Aktiviti menarik di Cherating bila cuti dengan anak-anak

Alhamdulillah, urusan ke Kuantan baru-baru ini memberi peluang kami membawa anak-anak bercuti ke Cherating. Sudah lama sebenarnya kami ingin membawa mereka ke sini, lebih-lebih lagi sejak mereka kelihatan seronok bermain pantai setelah percutian ke Pangkalan Balak.

Kalau ke Cherating, pasti tergambar pantai yang indah tempat sekeluarga bersantai menikmati percutian yang mendamaikan. Namun, Cherating sebenarnya menawarkan lebih daripada percutian pantai untuk anda sekeluarga.

Mungkin tidak semeriah pantai-pantai yang lebih popular, namun, tarikan yang ada mampu menjadikan Cherating destinasi percutian untuk anak-anak yang unik dan menarik. Berikut adalah beberapa tarikan yang boleh dimasukkan dalam itinerari percutian anda bersama anak-anak di masa akan datang.


Aktiviti pantai

1. Bermain di pantai

Kalau dah bercuti di Cherating, aktiviti pantai memanglah aktiviti wajib untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Pantai yang cantik pastinya membuatkan pengunjung tak jemu meluangkan masa menikmati keindahan alam ini.

Ketika ke sini, aktiviti percutian kami sememangnya bertumpu di pantai. Di samping ia adalah aktiviti highlight untuk anak-anak, penginapan hanya semalaman di sini turut menghadkan aktiviti yang boleh dirancang.

Anak-anak kami seronok bermain air laut, membina sandcastle, mengutip shell dan bermain layang-layang ketika di sini. Namun, terpulang pada apa yang anda inginkan, sudah tentu anda turut boleh mengatur perkelahan ataupun membawa bersama perkakas bermain giant bubble untuk anak-anak. Bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama keluarga, malah kanak-kanak juga kebiasaannya seronok dengan aktiviti-aktiviti begini. (Baca mengenai percutian kami bersama anak-anak di Casa Titik, Cherating di sini)


Aktiviti menarik di Cherating cuti dengan anak-anak
Bermain di pantai yang mendamaikan


2. Melihat sunrise

Satu pengalaman yang tak kami lepaskan adalah melihat sunrise di tepi pantai. Jika di Pangkalan Balak kami melihat sunset bersama-sama, di sini pemandangan sunrise pula yang menjadi tarikan. Memandangkan dua anak yang sulung sudah boleh menghargai kejadian alam ini, beria-ria mereka mengajak untuk ke tepi pantai di subuh hari untuk melihat suasana matahari terbit. Gagah mereka menunggu di tepi pantai walaupun hari masih agak gelap. Alhamdulillah, penantian mereka berbaloi. Pemandangan sunrise di tepi pantai sememangnya sangat indah. Subhanallah!


Aktiviti menarik di Cherating cuti dengan anak-anak
Pemandangan sunrise di pantai Cherating


Aktiviti-aktiviti menarik lain

Memandangkan kami hanya bercuti semalaman di Cherating, anak-anak hanya meluangkan masa menikmati keindahan pantai. Walaubagaimanapun, jika anda mempunyai masa yang lebih, Cherating sebenarnya menawarkan lebih daripada aktiviti pantai seperti yang tersenarai di bawah. Harap senarai ini dapat membantu anda merancang percutian bersama anak-anak yang lebih menyeronokkan.



1. Mengenali dan melepaskan anak penyu ke laut

Jika anda ingin membawa anak-anak melihat dan lebih memahami kehidupan penyu, Cherating Turtle Sanctuary adalah destinasi yang sesuai untuk percutian anda bersama anak-anak. Muzium ringkas di sini menyediakan informasi dan pameran mengenai spesis reptilia ini manakala kolam di luar memberikan peluang anak-anak melihat hidupan ini lebih dekat. Selain itu, terdapat juga kawasan hatchery berdekatan.

Cherating Turtle Sanctuary juga menyediakan turtle release program di mana pengunjung diberi peluang melepaskan anak-anak penyu ke laut. Walaubagaimanapun, ketika menghubungi pihak Cherating Turtle Sanctuary, kami diberitahu bahawa program ini diadakan mengikut 'musim' dan ketika kunjungan kami, mereka belum memulakan program ini. Kami diberitahu ia biasanya bermula sekitar bulan Mei ke Jun dengan bayaran RM50 untuk 10 ekor anak penyu yang dilepaskan.

Memandangkan turtle release program yang dirancang sebagai highlight kunjungan ke sini belum bermula, ditambah pula anak-anak masih mengingati kunjungan ke turtle sanctuary di tempat-tempat lain, kami memilih untuk tidak ke sini pada kunjungan ini.

Kunjungan yang sangat singkat ke Cherating membuatkan kami terpaksa prioritise aktiviti yang ingin dilakukan, namun, jika anda mempunyai masa dan ke sini pada 'musim' yang dikatakan, sudah tentu kunjungan ke turtle sanctuary ini mampu menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan untuk anak-anak. Untuk maklumat lanjut, Cherating Turtle Sanctuary boleh dihubungi di 09-581 9087.

Selain Cherating Turtle Sanctuary, Rimbun Dahan Turtle Sanctuary juga terlibat dalam usaha pemeliharaan hidupan yang diancam kepupusan ini. Rimbun Dahan Turtle Sanctuary boleh dihubungi di talian 013-906 4828.


Aktiviti menarik di Cherating cuti dengan anak-anak
Anak-anak penyu yang dilepaskan ke laut
(foto: Rimbun Dahan facebook page)


2. Mewarna batik

Selain pantai dan hidupan laut seperti penyu, di Cherating, and juga berpeluang membawa anak-anak mendekati seni batik yang sememangnya sinonim dengan kraf Malaysia. Perusahaan seperti Salmiah Batik memberi peluang untuk anda melihat sendiri proses pembuatan seni yang semakin mendapat tempat di mata dunia ini.

Anak-anak dapat menyaksikan proses mencanting, mengecop dan mewarna batik yang dilakukan di sini. Tapi, tengok saja ke? Oh, tak! Di sini juga, anak-anak berpeluang menghasilkan masterpiece mereka sendiri. Aktiviti seperti mencanting, mewarna dan tie dye tentunya mampu membuatkan anak-anak lebih excited apabila dapat merasai sendiri pengalaman menghasilkan batik.

Sungguhpun mengetahui tentang tempat ini, kami tidak ke sini memandangkan kami baru sahaja membawa anak-anak meluangkan masa mewarna batik di Kuantan sementara menunggu selesai urusan di sana. Jika merancang ke sini, anda boleh menghubungi Salmiah Batik di 017-980 0422.


Aktiviti menarik di Cherating cuti dengan anak-anak
Aktiviti disediakan untuk pengunjung
(Foto: Salmiah Batik facebook page)


3. Melihat kelip-kelip

Umpama ribuan lampu LED yang dipasang di pohon-pohon di pinggir sungai di kegelapan malam, perjalanan melihat kelip-kelip pastinya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan oleh anak-anak semasa percutian. Jika anak-anak belum pernah berpeluang melihat pemandangan ini, anda boleh merancang untuk membawa mereka menyusuri Sungai Cherating melihat keindahan serangga bercahaya di habitat semulajadi mereka di sini.

Walaupun kami tidak membawa anak-anak melihat kelip-kelip di sini, berdasarkan pengalaman membawa mereka melihat kelip-kelip di Kuala Selangor (dan sebelum itu di Sabah), anak-anak sememangnya sangat teruja apabila melihat pohon-pohon disimbahi 'lampu-lampu' semulajadi ini. Rasa takut menaiki bot di kegelapan malam pada permulaan perjalanan langsung hilang diganti rasa kagum menyaksikan serangga unik ini.

Untuk pengalaman melihat kelip-kelip di Cherating, anda boleh menghubungi Hafiz Cherating Activities di sini atau di talian 017-978 9256. Selain trip melihat kelip-kelip, Hafiz Cherating Activities turut menawarkan aktiviti lain seperti mangrove tour, snorkeling di Pulau Ular, ATV dan water sports lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan