidak mempunyai banyak artifak, diorama dan keterangan bertulis di dalam muzium ini bagi saya sangat informatif. Kisah Panglima Awang misalnya adalah cebisan sejarah yang baru saya pelajari di sini. Bagi saya, bukan hanya kisah-kisah dan diorama ini yang boleh kita pelajari, namun replika kapal ini sendiri sepatutnya menjadi iktibar betapa ruginya kita apabila dijajah oleh kuasa asing.

Jika anda mahu, anda juga boleh menyewa alatan untuk audio guide yang disediakan. Tiket masuk ke sini juga merangkumi Muzium Samudera Fasa 2 dan Muzium TLDM. Muzium Samudera 2 terletak hanya bersebelahan. Daripada apa yang saya ketahui, Muzium Samudera Fasa 2  bertemakan Alam Samudera dan Kemanusiaan. Secara ringkasnya, pameran di sini lebih kepada cerita kepentingan dan keindahan alam samudera, kehidupan laut, penerokaan samudera dan lain-lain. Walaubagaimanapun, kami tidak sempat ke Muzium Samudera Fasa 2 mahupun Muzium TLDM.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Replika kapal Flor De La Mar

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Bhagian dalam Muzium Samudera


4. Victoria Bastion

Jika anda berjalan di pinggir Sungai Melaka di kawasan bangunan Public Bank bertentangan gereja St Francis Xavier, anda akan dapat melihat tapak tembok Kota Melaka yang dikenali sebagai Victoria Bastion.

Kawasan ini dahulu digunakan sebagai tempat letak kereta. Namun, usaha-usaha penyelidikan dan arkeologi telah dilakukan dan hasilnya, kini, para pengunjung yang bersiar-siar di bandaraya Melaka dapat melihat tapak bersejarah ini.

Apakah kepentingan tapak ini dalam sejarah negara kita? Di sinilah terletaknya tembok yang menyaksikan tentera Belanda berjaya mencerobohi Kota Melaka pada tahun 1641. Pencerobohan ini akhirnya membawa kepada kekalahan pihak Portugis dan penguasaan kuasa asing yang baru di Melaka.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Victoria Bastion, Melaka


Tarikan keluarga


1. Menara Taming Sari

Menawarkan panoramic view bandaraya Melaka, Menara Taming Sari merupakan salah satu tarikan popular di sini. Menara ini menyediakan tempat duduk yang selesa dan dilengkapi penghawa dingin. Bahagian yang menempatkan tempat duduk akan berputar membolehkan anda melihat pemandangan 360⁰ bandaraya Melaka. Walaubagaimanapun, bagi saya, keseluruhan perjalanan naik dan turun menara ini terasa sangat sekejap iaitu hanya kira-kira 7 minit.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Di dalam Menara Taming Sari



2. Melaka Alive Pirate Adventure

Mungkin kerana pengaruh filem dan kartun seperti Pirate of the Carribean dan Jake the Neverland Pirate, kanak-kanak kini ramai juga yang terpengaruh dengan watak lanun ketika bermain. Anak-anak kami tak terkecuali. Sering juga mereka memilih watak lanun apabila bermain pretend play. Kadang-kadang terasa janggal juga kerana suatu waktu dahulu, lanun sering dikaitkan sebagai penjenayah di lautan namun kini sudah bertukar menjadi hero pula.

Jika anak-anak anda juga suka bermain watak lanun, di Melaka, mereka berpeluang 'meneroka' kapal lanun di Melaka Alive Pirate Adventure. Namun, berbeza dengan filem atau kartun, 'kapal lanun' di sini bukanlah digambarkan dengan pengembaraan seorang hero yang penuh dengan cabaran yang menyeronokkan. Sebaliknya, suasana seram ditonjolkan di dalam 'kapal lanun' yang menjadi tarikan keluarga ini.

Bagi saya, Melaka Alive Pirate Adventure lebih berkonsepkan rumah hantu dengan suasana malap, bunyi menakutkan dan pengunjung hanya boleh melalui laluan kecil dengan prop di kiri-kanan laluan. Bezanya hanyalah jika rumah hantu diletakkan prop bertemakan hantu, di sini, prop yang disediakan sudah tentulah mengenai lanun.

Di penghujung tarikan ini, pengunjung ditayangkan video yang menggambarkan kapal lanun sedang dilanda ribut. Pengunjung dapat merasa kesan semburan air seakan-akan mereka sendiri sedang terkena tempias ribut tersebut. Secara peribadi, saya merasakan tarikan ini kecil dan pengalaman dalam 'kapal lanun' ini terlalu sekejap untuk harga tiket yang dibayar. Walaupun kami diberitahu rata-rata pengunjung menghabiskan setengah jam di dalam tarikan ini, kami hanya berada di dalamnya selama kira-kira 10 ke 15 minit. Itupun termasuk waktu bergambar dan memujuk anak kecil yang ketakutan dengan suasana gelap dan tidak mahu untuk meneruskan 'pengembaraan' ini.

Saya menyangka pihak Melaka Alive turut mengadakan pementasan teater  mengenai sejarah Melaka. Namun, saya agak kecewa apabila diberitahu petugas di kaunter tiket bahawa pementasan tersebut sudah tidak diadakan lagi.

Ketika lawatan kami, pengunjung turut ditawarkan harga istimewa jika ingin membeli tiket combo Melaka Alive Pirate Adventure dan Melaka Thousand Tales of Adventures. Kami diberitahu Melaka Thousand Tales of Adventure menawarkan games dan 7D Adventure untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Walaubagaimanapun, kami tidak memilih tiket combo ini memandangkan hari sudah agak lewat dan Melaka Thousand Tales of Adventure pula bertempat di lokasi berlainan.  (Klik di sini untuk diskaun tiket Melaka Alive Pirate Adventure)

Update: Kini, teater mengenai sejarah dan kepelbagaian kaum di Melaka sudah boleh ditonton di Encore Melaka. Jika anda ke Melaka, pementasan begini adalah peluang yang baik untuk membawa anak-anak menghayati sejarah dan menghargai kepelbagaian kaum yang memberi keunikan kepada negara kita. Tiket untuk pementasan di Encore Melaka boleh didapati di laman web mereka dan juga di TripCarte.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Bergambar dengan lanun di Melaka Pirate Adventure


3. Mamee Monster Jonker House

Walaupun pada awalnya tiada dalam rancangan percutian, kami cuba mencuri masa untuk membawa anak-anak ke tarikan produk snek kegemaran Malaysia ini. Memandangkan anak-anak juga sudah teruja melihat brochure mengenainya di tempat penginapan, kami merasakan ia adalah tempat yang sesuai untuk mereka berhibur setelah kepenatan mendekati tempat-tempat bersejarah di sini.

Alhamdulillah, pilihan kami tidak salah. Kami merasakan lawatan ke sini berbaloi. Secara ringkasnya, Mamee Monster Jonker House membawa pengunjung mengenali dengan lebih dekat snek yang mengetengahkan monster biru yang comel sebagai maskotnya ini. Bukan sahaja menawarkan 'muzium' Mamee dan barangan cenderahati, di sini juga diadakan workshop yang memberi pengalaman hands-on dalam pembuatan snek Mamee. Alang-alang mengenali produk keluaran syarikat yang beribu pejabat di Melaka ini, pengunjung juga berpeluang merasai sendiri hidangan makanan mereka di Mamee Cafe yang disediakan. Klik di sini untuk pengalaman menjadi chef cilik di Mamee Monster Jonker House.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Bergambar dengan patung maskot Mamee Monster


Aktiviti

1. Beca

Seperti tak sah jika tak menaiki beca di Melaka. Manakan taknya, dengan hiasan yang sangat elaborate, dan jumlah beca yang banyak di merata tempat, aktiviti ini sudah pasti menarik perhatian para pelancong. Tema watak-watak kartun yang digunakan juga berjaya membuatkan kanak-kanak teruja untuk menaiki beca-beca ini.

Sejak hari pertama kami di sini, anak kami sudah bertanya jika mereka boleh menaiki beca. Walaupun jadual lawatan ke Melaka kali ini agak padat, alhamdulillah, sempat juga mereka merasa naik beca sebelum pulang. Anak-anak kami hanya menaiki beca untuk pusing-pusing pada hari terakhir kami di sini. Bagi mereka, asal dapat merasa naik beca sudah cukup.

Ketika kami ke sini, harga beca yang ditetapkan adalah RM50 untuk sejam. Bukan hanya membawa anda menaiki beca, malah pengusaha-pengusaha beca ini turut menawarkan khidmat untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik di sekitar bandaraya ini. Walaubagaimanapun, memandangkan kami sudah mahu pulang, kami meminta untuk dipendekkan masa dan bersetuju untuk pusing-pusing selama 20 minit pada kadar harga RM25.

Aktiviti menaiki beca ini juga sebenarnya sungguh alive di waktu malam. Beca-beca di sini turut dihiasi lampu berwarna-warni yang memberikan beca-beca di Melaka imej dan keunikan yang tiada di tempat lain.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Beca Frozen di Melaka


2. River Cruise

Ini adalah satu lagi aktiviti wajib anak-anak apabila di Melaka. Walau telah berkali-kali menaiki river cruise, memang mereka tak pernah bosan dengan aktiviti ini. Bagi kami, pemandangan di kiri kanan Sungai Melaka yang pernah menjadi laluan penting suatu ketika dahulu tidak menjemukan. Pemandangan sebegini ditambah pula dengan penjelasan tentang apa yang dilihat ketika perjalanan pulang ke jeti membuatkan aktiviti ini bertambah menarik.

Kami menaiki river cruise di waktu petang. Namun, berdasarkan lawatan kami sebelum ini, pemandangan di waktu malam juga sangat memukau dengan kerlipan lampu yang memberikan Melaka River Cruise daya tarikan tersendiri.

Tiket untuk menaiki cruise ini terbuka untuk tempahan secara online melalui laman web mereka di sini. Lebih menarik, cruise ini on discount melalui tempahan di TripCarte di sini


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Kampung Morten boleh dilihat semasa meenaiki Melaka River Cruise


3. Aktiviti riadah

Sebagai sebuah tempat tumpuan pelancong, masyarakat Melaka sememangnya kreatif dalam menawarkan kepelbagaian aktiviti buat para pengunjung. Mana tidaknya, melompat-lompat anak-anak kami melihat aktiviti-aktiviti riadah yang ada. Aktiviti-aktiviti yang disediakan bukan sahaja sesuai untuk orang dewasa, malah juga kanak-kanak. Dalam kata lain, pelbagai aktiviti mesra keluarga boleh didapati di sini.

Semasa ke sini, kami sempat membawa anak-anak meluangkan masa menaiki basikal dan skuter elektrik bersama-sama. Pelbagai jenis basikal disediakan sesuai untuk seorang, dua dan tiga orang penunggang. Untuk mereka yang membawa anak-anak kecil, pilihan basikal dengan tempat duduk kanak-kanak turut disediakan. Selain basikal dan skuter elektrik, kami juga melihat kereta kuda sebagai alternatif aktiviti anda sekeluarga.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Deretan basikal untuk disewa berhampiran Menara Taming Sari

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Menaiki skuter elektrik


Lain-lain


1. Pantai Klebang

Apa yang ada di sini? Sudah tentu pemandangan yang indah dan tempat menarik untuk anda bersantai bersama anak-anak. Walaupun kami ke sini ketika waktu tengahari, kami melihat sudah ada pengunjung yang sedang berkelah dan bermain layang-layang bersama keluarga dan anak-anak. Kami difahamkan bahawa kebiasaannya lebih ramai yang mengunjungi pantai ini di waktu petang apabila matahari sudah tidak begitu terik memancar. Mandi laut? Seorang penduduk tempatan memberitahu bahawa pantai ini tidak begitu sesuai untuk tujuan tersebut namun saya tidak pasti mengapa.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Sudah ada pengunjung yang berkelah di waktu tengahari



2. The Discovery of the Body

Lawatan yang tidak dirancang ke sini menemukan kami dengan pameran yang sangat menarik dan penuh informasi. The Discovery of the Body adalah satu pameran yang sangat sesuai terutamanya jika anda mempunyai anak-anak di usia persekolahan mahupun kolej. Bertempat di Bastion House, anda dapat melihat organ dan keratan rentas manusia yang telah diawet melalui proses plastination. Organ-organ di sini diperolehi daripada manusia yang telah meninggal dunia dengan kebenaran waris mereka.

Jika sebelum ini anak-anak hanya mempelajari tentang proses hidup manusia menerusi buku teks, di sini, mereka dapat melihat model sebenar mengenai apa yang dipelajari di sekolah. Melaluinya juga, kami berharap mereka lebih memahami apa yang dipelajari. Bukan itu sahaja, yang lebih penting ialah untuk mereka menghargai betapa kompleksnya sistem yang diciptakan Pencipta yang sekali-kali tidak dapat ditandingi walau sehebat mana akal dan kebolehan manusia.

Memandangkan pameran ini adalah sebahagian daripada World Tour, ia bukanlah sentiasa dapat dilawati pada bila-bila masa. Walaubagaimanapun, saya tidak pasti sampai bila ianya akan diadakan di sini.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Di Discovery of the Body exhibition, Melaka

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Mempelajari bahagian dalam tubuh manusia 


3. Melaka Duck Tour

Sebenarnya, pada lawatan kali ini, kami tidak menyertai tour menaiki kenderaan amfibia ini. Namun, saya selitkan juga di sini memandangkan kami pernah membawa anak-anak merasainya beberapa tahun lepas dan mereka juga masih lagi mengingati pengalaman tersebut. Seronok mereka bercakap mengenainya apabila ternampak kenderaan dua alam ini ketika bersiar-siar di Melaka.

Secara peribadi, bagi saya, walaupun anak-anak menyukai pengalaman menaiki kenderaan yang boleh bergerak di darat dan air ini, cukuplah sekali merasainya. Kenderaan dua alam yang suatu ketika dahulu direka untuk kegunaan perang ini dipelbagaikan fungsinya kini untuk membawa pelancong bersiar-siar di darat dan air tanpa perlu bertukar kenderaan. Berdasarkan pengalaman lalu, highlight tour ini bukanlah pada tempat-tempat bersejarah, tetapi pada keunikan kenderaan itu sendiri. Sememangnya ia memberi pengalaman yang lain dari yang lain dan sesuai jika anda mahukan tour yang santai. 

Jika berminat untuk membawa anak-anak menyertai tour ini, anda boleh melakukan tempahan untuk Melaka Duck Tour secara online di sini.



Jika diikutkan hendak kesemua tempat menarik yang ada, percutian selama 3 hari 2 malam di bandaraya ini pastinya tidak cukup. Terlalu banyak tempat menarik dan disebabkan itu, kami hanya memilih mana yang kami rasakan sesuai dengan minat anak-anak.

Nota: Kami ingin membawa anak-anak merasa menaiki kereta lembu di Melaka dan kali terakhir kami ke sini, tarikan ini telah dipindahkan ke Ayer Keroh. Malangnya, apabila ke Ayer Keroh, kami tidak menemui tarikan yang memperkenalkan pengangkutan tradisional ini untuk generasi muda. Kami cuba bertanya masyarakat setempat dan diberitahu tarikan tersebut sudah tiada lagi di Ayer Keroh dan mereka sendiri tidak pasti ke mana ianya dipindahkan. Jika anda mempunyai maklumat tentangnya, anda dialu-alukan untuk berkongsi di ruangan komen di bawah agar bermanfaat untuk mereka yang merancang percutian di Melaka.


7 ulasan:

  1. Victorian bastion tu baru pertama kali ibu dengar, memang seronok pergi makan angin di melaka kan.

    Sebab selain banyak tempat best, makanan pun sedap sedap.

    Nak minum coconut shake, asam pedas, keria dan macam macam lagi.

    Seafood segar pun murah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Setuju sangat. Tempat best, makan sedap - memang sesuai bawak anak-anak :)

      Padam
    2. Selamat datang ke Melaka. Negeri bersejarah dan penuh dengan kawasan tarikan.
      Jika anda merancang ke Melaka , boleh lah menempah di Homestay Melaka kami. Terdapat homestay Melaka murah dan juga terdapat homestay Melaka with swimming pool

      Padam
  2. salam boleh suggest hotel yg berdekatan dgn city tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam. Maaf lambat reply. Saya dah linkkan post-post lain mengenai penginapan di Melaka. Boleh lihat di senarai 'mana nak menginap' di atas. Harap membantu.

      Padam
  3. Wow bestnya dgr cerita bercuti kat melaka ni akak...teringin nak berjalan jugak lepas covid ni...hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan? Kenangan sebelum covid... Semoga semua kembali seperti dahulu, insya-Allah

      Padam