Cuti best di Ipoh: Enjoy di Lost World of Tambun

Tempat menarik di Ipoh untuk anak-anak
Lost World of Tambun, Ipoh, Perak

Kalau dah namanya taman tema... memanglah anak-anak excited! Daripada yang paling besar hingga yang paling kecil, masing-masing tak sabar-sabar untuk ke taman tema yang belum pernah kami pergi ini.

Sejujurnya, sebelum ini saya sendiri tidaklah begitu tertarik untuk membawa anak-anak ke sini. Pada pandangan saya, Lost World of Tambun sudah pasti hanya salah satu taman tema yang sememangnya banyak terdapat di negara kita. Namun, untuk weekend getaway di luar Kuala Lumpur kali ini, kami tidak mahu ke tempat yang terlalu jauh dan Ipoh adalah tempat yang sesuai dari segi jarak dan lokasi.


Lokasi

Terletak hanya kira-kira 2 jam memandu dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Lost World of Tambun tidak memenatkan untuk anak-anak. Memandangkan kami tiba pada sebelah petang, kami tidak terus ke taman tema pada hari tersebut.

Lost World of Tambun terletak berdekatan kawasan perumahan. Disebabkan itu, tidak susah untuk mencari tenpat makan di kawasan sekitar, terutamanya jika anda berkenderaan. Selain restoran PappaRich yang terletak betul-betul berhadapan dengan taman tema, anda boleh mendapati pasaraya Giant, McDonald's, Pizza Hut dan Starbucks terletak hanya kira-kira 3 minit berkenderaan dari sini. Selain itu, anda juga boleh mendapati gerai-gerai dan warung makan di sekitar kawasan ini. Malam itu, kami menjamu selera di salah sebuah restoran seafood di kawasan ini.



Waktu Operasi

Taman tema Lost World dibuka dari pukul 11 pagi hingga 6 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan dari pukul 10 pagi hingga 6 petang pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan. Sila take note bahawa taman tema ini DITUTUP pada setiap hari Selasa KECUALI semasa musim cuti persekolahan atau cuti umum.



Tiket

Harga tiket adalah berbeza untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia. Untuk warganegara Malaysia, harga tiket ialah RM85 untuk pengunjung berusia 13 tahun ke atas dan RM77 untuk pengunjung kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Jika anda bukan warganegara Malaysia, harga tiket yang dikenakan adalah sebanyak RM117 untuk dewasa (13 tahun ke atas) dan RM110 untuk kanak-kanak (12 tahun ke bawah) dan warga emas (60 tahun ke atas).

Kanak-kanak dengan ketinggian kurang daripada 90cm TIDAK dikenakan bayaran.

Jika merancang untuk ke sini, pastikan anda menyemak promosi online terkini di sini. Pihak Lost World of Tambun seringkali juga mengadakan promosi tiket yang lebih berbaloi jika dibandingkan dengan harga walk-in. Alternatively, anda boleh membeli tiket menerusi portal-portal online yang menawarkan diskaun seperti Wonderfly dan Tripcarte.asia. Kami melihat ramai juga pengunjung yang mendapatkan diskaun di laman-laman ini.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Antara favourite ride anak-anak di sini

Ketika ke sini, entrance ticket kami merupakan sebahagian daripada promosi bilik di Lost World Hotel. Apa kelebihan menginap di Lost World Hotel?

Satu-satunya keistimewaan yang diberikan sebagai tetamu hotel ialah kami dibenarkan keluar dan masuk sebanyak SEKALI sepanjang berada di taman tema. Ini berbeza dengan pengunjung lain yang tidak dibenarkan keluar sama sekali jika telah berada di dalam taman tema atau tiket akan dianggap lupus. Selain daripada itu? Tiada keistimewaan lain diperolehi - tiada early entrance, extra discount on pay per-ride activity dan sebagainya.

Nota: Beberapa aktiviti di Lost World of Tambun memerlukan extra payment seperti swan paddle boat, kayak, zipline dan sebagainya. Selain itu, tube/pelampung dan locker juga perlu disewa jika ingin digunakan.

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Mengangkat pelampung sewaan bersama-sama


Tarikan

Lost World Amusement Park

Masuk sahaja ke dalam taman tema ini, anak-anak terus ke bahagian amusement park. Sebelum membasahkan diri, mereka ingin mencuba tarikan di dry park dahulu. Amusement park di sini tidaklah besar, hanya ada beberapa ride sahaja. Malahan ride yang disediakan juga bagi kami tidaklah begitu mencabar. Walaubagaimanapun, park ini cukup sebagai tarikan pembuka untuk anak-anak kami.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Bot terbang di Lost World of Tambun
Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Roller coaster di Lost World of Tambun



Lost World Water Park

Taman tema air boleh dikatakan tarikan utama untuk anak-anak kami di sini! Untuk anak-anak yang lebih besar, mereka gembira menggelongsor menggunakan tube di Cliff Racer dan Tube Raider. Manakala untuk adik-adik pula, mereka enjoy di bahagian Kids Explorabay - taman permainan air menarik buat pengunjung kecil.

Setelah penat, mereka akan bersama-sama meluangkan masa di Adventure River - sungai buatan terpanjang di Malaysia, bermain ombak buatan di Jungle Wave Bay atau bermain pasir di Sandy Bay. Sepanjang hari di dalam air langsung tak bosan untuk mereka!


Cuti best di Ipoh untuk anak-anak
Menggelongsor menggunakan tube

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Sebahagian daripada kawasan Kids Explorabay


Lost World Adventure Park

Jika anak-anak gemarkan aktiviti outdoor yang lebih mencabar, jangan lupa untuk membawa mereka ke Adventure Park. Beberapa aktiviti seperti zipline, kayak, high rope course dan stand up paddling ditawarkan di sini. Aktiviti-aktiviti ini memerlukan bayaran tambahan.

Anak-anak kami mencuba aktiviti zipline merentasi tasik sepanjang kabel sejauh 120m. Kadar bayaran untuk zipline ialah RM20 setiap orang. Tiada had umur yang disyaratkan, namun, berat badan mestilah dalam lingkungan 30kg hingga 120kg.

Di bahagian ini juga, anda akan dapat melihat khemah tempat bermalam mereka yang memilih pakej glamping.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Bersedia sebelum melakukan zipline


Haiwan-haiwan yang menarik!

Menariknya, Lost World of Tambun bukan sekadar sebuah dry and wet park. Berbeza dengan kebanyakan taman tema lain, di sini anak-anak turut berpeluang menyaksikan show, melihat malah memberi makan kepada pelbagai jenis haiwan di petting zoo, Hippo Kingdom dan juga di Tiger Valley.


Feeding time

Jangan lupa untuk menyemak jadual feeding time yang ada. Anak-anak tentu akan lebih seronok melihat haiwan-haiwan di sini dijamu oleh renjer-renjer di sini. Jika haiwan tersebut tidak merbahaya, mungkin anda turut berpeluang memberi makanan kepada mereka. Ketika diberi peluang untuk memberi landak makanan... terus sahaja kami bertanya. "Tak bahaya ke? Nanti landak ni tak tembak?" Renjer tersebut terus sahaja ketawa... "Mesti banyak tengok kartun, kan? Landak sebenarnya tak tembak 'jarum' dia". Ya ke? Baru kami tahu sekarang!


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Berpeluang memberi landak makan

Oh... jika anda mahu, anda juga boleh membawa anak-anak memberi makanan kepada zirafah dan unta. Terdapat makanan dijual jika anda berminat. Bukan selalu dapat memberi zirafah makan, kan?Kalau anda berkunjung ketika cuti persekolahan, ada baiknya anda ke bahagian ini lebih awal. Aktiviti ini adalah antara must-do di sini menyebabkan makanan zirafah mungkin akan lebih cepat dijual. Kami sendiri tidak berpeluang merasai pengalaman menarik ini. Ketika ke sini, makanan terakhir baru sahaja dibeli oleh pengunjung yang tiba sebelum kami. Bukan rezeki kami kali ini.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Melihat haiwan di giraffe feeding platform


Tiger & Friends

Dalam banyak-banyak show di sini, anak-anak kami sangat enjoy menyaksikan pertunjukan Tiger & Friends - satu-satunya pertunjukan yang melibatkan haiwan semasa kami di sini. Walaupun highlight show ini adalah sekitar tiger feeding, gelagat dan kepintaran haiwan lain seperti raccoon dan burung kakak tua serta kepetahan renjer mengendalikan pertunjukan sangat menghiburkan anak-anak.

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Di pertunjukan Tiger & Friends

Hippo Kingdom

Jika ke sini, jangan lupa untuk ke Hippo Kingdom yang terletak agak terkebelakang, selepas kawasan Adventure Park. Yang menariknya, terdapat ruang 'underwater view' yang membolehkan anda melihat bukan sahaja badak air, tetapi juga keadaan sang bedal di dasar air. Namun, Ms. Juwita - nama badak air yang menghuni 'kingdom' ini, lebih selesa berada di permukaan air semasa kami ke sini.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Di bahagian underwater view

Walaupun dinamakan Hippo Kingdom, tarikan di sini bukanlah badak air semata-mata. Anak-anak turut berpeluang melihat haiwan-haiwan lain seperti buaya, dubuk dan rusa. Rusa di sini sangat jinak dan dibiarkan bebas berkeliaran.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Melihat dubuk (hyena) secara dekat


Lost World Tin Valley

Selain taman tema, haiwan dan show yang menarik, Lost World juga menyediakan peluang anak-anak mengimbas sejarah perlombongan bijih timah dengan mengenali palung, merasai pengalaman mendulang dan membaca sedikit-sebanyak mengenai sajarah industri penting ini suatu ketika dahulu.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Mencuba pengalaman mendulang
Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Gajah digubakan untuk membawa bijih suatu ketika dahulu 


Makan

Seperti juga kebanyakan taman tema lain di Malaysia, makanan luar TIDAK dibenarkan untuk dibawa masuk. Beg anda akan diperiksa di pintu masuk.

Memandangkan tetamu hotel dibenarkan keluar dan masuk sebanyak sekali sepanjang berada di taman tema, kami mengambil kesempatan tersebut untuk membawa anak-anak pulang untuk solat dan makan di restoran sekitar Lost World of Tambun. Namun, kalau sudah namanya kanak-kanak, mereka pasti akan lapar juga in between waktu makan, terutamanya apabila bermain air begini.

Untuk mengisi 'masa snek' mereka, terdapat beberapa pilihan tempat makan disediakan di dalam taman tema ini seperti Lost World Ipoh Street, Kukuntalu Hawker dan Dulang Tea House. Pelbagai jenis hidangan boleh anda dapati di sini. Bagaimana dengan harga makanan? Bagi kami, walaupun sedikit mahal berbanding di luar, harga makanan yang dijual masih reasonable.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Deretan gerai di Lost World Ipoh Street

All in all, walaupun mungkin tidak sebesar sesetengah taman tema lain seperti Sunway Lagoon, Lost World of Tambun menawarkan kepelbagaian tarikan yang sangat menarik. Oh, yang lagi best ialah taman tema ini bukan sahaja meriah di waktu siang, malah terus hidup di malam hari.

Tidak seperti jangkaan kami pada awalnya, Lost World of Tambun bukanlah just another theme park. Anak-anak kami sangat seronok semasa di sini, malah meminta untuk kembali lagi pada masa akan datang!




Tiada ulasan:

Catat Komen