Hotel dan resort best di Bentong / Bukit Tinggi ... dekat je!

Lokasi hanya sejam lebih memandu dari Kuala Lumpur menjadikan Bentong dan Bukit Tinggi antara pilihan favourite short weekend getaway untuk warga kota. Tak hairanlah jika hampir setiap hujung minggu, bilik dan chalet di sini kebanyakannya habis ditempah pengunjung yang ingin berehat bersama keluarga.

Bukan sahaja jarak, malah tarikan berunsur alam semulajadi mampu memberi pengalaman dan ketenangan berbeza daripada kesibukan sehari-hari di kota. Di sini disenaraikan beberapa hotel dan resort yang boleh anda pertimbangkan jika ingin membawa anak-anak bercuti di Bentong / Bukit Tinggi.

(Nota: Senarai ini hanya mengambil kira penginapan sebelum anda memasuki pintu gerbang utama ke Janda Baik. Oleh itu, senarai ini tidak termasuk hotel dan penginapan menarik di Janda Baik yang terletak berdekatan dengan Bentong dan Bukit Tinggi. Klik di sini untuk senarai hotel menarik di Janda Baik)

(sumber foto: Agoda, booking.com, Expedia dan airbnb)



1. ēRYabySURIA Hot Spring, Bentong

Terletak kira-kira 20-25 minit perjalanan dari Bandar Bentong, tarikan utama di ēRYAbySURIA Bentong sudah tentulah kolam air panas semulajadi atau hot spring yang dialirkan terus ke kawasan resort ini. Terdapat dua kolam air panas di resort ini yang dibuka hingga malam hari untuk kemudahan tetamu. 

Terdapat beberapa jenis bilik penginapan ditawarkan dari bilik untuk berdua, bertiga dan berempat, sesuai untuk mereka yang berkunjung bersama keluarga. Bukan itu sahaja, jika anda mahu sedikit kelainan, anda juga boleh memilih penginapan di villa yang lebih luas seta dilengkapi private jakuzi. Bolehlah anak-anak berendam di dalam air tak kira siang atau malam. 


Untuk mereka yang berkunjung bersama anak-anak, setelah puas menikmati kehangatan kolam air panas ini, bolehlah ibu bapa membawa anak-anak berhibur pula di kolam kanak-kanak yang siap dilengkapi pancuran air. Bukan itu sahaja, resort menarik ini turut menyediakan taman permainan dan playroom khas untuk kanak-kanak meluangkan masa.


Jika anak anda sudah agak besar untuk bermain di playroom, jangan risau kerana terdapat pelbagai lagi aktiviti yang boleh mereka lakukan di sini seperti bermain ping-pong, dart dan carrom. Dengan lokasi strategik dan pelbagai kemudahan seperti ini, ēRYAbySURIA Hot Spring Bentong sering menjadi pilihan untuk mengadakan kursus team building dan family day. (Klik di sini untuk catatan penginapan kami bersama anak-anak di ēRYAbySURIA Hot Spring Bentong)


ēRYAbySURIA Hot Spring Bentong terbuka untuk tempahan melalui laman rasmi mereka dan juga di Agoda, booking.com, Expedia dan airbnb



Hotel menarik di Bentong cuti dengan anak-anak

Hotel menarik di Bentong untuk percutian keluarga

Hotel menarik di Bentong untuk cuti keluarga
ēRYAbySURIA Hot Spring Bentong



2. Waterway Villa

Terletak tidak jauh dari ēRYAbySURIA Hot Spring Bentong, Waterway Villa menawarkan penginapan menarik dikelilingi kehijauan alam semulajadi sesuai untuk percutian anda sekeluarga. Beberapa jenis penginapan disediakan sesuai untuk mereka yang bercuti berpasangan mahupun bersama anak-anak. Penginapan jenis Bamboo Villa umpamanya sesuai untuk mereka yang berkunjung bersama pasangan manakala villa-villa lain seperti Bali Villa, Glass Villa, Hill Villa dan Stone Villa pula dibina selari dengan keperluan mereka yang bercuti dalam kumpulan atau keluarga yang lebih ramai.

Harga penginapan anda termasuk sarapan, afternoon tea dan makan malam. Untuk mereka yang ingin mengisi masa mereka di sini dengan aktiviti-aktiviti menarik, resort ini juga menawarkan free guided jungle trekking selain lawatan ke dusun buah-buahan. Pastikan anda menyemak waktu yang dijadualkan jika ingin mengikuti aktiviti menarik ini.

Selain itu, anda juga boleh memilih untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti river tubing, berbasikal dan bermain layang-layang pada harga tambahan. Untuk anak-anak yang gemar meluangkan masa bermain air, resort ini turut menyediakan kolam renang lengkap dengan water slide berukuran 14m panjang untuk keseronokan bersama.

Waterway Villa terbuka untuk tempahan melalui laman rasmi mereka dan juga di Agoda, booking.com, dan Expedia
Nota: Waterway Villa tidak menawarkan kemudahan televisyen dan internet connection juga mungkin tenggelam-timbul. Disebabkan itu, percutian di sini menawarkan masa berkualiti di persekitaran semulajadi bersama anak-anak. Selain itu, Bali Villa TIDAK mempunyai penghawa dingin dan lebih sesuai untuk mereka yang sukakan percutian di dalam natural fresh air. Jika anda lebih sukakan penginapan dengan penghawa dingin, villa ini mungkin kurang sesuai untuk percutian anda.


Hotel menarik di Bentong untuk anak-anak

Hotel menarik di Bentong untuk anak-anak

Hotel menarik di Bentong untuk anak-anak
Waterway Villa



3. Caravan Serai

Pertama kali terlihat nama Caravan Serai, sangkaan saya tentulah lokasinya di Timur Tengah atau Asia Timur. Maklumlah, di snilah bermula sejarah caravanserai sebagai tempat istirahat pengembara. Namun, sangkaan saya ternyata salah apabila letaknya Caravan Serai hanyalah di Bentong, Pahang Darul Makmur.


Konsep glamping, singkatan untuk glamorous camping yang diketengahkan ternyata menjadi daya penarik pengunjung yang lebih suka percutian dikelilingi alam semulajadi. Penginapan di dalam khemah ala-ala camping, namun dalam masa yang sama dilengkapi katil, penghawa dingin, malah attached bathroom mampu memberi pengalaman unik untuk anak-anak.


Terdapat sebatang sungai cetek melalui kawasan ini, sesuai untuk anak-anak merendam kaki merasai kedinginan air sungai. Selain itu, pelbagai kemudahan turut ditawarkan seperti kolam renang ringkas, permainan ping-pong, sewaan basikal dan juga ATV. Jika anda mahu, pihak Caravan Serai juga boleh mengatur sesi steamboat ataupun barbeque untuk anda sekeluarga. 


Antara yang menjadi highlight di sini adalah peluang untuk anda membawa anak-anak mengikuti guided nature walk mendaki bukit, melalui kawasan pokok buah-buahan dan merentasi sungai. Sebagai bonus, anak-anak turut berpeluang belajar menoreh getah - suatu pengalaman yang semakin sukar diperolehi di zaman sekarang!

Jika anda berminat, Caravan Serai Exclusive Private Villas & Eco Resort terbuka untuk tempahan secara online menerusi Agoda.

Nota: Selain khemah glamping, terdapat dua unit Caravan Suite yang boleh menjadi pilihan penginapan anda di sini. Berbeza dengan konsep bermalam di dalam khemah, Caravan Suite lebih memenuhi keperluan mereka yang lebih menggemari penginapan jenis chalet.  
Tiada kemudahan televisyen disediakan di dalam khemah glamping dan signal WiFi juga tidak lancar di kawasan ini. Selain itu, seperti juga penginapan di dalam khemah semasa camping, khemah glamping di Caravan Serai tidak boleh dikunci. Oleh itu, untuk keselamatan, pastikan anda tidak meninggalkan barangan berharga apabila meninggalkan khemah anda.

Hotel best di Bentong

Hotel menarik di Bentong
Caravan Serai Exclusive Private Villas & Eco Resort



4. Puncak Rimba

Siapa sangka, di celah-celah kesegaran dusun buah-buahan dan hutan tropika yang menghijau, terletaknya sebuah penginapan ekslusif khas buat pengunjung yang ingin mencari ketenangan dari kesibukan sehari-harian. Penginapan mewah yang asalnya dibina khas untuk kaum keluarga dan rakan-taulan pemiliknya kini membuka pintu kepada orang awam untuk bersama-sama berkongsi pengalaman percutian yang lain dari lain ini.

Selain meluangkan masa di kolam renang, tetamu Puncak Rimba juga boleh memilih untuk merasai kedinginan air sungai dan berehat melapangkan fikiran ditemani deruan air terjun yang menyegarkan. Ketika musim buah, anda mungkin bernasib baik untuk berpeluang merasai kelazatan buah-buahan segar dari dusun.

Puncak Rimba kini terbuka untuk tempahan secara online melalui booking.com dan airbnb. Untuk sebarang pertanyaan, Puncak Rimba juga boleh dihubungi di sini ataupun melalui email di hellopuncakrimba@gmail.com. 




Hotel menarik di Bukit Tinggi

Hotel menarik di Bukit Tinggi

Hotel menarik di Bukit Tinggi
Puncak Rimba



5. Colmar Tropicale

Berbeza dengan hotel dan penginapan lain dalam senarai di atas, Colmar Tropicale menjadikan ilham bangunan abad ke-16 Colmar town di bahagian Timur Laut Alsace, Perancis sebagai daya penarik mereka yang ingin mencari kelainan dalam percutian keluarga.

Dibuka pada tahun 2000, resort ini menawarkan beberapa pilihan bilik, termasuk bilik family dan 2-bedroom suite sebagai memenuhi keperluan tetamu yang berkunjung bersama anak-anak. Bangunan bertemakan perkampungan Perancis yang dijadikan bilik-bilik penginapan ini seakan-akan membawa tetamu merasai suasana bermalam di sebuah desa di Eropah tanpa perlu ke luar negara!

Colmar Tropicale adalah sebuah destinasi sesuai untuk mereka yang ingin bercuti bersama keluarga. Tempat ini terbuka bukan sahaja untuk tetamu yang menginap di hotel, tetapi juga mereka yang sekadar ingin bersiar-siar merasai suasana perkampungan Perancis yang menarik ini. Walaupun tarikan utama di sini adalah rekabentuk bangunan yang unik, pihak Colmar Tropicale turut menyediakan game arcade dan 6D motion picture sebagai hiburan untuk kanak-kanak dengan bayaran tambahan.

Kira-kira 1km dari sini, anda boleh membawa anak-anak merasai pengalaman melawat perkampungan Jepun di Japanase Village ataupun bermesra dengan rusa dan arnab di Rabbit Park. Untuk anak-anak yang lebih besar pula, dventure Park menyediakan aktiviti seperti flying fox, canopy walk, rock climbing dan paintball warfare pada caj yang telah ditetapkan.

Colmar Tropicale terbuka untuk tempahan secara online melalui laman web mereka dan juga di Agoda, booking.com dan Expedia. Jika merancang untuk membawa keluarga menginap di sini, jangan lupa menyemak harga di portal-portal ini untuk mendapat tawaran terbaik semasa percutian anda.


Hotel menarik di Bukit Tinggi percutian keluarga

Hotel menarik di Bukit Tinggi percutian keluarga
Colmar Tropicale



Lain-lain berkaitan:

Janda Baik...



Bentong/Bukit Tinggi...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan