Wayfarer Guest House - homestay strategik di bandaraya Melaka

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Wayfarer Guest House, Melaka

Bukanlah sebuah hotel, jauh sekali penginapan bertaraf lima bintang. Namun, Wayfarer Guest House tetap menjadi pilihan kami bermalam di bandaraya Melaka.

Terletak di Lorong Hang Jebat, Wayfarer Guest House tidak banyak bezanya dengan kebanyakan penginapan dan kedai lain di deretan yang sama. Dari luar, bahagian hadapan rumah penginapan yang terletak berhadapan dengan jalan yang sibuk dan kaki lima yang sempit ini kelihatan kecil. Namun, ruang di sebelah dalam terasa luas dan mengunjur panjang ke belakang.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Wayfarer Guest House terletak di Lorong Hang Jebat yang sibuk

Kerja-kerja pemuliharaan yang mengambil masa 3 tahun telah dilakukan di bangunan yang mempunyai lipatan sejarah hingga ke zaman pemerintahan Belanda ini. Kerja-kerja ini dilakukan tanpa mengetepikan ciri-ciri asal bangunan. Malah, jika anda ke sini, anda masih dapat melihat beberapa bahagian di dinding yang sengaja tidak disimen dan menampakkan struktur asal batu-bata. Hasil usaha-usaha ini, kini Wayfarer Guest House bersedia mengalu-alukan kedatangan tetamu yang ingin mencari tempat bermalam di sini.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Struktur asal yang sengaja di'peraga'kan


Check-in...

Sebaik masuk ke rumah penginapan ini, kami disambut oleh seorang makcik berbangsa Cina dan anaknya yang ramah. Sebagai sebuah family run guest house, kemesraan mereka sememangnya membuatkan kami terasa seolah-olah bertemu dengan long-lost keluarga di sana. Mereka berbual mesra dan bersedia membantu memberikan tips tempat makan berdekatan dan tempat menarik yang boleh kami kunjungi.

Sejurus selepas urusan check-in, kami diberikan kunci ke bilik yang telah ditempah. Kesemua bilik terletak di tingkat atas. Guest house tiga tingkat ini TIDAK mempunyai kemudahan lift. Oleh itu, jika ingin menetap di sini, adalah lebih baik jika anda membawa beg yang mudah diangkat menaiki tangga. Kami memang sudah sedia maklum mengenainya dan bersiap sedia masing-masing dengan beg galas. Ini memudahkan anak-anak mengangkat beg sendiri ke tingkat atas.


Bilik...

Di tingkat atas, anda perlu mencabut kasut dan meletakkannya di rak yang disediakan. No shoes  allowed walaupun di koridor. Kami juga boleh melihat linen bersih yang disusun kemas di dalam almari yang diletakkan di ruang koridor. Secara peribadi, saya merasakan susun atur begini menimbulkan rasa balik kampung semasa percutian ini. 

Bilik yang disediakan adalah ringkas tetapi bersih. Setiap bilik di sini berpenghawa dingin dan mempunyai attached bathroom lengkap dengan water heater. Tiada bilik yang dilengkapi television atau minibar. Jika anda perlu menyimpan makanan, anda boleh meletakkannya di peti sejuk di tingkat bawah.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Bilik yang ringkas tetapi bersih


Satu-satunya bilik famili di sini sudah mempunyai tetamu ketika kami membuat tempahan. Oleh itu, kami memilih dua bilik berasingan. Bilik-bilik kami kedua-duanya menghadap ruangan airwell. Ini memberikan kami pemandangan yang sangat menarik. Namun, mungkin kerana rumah penginapan ini adalah sebuah bangunan heritage, boleh dikatakan tiada soundproofing di bilik-bilik di sini. Bilik kami terletak betul-betul di atas bilik anak-anak dan kami boleh mendengar setiap apa yang mereka katakan (begitu juga dengan mereka boleh mendengar percakapan kami). Teringat pula rumah arwah atuk di mana kami perlu hanya berbisik-bisik bila tiba waktu malam. Untuk anak-anak kami yang tidak biasa dengan keadaan begini, bukan sahaja mereka agak kekok, tetapi kami sendiri berasa risau kalau-kalau suara mereka mengganggu tetamu lain. Namun, memandangkan kami pulang ke sini hanya untuk tidur, perkara ini tidak mendatangkan masalah sepanjang penginapan kami.


Parking...

Bagaimana pula dengan kawasan parking? Walaupun rumah penginapan ini tidak menyediakan kawasan parking, anda boleh meletakkan kenderaan di kawasan private parking kurang lima minit berjalan kaki ke sini. Jika bernasib baik, anda boleh meletak kenderaan di tapak meletak kenderaan awam di sepanjang Lorong Hang Jebat. Namun, jika anda menggunakan public parking ini, pastikan anda memperagakan kupon meletak kenderaan untuk mengelakkan daripada disaman. Kami mendapati pihak penguatkuasa sangat aktif memantau kenderaan yang diletakkan di sini.

Ciri-ciri keselamatan juga tidak diabaikan di Wayfarer Guest House. Tetamu diberikan kad akses yang digunakan untuk membuka pintu utama. Oleh itu, orang luar tidak boleh keluar masuk ke rumah penginapan ini sewenang-wenangnya.


Lokasi...

Apa yang kami suka tentang rumah penginapan ini? Yang paling utama ialah harga yang sangat berpatutan di lokasi yang strategik. Di bandaraya yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti sekolah ini, bagi kami lokasi begini sangat penting. Wayfarer Guest House menjadi pangkalan percutian yang memudahkan kami ke tempat-tempat menarik di bandaraya ini. Kami hanya berjalan kaki setiap kali ingin ke mana-mana. Dengan ini, kami tidak banyak membuang masa di dalam kesesakan atau berpusing-pusing mencari kawasan parking. Di samping itu, dengan berjalan begini, kami dapat merasa pelbagai streetfood yang dijual di lorong-lorong dan kaki lima. Jika anak-anak sudah terlalu penat berjalan di penghujung hari, kami menggunakan perkhidmatan Grab untuk pulang ke tempat penginapan. Kenderaan yang dibawa kami tinggalkan sahaja di private parking berdekatan. Jangan risau tentang kos parking. Harga parking sangat berpatutan. Hanya RM2 sekali masuk atau sepanjang hari.


Jalan-jalan di Melaka
Fresh watermelon juice terus dari buah

Jalan-jalan di Melaka dengan anak-anak
Aiskrim... yum! yum!

Selain itu, kami juga memilih penginapan ini untuk memberi pengalaman anak-anak merasai menginap di bangunan heritage seperti ini. Bila lagi ingin merasa bermalam di bangunan berusia beratus tahun begini? Di zaman serba moden ini, tidak banyak tempat yang menawarkan pengalaman menarik seperti ini.


Kemudahan...

Bahagian bawah Wayfarer Guest House dikhaskan untuk tetamu bersantai. Anak-anak kami suka meluangkan masa di sini menghirup minuman dan snek yang dibekalkan percuma sepanjang hari. Pilih sahaja mana yang anda mahu di mesin yang disediakan - teh, kopi ataupun milo. Tekan sahaja dan minuman panas terus tersedia. Berebut-rebut mereka ingin 'membancuh' minuman. Bekas biskut sebagai snek juga sentiasa diisi untuk para pengunjung nikmati. Setelah penat pulang daripada bersiar-siar, anak-anak pasti mengajak untuk berehat sebentar di bahagian ini melepaskan lelah.



Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Minuman percuma sepanjang hari

Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Piano yang menjadi perhatian anak-anak kami
Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Kawasan tetamu bersantai

Bahagian belakang rumah penginapan ini pula menghadap ke Sungai Melaka yang popular sebagai laluan river cruise. Walaupun masih perlu ke jeti jika ingin menaiki river cruise, lokasi begini memudahkan kami membawa anak-anak bersiar-siar di tebing Sungai Melaka. Sudah tentu kami tidak melepaskan peluang meluangkan masa bersama-sama untuk bersiar-siar sambil berbual-bual di kawasan laluan kaki sepanjang tebing sungai yang telah dibangun dan dicantikkan ini.


Cuti best dengan anak-anak di Melaka
Mengambil kesempatan bersiar-siar di tebing Sungai Melaka

Bagi saya, Wayfarer Guest House adalah sebuah penginapan yang strategik pada harga berpatutan. Penginapan ini sesuai terutamanya jika anda hanya mencari pangkalan berehat untuk meneroka bandaraya bersejarah ini. Walaupun tidak mewah, kami berasa homey apabila pulang kepenatan setelah bersiar-siar. Lagipun, memandangkan kami menghabiskan kebanyakan masa di luar, kami hanya memerlukan tempat istirahat yang selesa dan bersih. Sepanjang dua malam di sini, bilik kami dikemaskan staf bertugas setiap hari. Walaubagaimanapun, jika anda merancang untuk menghabiskan banyak masa di tempat penginapan, tempat ini mungkin kurang sesuai memandangkan kemudahannya yang terhad.

Maklumat lanjut mengenai Wayfarer Guest House boleh didapati di laman rasmi mereka di sini atau hubungi talian 06-2819469. Selain itu, penginapan ini juga terbuka untuk tempahan secara online di Agodabooking.comExpedia dan airbnb. Pastikan anda menyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan anda mendapat tawaran terbaik semasa percutian yang dirancang. 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan