Tunggang kuda RM1 di Kuala Lumpur

Tunggang kuda horse riding RM1 di Kuala Lumpur
Tunggang kuda di Taman Tasik titiwangsa

RM1 dah boleh tunggang kuda? Di Kuala Lumpur pula tu? Macam tak percaya, kan?

Kami juga pada mulanya ragu-ragu. Memang RM1 dah boleh tunggang kuda? Bukankah aktiviti berkuda ini boleh dianggap antara aktiviti above average di kebanyakan tempat? Ini pula di tengah-tengah Kuala Lumpur. Hmmm.... sarapan roti canai pun rasanya lebih mahal.

Tempat yang dimaksudkan terletak di Taman Tasik Titiwangsa, sebuah taman tasik yang sememangnya terkenal sejak dahulu. Sudah berkali-kali juga sebenarnya kami ke sini membawa anak-anak menunggang kuda. Maklumlah, harga begini tentunya membuatkan kami tidak langsung berkira-kira jika mereka ingin menunggang berkali-kali.

Tidak susah untuk mencari lokasi berkuda ini. Jika anda memandu di sepanjang Jalan Kuantan dengan taman tasik ini berada di sebelah kanan, anda hanya perlu pusing ke kanan di penghujung taman ini. Anda akan memasuki Jalan Temerluh. Pandu di sepanjang jalan tersebut dan anda akan melihat tapak rekreasi berkuda di sebelah kanan anda.

Terletak di bawah pengurusan DBKL, aktiviti menunggang kuda ini terbuka untuk orang awam pada setiap hujung minggu, cuti umum dan cuti semester persekolahan. Terdapat dua sesi menunggang kuda. Sesi pertama adalah dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari, manakala sesi kedua pula adalah dari pukul 3 ke 6 petang.


Tunggang kuda horse riding RM1 di Kuala Lumpur
Memberanikan diri 'bermesra' dengan kuda di sini

Aktiviti menunggang kuda joyride di sini terbuka untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Bayaran sebanyak RM1 bagi setiap pusingan dikenakan untuk kanak-kanak, manakal orang dewasa pula dikenakan bayaran sebanyak RM1.50 setiap pusingan. Jika anak anda ingin menaiki beberapa pusingan, anda boleh membeli beberapa tiket sekaligus dan staff bertugas akan membawa anak-anak anda menaiki kuda berdasarkan berapa tiket yang dibeli.

Walaupun di kaunter tiket kanak-kanak dikategorikan mereka yang berumur 2 ke 11 tahun, sejujurnya, saya tidak pasti jika kanak-kanak yang masih kecil sudah cukup berani untuk menunggang kuda-kuda ini. Ini adalah kerana, tiada pony ride ditawarkan. Hanya kuda dewasa yang digunakan.

Ketika pertama kali ke sini, anak kami yang ketika itu baru berusia 4 tahun takut untuk menunggang kuda berseorangan dan meminta untuk saya menemani menunggang bersama. Namun, hanya seorang penunggang dibenarkan dalam satu-satu masa. Walaupun anak masih kecil, ibu bapa tidak dibenarkan menunggang bersama-sama anak tersebut. Akhirnya, menjadi rezeki kakak-kakak seronok menunggang beberapa pusingan.

Selain menunggang kuda, anda juga boleh membawa anak-anak menaiki kereta kuda. Tiket untuk menaiki kereta kuda hanyalah 50 sen untuk kanak-kanak dan RM1 untuk dewasa bagi setiap pusingan. Surprisingly, lebih murah daripada menunggang kuda!


Tunggang kuda horse riding RM1 di Kuala Lumpur
Kereta kuda yang digunakan di Taman Tasik Titiwangsa

Di sebalik harga yang sangat berbaloi dan kemudahan yang terjaga, setiap kali ke sini, kami melihat tidak begitu ramai pengunjung di lokasi rekreasi berkuda DBKL ini. Saya tidak tahu jika memang kebiasaannya begitu atau hanya kebetulan sahaja. Namun, yang pasti, anak-anak kami tidak perlu lama menunggu giliran, membolehkan mereka menunggang kuda dan menaiki kereta kuda beberapa pusingan sepuas-puasnya.

Nota: Tiada kelas menunggang kuda disediakan di Rekreasi Berkuda DBKL. Oleh itu, jika anda ingin anak-anak terlibat dalam sukan berkuda secara serius, Rekreasi Berkuda DBKL bukanlah tempat yang sesuai untuk tujuan tersebut. Seperkara lagi, kini Rekreasi Kuda DBKL telah mensyaratkan pengunjung untuk memakai kasut jika ingin menunggang kuda (gambar di atas adalah sebelum peraturan ini diperkenalkan). Oleh itu, pastikan anak-anak anda memakai kasut jika ingin menunggang kuda di sini. Pengunjung yang tidak memakai kasut hanya dibenarkan menaiki kereta kuda.

Jika anda happen to be in Putrajaya, Taman Equestrian Putrajaya turut menawarkan pengalaman menunggang kuda untuk pengunjung pada harga yang berpatutan. Tiket untuk menunggang kuda boleh dibeli di lokasi mereka atau secara online di sini. Selain joy ride, taman ini turut menawarkan pengalaman menaiki kereta kuda dan kelas menunggang kuda untuk mereka yang berminat.




5 ulasan:

  1. Balasan
    1. Rekreasi Berkuda DBKL. Di kawasan berdekatan Taman Tasik titiwangsa.

      Padam
  2. Balasan
    1. Sebelum ini, tempat ini hanya dibuka pada hujung minggu, cuti umum dan cuti semester persekolahan. Tapi saya tak pasti pula kalau ada perubahan pada hari operasi mereka semasa RMCO ini.

      Padam