Cuti best di Ipoh: Daytrip ke Kapal Korek Tanjung Tualang

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Kapal korek Tanjung Tualang TT5

Eh... kat Malaysia masih ada kapal korek? Tak pernah tahu pun sebelum ni. Yang real pulak tu.... bukan replika. Rasa rugi tak pergi tengok... apalagi alang-alang dah tak jauh.

Kalau di zaman sekolah dulu, kami hanya pernah melihat kapal korek dalam buku sejarah, ini adalah kali pertama kami berpeluang masuk meninjau keadaan 'kapal' yang suatu ketika dulu berperanan penting dalam memacu ekonomi Tanah Melayu. Kalau di suatu ketika dahulu terdapat 123 jumlah kapal korek yang pernah beroperasi, kini Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5 atau TT5 adalah kapal korek terakhir yang masih kekal sebagai warisan sejarah penting negara kita.



Lokasi

Terletak di Batu Gajah, Perak, TT5 terletak kira-kira 30 km atau 40 minit memandu dari Ipoh, Perak. Tarikan pelancong yang lebih popular, Kellie's Castle berada hanya kira-kira 15 minit memandu dari TT5. Disebabkan itu, kami mengatur untuk ke kedua-dua tempat ini pada hari yang sama semasa percutian kami di Ipoh.



Waktu Operasi

TT5 dibuka untuk kunjungan pada setiap hari bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Pengunjung boleh ke sini pada bila-bila masa namun hanya dibenarkan ke bahagian dalam kapal korek bersama guide. Dalam kata lain, tanpa guide, anda hanya dibenarkan melihat sedikit pameran dan pandangan luar kapal korek sahaja. Disebabkan itu, jika merancang untuk ke sini, adalah sangat penting untuk anda mengatur waktu lawatan anda agar tidak terlepas daripada mengikuti guided tour yang ditawarkan.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Waktu opersi dan harga tiket



Guided tour

Atas sebab keselamatan, TT5 hanya boleh diakses jika anda menyertai guided tour yang ditawarkan. Tour ini diadakan setiap jam dengan tour pertama bermula pada pukul 9.30 pagi dan terakhir pada pukul 4.30 petang. Jika anda bercadng untuk ke sini pada hari Jumaat, elakkan datang pada waktu tengahari memandangkan Friday lunch break di TT5 adalah dari pukul 12.30 tengahari hingga 2.30 petang.

Harga yang dikenakan untuk mengikuti guided tour ini adalah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas. Jika anda bukan warganegara Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas.

Walaupun setiap session tour boleh disertai sehingga 50 orang pengunjung, kadang-kadang, TT5 juga menjadi destinasi lawatan sekolah dan lawatan kerja yang sudah tentu disertai ramai peserta. Disebabkan itu, kami dinasihatkan oleh pihak pengurusan TT5 untuk melakukan tempahan lebih awal sebelum ke sini. Setiap sesi guided tour bermula tepat pada masa. Oleh itu, pastikan anda berada di sini sebelum waktunya jika tempahan telah dibuat.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Pengunjung mendengar penjelasan yang diberi oleh tour guide 



Apa yang ada?

Sesampainya di sini kami terpegun melihat saiz kapal korek ini. Besar rupanya. Kami tiba kira-kira setengah jam lebih awal daripada waktu tour. Walaupun agak awal, kami terus ke kaunter untuk mendapatkan tiket yang telah ditempah.

Kaunter tiket terletak berhampiran kapal korek TT5. Walaupun terletak di dalam binaan kecil, kawasan menunggu yang disediakan selesa dengan penghawa dingin. Sekurang-kurangnya tidaklah anak-anak kecil kepanasan semasa menunggu giliran tour tiba. Selain kaunter tiket, terdapat juga mini exhibition yang memberi pengunjung peluang melihat peralatan lama yang pernah digunakan, info mengenai bagaimana kapal korek berfungsi selain tayangan berupa dokumentari berkaitan bijih timah.

Di satu sudut, kuih dan minuman ringkas turut dijual. Alhamdulillah, dapatlah anak-anak kami mengalas perut memandangkan mereka belum makan tengahari ketika itu. Selain kuih, roti untuk dijadikan makanan ikan di penghujung tour turut dijual di sini.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Kebanyakan pengunjung meluangkan masa melihat mini exhibition sebelum mengikuti tour



Jom ke dalam kapal!

Sebaik guide mengumumkan tour bakal bermula, kami tidak membuang masa menyertai kumpulan pengunjung yang ada. Tak sabar pula rasanya. Terdapat kira-kira 15 orang pengunjung yang menyertai tour bersama kumpulan kami. Kebanyakan daripada mereka adalah warga tempatan yang membawa keluarga masing-masing untuk mengenali cebisan sejarah ini dengan lebih dekat.

Setiap pengunjung yang mengikuti tour ini dikehendaki memakai topi keselamatan. Seronok sungguh anak-anak kami, terasa seperti pekerja yang akan memulakan syif masing-masing. Di luar kapal, terdapat sebuah perahu lama yang digunakan untuk membawa perkerja ke kapal. Perahu tersebut tidak digunakan lagi. Kini, laluan yang menyambungkan kapal dan kawasan darat telah dibina untuk memudahkan pengunjung ke TT5.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Masing-masing excited memakai topi keselamatan

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Perahu lama yang pernah digunakan sebagai penghubung kapal korek dan kawasan darat


Kagum kami apabila dibertitahu bahawa berbanding dengan kapal-kapal korek yang pernah beroperasi di Tanah Melayu, saiz TT5 sebenarnya hanya dianggap 'sederhana'. Jika ini pun anak-anak sudah berkata 'besarnya kapal ni!', tak dapat bayangkan saiz kapal korek yang dikatakan lebih besar. Sayangnya, kapal-kapal korek lain yang berjumlah 122 kesemuanya samada telah rosak teruk hingga langsung tidak sesuai untuk dilawati, tenggelam ke dasar lombong atau telah diceraikan bahagian-bahagiannya sebelum dijual sebagai besi buruk.

Dengan berat 4500 tan, kapal korek TT5 sebenarnya mempunyai 5 tingkat. Namun, pengunjung hanya dibawa ke tingkat bawah sepanjang tour ini. Jika anda sangat berminat untuk mengetahui dan melihat dengan lebih detail mengenai kapal korek ini, tour yang merangkumi tingkat-tingkat atas boleh diatur oleh pihak pengurusan. Bayaran yang dikenakan untuk detail tour ini adalah sebanyak RM50 seorang dan maksimum peserta yang dibenarkan untuk satu-satu tour hanyalah seramai 6 orang.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Tangga yang menuju ke tingkat-tingkat atas

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Bulatan merah menunjukkan meja dan bangku di sudut 'dewan makan' pekerja kapal korek


Guide yang membawa kami sangat berpengetahuan. Secara peribadi, kami suka dengan cara penerangan yang diberi. Bersemangat, sangat mudah difahami, tidak terlalu teknikal hingga memeningkan serta memberi analogi yang praktikal dalam kehidupan harian.

Kami diberitahu bahawa TT5 dibawa ke Tanah Melayu in pieces sebelum dicantumkan dan dibina semula di sini. Apabila mula beroperasi. kapal korek juga menghasilkan bunyi yang sangat bising. Bunyi bising TT5 dikatakan dapat didengari sejauh 8 km! Tak dapat bayangkan work hazard yang dihadapi pekerja ketika itu demi sesuap rezeki.

Sejujurnya, sangat banyak info yang dikongsi oleh tour guide kami. Daripada kos pembinaan, anggaran return of investment, bagaimana pihak British mengesan kewujudan bijih timah, bagaimana kapal korek bergerak, proses yang berlaku setelah bijih timah dikorek sehinggalah apa yang terjadi kepada sisa bijih timah yang tidak dapat diproses oleh kapal korek semuanya diterangkan semasa tour ini. Rasanya, jika diajarkan di dalam kelas, kami sendiri pasti tidak memahami apa yang dikatakan. Namun, apabila melihat sendiri kapal korek dan bahagian serta struktur yang terlibat, penerangan tersebut terasa lebih jelas. Malah, bukan sahaja kami, tetapi anak-anak yang menjangkau usia remaja juga dapat membayangkan apa yang diterangkan. Jika ada yang kurang difahami, mereka akan bertanya terus kepada guide untuk penerangan lanjut.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Rantaian bucket yang pernah digunakan untuk mengaut bijih timah

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Antara bahagian kapal korek yang dilihat semasa tour

Cuti best di ipoh dengan anak-anak
Papan amaran asal - tulisan jawi masih digunakan

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
TT5 pernah digunakan sebagai lokasi filem Revolusi


Bagaimana pula dengan anak-anak kami yang masih kecil? Sejujurnya, lawatan begini mungkin agak heavy untuk mereka. Namun, di akhir tour, mereka sangat excited berdiri di atas kapal korek dan memberi makanan kepada ikan! Kerana terlalu asyik melayan anak-anak membaling cebisan roti ke dalam tasik, langsung kami terlupa tentang aktiviti mendulang yang turut ditawarkan di TT5.



Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Aktiviti paling menarik untuk anak-anak yang masih kecil!


Bagi kami, Kapal Korek Tanjung Tualang ialah tarikan yang sangat menarik dan unik untuk dikunjungi lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak-anak yang sudah dapat memahami sedikit-sebanyak mengenai sejarah serta konsep mesin dan teknologi. Kami sangat berharap agar Perbadanan Menteri Besar Perak akan terus memelihara dan memulihara warisan sejarah ini dengan baik. Satu hari nanti, setelah anak-anak kami yang masih kecil meningkat usia, mungkin kami boleh ke sini lagi untuk memberi mereka pula peluang menghargai the last tin dredge yang masih ada di Malaysia ini.

Jika berminat untuk ke sini, anda boleh mendapatkan info lanjut di website mereka di sini. Alternatively, anda turut boleh membeli tiket guided tour ke kapal korek ini menerusi TripCarte di sini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan