Cuti tepi pantai best di Thistle Port Dickson

Hotel menarik di Port Dickson
Berlatarbelakangkan swimming pool di Thistle Port Dickson


November 2021, sekali lagi kami berpeluang berkunjung ke Port Dickson - salah satu tempat percutian paling popular di Malaysia. Kali ini, kami memilih untuk menginap di Thistle Port Dickson, sebuah resort menghadap Selat Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Guoman Resort Port Dickson. Kebetulan pula ketika merancang ke sini, Thistle Port Dickson sedang mengadakan promosi potongan 30% untuk tetamu yang telah lengkap divaksin. Bagai orang mengantuk disorong bantal, terus sahaja kami mengambil peluang untuk menginap di sini.


Check-in

Hanya beberapa jam sebelum bertolak, kami mendapat panggilan telefon dari pihak resort. Eh... pelik pula rasa. Ada apa ya? Sekadar ingin confirm waktu arrival, atau terdapat masalah pada tempahan? Kalau ada masalah, perlu ke kami tangguh atau batalkan percutian ni? Macam-macam dalam fikiran. Anak-anak pula dah excited. Segalanya telah siap, hanya menunggu masa untuk bertolak. Kesian kalau tiba-tiba terpaksa beritahu holiday perlu dicancel

Alhamdulillah, lega kami apabila diberitahu tiada apa-apa masalah pada tempahan yang dibuat. Namun, semakin terkejut apabila diberitahu pihak resort ingin membuat tawaran. Tak pernah pula kami mendapat panggilan seperti ini. Berkali-kali juga kami lihat semula nombor di telefon? Scammer ke?

Kami diberitahu bahawa pihak resort memilih tempahan kami untuk diupgrade ke bilik suite. Betul ke? Mengapa kami? Lagipun kami bukanlah regular guest di Thistle Port Dickson. In fact, ini adalah pertama kali kami menginap di sini.


Hotel best di Port Dickson
Ruangan lobi Thistle Port Dickson

Out of curiosity, kami bertanya sebab tawaran ini dibuat. Jawapan yang diberi sangat simple. Ketika itu, Thistle Port Dickson sedang membuat pilihan bilik untuk diupgrade secara random. Jika bersetuju, bilik kami akan diupgrade free of charge, jika tidak, mereka akan memilih tempahan lain untuk dinaik taraf. Memandangkan tiada bayaran tambahan dikenakan dan pemanggil juga tidak meminta apa-apa maklumat peribadi, kami bersetuju dengan tawaran yang dibuat. 

Sesampainya di sini, sekali lagi kami bertanya untuk memastikan panggilan telefon yang diterima sebentar tadi adalah genuine. Mana taknya, terasa too good to be true pula. Selama ini tak pernah kami terima tawaran begini. Sejujurnya, memang timbul juga rasa ragu-ragu. Namun alhamdulillah, urusan check-in berjalan lancar. Staf di bahagian reception sudah sedia maklum tentang perkara ini. Malah, bilik yang dijanjikan juga telah ready. 


Hotel menarik di Port Dickson
Pemandangan pool dari lobi


Bilik

Masuk sahaja ke bilik, subhanallah... memang cantik dan luas. Tak pernah kami menginap di bilik seperti ini. Alhamdulillah, sudah menjadi rezeki anak-anak. 

Suite penginapan kami mempunyai dua ruangan iaitu ruang tidur dan living room. Kedua-dua ruangan ini dipisahkan oleh pintu, menjadikan unit ini seolah-olah mempunyai dua bilik berasingan. Setiap ruang dilengkapi set televisyen dan tandas, namun bilik mandi (shower room) dan bathtub hanya terdapat di ruang tidur. Bagi kami, menjadi satu kelainan pula apabila melihat bathtub ditempatkan secara terbuka di luar bilik mandi. Tak pernah kami lihat layout begini sebenarnya... atau mungkin ini satu kebiasaan untuk penginapan suite? 


Hotel menarik di Port Dickson
Ruang tidur yang luas

Hotel best di Port Dickson
Shower room


Di bahagian kedua, ruang living room pula dilengkapi set sofa, televisyen, mini bar dan counter bar. Di sinilah kami dan anak-anak meluangkan masa bersama di bilik. Overall, segalanya memang kelihatan sangat cantik dan elegant. 

Memandangkan unit kami berada berhampiran children pool, sangat mudah untuk anak-anak ke kawasan kolam melalui beranda. Walaupun berada dekat dengan pool yang menjadi tumpuan tetamu di sini, privasi di bilik tidak menjadi masalah. Layout bahagian luar bilik menjadikan kawasan di hadapan beranda TIDAK menjadi laluan tetamu lain yang sedang berseronok di kawasan pool.


Hotel menarik di Port Dickson
Ruang living room

Hotel best di Port Dickson
Counter bar di ruangan living room


Makan

Bagi kami, buffet sarapan di Thistle Port Dickson biasa-biasa sahaja. Pilihan hidangan yang ditawarkan tidak mewah, dan rasa makanan juga average. Seperti di kebanyakan hotel lain, gandingan hidangan western seperti roti dan pastry dan makanan tempatan disediakan untuk pilihan tetamu. Alhamdulillah, walaupun tidak mewah, anak-anak tidak cerewet. Apa yang ada cukup buat mereka mengalas perut untuk melakukan aktiviti semasa percutian ini.



Hotel menarik di Port Dickson
Menikmati hidangan di Fresh Restaurant


Aktiviti

1. Swimming pool

Kemana-mana sahaja kami pergi, swimming pool sentiasa menjadi tarikan untuk anak-anak kami, apatah lagi jika ada slide disediakan di pool kanak-kanak. Cukup hanya simple slide membuatkan mereka excited untuk bermain.

Swimming pool di sini dibuka sekitar pukul 8 pagi, namun ditutup sementara pada pukul 12 tengahari. Di sebelah petang pula, pool dibuka semula selama 4 jam bermula dari pukul 3 petang hingga 7 malam. Kami tidak pasti jika ini adalah kebiasaan atau timing begini hanya dilakukan sejak dibuka semula selepas PKP. Kami melihat terdapat dua kawasan slide yang ada di sini. Namun, hanya satu kawasan yang dibuka semasa kunjungan kami. 

Untuk mengelakkan crowd, sebelum pukul 8 pagi lagi, anak-anak kami telah bersedia di tepi pool kanak-kanak menanti waktu dibuka. Alhamdulillah, sempat mereka berseronok di pool slide sebelum lebih ramai pengunjung datang untuk turut bermain. Semasa di sini, kami melihat pool kanak-kanak adalah bahagian pool yang paling cepat dipenuhi tetamu. Apabila tetamu semakin ramai, anak-anak kami beralih untuk berenang di pool dewasa sebelum mengajak kami untuk sambung bermain pula di pantai.


Hotel menarik di Port Dickson
Bermain slide di children pool


2. Main pantai & mandi laut

Tidak seperti kunjungan kami di Avillion dan Grand Lexis, kami lihat pantai di Thistle Port dickson comparatively agak bersih. Disebabkan itu, kami tidak teragak-agak mengiyakan apabila anak-anak mengajak untuk mandi laut. 

Walaupun sentiasa terdapat pengunjung di sepanjang pantai, alhamdulillah, masih ada kawasan yang sesuai untuk anak-anak bermain. Mungkin kerana pantai ini adalah private beach, secara keseluruhan, suasana di pantai tidak begitu crowded. 

Selain mandi di laut, kami melihat pengunjung-pengunjung di sini turut berseronok menaiki banana boat. Walaubagaimanapun, anak-anak kami hanya meluangkan masa bermain pantai dan ombak bersama-sama. Oleh itu, kami tidak pasti berapa bayaran yang dikenakan untuk menaiki banana boat di sini. 


Hotel best di Port Dickson
Seronok bermain di pantai bersama-sama


3. Breakfast by the beach

Sarapan di tepi pantai, menikmati hidangan roti, kuih-muih, cereal, kopi, teh, jus dan buah-buahan yang disediakan di dalam bakul piknik rotan sememangnya menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak kami. Perkelahan bersama keluarga ini sebenarnya adalah sebahagian daripada aktiviti yang ditawarkan oleh pihak resort. Jika berminat untuk menikmati sarapan dalam suasana tepi pantai begini, anda hanya perlu memaklumkan hari dan waktu yang anda kehendaki untuk pihak resort menyediakan bakul piknik lengkap berisi makanan dan juga tikar untuk digunakan. 

Kami memilih waktu yang disarankan staf di sini, iaitu sekitar pukul 9 pagi untuk bersama-sama menikmati perkelahan tepi pantai ini. Kami diberitahu bahawa waktu tersebut lebih sesuai memandangkan kebiasaannya air sudah mula surut, dan dalam waktu yang sama matahari belum terik memancar. 

Sebelum menuju ke pantai, kami ke Fresh Restaurant di mana buffet breakfast disediakan untuk semua tetamu. Di sini, kami diberi bakul picnic yang telah lengkap berisi makanan dan juga tikar untuk dibawa ke pantai. Pihak resort tidak reserve spot untuk tetamu di pantai. Tetamu perlu membawa bakul dan tikar yang disediakan dan memilih sendiri spot yang sesuai untuk keluarga berkelah. Bagi kami, perkara tersebut tidak menjadi masalah memandangkan pantai di sini tidaklah crowded.

 

Hotel menarik di Port Dickson
Breakfast by the beach


Bagaimana pula dengan makanan yang disediakan? Kami melihat makanan yang dibekalkan untuk aktiviti ini adalah sama dengan pilihan makanan yang disediakan untuk buffet. Kami TIDAK memilih sendiri makanan untuk dibawa. Namun begitu, kami berpuas hati dengan apa yang disediakan - sangat generous dengan variety yang memuaskan. Malah makanan tersebut agak banyak untuk kami sekeluarga. Untuk tidak membazir, kami membawa pulang makanan yang berlebih ke bilik untuk dijadikan hidangan tengahari. 

Memandangkan sarapan pagi sudah termasuk dalam pakej penginapan, kami tidak dikenakan sebarang caj tambahan. Ini bermakna, bufet sarapan digantikan dengan breakfast by the beach pada hari kami memilih untuk melakukan aktiviti ini. Kami diberitahu caj tambahan hanya dikenakan jika sarapan tidak termasuk dalam harga penginapan.


4. Melihat sunset

Memandangkan cuaca sangat baik semasa kunjungan kami di sini, kami tidak melepaskan peluang melihat fenomena matahari terbenam yang sentiasa menarik perhatian anak-anak. Kami meluangkan masa sebentar di waktu senja untuk bersiar-siar di tepi pantai sambil bersama-sama melihat matahari seolah-olah tenggelam di tengah-tengah lautan.


Hotel best di Port Dickson
Bersiar-siar di pantai di waktu senja


5. Lain-lain

Beberapa permainan seperti di game arcade disediakan di satu sudut berhampiran swimming pool. Sejujurnya, kami melihat tidak ramai tetamu yang bermain di situ, dan game yang disediakan juga sangat limited dan hanya sesuai untuk kanak-kanak yang masih kecil. Semasa di sini, beberapa kemudahan mesra kanak-kanak yang lain seperti lego room, play room, petting zoo dan giant chess masih belum dibuka semula. 


Hotel best di Port Dickson
Antara permainan di game arcade

Walaupun dari segi kemudahan yang disediakan, bagi kami Thistle Port Dickson belum beroperasi sepenuhnya pasca PKP, anak-anak tetap gembira dengan percutian di sini. Berehat sambil menghirup udara segar di tepi pantai serta keseronokan bermain pasir dan ombak terasa sangat menenangkan terutamanya selepas beberapa ketika berkurung akibat PKP. Bagi kami, Thistle Port Dickson menawarkan keunikan tersendiri, terutamanya dari segi kawasan pantai yang kami rasakan lebih bersih jika dibandingkan dengan resort lain di Port Dickson yang pernah kami kunjungi sebelum ini.

Jika anda merancang untuk ke sini, Thistle Port Dickson terbuka untuk tempahan secara online melalui laman web mereka di sini. Semasa ke sini, kami melakukan direct booking di laman web mereka memandangkan pihak resort sedang mengadakan promosi yang lebih berbaloi. Namun, jangan lupa juga untuk menyemak harga penginapan di Agoda, booking.com dan Expedia untuk memastikan anda mendapat tawaran yang paling berbaloi semasa percutian anda.


Lain-lain yang menarik:

Percutian dalam suasana kampung di Avillion Port Dickson

Percutian keluarga di Grnad Lexis Hotel, Port Dickson


Back to nature di Batang Kali - Huda's Haven Resort

Hotel menarik di Hulu Selangor
Huda's Haven Resort di Batang Kali, Selangor

Sudah lama sebenarnya kami bercita-cita untuk ke sini. Sejak melihat foto percutian kenalan berlatarbelakangkan alam semulajadi, Huda's Haven Resort kami masukkan ke dalam wishlist weekend getaway kami. Suasana back to nature namun dalam masa yang sama terletak hanya sejam lebih memandu dari Kuala Lumpur membuatkan tempat ini sesuai sebagai tempat istirehat seisi keluarga. Namun belum menjadi rezeki kami sebelum ini apabila setiap kali ingin ke sini, kami sentiasa diberitahu bahawa kesemua unit telah penuh ditempah.

Disebabkan itu, setelah PKP diumumkan tamat, kami terus sahaja menghubungi pihak Huda's Haven Resort. Sebaik diberitahu bahawa masih ada unit yang available, terus sahaja kami mengambil peluang untuk ke sini. Lebih menarik apabila kami dapat menempah satu-satunya unit villa dengan private pool yang dibuka untuk tempahan orang ramai.


Lokasi

Terletak di Batang Kali, Huda's Haven Resort terletak agak ke dalam dari kawasan pekan. Jika ke sini, anda akan melalui jalan tidak bertar sambil menikmati pemandangan alam semulajadi. Jalan tersebut agak sempit dan anda perlu berhati-hati terutamanya jika ada kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Namun, anda tak perlu risau jika tidak mempunyai kenderaan 4WD. Kereta biasa masih boleh melalui jalan tersebut. In fact, kami melihat kebanyakan tetamu termasuk kami sendiri tidak menggunakan kenderaan 4WD untuk ke sini.

Oh, seperkara lagi, kami melihat tiada lampu di sepanjang jalan tersebut. Oleh itu, jika ke sini, kami merasakan adalah lebih baik untuk tidak merancang keluar ke pekan terutamanya pada waktu malam. Jika perlu, anda boleh mendapatkan apa-apa keperluan di pekan terlebih dahulu sebelum menuju ke resort ini. 


Check-in

Disebabkan kami tiba agak awal, unit penginapan kami belum sempat disiapkan. Oleh itu, kami perlu menunggu sebentar sebelum dibenarkan masuk ke bilik. Sementara menunggu, kami megambil kesempatan untuk meninjau kawasan sungai berhampiran sebelum anak-anak mengalas perut di cafe yang terletak berhampiran kaunter check-in. Alhamdulillah, staf di sini sangat ramah dan memahami. Kami tidak perlu menunggu lama sebelum diberitahu bahawa bilik telah siap untuk dimasuki.


Hotel best di Hulu Selangor
Alas perut sebelum check-in ke bilik

Bilik

Secara am, unit penginapan di Huda's Haven terbahagi kepada chalet kayu dan juga villa. Chalet kayu terletak berhampiran kaunter check-in, pool dan juga pond, manakala villa pula terletak di kawasan yang lebih tinggi dan lebih hampir dengan sungai.

Disebabkan rancangan asal adalah untuk ke sini bersama dua lagi ahli keluarga lain, kami menempah dua unit iaitu Frangipani dan Forget Me Not. Unit Frangipani terletak di bahagian atas unit Forget Me Not dan dihubungkan oleh tangga di bahagian dalam villa, menjadikannya seperti rumah dua tingkat. Bagi kami, layout begini sangat membantu untuk kami memantau anak-anak semasa percutian. Namun begitu, jika anda hanya memerlukan satu unit, jangan risau tentang privasi. Ini adalah kerana unit atas dan laluan tangga ke unit bawah dipisahkan oleh pintu yang boleh dikunci dari kedua-dua belah.


Hotel best di Hulu Selangor
Tangga yang menghubungkan unit Frangipani dan Forget Me Not

Unit Frangipani dan Forget Me Not boleh memuatkan sehingga 4 orang tetamu setiap satu. Kedua-dua bilik dihias menarik dan mempunyai sebuah katil bersaiz queen, sofa bed, attached bathroom, meja makan dan juga pantry ringkas. Kemudahan seperti aircond, set televisyen, peti, sinki dan microwave turut disediakan untuk keselesaan tetamu. 


Hotel best di Hulu Selangor
Berehat di unit Forget Me Not

Hotel best di Hulu Selangor
Ruang dining dan living

Hotel best di Hulu Selangor
Ruang makan lengkap dengan pinggan dan cutlery

Namun, antara semua kemudahan yang ada, yang paling membuatkan anak-anak excited tentulah apabila melihat private pool di unit Forget Me Not! Saiz pool yang cukup untuk mereka bermain bersama, ditambah pula dengan lokasi di kawasan yang lebih tinggi overlooking pemandangan sebahagian kawasan resort, membuatkan mereka tak sabar untuk berendam sebaik masuk ke bilik. Sebagai bonus, terdapat jaring hitam yang menjadi 'atap' pool ini sekaligus memberi peluang anak-anak untuk terus mandi dan bermain dalam keadaan hujan yang tidak terlalu lebat.


Hotel menarik di Hulu Selangor
Private pool di unit Forget Me Not

Makan

Sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam untuk 4 orang sudah termasuk dalam harga penginapan setiap unit villa yang kami tempah. Disebabkan kami menempah dua unit, ini bermaksud pihak resort menyediakan makanan untuk 8 orang sepanjang penginapan kami di sini. Terlalu banyak pula rasanya memandangkan dua lagi ahli keluarga tidak dapat menyertai percutian ini. Oleh itu, untuk mengelakkan pembaziran, kami meminta pihak resort mengurangkan makanan yang disediakan untuk kami. 

Rata-rata, makanan yang disediakan bercirikan masakan kampung dan dihantar ke bilik di dalam mangkuk tingkat. Sepanjang kami di sini, makanan sentiasa dihantar on time. Tak pernah lewat. Dari segi keseimbangan pula - nasi, lauk, sayur, buah dan air semuanya lengkap. Bagi kami, rasa makanan juga memang sedap, ditambah pula apabila dinikmati dalam suasana tenang dikelilingi alam semulajadi. Alhamdulillah, sememangnya menambah selera!


Aktiviti

1. Mandi sungai

Walaupun terdapat pool di bilik, aktiviti mandi sungai masih menjadi highlight anak-anak di sini. Mana taknya, bukan selalu anak-anak kami yang membesar di bandar berpeluang merasa keseronokan mandi sungai begini.

Sungai Hijau yang mengalir hanya beberapa meter di luar pagar Huda's Haven Resort sememangnya menarik perhatian anak-anak. Air yang jernih, dingin dan tohor menjadikan aktiviti mandi sungai sebagai aktiviti wajib jika anda ke sini. Disebabkan sungai ini tidak terletak di dalam kawasan resort, kami melihat pengunjung luar juga berpeluang berekreasi di sini dengan sedikit bayaran (tetamu resort tidak dikenakan bayaran tambahan untuk mandi di sungai ini). 


Hotel menarik di Hulu Selangor
Sungai di luar pagar Huda's Haven Resort

Hotel menarik di Hulu Selangor
Bermain di Sungai Hijau


2. Mandi pool

Jika masih belum puas mandi sungai, anda boleh membawa anak-anak mandi dan bermain di swimming pool pula. Di sini, Huda's Haven Resort turut menyediakan swimming pool sebagai kemudahan buat tetamu mereka. Pool ini terletak lebih hampir dengan chalet kayu dan terbahagi kepada pool dewasa dan kanak-kanak. Namun semasa di sini, anak-anak kami lebih selesa bermain bersama-sama di private pool di unit Forget Me Not.


Hotel menarik di Hulu Selangor
Kemudahan pool dewasa dan kanak-kanak

Hotel menarik di Hulu Selangor
Mandi pool di unit Forget Me Not


3. ATV

Untuk mereka yang sukakan aktiviti bermotor, jangan lupa untuk menempah aktiviti ATV semasa bercuti di Huda's Haven Resort. Aktiviti yang diuruskan sendiri oleh pihak resort ini memberi anda peluang menunggang ATV di kawasan sekitar resort dengan diketuai seorang guide. Jangan risau jika anda tidak biasa menunggang ATV. Sebelum dibawa ke luar kawasan resort, bukan sahaja anda akan diajar serba sedikit cara-cara untuk mengendalikan ATV, malah turut diberi peluang membiasakan diri menunggang ATV di dalam kawasan resort.  

Caj yang dikenakan semasa kunjungan kami adalah RM40 untuk setiap ATV, dan kami dibawa ronda-ronda sekitar Kampung Hulu Rening selama 30-40 minit. 


Hotel menarik di Hulu Selangor
Membiasakan diri menunggang ATV terlebih dahulu


4. Lain-lain

Huda's Haven Resort turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk tetamu mengisi masa mereka di sini. Selain mandi-manda dan bersiar-siar di perkarangan resort, anak-anak kami sempat meluangkan masa bermain ping-pong dan carom bersama-sama. Kami melihat terdapat juga kumpulan yang mengadakan family day dengan pelbagai aktiviti seperti memancing, bbq, berbasikal, bermain bola, malah mendirikan khemah sebagai tempat kanak-kanak bersantai. Kelihatan sungguh meriah sekali.


Hotel menarik di Hulu Selangor
Meluangkan masa bermain carom


Jika anda merancang untuk ke sini, anda boleh melihat kemudahan dan aktiviti yang disediakan pihak resort berserta caj seperti di bawah. Senarai ini diberikan kepada kami semasa kunjungan pada bulan September 2021. Maklumat lanjut mengenai resort ini boleh didapati di website mereka di sini atau anda boleh juga menghubungi nombor 012-800 5608 untuk sebarang pertanyaan. Selamat bercuti!


Hotel menarik di Hulu Selangor
Senarai kemudahan dan aktiviti di Huda's Haven Resort


'Balik kampung' di Kuala Selangor - Dangau Panggung Pak Din KK

Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Homestay Dangau Panggung Pak Din KK (foto: airbnb.com)


Bulan Mac 2021, alhamdulillah, kami berkesempatan membawa anak-anak beristirehat di Jeram, Kuala Selangor sebelum PKP dilaksanakan sekali lagi. Lebih menarik apabila trip kali ini dirancang bersama dua ahli keluarga rapat dan keluarga masing-masing. Walaupun memang kerap bertemu atas urusan-urusan lain, waktu yang diluangkan kali ini terasa lebih berkualiti apabila dapat beristirehat bersama-sama. Rezeki kami kali ini adalah di sebuah rumah lama yang dipanggil Dangau Panggung Pak Din KK.

Dangau Panggung Pak Din KK sebenarnya adalah sebuah rumah Melayu tradisional yang asalnya dibina pada tahun 1952 di Sabak Bernam. Namun, rumah tersebut telah direlocate  dan dibina semula di tapak baharu di Pantai Remis, Jeram. Kini, rumah ini dijadikan sebuah homestay sekaligus memberi peluang generasi muda merasai pengalaman unik menginap di rumah tradisional yang sudah jarang-jarang ditemui. 


Lokasi

Dengan teknologi seperti Waze dan Google Map, rasanya tidak sukar untuk mencari lokasi penginapan ini. Terletak hanya di belakang penginapan kontena The Cabin, bagi kami lokasi homestay ini sangat memuaskan. Jika anda mahu bersiar-siar, kawasan pantai terletak hanya 2-3 minit berjalan kaki. Selain itu, jika perlu membeli barang keperluan semasa menginap di sini, anda boleh memandu ke kedai runcit yang terletak tidak jauh dari Dangau Panggung Pak Din KK. Jika terasa lapar dan ingin membeli hidangan tengahari, restoran Asam Pedas Claypot Atuk pula terletak hanya kira-kira 3 minit berjalan kaki. Pendek kata, bagi kami, walaupun homestay ini bukan di kawasan yang crowded, kemudahan berhampiran sangat memudahkan tetamu yang menginap di sini.


Check-in

Sesampainya kami di sini, kami disambut oleh caretaker Dangau Panggung Pak Din KK yang tinggal bersebelahan dengan homestay ini. Caretaker tersebut memberi sedikit short briefing tentang homestay sebelum berpesan agar memanggil dengan mengetuk pintu kediamannya jika kami memerlukan apa-apa bantuan. Beliau tidak mempunyai nombor talian telefon untuk dihubungi.

Walaupun daripada luar, unit homestay yang disewa kelihatan bersambung dengan unit kediaman caretaker, anda tidak perlu risau tentang privacy jika menginap di sini. Tiada laluan di bahagian dalam yang menghubungkan kediaman caretaker dan homestay ini. Malah, di bahagian luar, terdapat dinding dengan pintu gelongsor yang memisahkan kawasan kediaman caretaker dan homestay Dangau Panggung Pak Din KK.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Rumah caretaker bersebelahan homestay (foto: airbnb.com)


Rumah tradisional

Melangkah masuk ke Dangau Panggung Pak Din KK terasa seolah-olah kembali ke zaman silam. Walaupun telah ada penambahan struktur binaan batu, ciri-ciri tradisional di bahagian rumah asal membuatkan kami terasa pulang ke kampung. Malah, selepas beberapa bulan ke sini, anak-anak kami masih merujuk pengalaman ke sini sebagai 'balik kampung'. 

Bukan hanya dari luaran, malahan bahagian dalam homestay ini turut dilengkapi hiasan perabot lama. Bahagian kayu homestay ini didirikan di atas tiang yang tinggi menjadikan bahagian bawah rumah seolah-olah satu level terbuka. Walaupun tidak mempunyai laman yang luas, bahagian ini sesuai untuk dijadikan kawasan aktiviti dan tempat santai seisi keluarga. 


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Bersantai di ruang bawah


Bilik & Ruang

Dangau Panggung Pak Din KK mempunyai 3 bilik tidur, 3 tandas dan 2 bilik mandi. Ketiga-tiga bilik tidur dilengkapi penghawa dingin untuk keselesaan tetamu. Tiada bilik yang mempunyai attached bathroom. 

Sejujurnya, saiz bilik agak kecil dan tidak dapat menampung jumlah kami. Namun, homestay ini menyediakan 2 ruang umum yang sangat luas. Ruang ini dipisahkan oleh dinding, namun terdapat pintu yang memberi akses dan membolehkan tetamu berulang-alik antara kedua-dua ruangan ini. Semasa di sini, bilik-bilik hanya kami gunakan mainly untuk menyimpan beg manakala ruang luas ini menjadi tempat kami berkumpul dan tidur berjemaah bersama anak-anak pada waktu malam.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Berkumpul di salah satu common room yang luas

Dapur

Bahagian dapur terletak di bahagian tambahan kepada binaan asal. Bahagian ini diperbuat daripada batu dan mempunyai dua level. Ruangan dapur utama berada di tingkat atas dengan kemudahan yang lebih lengkap seperti stove, priuk nasi, peti, penapis air dan pinggan mangkuk. Semasa kunjungan kami, kami dapati alat-alatan yang disediakan kelihatan agak berusia namun tetap functional

Dapur di tingkat bawah pula hanya dilengkapi sinki, working top dan peti. Semasa di sini, kami jadikan bahagian ini sebagai tempat penyediaan aktiviti barbeku. Kedua-dua bahagian dapur ini dihubungkan oleh tangga.


Homestay ,menarik di Jeram, Kuala Selangor
Dapur di Dangau Panggung Pak Din KK


Beranda

Selain bahagian bawah rumah, bahagian beranda turut menjadi tempat kami bersantai dan berbual sambil memerhatikan anak-anak bermain di bawah. Walaupun tidak terlalu luas, ruang beranda di homestay ini cukup untuk kami jadikan kawasan menjamu sarapan bersama. Masing-masing sangat seronok duduk di atas lantai bersama-sama sepupu-sepupu sambil menikmati juadah dan menikmati udara segar di waktu pagi.  


homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Sarapan bersama di beranda


Anjung tinjau

Berhampiran dapur, terdapat laluan bertangga untuk ke bahagian paling atas iaitu anjung tinjau. Di sini, terdapat kawasan terbuka yang menawarkan tetamu aerial view kawasan berhampiran. Sejujurnya, kami tidak menjadikan anjung ini kawasan bersantai memandangkan anak-anak tidak begitu tertarik untuk meluangkan masa di sini.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Laluan tangga ke anjung tinjau


Nota: Bagi kami, tangga di homestay ini agak curam. Terdapat tiga tangga kesemuanya di sini - di beranda, ke anjung tinjau dan di bahagian dapur. Walaupun curam, tangga di beranda tidak terlalu tinggi dan menjadi tangga utama yang digunakan anak-anak dan ibu yang mempunyai masalah lutut. Tangga di bahagian dapur atas pula bukan sahaja curam, tetapi juga tinggi. Oleh itu, kami melarang anak-anak menggunakannya. Risau terjatuh pula, lebih-lebih lagi mereka tidak biasa memandangkan rumah kami tidak bertangga. Untuk ibu pula, walaupun masih boleh menggunakan tangga di beranda, beliau masih berasa sukar. Disebabkan itu, kebanyakan masa beliau tidak turun ke bawah dan hanya memerhatikan cucu-cucu bermain dari atas. Oleh itu, kami berpendapat kesesuaian homestay ini bergantung kepada rombongan anda. Jika ramai ahli yang mempunyai masalah mendaki tangga, keadaan ini mungkin boleh menimbulkan kesukaran semasa percutian anda. Wallahu'alam.


Aktiviti

1. Mandi kolam

Di mana-mana sahaja, sudah tentu pool sentiasa menjadi tarikan utama anak-anak. Tambahan pula kali ini dapat berendam dan bermain bersama-sama sepupu-sepupu. Sejak tiba di sini hingga ke tengah malam, jika boleh anak-anak langsung tidak mahu keluar dari kolam.

Kolam di Dangau Panggung Pak Din KK sebenarnya tidak besar, namun sesuai untuk anak-anak bermain. Yang menariknya, kolam tersebut terletak berhampiran tempat barbeku. Oleh itu mudah untuk kami mengawasi anak-anak sambil melakukan aktiviti barbeku. Selain itu, terdapat juga gazebo di hujung kolam sesuai untuk spot santai bersama keluarga.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Aktiviti paling best untuk anak-anak di sini


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Makan sebentar berhampiran pool


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Gazebo di hujung pool

2. Barbeku

Sementara anak-anak bermain air, mereka yang lain bersama-sama berbabeku menyediakan hidangan malam. Tiada caj tambahan dikenakan untuk menggunakan tempat barbeku. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah membawa keperluan barbeku seperti arang, starter dan daging serta ayam perapan.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Hidangan barbeku dah siap!


3. Rasa pengalaman menjadi penarik beca

Jika di tempat-tempat lain, kebiasaannya anak-anak berpeluang merasai pengalaman naik beca, lain pula kisahnya di homestay ini. Beca tua yang disediakan pihak Dangau Panggung Pak Din KK memberi peluang anak-anak merasai bagaimana rasanya mengayuh beca pula.

Sudah tentu, anak-anak kecil seronok menjadi penumpang, sementara yang lain menjadi penarik beca. Tidak pasti samada keadaan beca yang sudah agak tua atau sememangnya bukan mudah mengayuh beca, selepas hanya sekali pusingan, 'sang penarik beca' yang pada awalnya excited, terpaksa mengalah dan menyerahkan tugas kepada yang lain. Sangat berat katanya. Hmmm... sekurang-kurangnya pengalaman begini diharap membuatkan kita lebih menghargai susah-payah penarik beca apabila bercuti di tempat lain.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Beca yang disediakan pihak homestay


4. Aktiviti-aktiviti lain

i. Bermain ting-ting

Di bahagian bawah homestay ini, pihak Dangau Panggung Pak Din KK ada menyediakan kawasan untuk anak-anak bermain ting-ting. Dengan suasana penginapan di rumah tradisional begini, melihatkan anak-anak bermain permainan yang agak popular suatu masa dahulu ini sudah tentu menggamit memori suasana kampung yang kini tinggal kenangan.


ii. Bersiar-siar di pantai

Memandangkan homestay ini terletak berhampiran pantai, sebahagian daripada kami mengambil kesempatan bersiar-siar menghirup udara segar di sini. Walaubagaimanapun, pantai di sini agak berbatu dan kurang sesuai jika anda merancang untuk membawa anak-anak merasai pengalaman mandi laut.


iii. Shopping ikan segar 

Kami diberitahu bahawa kami boleh mendapatkan ikan dan hasil laut segar di Pasar Nelayan Sungai Sembilang yang terletak tidak jauh dari homestay ini. Walaubagaimanapun, kami tidak ke sini memandangkan perancangan awal kami terpaksa diubah di saat akhir. Oleh itu, kami tidak pasti bagaimana suasana di pasar ini. Namun, jika anda dan keluarga adalah peminat makanan seafood, shopping hasil laut segar boleh dijadikan agenda wajib  percutian jika ke sini. 


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Seronok bermain ting-ting


... rupanya hujan di tengah malam

Ketika tiba di sini, alhamdulillah, cuaca sangat baik. Tidak panas, dan dalam masa yang sama tiada tanda-tanda hari akan hujan. Selepas meletak beg dan barang-barang lain, anak-anak terus berendam di dalam kolam. Aktiviti barbeku juga dapat kami lakukan tanpa masalah. Masing-masing seronok berkumpul, bersantai, berbual dan bermain hingga ke tengah malam. 

Namun, keadaan berubah setelah masing-masing tidur kepenatan. Kami sendiri tak pasti bila hujan mula turun. Sedar-sedar, kami terbangun kerana tempat tidur terasa basah. Kami melihat bumbung homestay bocor di beberapa tempat. Cepat-cepat kami mengalihkan anak-anak ke kawasan yang kering. 

Ketika itu, hujan sedang turun dengan sangat luar biasa lebat disertai angin kencang. Nasib baik juga anak-anak tidak terbangun ketika itu. Jika tidak, rasanya mungkin mereka akan ketakutan mendengar bunyi siulan angin. Untuk kami yang tidak biasa dengan suasana berdekatan pantai begini, terasa seolah-olah ribut sedang melanda. 

Bukan itu sahaja, homestay ini juga mula mengalami masalah gangguan air. Ketika bersiap untuk solat Subuh, kami mendapati pili air kering. Pam elektrik mati dengan sendiri menyebabkan air tidak dapat naik ke bahagian atas homestay. Walaupun berkali-kali kami menghidupkan kembali pam tersebut, keadaan ini tetap berulang. Kami tidak pasti jika masalah ini disebabkan cuaca yang agak ekstrim.

Melihatkan keadaan begini, kami terus menghubungi pemilik homestay memberitahu apa yang berlaku. Hendak ke rumah caretaker agak sukar dalam keadaan malam dan ribut begitu walaupun hanya terletak bersebelahan. 

Alhamdulilah, pemilik homestay ini tidak berdiam diri. Beliau datang untuk melihat keadaan. Technician perlu dipanggil untuk membaiki pam air, dan bumbung juga perlu dibaiki. Sudah tentu semua ini mengambil masa. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk cut short penginapan kami. Alhamdulillah, pemilik homestay memahami keputusan kami. Beliau kelihatan sangat apologetic dan menyelesaikan kos penginapan yang telah dibayar dengan sangat baik dan bertanggungjawab.


OK atau tidak?

Despite shortcoming yang berlaku, kami berpuas hati dengan penginapan kami di sini. Lebih-lebih lagi apabila pemilik homestay tidak lepas tangan dengan masalah yang berlaku. Walaupun penginapan di sini bukanlah mewah dan masalah tetap terjadi, sehingga kini anak-anak gembira setiap kali bercerita mengenai pengalaman 'balik kampung' di Dangau Panggung Pak Din KK.

Homestay Dangau Panggung Pak Din KK boleh ditempah melalui platform airbnb di sini. Anda juga boleh menghubungi pemilik homestay ini di 017-6567352. Melalui pengalaman kami menginap di sini, kami lebih mengesyorkan anda menghubungi pemilik di talian di atas. Beliau menawarkan harga yang lebih berbaloi kepada kami ketika percutian kami di sini.


 

Cuti best di horse ranch - kat Malaysia pun ada!

Hotel best di Johor untuk anak-anak
Percutian berkuda di Riders Resort, Kulai, Johor

Nak bercuti di horse ranch masa PKPP belum tamat? Boleh je.... tak perlu rentas sempadan pun. Kat Malaysia kan macam-macam ada!

Sebenarnya, kami pun tak pernah tahu wujudnya tempat menarik begini di negara sendiri. Hanya kebetulan sahaja terlihat iklan di internet. Pada mulanya kami sangkakan iklan mengenai resort di luar negara, tapi sebenarnya hanya di Kulai, Johor!

Potongan 50% sempena Hari Merdeka dan pembukaan semula percutian di ladang kuda ini berjaya menarik perhatian kami. Setelah 20 tahun beroperasi, tempat menarik ini bertukar pengurusan dan dijenamakan semula dengan nama Riders Resort (dahulu dikenali sebagai Riders Lodge). Pihak pengurusan melakukan kerja-kerja refurbishment sebelum resort ini dibuka semula hanya 3 hari sebelum Hari Kemerdekaan ke-63 yang lepas.

Pagi-pagi lagi selepas sarapan kami bertolak menuju ke tempat menarik yang baharu kami tahu ini. Alhamdulillah, trafik agak lancar dan kami mengambil masa kira-kira 3 jam setengah untuk tiba ke destinasi. Anak-anak yang lebih kecil sangat excited hingga masing-masing cuba untuk tidak tidur sepanjang perjalanan. Riuh kereta dibuat mereka.

Ladang kelapa sawit boleh dilihat di kiri kanan laluan masuk ke Riders Resort. Terletak hanya bersebelahan dengan The Legends Golf & Country Resort, pertama kali melihat resort berskala kecil ini mengingatkan kami kepada farmhouse di dalam filem barat klasik. Terasa seperti berada di countryside Inggeris pula.


Nota: Disebabkan Riders Resort dikelilingi ladang kelapa sawit, banyak juga nyamuk yang menyerang. Oleh itu, mosquito repellent sangat membantu di sini.

 

Hotel best di Johor untuk anak-anak
Penginapan farmhouse di Riders Resort



Check-in

Urusan check-in sangat mudah. Setiap staf yang kami jumpa sangat peramah dan bersedia membantu. Sementara anak-anak yang lebih besar membantu adik-adik mereka ke bilik, kami terus mengatur aktiviti yang hendak dilakukan sepanjang percutian ini. Aktiviti berkuda perlu diberitahu lebih awal supaya staf yang terlibat boleh  melakukan persiapan sepatutnya.

Kami diberikan dua bilik dengan connecting door di tingkat atas farmhouse. Tiada lift di sini. Oleh itu, jika ada di antara ahli keluarga anda yang mempunyai masalah mendaki tangga, pastikan anda meminta bilik di tingkat bawah.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Kawasan ruang makan dan reception


Bilik

Bilik penginapan kami tidak besar, tetapi bersih dan cukup selesa untuk kami sekeluarga. Dari bilik hingga ke tandas, jelas setiap sudut diberi nafas baharu oleh pihak resort. Simple namun menarik. Walaubagaimanapun, kemudahan bilik sangat basic. Cerek, minibar, set televisyen dan telefon room to room tidak dibekalkan untuk tetamu. WiFi juga tidak begitu stabil. Ada masa connection bagus, ada masa terlalu lambat. Kami dimaklumkan bahawa pihak resort masih lagi di dalam proses untuk melengkapkan bilik-bilik di sini.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Bilik penginapan dengan daybed

Pada mulanya anak-anak agak kecewa melihat tiada televisyen yang boleh mereka tonton di waktu malam. Namun sejujurnya, kami sendiri tidak begitu kisah. Secara peribadi, kami merasakan percutian tanpa gajet begini adalah masa terbaik untuk kami meluangkan lebih masa kualiti bersama. Lebih banyak saluran komunikasi terbuka. Alhamdulillah, dua malam di sana berlalu dengan lebih banyak aktiviti dilakukan bersama, walau sekadar bercerita, sakat-menyakat dan bergelak ketawa di dalam bilik.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Tandas juga bersih dan selesa

 

Sarapan & makan

Hidangan makan di sini adalah secara set dan bukan buffet. Sarapan pagi lebih ke arah selera moden. Kami diminta memilih antara waffle, pancake dan roti bakar yang dihidangkan bersama telur, sausage dan hash brown. Buah-buahan turut disediakan selain jus dan pilihan kopi atau teh. 

Selain sarapan, kami turut makan malam di sini. Malam pertama di sini, hidangan adalah secara set dengan pilihan makanan ala-western. Malam kedua pula rezeki kami sangat baik. Pihak pengurusan memutuskan untuk megadakan barbeque dinner untuk kesemua tetamu yang menginap di Riders Resort. Malam itu, lebih pilihan makanan yang disediakan seperti salad, barbeque ayam dan daging, kepingan ikan, nasi goreng, brownies, carrot cake dan buah-buahan. Berselera sungguh anak-anak menjamu selera.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Buah-buahan sebagai starter

Hotel best di Johor untuk anak-anak
Breakfast.... sedap dan fulfilling!


Bagi kami, harga makanan di Riders Resort agak pricey. Namun, portion yang diberi adalah reasonable dan rasa hidangan sangat fantastic! Daripada salad, sup hinggalah ke hidangan utama, hanya pinggan licin yang dipulangkan ke dapur.

Untuk makan tengahari pula, kami membawa anak-anak menjamu selera di luar resort. Taman perumahan terdekat iaitu Taman Scientex terletak hanya kira-kira 10 minit memandu dari resort ini. Beberapa restoran dan kedai runcit boleh didapati di sini.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Menikmati barbeque buffet yang lazat


Aktiviti

Beberapa aktiviti ditawarkan di Riders Resort dan sudah tentu, kesemuanya bertumpu kepada aktiviti berkuda. Sebahagian aktiviti seperti horse riding camp memerlukan masa beberapa hari, namun ada juga yang sesuai untuk percutian singkat. Di sini, saya hanya akan menulis tentang aktiviti yang kami lakukan semasa menginap di sini.


1. Pony ride

Ini adalah aktiviti pembuka kami di sini. Hanya dua anak yang berusia 8 dan 5 tahun melakukan aktiviti ini. Tujuan kami mulakan percutian kami dengan aktiviti pony ride sebenarnya adalah untuk memberanikan mereka menunggang kuda. Seperti yang kami jangka, walaupun sangat excited untuk ke sini, saat berada di hadapan kuda lain pula ceritanya. 'Drama' bermula sebaik kuda dibawa untuk ditunggang - takut dan tak confident.

Namun, sesuatu yang kami kagum adalah melihat ketenangan staf melayan dan mententeramkan anak-anak kami. Ketika itu, terdapat hanya seekor pony untuk ditunggangi. Oleh itu, salah seorang antara mereka perlu menunggang kuda yang lebih besar. Alhamdulillah, selepas masing-masing memujuk, kedua-dua mereka berjaya memberanikan diri menunggang kuda.

Untuk aktiviti ini, kuda yang ditunggang dituntun oleh seorang staf sepanjang masa. Sangkaan kami, kuda akan hanya dibawa sekeliling gelanggang menunggang. Rupa-rupanya, mereka dibawa ke kawasan ladang kelapa sawit berdekatan. Setengah jam juga mereka dibawa bersiar-siar menungggang kuda. Hasilnya, kedua-dua anak kami lebih ceria malah sudah berani melambai-lambai ketika pulang.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Lebih confident di akhir sesi


2. Horse riding lesson

Aktiviti ini pula, kami jadualkan untuk kakak-kakak. Setiap seorang diberi seekor kuda untuk ditunggang. Pada mulanya, kedua-dua kuda dituntun oleh staf bertugas sementara mereka masih bertatih belajar mengawal kuda - bagaimana untuk mengisyaratkan kuda untuk mula bergerak, bagaimana untuk membelok dan menghentikan kuda. Apabila mereka sudah yakin, staf bertugas akan melepaskan kuda tersebut. Kuda tidak lagi dituntun dan mereka perlu mengawal sendiri kuda masing-masing.

Sejujurnya, ketika mula-mula ke sini, kami agak risau juga. Maklumlah, kami tidak biasa dengan aktiviti begini. Namun, cara instructor mengendalikan kelas membuatkan kami selesa. Tambahan pula, mengetahui bahawa beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sukan ini, malah pernah menjadi trainer untuk pasukan Singapura ke SEA Games 2017 membuatkan kami lebih lega dan yakin untuk menyertai aktiviti berkuda di sini.

Riding lesson yang dihadiri anak-anak kami mengambil masa selama sejam. Mereka hanya diajar asas menunggang kuda sahaja. Kami diberitahu jika anak-anak berminat, mereka boleh juga menghadiri kelas pengurusan kuda. Namun, kami rasakan basic lesson sudah cukup buat masa ini. Mereka belum bersedia untuk kelas yang lebih advance. 


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Belajar asas menunggang kuda


3. Jungle trail

Setelah masing-masing lebih yakin menunggang, kami bersama-sama menyertai aktiviti jungle trail. Setiap kami menunggang kuda masing-masing. Hanya kuda dua anak kami yang paling kecil dituntun oleh staf. Yang lain-lain perlu menunggang dan mengawal sendiri kuda semasa aktiviti ini. 

Sebelum 'berlepas', instructor sekali lagi memberi panduan untuk menunggang kuda. Kami perlu mengawal kuda masing-masing di dalam gelanggang terlebih dahulu. Setelah masing-masing yakin dan instructor juga berpuas hati, barulah kami dibenarkan keluar menuju ke trail.

Walaupun dinamakan 'jungle trail' laluan ini bukanlah merentasi hutan, tetapi melalui ladang kelapa sawit yang luas di sekeliling resort. Selain daripada instructor bertugas, seorang lagi staf turut mengikuti kami sepanjang trail ini. Kami menunggang kuda dalam satu barisan dengan instructor berada paling hadapan dan staf yang satu lagi berada paling belakang.  

Kami dibawa menunggang di ladang kelapa sawit selama kira-kira sejam. Pengalaman menunggang sendiri kuda begini memang mengasyikkan. Pemandangan di ladang kelapa sawit yang sebenarnya biasa-biasa sahaja terasa sangat menyeronokkan. Kalau boleh, ingin sahaja saya merakam detik-detik menunggang kuda bersama anak-anak sepanjang trail ini. Namun, memandangkan kami sendiri tak berpengalaman, tak berani pula rasanya untuk mencapai telefon dan mengambil gambar semasa berada di atas kuda.  

Nota: Hanya sekadar berkongsi, kami diberitahu bahawa kuda-kuda di sini tidak suka membawa dua penunggang pada satu-satu masa. Oleh itu, kanak-kanak tetap perlu menunggang secara solo. Anda tak dibenarkan membawa anak anda menunggang seekor kuda bersama-sama.

 

Hotel best di Johor untuk anak-anak
Latihan di gelanggang sebelum jungle trail bermula

Hotel best di Johor untuk anak-anak
Menuju ke jungle trail


Kemudahan lain menarik untuk anak-anak

TV tak ada, WiFi tak menentu. Tak boring ke anak-anak? Alhamdulilah, ada sahaja aktiviti yang boleh anak-anak lakukan selesai sesi menunggang. Tak lah mereka kebosanan. Walaupun tidak banyak, namun kemudahan tambahan di bawah membantu anak-anak kami memenuhi masa mereka sepanjang percutian di sini.


1. Dipping pool

Kolam di Riders Resort bersaiz kecil dan kurang sesuai untuk tetamu dewasa bermandi-manda. Namun, untuk anak-anak kecil, kolam ini sudah mencukupi. Masa petang yang terluang sama-sama dihabiskan dengan bermain di kawasan kolam kecil ini.

Kami diberitahu jika inginkan kolam renang yang lebih besar, tetamu boleh ke The Legends Golf & Country Resort yang terletak bersebelahan Riders Resort. Namun, kami memilih untuk hanya meluangkan masa di Riders Resort. Oleh itu, kami tidak pasti tentang keadaan kolam di The Legends Golf & Country Resort, atau tentang bayaran untuk menggunakan kolam di sana.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Pool kecil sesuai untuk kanak-kanak


2. Children corner

Children corner di sini tidak besar. Hanya sekadar small tent dan kerusi meja diletakkan di sudut berdekatan lobi. Warna pensel disediakan dan kebetulan pula anak-anak kami mempunyai lukisan untuk diwarnakan. Oleh itu, mereka sibuk mewarna di sudut ini terutamanya ketika hujan dan di malam hari.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Children corner yang ringkas

 
3. Aktiviti laman

Penginapan farmhouse di Riders Resort mempunyai laman yang agak luas. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehidupan tak berlaman di ibu kota, anak-anak kami sangat seronok meluangkan masa bermain di laman di sini. Aktiviti yang paling mereka suka adalah bermain buai dan badminton. Tetamu bebas menggunakan laman yang ada di sini. Oleh itu, terpulang kepada aktiviti kegemaran anak-anak anda, jika merancang untuk ke sini, anda boleh menyediakan permainan untuk mereka bermain di sini.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Buai laju-laju...

Hotel best di Johor untuk anak-anak
Ooopss... ter-miss

4. Morning walk

Kalau ke tempat begini, rugi pula rasanya kalau tak bersiar-siar di pagi hari menghirup udara segar tanpa pencemaran. Setiap pagi, kami keluar hanya sekadar berjalan-jalan di sekeliling resort kecil ini menikmati ketenangan dan kedamaian jauh dari kesibukan ibu kota.


Hotel best di Johor untuk anak-anak
Pemandangan bangsal kuda di waktu pagi

Info lanjut boleh didapati di laman rasmi Riders Resort di sini atau hubungi 07-6525330 untuk tempahan atau pertanyaan. Selain itu, Riders Resort turut terbuka untuk tempahan secara online melalui Agoda dan Expedia.