Ada apa di Kolam Air Panas Sungai Klah, Sungkai?

Tempat menarik di Sungkai, Perak untuk anak-anak
Taman Rekreasi Air Panas, Sungkai

Apa yang ada di Sungkai, ya? Ladang kelapa sawit je ke? Eh, mestilah bukan! Saban minggu, ramai pengunjung datang ke sini... ada yang menginap dan ada juga yang datang hanya sebagai daytrip. Untuk apa?

Di sinilah terletaknya salah satu kolam air panas semulajadi yang best di Malaysia! Apa yang buat kami rasa Kolam Air Panas Sungai Klah best? Kami berpendapat, aktiviti di Kolam Air Panas Sungai Klah tidak hanya sinonim dengan berendam di dalam hot spring. In fact, macam-macam yang boleh dilakukan di sini. Yang pasti, anak-anak memang suka!



Lokasi

Berbeza dengan kebanyakan tarikan kolam air panas, bagi kami, Kolam Air Panas Sungai Klah terasa seperti sebuah taman tema air mini lengkap dengan kawasan air panas semulajadi yang sangat menyeronokkan. Terletak di dalam kawasan Felda Residence, kawasan kolam air panas ini bukan sahaja terbuka untuk tetamu Felda Residence Hot Spring, tetapi juga kepada mereka yang tidak menginap di Felda Residence ini.



Tiket

Memandangkan kami menginap di Felda Residence Hot Spring, kami telah diberi tiket masuk secara percuma ke kawasan Kolam Air Panas Sungai Klah. Namun, jika anda memilih untuk tidak menginap di sini atau hanya ke sini sebagai daytrip, tiket masuk boleh dibeli kaunter hadapan pada harga RM15 untuk orang dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 11 tahun. Warga emas berusia 60 tahun ke atas hanya perlu membayar RM8 manakala OKU pula hanya dikenakan bayaran RM5. Jika anda bukan warganegara Malaysia, harga yang dikenakan pula adalah RM18 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.



Waktu operasi

Anda boleh berkunjung ke Kolam Air Panas Sungai Klah pada bila-bila masa bermula dari pukul 8 pagi ke 6 petang setiap hari. Dari pintu masuk ke kawasan kolam air panas, anda boleh memilih sama ada untuk berjalan sejauh 200m atau menaiki kenderaan khas berupa traktor yang diubahsuai menjadi tren.

Kenderaan khas yang disediakan kelihatan menarik namun sebenarnya hanya dikhaskan untuk membawa pengunjung daytrip ke kawasan kolam air panas dan bukannya untuk bersiar-siar. Namun, nasib kami baik kerana staf di sana bermurah hati untuk membenarkan anak-anak kami merasa menaiki kenderaan tersebut setelah melihat mereka menunjuk-nunjuk ke arahnya. Sekurang-kurangnya, dapat jugalah mereka merasa menaiki 'tren' hot spring ini walaupun sekejap.


Tempat menarik di Sungkai, Perak untuk anak-anak
Tren yang menarik perhatian anak kami



Aktiviti

1. Pool dengan slide

Terdapat dua kawasan kolam dilengkapi slide di sini. Sudah tentu, untuk anak-anak, kolam inilah yang menjadi tempat favourite mereka bermain. Kolam yang lebih luas terbuka untuk orang dewasa. Air di kolam ini tidak panas dan berpunca daripada air bukit. Terdapat dua kawasan untuk anda meluangkan masa di sini. Kawasan dengan slide mempunyai kedalaman hanya kira-kira 2 kaki, manakala kawasan dengan air terjun buatan mempunyai kedalaman kira-kira 4.5 kaki. Kedua-dua kawasan ini bersambung namun untuk keselamatan, terdapat pelampung yang menjadi tanda perbezaan kedalaman ini.
Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Kolam dengan slide untuk dewasa dan kanak-kanak

Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Kawasan kolam yang lebih dalam

Kolam dengan slide yang kedua dikhaskan untuk anak-anak yang lebih kecil. Dengan pancuran air, slide dan replika kapal, kanak-kanak sudah pasti riang meluangkan masa di sini. Anak kami yang paling kecil tidak jemu-jemu bermain di sini. Terlalu seronok! Leka bermain walaupun kakak-kakak telah lama menunggu untuk ke tarikan lain.


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Kolam khas untuk anak-anak yang lebih kecil


2. Merebus telur

Bukan di dapur... tetapi di sini anda berpeluang merebus telur menggunakan air panas semulajadi! Rata-rata pengunjung di sini sememangnya tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti unik ini. Maklumlah, bukan setiap hari dapat merasa merebus telur begini.

Satu kawasan khas disediakan untuk aktiviti ini, lengkap dengan perkakasan yang diperlukan untuk anda meletakkan telur ke dalam air panas. Suhu air di sini kolam merebus telur ini adalah di antara 90 hingga 100°C. Memang panas. Berada berhampiran sahaja pun sudah terasa bahang.

Mana pula nak dapatkan telur? Kena bawa ke? Tak perlu. Anda boleh membeli telur yang dijual berhampiran kolam rebusan. 5 biji telur ayam dijual pada harga RM5 manakala 15 biji telur burung puyuh dijual pada harga RM8. 

Terpulang kepada anda untuk menjadikannya telur separuh masak atau telur rebus sepenuhnya. Terdapat panduan yang ditampal berhampiran yang memberitahu berapa lama telur perlu direbus. Anak-anak kami kurang menggemari telur separuh masak. Oleh itu, mereka menjadikannya hard boiled egg. Rasanya? Bagi kami sama sahaja dengan telur yang direbus di rumah. Perbezaannya yang ketara adalah pada excitement merebus telur menggunakan kolam air panas semulajadi.


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Excited pula merebus telur di sini!


3. Berendam di dalam kolam air panas

Daripada nama tempat sahaja, sudah tentulah aktiviti berendam di dalam kolam air panas merupakan aktiviti wajib ada di sini! Terdapat sebuah kolam air panas besar yang kelihatan seperti swimming pool luas disediakan. Walaubagaimanapun, kolam ini tidaklah begitu panas... sekadar suam-suam kuku sahaja, sesuai untuk anak-anak bermandi-manda.


Cuti best di Sungkai, perak dengan anak-anak
Kolam air panas yang luas

Selain daripada kolam besar ini, terdapat banyak lagi kolam kecil di sekitar kawasan ini yang mempunyai suhu air yang berbeza-beza. Sebagai panduan, pihak pengurusan meletakkan tanda yang memberitahu suhu di sesebuah kolam di sini. Memandangkan kolam-kolam kecil ini hanya sesuai untuk berendam dan bukanlah berenang dan mandi-manda, kebanyakan pengunjung yang bersantai di sini terdiri daripada pengunjung dewasa yang lebih berusia. Rata-rata, mereka memanfaatkan kemudahan ini untuk merendam kaki merasa kehangatan air yang dikatakan memiliki banyak manfaat dari segi kesihatan.


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Anak-anak kami tetap tidak melepaskan peluang berendam dalam kolam air panas kecil


4. Berehat di private jacuzzi

Jika anda inginkan sedikit privacy, Kolam Air Panas Sungai Klah turut menyediakan private jacuzzi untuk kemudahan pengunjung. Terdapat dua jenis private jacuzzi di sini yang berbeza dari segi saiz iaitu Superior dan Exclusive Superior. Ketika kami ke sini, pihak pengurusan menawarkan promosi dengan hanya mengenakan caj RM80 sejam untuk Exclusive Superior Private Jacuzzi (harga biasa ialah RM120 sejam) dan RM50 sejam untuk Superior Private Jacuzzi (harga biasa ialah RM75 sejam). Walaupun terdapat promosi, kami tidak menyewa jacuzzi ini memandangkan villa penginapan kami telah pun mempunyai indoor jacuzzi.


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Entrance ke private jacuzzi


5. Refleksologi kaki dan 'Facial Algae'

Nak legakan lagi lenguh-lenguh kaki dan stress selepas berkejar melayan anak-anak? Kawasan kolam air panas ini turut menyediakan laluan refleksologi untuk pengunjung berjalan sambil merasai urutan di tapak kaki yang dipercayai secara turun-temurun mampu membantu fungsi badan manusia.

Selain daripada laluan refleksologi, anda akan turut dapat melihat kawasan air panas yang dipenuhi alga hijau di sini. Algae hijau yang slimy ini dikatakan baik untuk kulit. Disebabkan itu, sebahagian pengunjung tidak melepaskan peluang menempekkan algae hijau tersebut ke muka masing-masing.


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Mencuba laluan refleksologi


6. Menunggang basikal dan ATV

Setelah puas berendam, anak-anak kami tidak melepaskan peluang menunggang basikal bersiar-siar di kawasan Kolam Air Panas Sungai Klah. Sewaan basikal boleh dilakukan pada kadar RM10 sejam. Jika anda mahu, pihak pengurusan turut menyediakan ATV untuk disewa pada harga RM50 untuk setengah jam. Menurut staf di sini, pengunjung yang ingin menyewa ATV disyaratkan supaya perlu tahu menunggang motosikal. Disebabkan itu, anak-anak tidak berpeluang menunggang ATV memandangkan mereka tidak melepasi syarat yang ditetapkan.


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Menunggang basikal di sekitar Kolam Air Panas Sungai Klah


Bagi kami, percutian di Kolam Air Panas Sungai Klah sangat menarik dengan pelbagai aktiviti yang disediakan. anak-anak tak boring sepanjang berada di sini. Terasa ingin lagi ke sini dengan lebih ramai ahli keluarga yang pastinya membuatkan percutian lebih menyeronokkan!





2 ulasan: