Cuti best di Miri - Gua Niah yang awesome!

Cuti best di Miri
Bersemangat memulakan penerokaan

Setelah sekian lama bercita-cita untuk ke Gua Niah, alhamdulillah akhirnya tercapai juga hasrat untuk meneroka gua terbesar dan tertua di Malaysia ini. Bukan sahaja merupakan gua terbesar di Malaysia, malahan Gua Niah juga adalah antara gua batu kapur terbesar di dunia. Ditambah dengan penemuan bukti kewujudan manusia seawal 40,000 tahun dahulu, bagi kami, penerokaan Gua Niah memberi peluang bersama-sama menghayati keindahan dan kehebatan ciptaan-Nya. 

Selesai bersarapan di bandaraya Miri, terus sahaja kami bertolak menaiki kereta sewa menuju ke Taman Negara Niah. Perjalanan kami ke headquarters Taman Negara Niah mengambil masa lebih kurang dua jam. Walaupun perjalanan ke sini lancar, sedikit urusan yang perlu diselesaikan di awal pagi menyebabkan kami tiba sedikit lewat daripada rancangan asal.


Tiket Masuk

Selepas mendaftar dan membayar harga tiket masuk, kami mengambil bagpack yang telah  disediakan sebagai preparation untuk penerokaan ini. Harga tiket ke sini berbeza antara warganegara dan bukan warganegara. Untuk warganegara, tiket dewasa (18 ke 59 tahun) berharga RM10, kanak-kanak (6 ke 17 tahun) berharga RM3, manakala tiket OKU berusia 6 ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas kedua-duanya berharga RM5. Untuk bukan warganegara pula, pengunjung dewasa (18 ke 59 tahun) dikenakan caj RM20, kanak-kanak (6 ke 17 tahun) dikenakan caj RM7, manakala OKU berusia 6 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas dikenakan caj RM20.


Tiket masuk dijual di headquarters Taman Negara Niah


Penginapan

Walaupun kami tidak menginap di sini, kami melihat terdapat kemudahan chalet disediakan di kawasan headquarters untuk pengunjung yang lebih suka bermalam dan ingin meluangkan lebih masa di Taman Negara Niah. Jika anda berminat untuk bermalam di Taman Negara Niah, tempahan boleh dilakukan terus di laman web rasmi mereka di sini.


Penerokaan bermula...

Berbalik kepada penerokaan Gua Niah, setelah membeli tiket, kami berjalan ke sebatang sungai kecil yang terletak tidak jauh dari headquarters Taman Negara Niah. Terdapat bot disediakan untuk menyeberangi sungai tersebut dengan kadar bayaran RM1 seorang. Bayaran ini perlu dibuat terus kepada pengendali bot dan tidak termasuk di dalam harga tiket yang dibeli di headquarters sebentar tadi.


Cuti best di Miri
Di dalam bot merentasi sungai


Setibanya kami di seberang sungai, kami agak excited melihat terdapat Muzium Arkeologi Gua Niah didirikan di sini. Pada fikiran kami, bolehlah kami mengetahui sedikit-sebanyak informasi mengenai taman negara ini sebelum memulakan penerokaan. Malangnya, muzium tersebut ditutup  ketika itu untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Tak apa, bukan rezeki kami. Memandangkan muzium tidak dibuka, anak-anak mengajak untuk langsung meneruskan perjalanan menuju ke pintu Gua Niah.


Muzium Arkeologi Gua Niah


Untuk ke Gua Niah, pengunjung perlu berjalan di atas plankwalk melalui kawasan hutan yang menghijau. Perjalanan ke pintu Gua Niah adalah sejauh kira-kira 3km, namun tidaklah begitu sukar memandangkan laluan yang disediakan adalah mendatar. Di sepanjang perjalanan, sambil menghirup udara segar, kami mengambil kesempatan menghayati keindahan flora dan fauna di kiri kanan laluan. 


Permulaan perjalanan sebelu laluan bertukar kepada plankwalk

Cuti best di Miri
Antara tumbuhan menarik di sepanjang laluan ke pintu Gua Niah

Sebelum tiba di pintu gua, terdapat kawasan rehat disediakan di mana kami melihat terdapat wanita tempatan berbangsa Iban menjual air minuman dan hasil kraftangan. Kawasan ini boleh dikatakan umpama R&R di tengah-tengah hutan. Kami diberitahu bahawa terdapat laluan ke rumah panjang yang boleh dilawati tidak jauh dari kawasan 'R&R' ini. Walaupun terdetik juga rasa ingin ke sana, memikirkan kami sudah behind schedule dan perjalanan juga masih jauh, kami terpaksa membatalkan hasrat membawa anak-anak ke rumah panjang tersebut.  

Jika ke sini, anda tidak perlu risau tentang cuaca panas memandangkan pokok-pokok hutan membentuk kanopi yang melindungi pengunjung daripada terik matahari. Kami langsung tidak merasa bahang sungguhpun cuaca sudah panas di permulaan perjalanan. Walaubagaimanapun, cuaca panas tersebut bertukar menjadi hujan dengan cepat. Hujan yang turun agak lebat walaupun tidak berlarutan. Mujurlah kami telah bersedia dengan baju hujan untuk anak-anak. 

Bagaimana dengan nyamuk? Sejujurnya, kami tidak menghadapi masalah serangan nyamuk sepanjang penerokaan ini. Walaupun membawa mosquito repellant, mungkin kerana excited untuk memulakan penerokaan, kami langsung terlupa untuk mengenakannya. Namun, alhamdulillah, tiada anak-anak yang mengadu gatal akibat gigitan nyamuk sepanjang perjalanan ini. 


Berhenti rehat di 'R&R' Taman Negara Niah


Gua Dagang

Di pintu masuk gua, trek mendatar sebentar tadi bertukar menjadi anak-anak tangga, menandakan bermulanya pengalaman trekking yang lebih mencabar. 

Gua pertama yang akan anda jumpai jika ke sini ialah Gua Dagang. Nama Gua Dagang diberikan berdasarkan kegiatan perdagangan sarang burung antara pemungut sarang burung dan peniaga dari pekan. Di sini, anda akan dapat melihat tinggalan pondok tidak beratap yang diperbuat daripada kayu belian. Tinggalan pondok yang masih kukuh ini digunakan oleh pemungut sarang burung pada musim menjolok sarang burung sehingga akhir tahun 1970-an.


Cuti best di Miri
Bermulanya laluan bertangga


Cuti best di Miri
Gua Dagang adalah gua pertama yang akan dijumpai di Gua Niah


Cuti best di Miri
Tinggalan pondok yang masih kukuh hingga kini

Great Cave 

Selepas Gua Dagang, penerokaan seterusnya akan membawa anda ke Great Cave. Sampai sahaja di Great Cave, anak-anak kami terus mengecam pemandangan gua ini. Pemandangan di sini sangat familiar untuk mereka memandangkan gambar Great Cave biasa mereka lihat dalam buku teks sejarah sekolah. Dengan ketinggian siling gua melebihi 60m dan kelebaran seluas 250m, memang sangat berpadanan nama Great Cave diberikan untuk gua ini.

Di Great Cave, anda akan dapat melihat juntaian batang-batang buluh yang digunakan bagi tujuan mengambil sarang burung. 'Rumah' yang biasa dilihat dalam buku teks sejarah pula bukanlah tinggalan arkeologi, sebaliknya digunakan oleh pihak yang bertanggungjawab memungut sarang burung di sini. 

Disebabkan penerokaan masih jauh, kami hanya berehat sebentar sahaja di sini. Suasana di Gua Dagang dan Great Cave tidak gelap kerana cahaya matahari masih boleh sampai ke kedua-dua gua ini. Walaubagaimanapun, kami boleh lihat laluan selepas Great Cave yang gelap gelita. Tiada lampu disediakan di sepanjang trek. Disebabkan itu, kami melihat sebahagian pengunjung yang tidak membawa bersama lampu suluh mengambil keputusan untuk menamatkan penerokaan mereka di Great Cave dan berpatah balik mengikut laluan asal.


Cuti best di Miri
The Great Cave


Gan Kira 

Memandangkan kami memang telah bersedia membawa lampu suluh, kami menyambung penerokaan ke gua seterusnya. Cabaran pertama untuk kami ialah mendaki tangga yang tingginya terasa seperti sayup mata memandang. Sejujurnya, lihat tangga tersebut sahaja sudah membuatkan kami terasa penat, namun masing-masing gagahkan juga langkah. Mujurlah anak-anak sudah agak besar dan mampu mendaki tangga sendiri. Jika ada yang perlu didukung, rasanya mungkin kami terpaksa surrender sahaja. 

Semakin jauh penerokaan, keadaan gua menjadi semakin gelap. Sebahagian plankwalk juga licin, selain banyak laluan naik turun tangga. Setiap langkah perlu lebih berhati-hati menjadikan pace perjalanan kami menjadi lebih perlahan. 


Cuti best di Miri
Tangga yang perlu didaki untuk penerokaan seterusnya


Semakin menghampiri kegelapan, kami memutuskan untuk berjalan dalam barisan yang lebih teratur. Seorang dewasa berjalan paling hadapan dan seorang lagi di bahagian paling belakang. Anak-anak berjalan di tengah-tengah barisan. 'Ketua' yang berada paling hadapan bertugas memberi warning tentang keadaan dalam gua seperti laluan naik atau turun tangga, laluan licin dan sebagainya. Orang yang berada paling belakang pula perlu memastikan anak-anak, terutamanya yang masih di sekolah rendah dan prasekolah supaya aware dan mengikut arahan, selain berusaha mengurangkan rasa takut mereka kerana keadaan yang gelap. Kami langsung tidak mengambil sebarang gambar dalam keadaan begini kerana keutamaan ketika itu sudah tentu perlu diberikan untuk mengawasi anak-anak.

Setelah beberapa ketika melalui kegelapan, kami dapat menghela nafas lega apabila tiba di bahagian yang dianamakan Padang. Di sini, terdapat lubang yang yang membenarkan cahaya matahari menyuluh bahagian dalam gua. Terasa lega, bersyukur dapat melihat cahaya walaupun sebentar. 

Kelegaan tersebut bagaimanapun tidak lama kerana penerokaan kemudiannya membawa kami ke Gan Kira atau Moon Cave di mana pengunjung akan melalui laluan dengan total darkness. Betul-betul gelap, malah lebih gelap daripada laluan sebelumnya.


Berjalan sebelum memasuki kegelapan perut gua


Lubang cahaya di Padang sebelum penerokaan memasuki Gan Kira
(photo: niahnationalpark.my)

Painted Cave 

Setelah beberapa ketika dalam kegelapan, akhirnya kami dapat melihat cahaya di penghujung gua. Laluan plankwalk membawa kami keluar dari gua sebelum sekali lagi merentasi hutan sejauh kira-kira 400m sebelum tiba di Painted Cave. Subhanallah, akhirnya selepas kira-kira dua jam setengah penerokaan bersama anak-anak, tak sabar pula rasanya untuk melihat tinggalan lukisan manusia purba secara live di depan mata. 

Sebaik masuk ke dalam Painted Cave, kami melihat kawasan lukisan purba yang bersejarah ini telah dipagarkan. Ini menjadikan pengunjung tidak dapat melihat tinggalan ini secara dekat. Dengan suasana gua yang agak kelam ditambah pula cuaca di luar yang mendung ketika itu, menjadikan lukisan tersebut tidak begitu jelas kelihatan. Namun begitu, alang-alang sudah sampai ke sini, kami besama-sama meluangkan masa menyuluh dinding gua. Lama juga kami mencari dan alhamdulillah, akhirnya anak-anak berjaya menjumpai sebahagian lukisan purba tersebut. 


Nota: Kawasan di dalam Painted Cave dipagar oleh Muzium Sarawak untuk tujuan konservasi memandangkan lukisan purba ini amat sensitif dan mudah rosak. Selain lukisan purba, keranda berbentuk perahu turut ditemui di sini. Penyelidikan mendapati lukisan gua dan artifak keranda perahu yang ditemui menceritakan kepercayaan masyarakat purba tentang pelayaran mereka yang telah meninggal dunia ke alam barzakh.


Kekal bersemangat untuk meneroka baki 400m ke Painted Cave


Menyuluh lukisan purba di Painted Cave

Mengalas perut di Painted Cave sebelum memulakan perjalanan pulang

Persiapan

Sebelum pulang kami memastikan anak-anak mengalas perut serba-sedikit. Perjalanan pulang perlu melalui laluan yang sama untuk ke sini. Ini bermakna, jika ke sini, untuk pulang anda perlu bersedia melalui jarak, kegelapan dan laluan yang sama seperti ketika datang ke sini. 

Alhamdulillah, persiapan yang kami lakukan sangat membantu penerokaan ini walaupun tetap ada yang terlepas pandang. Berikut kami senaraikan persiapan yang kami rasakan boleh anda take into consideration jika merancang untuk membawa anak-anak ke sini.

1. Pakaian yang selesa. Bagi kami, paling penting ialah kasut  yang sesuai memandangkan sebahagian laluan agak licin.

2. Air minuman dan snek. Satu-satunya kawasan jualan 'R&R' terletak sebelum tiba di gua pertama, iaitu Gua Dagang. Sejujurnya, kami rasakan laluan dari headquarters ke Gua Dagang adalah yang paling santai, manakala bahagian penerokaan yang jauh kebih mencabar bermula dari The Great Cave hingga ke Painted Cave. Kami melihat air minuman yang dijual sebelum tiba di Gua Dagang sangat limited, dan langsung tiada jualan lain sebelum atau selepas itu. Disebabkan itu, jika anda ingin ke Painted Cave terutamanya, bekalan sendiri yang mencukupi sangat penting. Ini adalah untuk memastikan anda sentiasa hydrated dan anak-anak juga kekal bertenaga sepanjang penerokaan.  

3. Baju hujan atau poncho. Ada baiknya anda memeriksa ramalan cuaca sebelum kunjungan ke sini. Alhamdulillah, baju hujan yang kami bawa membantu anak-anak untuk kekal kering. Jika tidak, kami risau anak-anak kesejukan dan tidak selesa. Keadaan begini ditambah pula dengan rasa letih boleh sahaja membuatkan anak-anak kami hilang mood dan berdrama. Bukan itu sahaja, selain digunakan sebagai baju hujan, kami doublekan fungsi disposable poncho yang kami bawa sebagai alas tempat duduk dalam perjalanan pulang. Ini adalah untuk tidak mengotorkan kereta sewa memandangkan baju dan seluar masing-masing telah terpalit lumpur. 


Alhamdulillah, baju hujan dan poncho came in handy

4. Lampu suluh atau headlight. Walaupun ada yang mencadangkan untuk hanya menggunakan lampu telefon bimbit, bagi kami, adalah lebih baik untuk membawa lampu suluh ataupun headlight terutamanya jika anda ingin membawa anak-anak bersama. Semasa penerokaan ini, sekurang-kurangnya, kami masih mampu bertenang dan mengawal anak-anak apabila salah satu lampu suluh yang kami bawa menjunam dari tangan dan terkorban di dalam gua.

5. Sarung tangan. Ini adalah salah satu preparation yang kami terlepas pandang, namun kami rasakan penting jika anda ingin ke sini. Sarung tangan diperlukan untuk memegang railing di dalam gua. Walau dalam kegelapan, dengan bantuan cahaya lampu suluh, kami dapat melihat railing dipenuhi tahi; berkemungkinan tahi kelawar. Memandangkan kami tidak membawa sarung tangan, kami terpaksa juga memegang railing tersebut dengan barehand untuk mengelakkan terjatuh akibat laluan yang licin. Kami memastikan anak-anak tidak menyentuh bahagian badan lain dan masing-masing menyental tangan menggunakan air minuman yang dibawa sebelum mengalas perut. 

6. Mulakan perjalanan awal. Disebabkan sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan, rancangan kami untuk bertolak lebih awal ke sini tidak menjadi kenyataan. Disebabkan itu, kami tidak sempat untuk singgah di rumah panjang dalam perjalanan pulang. Namun alhamdulillah, kami tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami sempat meneroka hingga ke Painted Cave. Dalam perjalanan pulang, kami terserempak dengan kumpulan yang baru tiba di The Great Cave agak terlalu lewat. Disebabakan lewat, mereka terpaksa membatalkan hasrat ke Painted Cave kerana risau tidak sempat pulang ke headquarters sebelum hari beransur gelap. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan