Cuti best di Ipoh: Daytrip ke Kellie's Castle

Tempar menarik di Ipoh cuti dengan anak-anak
Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak

Setelah ke Tanjung Tualang melihat warisan kapal korek terakhir di Malaysia, kami membawa anak-anak singgah di satu lagi tempat menarik yang popular di Perak - Kellie's Castle.

Tersergam di atas bukit dan mudah dilihat jika anda melalui Jalan Gopeng, binaan ini kelihatan seperti sebuah istana zaman lampau yang masih dipelihara dengan baik hingga kini. Sekali lihat, terasa seperti pemandangan di luar negara pula.


Bayaran masuk

Seperti kebanyakan tarikan, harga tiket ke Kellie's Castle berbeza untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia. Untuk warganegara Malaysia, bayaran sebanyak RM 5 dikenakan untuk pengunjung dewasa. Kanak-kanak berumur 3 ke 12 tahun pula dikenakan bayaran RM 3 manakala warga emas berusia 60 tahun ke atas dikenakan bayaran sebanyak RM4. Pastikan anda membawa MyKad anda jika merancang untuk ke sini.

Jika anda bukan warganegara Malaysia, harga tiket untuk pengunjung dewasa ialah RM 10 manakala harga tiket yang dikenakan untuk kanak-kanak pula adalah sebanyak RM 8. 


Waktu operasi

Kellie's Castle dibuka setiap hari untuk kumjungan bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Namun, tidak seperti kapal korek Tanjung Tualang, TIADA guided tour disediakan untuk membawa anda melihat bangunan bersejarah ini. Lawatan ke sini adalah self-guided. Anda perlulah membaca sendiri penerangan tentang sejarah dan bahagian bangunan yang disediakan di sekitar tarikan ini.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Banyak penerangan disediakan di bangunan ini untuk self-guided tour




Menarik ke?

Sejujurnya, sungguhpun Kellie's Castle telah lama tersenarai sebagai tarikan popular di negeri Perak, persoalan ini tetap bermain di fikiran sebelum kami ke sini. Memang tak dinafikan tarikan ini kerap disebut mereka yang berkunjung ke Perak selain tidak pernah terlepas dalam senarai tempat menarik di dalam mana-mana brochure pelancongan negeri Perak. Namun secara peribadi, saya sering tertanya-tanya apakah yang menarik sangat tentang bangunan ini? After all, tarikan ini hanyalah sebuah binaan rumah persendirian yang tidak berjaya disiapkan.


Siapa tu Kellie?

Sesiapa pun pasti mengatakan Kellie adalah pemilik 'istana' ini. Namun, adakah anda tahu nama asal pemilik rumah agam ini sebenarnya ialah William Smith? Jadi, daripada mana timbulnya nama Kellie?

Kellie sebenarnya adalah nama pangkal ibu William Smith. Dipendekkan cerita, William Smith mengambil keputusan untuk menggunakan nama tersebut setelah pulang untuk bertemu ibu yang sedang nazak. Untuk memperingati ibu yang tercinta, beliau kemudiannya ingin dikenali sebagai William Kellie-Smith. Disebabkan itu, sehingga kini, rumah agam miliknya dikenali sebagai Kellie's Castle.
Info: Pada zamannya, Kellie's Castle sebenarnya dikenali sebagai Agnes' Palace kerana Agnes adalah pemilik sebenar bangunan tersebut. Ini adalah kerana sejumlah besar wang yang diperlukan untuk membina rumah agam ini datangnya daripada harta pusaka Agnes.
Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
William Kellie-Smith (foto: ipoh-city.com)



Anak peladang yang bercita-cita tinggi

Bukan berasal daripada keluarga berada, jauh sekali bangsawan atau keturunan diraja, William Smith dilahirkan pada 1 Mac 1870 dalam keluarga peladang miskin di Scotland yang hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Meskipun hidup dalam kemiskinan, itu tidak menjadi penghalang William Smith untuk berjaya menjadi seorang jurutera awam. Usaha beliau untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga tidak terhenti dengan kejayaan tersebut. Pada usia semuda 20 tahun, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk meraih rezeki dengan keluar merantau ke luar negara mencari peluang yang luas terbuka.

Kehidupan William Smith di Tanah Melayu walaubagaimanapun bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak semua perusahaan yang diceburi mendatangkan hasil. Sebagai contoh, kontrak membekalkan pemberat bagi landasan keretapi yang diperoleh terpaksa dihentikan. Begitu juga dengan projek penanaman kopi yang tidak mampu bersaing dengan populariti kopi Brazil.

Namun di sebalik beberapa kegagalan yang ditempuh, William Smith tidak berputus asa meneroka peluang baharu. Beberapa usahanya ternyata mebuahkan hasil. Usahasama yang dibuat bersama seorang kontraktor dari New Zealand, Charles Alma Baker bagi membina jalan raya di Perak dan perusahaan penanaman getah ternyata menjadi. Selain itu, keputusannya untuk berjinak-jinak dalam industri perlombongan bijih timah turut membantu menambah kekayaannya. Dengan kekayaan yang berjaya dikumpul, beliau berjaya menjadi pemilik Kinta Kellas Estate dan Kinta Kellas Tin Dregding Company.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Pemandangan Kellie's Castle yang tersergam di atas bukit 



Sebuah pertemuan

Pada tahun 1903, ketika pulang ke Malaya setelah bertemu ibu yang sedang nazak, William Smith telah bertemu dengan seorang wanita bernama Agnes. Tidak seperti William, Agnes berasal daripada keluarga peladang kapas yang kaya dan dikatakan bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 pound. Takdir menetapkan mereka telah jatuh cinta dan akhirnya berkahwin sebelum menetap di sebuah banglo kayu yang digelar Kellas House di estet kepunyaan William.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Helen, pada tahun 1904 dan seorang anak lelaki, Anthony, sebelas tahun selepas itu.



Pembinaan bermula

Tidak tahan kesan bahang akibat cuaca panas di dalam bangunan asal Kellas House yang diperbuat daripada kayu, Agnes terpaksa berulang-alik ke stesen Bukit Maxwell, Taiping dan Bukit Kledang di Menglembu berdekatan Ipoh untuk mencari tempat yang lebih dingin. William cuba menyediakan kediaman yang lebih sesuai dan memperoleh pinjaman daripada sebuah firma Singapura untuk membina sayap baharu bagi banglo kayu menggunakan batu bata yang tebal. Dengan pinjaman tersebut, ditambah pula dengan harta milik Agnes yang sepatutnya bakal diwarisi dalam masa 2 tahun, impian untuk melihat kediaman baharu mereka kelihatan sangat cerah.

Pembinaan sayap baharu Kellas House bermula tidak lama selepas kelahiran Helen. Namun, dugaan demi dugaan mula dihadapi oleh William dan Agnes.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Tinggalan runtuhan Kellas House yang masih dapat dilihat sehingga kini


Mendung di tengah jalan

Hanya setahun selepas itu, pasangan ini menerima berita yang kurang menyenangkan. Terdapat masalah dalam pewarisan harta milik Agnes dan pemegang amanah dana tersebut memaklumkan kelewatan untuk harta tersebut dilepaskan. Agnes hanya akan memperoleh harta tersebut pada tahun 1908, dua tahun lewat daripada jangkamasa asal.

Lebih menyakitkan, firma Singapura yang menyediakan pinjaman turut menghadapi masalah aliran wang menyebabkan mereka terpaksa menghentikan pembiayaan pinjaman kepada William.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, William juga telah mengalami kerugian wang yang besar apabila beliau cuba memulakan sebuah kuari marmar. Tidak cukup dengan itu, permit konsesi melalui aktiviti perlombongan bijih timah juga ditamatkan selain William turut mengalami kehilangan ternakan kuda dan lembu akibat wabak penyakit.

Untuk mengatasi masalah ini, William telah meminta Agnes untuk menulis surat memohon dana bantuan daripada kerajaan kolonial berjumlah 50, 000 pound. Tidak yakin dengan kesahihan harta warisan Agnes sekaligus kemampuan membuat bayaran balik, nilai akhir yang dipersetujui kerajaan untuk dipinjamkan kepada pasangan ini hanyalah sebanyak 10,000 pound.

Akhirnya, William tidak mempunyai pilihan lain selain menjual 2/3 kawasan ladang miliknya. Beliau hanya menyimpan banglo mereka, estet kopi lama dan 538 ekar tanah yang kemudiannya dinamakan Old Kellas Estate.



Malang bertimpa-timpa

Pada tahun 1908, Agnes memperoleh dana pusaka yang diwarisi. Dengan adanya dana tersebut, pembinaan rumah keluarga ini akhirnya dapat diteruskan. Seramai 70 orang buruh mahir dari India
digaji, dan bahan binaan dibawa dari India, Itali dan juga sumber tempatan.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Tinggalan batu marmar yang dibawa dari Itali di dinding bangunan yang telah runtuh

Sambungan seterusnya dimulakan pada tahun 1915 dengan kelahiran anaknya, Anthony. Kerja-kerja ini melibatkan menara dan sayap baharu bangunan yang kini dikenali sebagai Kellie's Castle. Namun, Perang Dunia Pertama yang meletus ketika itu mengakibatkan masalah pada bekalan bahan mentah, kos dan modal sekaligus mengancam dan melambatkan pembinaan rumah agam tersebut.

Tidak cukup dengan masalah yang dihadapi akibat perang dunia, pada tahun 1918, usaha William diuji pula dengan satu wabak yang digelar Selesema Sepanyol. Wabak berbahaya ini telah mengorbankan lebih 70 orang pekerja India estet William termasuk buruh mahir yang dibawa khas dari India untuk tujuan pembinaan rumah agamnya.



Tergendala selamanya

Walaupun masalah demi masalah dihadapi, William Kellie-Smith masih meneruskan pembinaan rumah agam keluarganya ini. Pada tahun 1926, beliau telah membawa anaknya Helen ke Lisbon, Portugal dalam perjalanannya ke England untuk melawat Agnes dan Anthony yang ketika itu berada di Eropah. Selain melawat isteri dan anaknya, William juga dikatakan pulang ke England untuk mengambil sebuah lif yang dirancang untuk diletakkan di'istana'nya.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Ruang lif yang sepatutnya menempatkan lif pertama di Malaya

Manusia hanya merancang, namun ketetapan Yang Maha Kuasa mengatasi segalanya. Ketika berada di Lisbon, William telah menghidapi pneumonia yang akhirnya membawa maut. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 11 Disember 1926.

Agnes dan anak-anaknya tidak lagi pulang ke Malaya selepas kematian suaminya. Beliau telah menjual haknya dalam Kellas Estate dan rumah agam mereka kepada sebuah syarikat Liverpool, Harrisons & Crossfield. Syarikat yang mengambil alih ladang William ini menjalankan perniagaan teh dan kopi. Walaubagaimanapun, mereka tidak berminat untuk meneruskan pembinaan rumah agam keluarga William Kellie-Smith. Akhirnya, Kellie's Castle dibiarkan begitu sahaja. Setelah berdekad lamanya, rumah tersebut dilitupi hutan.



Keunikan Kellie's Castle

Apa yang menarik tentang sebuah bangunan lama yang tak pernah disiapkan ini? Sekali pandang, Kellie's Castle kelihatan sama sahaja dengan bangunan-bangunan lama Eropah yang mungkin boleh dilihat di dalam gambar atau television. Namun, tahukah anda bahawa Kellie's Castle pernah mendapat liputan di dalam akhbar Inggeris di London, iaitu London Financier pada 15 September 1911. Binaan ini dianggap unik dari sudut rekabentuk dan keluasannya. Senibinanya adalah campuran pengaruh Rom, Moor dan Indo-Sarasenik.

Sejujurnya, kami bukanlah orang yang pandai menilai senibina sesebuah bangunan. Namun, beberapa fakta tentang Kellie's Castle tetap menarik perhatian kami. Antaranya ialah:

1. Disebabkan simen tidak terdapat di Malaya ketika itu, batu-bata dilekatkan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu. Tidak pernah kami tahu campuran bahan dapur begini mampu menggantikan simen, dan lebih mengagumkan ialah binaan yang terbina hasil campuran tersebut mampu kekal sehingga kini!

2. Tiada besi mahupun paku digunakan dalam pembinaan rumah agam ini.

3. Terdapat syaf lif yang sepatutnya menempatkan lif pertama di Malaya sekiranya rumah agam ini berjaya disiapkan. Bagaimanapun, perancangan ini tidak menjadi kenyataan apabila William meninggal dunia ketika dikatakan pulang ke Eropah untuk mengambil lif tersebut.

4. Selain lif hidraulik, Kellie's Castle juga dirancang untuk mempunyai gelanggang tenis indoor dan halaman luas sesuai untuk menganjurkan jamuan. Secara ringkasnya, Kellie's Castle sepatutnya menjadi sebuah rumah agam yang sangat mewah bukan sahaja pada zamannya, namun tetap outstanding walau dibandingkan dengan masa sekarang.

5. Dinding rumah ini menyediakan penebatan yang baik daripada matahari, dengan lubang pengudaraan di seluruh bangunan bagi ventilation yang baik. Ini menunjukkan William sangat mengambil berat dan cuba mengatasi masalah cuaca yang dihadapi isterinya, Agnes.

6. Kellie's Castle sepatutnya mempunyai 14 bilik, dan setiap bilik ahli keluarga William mempunyai laluan tangga untuk digunakan ketika kecemasan.

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Tangga spiral. Ada yang mengatakan tangga ini menuju bilik rahsia.
Ada juga yang mengatakan bilik tersebut adalah bilik gelap untuk fotografi. Wallahualam.

7. Tidak cukup dengan tangga kecemasan, Kellie's Castle juga mempunyai empat terowong rahsia. Terowong pertama menuju ke sebuah kuil Hindu, terowong kedua menuju ke pintu masuk garaj di sebelah selatan, terowong ketiga menuju ke jalan utama di sebelah timur, manakala di mana terletaknya terowong keempat masih kekal misteri. Hmmmm... pelan bangunan begini membuatkan kami tertanya-tanya. Ancaman apa agaknya yang dirisaukan oleh William?

8. Jika anda ke Kellie's Castle, anda akan melihat terdapat sebuah kuil Hindu terletak di tepi Jalan Gopeng tidak jauh dari rumah agam ini. Terdapat sebuah patung lelaki Eropah diletakkan bersama patung-patung dewa hindu lain di kuil ini. Mengikut sejarah, patung lelaki Eropah tersebut merupakan penghargaan kepada William Kellie-Smith. Ini  adalah kerana William telah membina kuil tersebut setelah diminta oleh pekerja beliau berikutan angka korban yang ramai kesan wabak Selesema Sepanyol.

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Patung tanda penghargaan terhadap William Kellie-Smith


Berhantu?

Kellie's Castle sememangnya tidak dapat lari dari kisah seram dan hantu. Walaupun telah meninggal dunia jauh di Portugal, roh William dikatakan tidak tenteram dan masih menghuni rumah impiannya ini. 

Penduduk tempatan percaya bahawa 'istana' ini berhantu kerana ramai pekerja telah mati sejak pembinaannya selain khabar angin yang mengatakan askar Jepun membunuh orang di dalam istana ini semasa Perang Dunia ke-2. 


Kisah-kisah 'hantu'

Serambi berhantu
Walaupun telah meninggal dunia, roh William dikatakan berlegar pada waktu malam, terutamanya sepanjang koridor, bagi menjaga rumah agamnya ini. 


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Koridor yang dikatakan tempat 'roh' William dilihat merayau-rayau

Jelmaan Helen
Kelibat seorang budak perempuan bangsa Eropah dikatakan pernah dilihat berkeliaran di ruangan bilik Helen di istana ini.

Bunyi aneh bilik bacaan
Dikatakan ramai pengunjung istana telah mendengar suara dan bunyi bagaikan sebuah majlis formal sedang diadakan. Apabila melangkah masuk ke bilik tersebut, suara-suara itu akan beralih ke bilik lain dan begitulah seterusnya hinga bunyi-bunyi aneh itu hilang pergi ke hujung bangunan di akhir tangga spiral.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Bilik bacaan dari mana dikatakan datangnya bunyi aneh

Selain daripada kisah-kisah yang boleh dibaca di sekitar rumah agam ini seperti di atas, terdapat beberapa lagi kisah menyeramkan yang dikaitkan dengan Kellie's Castle seperti misteri bau kemeyan dan kelibat roh di bangsal kuda, kisah pengawal tanpa kaki dan kisah langsuir yang 'menghantui' rumah agam ini.



Anda berani?

Betul ke Kellie's Castle berhantu? Wallahualam. Namun, jika berani untuk merungkai misteri ini sendiri, anda boleh menyertai Kellie's Castle Night Tour. Tour ini diadakan dari pukul 8p.m. hingga 12a.m. pada tarikh-tarikh terpilih. Untuk maklumat lanjut mengenai tour ini, anda boleh hubungi 05-3653381.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Rumah pengawal dan bangsal kuda yang turut dikaitkan dengan kisah seram


Kesimpulan

Walaupun Kellie's Castle adalah sebuah sejarah usaha dan cita-cita yang tidak kesampaian, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan William Kellie-Smith adalah sesuatu yang mengagumkan. Bukan sahaja kisah semangat yang waja, kisah pengembara Scotland ini turut membuka mata anak-anak menyedari betapa negara kita mempunyai hasil bumi yang tak ternilai yang sayangnya dikaut orang asing. Kami juga berharap anak-anak juga dapat memahami betapa pentingnya ilmu dituntut jika mahu meningkatkan taraf hidup diri. Secara terus terang, kami lebih mengagumi kisah struggle pemilik rumah agam ini berbanding kisah seram yang menyelubungi bangunan lama ini. Namun, sudah tentu semua ini terpulang kepada citarasa masing-masing.

Secara peribadi, walaupun terdapat banyak info di sekitar bangunan ini, kami merasakan kisah di sebalik Kellie's Castle tentu lebih menarik jika dihidangkan dengan lebih teratur dan sistematik. Sebagai contoh, laluan pengunjung boleh dimulakan di bahagian asal penginapan keluarga ini hingga sayap akhir bangunan dengan info tentang kejadian yang berlaku semasa tempoh pembinaan diletakkan secara kronologi. Dengan cara ini, kanak-kanak malahan orang dewasa lebih mudah memahami kisah yang berlaku dibandingkan dengan menceritakan hampir kesemua kisah di satu bahagian bangunan sahaja. 


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak






2 ulasan:

  1. terbaik ulasan puan. saya juga teringin melawat tempat ini. sebelum baca blog puan, saya beranggapan tempat ini ialah tinggalan istana.

    BalasPadam