Hotel menarik di Kundasang - Ranau ... pelbagai konsep, pelbagai tarikan!

Percutian keluarga ke Kota Kinabalu memang tidak lengkap jika tidak ke Gunung Kinabalu. Walau tak mendaki, cukuplah sekadar bersiar-siar di kaki gunung di Kundasang dan melihat pemandangan indah puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara ini.

Pemandangan puncak Gunung Kinabalu dikatakan paling cantik pada waktu pagi. Udara di kawasan kaki bukit ini juga sentiasa sejuk dan segar di samping keindahan alam semulajadi menjadi daya tarikan pelancong ke sini. Alang-alang ke sini, tak sah juga kalau tidak ke Ranau di mana letaknya Poring Hot Spring. Air mata panas semulajadi yang terletak kira-kira 40km dari Kundasang ini dikatakan membantu mereka yang mempunyai penyakit kulit, bagus untuk merenggangkan otot-otot dan membantu melancarkan perjalanan darah.

Oleh kerana ia menjadi tempat tumpuan pelancong, tidak hairanlah jika terdapat banyak hotel dan kemudahan penginapan di sekitar kawasan ini. Berikut adalah senarai antara hotel-hotel menarik yang terdapat di kawasan Kundasang dan Ranau, Sabah.

(sumber foto: Agoda, booking.com dan Expedia)


Hotel menarik di Kundasang

1. Kinabalu Park Resort

Terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu, Kinabalu Park yang diisytiharkan sebagai World Heritage Site oleh UNESCO pada tahun 2000 meliputi kawasan seluas 754 km persegi sekaligus menjanjikan kepelbagaian dan keunikan spesis flora dan fauna kepada para pengunjung.

Dengan cuaca segar dan nyaman di samping keindahan alam semulajadi sebagai tarikan, Kinabalu Park menyediakan kemudahan penginapan yang dikenali sebagai Kinabalu Park Resort di dalam kawasan yang popular sebagai titik permulaan pendakian Gunung Kinabalu ini.

Hotel menarik di kawasan Kinabalu Park ini bukan sahaja menyediakan penginapan berbentuk chalet untuk keselesaan tetamu yang berkunjung bersama keluarga, malah hostel untuk mereka yang datang bersama kumpulan rakan-rakan. Yang menariknya, sebahagian penginapan di sini turut mempunyai fireplace di mana anda boleh meminta staf menghidupkan api untuk memanaskan badan di kawasan yang sentiasa bersuhu dingin ini. Pengalaman begini sudah tentu bakal memberikan suasana unik semasa percutian anda sekeluarga.

Sarapan disediakan oleh pihak hotel. Di samping itu, restoran juga disediakan sebagai kemudahan menjamu selera jika tidak bercadang untuk makan di luar resort ini.

Jika berminat untuk menginap di sini, Kinabalu Park Resort terbuka untuk tempahan secara online melalui Agoda, booking.com  dan Expedia. Jangan lupa untuk menyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan tawaran terbaik semasa percutian yang dirancang.



Hotel menarik Ranau Sabah

Hotel menarik Ranau
Kinabalu Park Resort, Kundasang


2. J Residence Nabalu

Terletak tidak jauh dari Kinabalu Park, J Residence Nabalu menawarkan penginapan yang tenang dan mendamaikan, jauh dari kesibukan kota. Dengan jarak hanya 300m menjadikan J Residence Nabalu resort terdekat dengan Kinabalu Park selepas Kinabalu Park Resort yang sememangnya terletak di dalam kawasan World Heritage Site ini.

J Residence Nabalu menawarkan penginapan berkonsep chalet pada harga yang sangat berpatutan. Setiap chalet dilengkapi beranda sesuai untuk para tetamu bersantai sambil menikmati pemandangan indah alam semulajadi. Untuk mereka yang datang dalam keluarga yang lebih besar, villa 3 bilik turut disediakan lengkap dengan dapur, ruang makan dan ruang duduk dan istirahat.

Selain chalet dan villa penginapan, J Residence Nabalu juga menyediakan kemudahan tempat barbeque untuk para tetamunya. Pastikan anda membawa keperluan barbeque seperti arang, starter dan sebagainya jika merancang untuk mengadakan barbeque di sini.

Pekan paling dekat dengan hotel menarik ini adalah pekan Kundasang. Jika tidak mahu ke pekan untuk menjamu selera, terdapat juga restoran yang terletak tidak jauh dari hotel menarik ini.

J REsidence Nabalu terbuka untuk tempahan secara online melalui laman web mereka dan juga Agoda, booking.com dan Expedia.  Jika merancang untuk ke sini, jangan lepaskan peluang tawaran terbaik semasa percutian bersama keluarga dengan menyemak harga di laman-laman ini.



Hotel menarik Ranau Sabah

Hotel menarik Ranau
J Residence Nabalu, Kundasang


3. Kinabalu Pine Resort

Dengan reputasi sebagai antara hotel yang menawarkan pemandangan paling indah Gunung Kinabalu, tidak hairanlah jika Kinabalu Pine Resort kerapkali menjadi pilihan penginapan ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

Untuk memaksimumkan kelebihan lokasinya, setiap unit di hotel menarik ini mempunyai beranda luas menghadap ke Gunung Kinabalu, memberikan peluang para tetamu menikmati pemandangan indah gunung yang sinonim dengan negeri Sabah ini. Bergantung kepada keadaan cuaca, Gunung Kinabalu kebiasaannya dapat dilihat paling jelas di waktu pagi sebelum diselubungi kabus sepanjang hari.

Tidak cukup dengan beranda di setiap bilik, pihak hotel juga menyediakan viewing platform di kawasan resort mereka yang sering menjadi tumpuan tetamu di pagi hari untuk bergambar dengan latarbelakang menarik Gunung Kinabalu.

Bilik yang ditawarkan di resort ini adalah ringkas dan basic namun selesa. Untuk mereka yang bercuti bersama anak-anak, terdapat taman permainan kecil disediakan di kawasan resort ini. Sarapan ringkas turut disediakan untuk para tetamu. Klik di sini untuk membaca pengalaman penginapan kami di sini.

Hotel menarik ini terbuka untuk tempahan secara online di laman web mereka dan juga di Agoda, booking.com dan Expedia. Pastikan anda menyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan anda mendapat tawaran terbaik semasa percutian anda bersama anak-anak yang akan datang!

Hotel menarik Ranau untuk anak-anak

Hotel menarik Ranau untuk anak-anak
Kinabalu Pine Resort, Kundasang


4. H. Benjamin Residence

Sebuah hotel yang agak baru tetapi pantas mendapat perhatian di kalangan pengunjung Kundasang. Hotel yang menawarkan penginapan 16 bilik ini berkongsi laluan untuk ke Desa Dairy Farm yang juga dianggap sebagai New Zealand Malaysia.

Apa yang membuatkan hotel baru ini mendapat perhatian? Tak lain tak bukan tentulah pemandangan indah yang ditawarkan di sekitar penginapan mereka. Di samping udara segar dan kehijauan hutan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, terdapat juga jambatan dan aliran sungai kecil berdekatan dengan tempat ini menjadikan kawasan sekitarnya sesuai untuk dijadikan tempat bersiar-siar.

Selain penginapan, restoran di H. Benjamin Residence juga dikatakan menghidangkan antara hidangan yang tersedap di area Kundasang. Dengan pemandangan cantik dan udara yang nyaman, makan apa pun pasti bertambah sedap!

Maklumat lanjut mengenai penginapan ini boleh didapati di laman rasmi mereka di sini. Selain itu, H. Benjamin Residence juga boleh ditempah secara online melalui Agoda, booking.com dan airbnb.



Hotel menarik Ranau

Hotel menarik Ranau dengan anak-anak
H. Benjamin Residence, Kundasang


5. Kundasang Guesthouse

Dibuka pada awal tahun 2015, Kundasang Guesthouse adalah sebuah hotel yang menawarkan penginapan mesra keluarga. Dengan pilihan penginapan 2 atau 3 bilik, hotel ini jelas memenuhi keperluan mereka yang bercuti dalam bilangan ahli keluarga yang ramai.

Walaupun bilik penginapan yang disediakan adalah basic, kemudahan tambahan seperti ruang memasak memudahkan mereka yang berhasrat memasak dan menyediakan makanan sendiri ketika percutian. Bukan itu sahaja, selain kemudahan dapur, kemudahan tempat barbeque turut disediakan oleh pihak Kundasang Guesthouse.

Lokasi yang terletak hanya kira-kira 5 minit berkenderaan dari pekan Kundasang juga memudahkan para tetamu mendapatkan keperluan atau mencari tempat menjamu selera jika tidak bercadang memasak di hotel.

Tempahan online boleh dilakukan di laman web mereka dan juga melalui Agoda dan Booking.com. Jika ingin menginap di sini, pastikan anda meyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan anda mendapat tawaran terbaik semasa percutian keluarga yang dirancang.


Hotel menarik Ranau Sabah
Kundasang Guesthouse, Kundasang

6. Little Hut

Terletak agak jauh dari main road, jalan menuju ke Little Hut mungkin agak kecil dan mencabar dan memerlukan pemanduan yang perlahan dan berhati-hati. Namun, perjalanan yang mencabar ini berbaloi apabila tiba ke hotel menarik berkonsepkan chalet di kawasan yang tidak jauh dari Desa Dairy Farm ini.

Berlatarbel;akangkan Gunung Kinabalu, chalet di Little Hut menggunakan nama-nama menarik seperti Bizza Hut, Incredible Hut, Unbreak My Hut, Hut Attack, Hut Leluyaa dan Hut Lou. Sebahagian chalet seperti Unbreak My Hut dan Hut Leluyaa dibina sesuai untuk pasangan yang sedang bercuti manakala Bizza Hut dan Incredible Hut pula sesuai untuk mereka yang bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.

Kemudahan barbeque juga disediakan di Little Hut. Disebabkan lokasi dan keadaan jalan untuk ke sini, mungkin lebih baik untuk tidak merancang untuk kerap keluar dari tempat ini terutamanya jika anda menggunakan kenderaan kecil. Alang-alang di sini, luangkan masa menikmati kedamaian dan ketenangan yang ditawarkan oleh penginapan menarik ini. Sila ambil perhatian bahawa tuala tidak disediakan dan juga tiada housekeeping untuk penginapan 'short stay'.

Buat masa ini, Little Hut tidak terbuka untuk tempahan online. Untuk maklumat lanjut tentang Little Hut, anda boleh klik di sini atau hubungi 0168601416 atau email littlehutmesilou@gmail.com / shiaohan@hotmail.com.


Hotel menarik Ranau Sabah
Little Hut, Kundasang (foto kredit littlehutmesilou.blogspot)



7. Kiram's Village

Dikelilingi bunga-bunga segar dan landskap yang menarik, Kiram's Village menjadi tarikan untuk mereka yang ingin mendekati alam semulajadi semasa percutian mereka ke Kundasang, Sabah.
    
Konsep cabin atau chalet kayu menghidupkan lagi suasana perkampungan yang damai di Kiram’s Village. Nama-nama cabin diberi sempena nama sayur atau buah-buahan seperti carrot, asparagus, cabbage, pineapple dan strawberry. Setiap cabin mempunyai bed configuration yang berbeza untuk memenuhi keperluan tetamu yang datang dalam bilangan yang berbeza. Selain cabin dan chalet penginapan, kemudahan cafĂ© turut disediakan di Kiram’s Village utuk kemudahan tetamu menjamu selera.

Rata-rata, tetamu di Kiram’s Village amat menyukai landskap dan pemandangan yang ditawarkan selain keramahan pengusahanya dan sudah tentu harga yang sangat berpatutan. Namun, chalet yang ditawarkan adalah amat ringkas dan basic, malahan anda perlu membawa sendiri tuala untuk kegunaan di sini. Oleh itu, terpulang kepada diri masing-masing. Jika anda ke sini untuk keindahan alam semulajadinya, insya-Allah anda tidak akan kecewa. Namun jika room service menjadi keutamaan, insya-Allah masih ada hotel-hotel menarik lain yang boleh menjadi pilihan percutian anda.

Klik di sini untuk maklumat lanjut tntang Kiram's Village atau hubungi 016-6950057/ 013-8874236/ 019-8824546.


Hotel menarik Ranau
Kiram's Village, Kundasang (sumber foto: kirams-village.com)


8. Hounon Ridge Farmstay

Penginapan dengan pemandangan seperti berada di New Zealand… itulah yang menjadi daya tarikan pengunjung ke Hounon Ridge Farmstay. Terletak di Kampung Himbaan, Bundu Tuhan, jalan ke sini agak berliku dan pemanduan perlu lebih berhati-hati, namun, semua itu bisa terbayar dengan pemandangan indah yang bakal dinikmati di penginapan ini.

Hounon Ridge Farmstay bukan hanya menawarkan penginapan bilik seperti kebanyakan hotel-hotel lain, tetapi juga dorm dan tapakuntuk berkhemah untuk mereka yang ingin merasai pengalaman berbeza bermalam di dalam kesejukan kaki Gunung Kinabalu. Sudah tentu, selain pelbagai jenis penginapan, harga yang berpatuttan juga menjadi sebab tempat ini semakin menjadi pilihan mereka yang bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Kemudahan dapur disediakan di sini, namun, anda perlu berkongsi kemudahan ini dengan tetamu yang lain. Selain itu, tempat barbeque juga disediakan untuk mereka yang merancang untuk mengadakan barbeque bersama ahli keluarga atau rakan-rakan serombongan. Jika merancang untuk barbeque, sila pastikan anda membawa arang dan starter kerana alat-alat ini tidak disediakan oleh pihak Hounon Ridge Farmstay.

Klik di sini untuk maklumat lanjut tentang penginapan menarik ini atau hubungi 013-8506463.


Hotel menarik Ranau
Hounon Ridge Farmstay, Kundasang (sumber foto: Hounon facebook page)

9. Wind Paradise Lodge

Tidak dapat dinafikan, negeri Sabah sentiasa mempunyai keunikan dan kejutan tersendiri yang mampu menjadikannya tarikan pengunjung baik dari dalam dan luar negeri. Siapa sangka, di negeri bertuah ini anda boleh merasai pengalaman menginap di Mongolian Yurt, iaitu sejenis khemah yang telah digunakan sejak beribu tahun dahulu oleh kaum nomad di Asia Tengah.

Penginapan unik di Kundasang ini sebenarnya adalah salah satu pilihan penginapan yang ditawarkan di Wind Paradise Lodge. Mongolian Yurt yang ditawarkan agak luas dan boleh memuatkan sebuah katil bersaiz queen dan 2 katil single. Selain itu, khemah Mongolia ini juga dilengkapi dengan attached bathroom.

Jalan ke sini juga adalah agak berliku dan mencabar, namun sudah tentu berbaloi jika anda hanya mahu meluangkan masa dikelilingi alam sekitar sambil menikmati pemandangan langit yang dipenuhi bintang di malam hari. Tempat untuk aktiviti barbeque juga disediakan (anda perlu membawa arang sendiri). Pastikan anda mengemas tempat barbeque selepas digunakan untuk mengelakkan denda.

Klik di sini untuk maklumat lanjut atau hubungi 019-80000201.


Hotel menarik Ranau
Mongolian Yurt, Kundasang (sumber foto: mongolianyurt.mrsabah.com)



Hotel menarik di Ranau

1. Poring Hot Spring and Nature Reserve Resort

Terletak di dalam kawasan Poring Hot Spring, hotel menarik ini bukan sahaja dekat dengan kolam air panas, tetapi juga keaslian alam semulajadi di kawasan Ranau.

Kemudahan penginapan yang disediakan adalah selesa dengan pilihan bilik, chalet, villa dan juga hostel untuk kemudahan para tetamu. Dekorasi hotel yang menarik dan ruang yang luas di tengah-tengah keindahan alam semulajadi mampu membuatkan tetamu melupakan kesibukan kota dan tugas harian semasa percutian.

Jika memilih untuk menginap di sini, jangan lupa untuk membawa kasut sebagai persediaan jungle trekking di samping menikmati kesegaran air terjun yang ada berdekatan. Jika tidak gayat, anda juga boleh mencuba treetop canopy walk berdekatan yang sememangnya menjadi tarikan para pelancong.

Pilihan makanan juga tidak menjadi masalah di sini. Jika mahu mencuba makanan tempatan, terdapat tempat-tempat makan yang mudah didapati di sekitar kawasan resort ini.

Poring Hotspring and Nature Reserve Resort terbuka untuk tempahan secara online di Agoda, booking.com dan Expedia. Jika ingin merasa membawa keluaga menginap di kawasan hotspring di sini, pastikan anda menyemak harga di laman-laman web ini untuk mendapat tawaran terbaik semasa percutian nanti.


Hotel menarik Ranau

Poring Hosprind and Nature Reserve Resort, Ranau



2. Sabah Tea Garden Cottage

Hotel menarik Kundasang Sabah
Penginapan cottage di Sabah Tea Garden (sumber foto: booking.com)

Jika di Semenanjung Malaysia, teh adalah sinonim dengan Cameron Highlands, tahukah anda bahawa negeri Sabah bukan sahaja mempunyai ladang teh, malah menghasilkan jenama teh sendiri. Sabah Tea Garden yang terletak di Ranau menghasilkan teh yang bukan sahaja bermutu, malah seratus peratus bebas racun perosak.

Yang menariknya, di samping terlibat secara langsung dalam penghasilan teh jenama tempatan, Sabah Tea juga menyediakan tempat penginapan berlatarbelakangkan pemandangan menghijau ladang teh dan Gunung Kinabalu untuk pengunjung mereka. Penginapan di hotel menarik sesuai untuk percutian keluarga ini adalah bertemakan cottage dan dilengkapi 1 katil double bed dan 1 single bed serta ruang tamu kecil untuk beristirahat. Pilihan sarapan untuk tetamu turut disediakan oleh pihak Sabah Tea.


Hotel menarik Ranau
Bilik yang ringkas di Sabah Tea Garden Cottage
(sumber foto: booking.com)


























Selain cottage, Sabah Tea juga menawarkan penginapan jenis rumah panjang yang lebih berkonsepkan dorm, serta kemudahan camping. Aktiviti-aktiviti menarik juga disediakan di kawasan Sabah Tea Resort. Jika ke sini, pastikan anda tidak melepaskan peluang mengenali proses pembuatan teh secara lebih dekat dengan menyertai lawatan ke kilang teh mereka.

Sabah Tea Garden terbuka untuk tempahan secara online melalui Agoda, booking.com dan Expedia. Pastikan anda menyemak harga di laman-laman ini untuk tawaran terbaik jika berminat untuk menginap di sini semasa percutian akan datang!







3 ulasan:



  1. Salam,

    Kami menyediakan perkhidmatan kereta sewa di Kota Kinabalu Axia Auto Rm100/day. Selesa dan jimat minyak.  Kenderaan lain juga ada. Saga,Myvi, Alza,Exora,Innova,Hiace. Perkhidmatan pemandu juga ada. Call/Watsapp 0142011144 untuk tempahan.

    Terima kasih.

    BalasPadam