Taman air mini di Amverton Heritage Resort, Melaka |
Dalam perjalanan pulang selepas percutian di bandaraya Melaka, kami membawa anak-anak bermalam di Amverton Heritage Resort yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. Setelah tiga hari berjalan-jalan di bandaraya penuh bersejarah, kami ingin memberi mereka peluang untuk bergembira di hotel mesra kanak-kanak ini pula. Maklumlah, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka tetap memerlukan masa bermain. Disebabkan itu, kami cuba selitkan juga aktiviti yang dapat mereka enjoy bersama-sama.
Amverton Heritage Resort adalah nama baru Puteri Resort yang diberi nafas baru. Oleh itu, jika anda menggunakan Waze ataupun Google Maps, anda mungkin diarahkan ke Puteri Resort. Jangan risau, dua nama ini merujuk pada tempat yang sama.
Ketika percutian kami ke sini pada Disember 2017, kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian baru sahaja selesai dijalankan. Kami diberitahu kerja-kerja tersebut dijalankan secara berperingkat. Kami dapat melihat ruangan lobi yang diberi nafas baru kelihatan sangat majestic. Selain ruangan reception, cafe dan bilik-bilik penginapan turut dinaik taraf.
Walaubagaimanapun, tidak kesemua kawasan Amverton Heritage Resort telah diubahsuai. Sebahagiannya jelas masih menanti untuk dinaiktaraf. Sebagai contoh, koridor menuju ke bilik penginapan kami sangat jelas masih berwajah lama. Selain itu, salah satu lift di sini juga masih belum dinaiktaraf selain beberapa ruangan turut ditutup.
Walaupun telah dinaiktaraf, bilik penginapan di sini biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana kerja-kerja baru dijalankan, pertama kali masuk ke bilik saya dapat menghidu bau yang kurang menyenangkan. Alhamdulillah, bau tersebut hanya seketika sahaja. Yang penting, katil yang selesa dan ruang yang bersih.
Bilik famili dengan dua katil queen |
Seperkara lagi, untuk bilik famili yang ditempah, saya agak terkejut juga apabila hanya satu botol kecil shower gel dan shampoo disediakan. Namun, tiada masalah untuk meminta supply lebih daripada staff di sini. Mereka langsung tidak hesitate untuk memberi extra. Malahan, sepanjang di sini, kami dapati kesemua di sangat mesra dan sedia membantu.
Memandangkan harga bilik termasuk sarapan pagi, sempat juga kami merasa hidangan sarapan di sini. Hidangan buffet sarapan lebih memenuhi citarasa masyarakat Asia. Selain roti keping dengan beberapa jenis spread seperti butter dan jem untuk dinikmati, tiada ban atau muffin disediakan. Walaubagaimanapun, jika anda menggemari makanan tempatan, nasi lemak dan mee/kuey tiaw ada disediakan. Bagi kami, ia cukup untuk mengalas perut. Lagipun, anak-anak kami bukanlah jenis yang berselera besar.
Walau apapun, kami ke sini bukanlah untuk bilik atau sarapan yang ditawarkan, tetapi tujuan utama kami adalah taman tema air atau mini waterparknya. Alhamdulillah, kami tak kecewa. Anak-anak sangat gembira bermain di sini. Kemudahan taman tema air ini sesuai untuk kanak-kanak yang masih kecil hingga ke usia sekolah rendah. Namun, ianya mungkin kurang sesuai untuk anak-anak remaja.
Kapal yang berlabuh di tengah-tengah kolam menjadi tarikan utama untuk ramai kanak-kanak. Dengan gelongsor dan pancuran air, kolam ini penuh dengan tetamu kecil seawal dibuka dari pukul 8 pagi hingga 7 malam. Terdapat juga slide yang agak tinggi untuk kanak-kanak yang inginkan lebih cabaran. Slide tinggi ini bagaimanapun hanya beroperasi pada waktu-waktu tertentu setiap hari iaitu dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari dan seterusnya dari pukul 4 ke 6 di sebelah petang. Khas ketika slide tinggi ini beroperasi, terdapat staf yang akan memantau kanak-kanak yang bermain. Di kawasan lain, tiada life guard disediakan dan anda perlu memantau sendiri anak-anak bermain. Seperkara lagi, anda perlu membawa tuala yang digunakan di bilik ke bawah kerana tiada kaunter tuala disediakan di kawasan kolam.
Anak-anak yang lebih kecil tidak dilupakan. Kolam khas dengan slide kecil turut disediakan. Selain itu, jika anak-anak lebih suka bermain pasir, sudut khas untuk permainan sand castle tersedia berhampiran kawasan kolam. Keseluruhan taman tema air mini ini bagaimanapun ditutup setiap hari dari pukul 12 tengahari ke 3 petang untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Walaupun secara peribadi kami merasakan waktu penyelenggaraan tersebut agak lama, kami mengambil kesempatan itu untuk membawa anak-anak makan dan berehat serta bermain di tarikan lain. Kalau tidak, tiada alasan untuk mengajak mereka keluar dari kolam sebentar. Kulit sudah kecut pun masih ingin bermain air lagi!
Kawasan untuk kanak-kanak yang lebih kecil |
Kawasan bermain sandcastle |
Rata-rata tetamu kanak-kanak di sini leka bermain taman air mini sehinggakan kami melihat tarikan lain tidak begitu mendapat sambutan. Tarikan lain seperti outdoor dan indoor playground hanya dikunjungi tetamu ketika taman tema air ditutup. Walaupun kurang mendapat perhatian, kedua-dua kemudahan ini tidak kelihatan terbiar malah dijaga dengan baik. Malahan, kemudahan indoor playground adalah selesa lengkap dengan penghawa dingin dan bilik air yang bersih.
Selain aktiviti-aktiviti ini, Amverton Heritage Resort juga menawarkan aktiviti berbayar seperti paintball dan Kid's ATV. Malangnya, ketika kami ke sini, kemudahan Kid's ATV sedang diselenggara. Tak dapatlah anak-anak kami merasa.
Kawasan yang menyediakan kemudahan games seperti pool dan table football juga ada disediakan. Namun, mungkin kerana kebanyakan kanak-kanak lebih teruja dengan taman tema air mini, kami melihat kemudahan-kemudahan ini agak lengang. Kami sendiri lebih banyak menghabiskan masa di waterpark dan hanya sempat melihat-lihat dan meluangkan masa di sini sebelum check-out.
Secara keseluruhannya, bagi kami, Amverton Heritage Resort adalah sebuah hotel dengan kemudahan kanak-kanak yang menarik lengkap dengan taman tema air sebagai tarikan utama. Hotel ini sesuai jika anda mencari tempat di mana anak-anak boleh bermain dan bergembira, atau mencari lokasi sesuai untuk mengadakan family day. Namun, bilik dan kemudahan lain yang disediakan adalah serba ringkas (tetapi bersih).
Amverton Heritage Resort terbuka untuk tempahan secara online di Agoda, booking.com dan Expedia. Jika berminat untuk ke sini, pastikan anda menyemak harga hotel ini untuk mendapatkan tawaran terbaik semasa percutian.
Lain-Lain yang menarik
Catatan percutian keluarga
6. Percutian pantai di Fuga Village Beach Getaway, Pangkalan Balak, Melaka
7. Cuti ringkas di Bayou Lagoon Park Resort
7. Cuti ringkas di Bayou Lagoon Park Resort
Mana nak menginap?
2. Hotel best untuk percutian bersama anak-anak di Melaka
3. Hotel berkonsep heritage menarik di Melaka - seperti kembali ke zaman silam!
4. Under budget? Tak ada masalah. Lihat senarai hotel mesra poket yang selesa di sini
5. Masih tak dapat buat pilihan? Klik untuk lebih hotel menarik di bandaraya Melaka dan sekitar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan