Bestnya cuti di Miri!

Cuti best di Miri
Kuda laut merupakan ikon dan mercu tanda Bandaraya Miri

Bagi anak-anak kami, bumi bertuah Miri sememangnya mempunyai tempat yang istimewa di hati mereka. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Pengalaman membesar selama beberapa tahun di sini sudah tentu meninggalkan pelbagai memori selain persahabatan yang kekal terjalin hingga kini.

Walaupun selama enam tahun lebih sejak pulang ke semenanjung kami tidak pernah berkesempatan untuk melawat Miri semula, anak-anak kami terutamanya yang kini sudah di usia remaja masih tidak habis-habis bercerita tentang kenangan mereka di Miri kepada adik-adik yang ketika itu masih terlalu kecil. Kadang-kadang ada juga mereka bertanya bila kami boleh melawat Miri.

Alhamdulillah, Disember 2021, akhirnya kami berpeluang membawa mereka ke bandar yang sentiasa dalam ingatan mereka ini. Untuk kakak-kakak, percutian ini bukan sahaja percutian down memory lane, tetapi juga peluang untuk mereka berkongsi kenangan dengan adik-adik. Sebelum bertolak lagi, mereka sudah mempunyai list tempat-tempat penting bagi mereka suatu ketika dahulu yang kini mereka ingin tunjukkan pula kepada adik-adik - rumah sewa, tadika, sekolah, taman permainan, shopping mall, dan juga tempat santai favourite mereka. On top of list yang dibuat oleh anak-anak, kami juga menambah tempat menarik lain yang tak sempat kami lawati semasa tinggal di Miri kerana kesibukan kerja.

Sudah tentu, perubahan dapat kami lihat berbanding tujuh tahun lepas. Beberapa bahagian di Miri yang dahulunya belum dibangunkan kini mempunyai deretan kedai, hotel dan sebagainya. Di Miri, kami menyewa kereta dari orang perseorangan yang bernama Clement Ting di 019-835 0333. Alhamdulillah, walaupun hanya orang perseorangan, kami mendapati beliau sangat professional dan sangat mudah berurusan. 

Di sini kami kongsikan tempat-tempat menarik yang kami lawati di Miri. Semoga boleh menjadi rujukan berguna jika anda sedang merancang percutian ke bandaraya ini. 


1. The Grand Old Lady

Merupakan salah satu monumen bersejarah terpenting di Sarawak, The Grand Old Lady adalah antara tempat pertama kami membawa anak-anak di bandaraya Miri. Mengapa mercu tanda setinggi 30 meter ini dianggap penting? Ini adalah kerana, tanggal 22 Disember 1910, di sinilah tercatatnya sejarah pengeluaran minyak yang menjadi titik tolak kejayaan industri minyak sehingga berjaya mengubah Miri daripada sebuah perkampungan nelayan menjadi sebuah bandar moden yang dapat kita lihat hari ini. Terletak di atas Bukit Kanada, mercu tanda setinggi 30 meter ini bukan sahaja menjadi pemangkin industri oil and gas di sini, malah juga merupakan telaga minyak pertama yang menggunakan peralatan kabel di negara kita. 

Jika ke sini, anda juga boleh membawa anak-anak melawat Muzium Petroleum Miri yang terletak sangat berhampiran The Grand Old Lady. Muzium yang dibina hasil kerjasama Shell Malaysia dan Petronas ini mungkin sangat ringkas jika dibandingkan dengan Petrosains KLCC, namun masih mempunyai tarikan tersendiri. Semasa kami tinggal di Miri tujuh tahun yang lalu, muzium ini adalah tempat wajib anak-anak kami membawa sepupu-sepupu yang bertandang ke Miri. Walaubagaimanapun, kali ini, kami tidak begitu bernasib baik apabila hajat untuk ke tempat wajib ini tidak kesampaian kerana muzium ini ditutup sempena cuti perayaan Krismas.

Walaupun tidak dapat ke Muzium Petroleum Miri, alang-alang sudah berada di atas Bukit Kanada, kami tetap meluangkan masa sebentar bersiar-siar di belakang bangunan muzium menikmati panorama Miri dari atas bukit bersejarah ini.


Cuti best di Miri
Di The Grand Old Lady, Miri
  
Cuti best di Miri
Melihat pemandangan indah Bandaraya Miri dari atas Bukit Kanada


2. Taman Awam Miri

Setelah menikmati pemandangan indah Bandaraya Miri, kami membawa anak-anak menghirup udara segar di Taman Awam yang terletak hanya kira-kira 5 km dari Bukit Kanada. Seperti namanya, taman ini adalah sebuah public park yang terbuka untuk kunjungan warga Miri dan juga pelancong beriadah atau sekadar bersiar-siar menikmati lanskap menarik dan kemudahan yang disediakan.   

Di sini, anda boleh berpiknik, membawa anak-anak berjalan di atas jambatan gantung menikmati pemandangan taman, bermain di taman permainan atau bermain di taman air mini yang sudah tentu menjadi tarikan terutamanya jika anda membawa bersama anak-anak kecil. Namun, sekali lagi anak-anak kami kurang bernasib baik memandangkan ketika kami ke sini, kemudahan seperti taman permainan dan taman air mini masih belum dibuka semula pasca Covid-19. 


Tempat menarik di Miri
Menyeberangi jambatan gantung di Taman Awam Miri

Tempat menarik di Miri
Taman air mini ditutup ketika kami ke sana


Tempat menarik di Miri
Beberapa jenis pokok buah-buahan turut ditanam di sekitar Taman Awam Miri


3. Taman Bulatan

Satu lagi taman rekreasi awam yang menjadi kunjungan kami adalah Taman Bulatan. Walaupun jauh lebih kecil berbanding Taman Awam Miri, khususnya untuk anak-anak kami, taman ini banyak meninggalkan kenangan buat mereka memandangkan lokasi taman yang berdekatan dengan tempat tinggal kami semasa mereka membesar di sini.

Terdapat taman permainan ringkas, selain trek sesuai jika anda ingin berjoging atau berbasikal di waktu pagi ataupun petang. Kawasan parking yang agak luas juga disediakan dan rata-rata kami melihat keseluruhan taman ini bersih dan kemudahan dijaga dengan baik. 


Cuti best di Miri
Meluangkan masa di Taman Bulatan


4. Taman Buaya Miri

Antara to do list wajib ketika merancang untuk ke Miri, sudah tentulah ke Taman Buaya yang terletak di Kuala Baram, kira-kira setengah jam memandu dari Bandaraya Miri. Taman ini sebenarnya bukan sahaja menempatkan pelbagai spesis buaya, tetapi juga berperanan sebagai sebuah mini zoo di mana pengunjung dapat melihat dan berinteraksi dengan haiwan-haiwan lain.

Sesampainya kami di sini, terus sahaja kami mendapatkan tiket masuk yang dijual di kaunter. Jangan lupa untuk membawa penegnalan diri kerana harga tiket berbeza untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara. Untuk warganegara Malaysia, tiket dewasa berharga RM25 berbanding RM40 untuk bukan warganegara, manakala tiket kanak-kanak berusia 3-12 tahun dijual dengan harga RM15 untuk warganegara berbanding RM20 untuk bukan warganegara. 

Update: bermula May 2022, harga tiket ke Taman Buaya Miri adalah RM30 untuk pengunjung berusia 12 tahun ke atas dan RM15 untuk pengunjung kanak-kanak berusia 3 ke 11 tahun

Dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, jika anda ingin membawa anak-anak ke sini, jangan lupa untuk merancang lawatan anda sekitar crocodile feeding show. Tiada bayaran tambahan dikenakan untuk melihat feeding show tersebut, namun anda perlu berada di sana sekitar waktu yang telah ditetapkan iaitu pada pukul 10.30 am, 11.30 am, 3.30 pm dan 4.30 pm. 

Memandangkan kami tiba sekitar feeding time kedua, anak-anak tidak membuang masa untuk terus ke kawasan feeding show yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Anda perlu menaiki platform kayu ke kawasan seperti anjung di atas sangkar buaya. Melalui celah-celah lantai kayu, anda dapat melihat buaya seakan-akan 'bersantai' di bawah anda.  Di depan platform ini, anda dapat melihat ketulan daging digantung di tali sebagai umpan dan diluncurkan merentasi kawasan kolam yang dipenuhi buaya.


Cuti best di Miri
Di atas platform sementara menunggu feeding show bermula


Cuti best di Miri
Aksi salah seekor buaya semasa feeding show

Selesai melihat feeding show tersebut, kami membawa anak-anak bersiar-siar ke kawasan berkeluasan 22 ekar yang juga berperanan sebagai mini zoo ini. Di sini, anak-anak dapat melihat haiwan seperti ular, beruang, monyet, landak, kuda dan pelbagai spesis burung. Terdapat juga makanan haiwan yang dijual dalam pek berharga RM1 jika anak-anak ingin memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sini. 

Selain itu, dengan bayaran tambahan, anda juga berpeluang bergambar sambil memegang buaya kecil atau ular, atau memberi makan kepada buaya menggunakan kayu seperti joran. Kami bagaimanapun tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini semasa di sini.


Cuti best di Miri
Memberi makanan kepada kuda


5. Pantai Tanjung Lobang

Walaupun terdapat beberapa pantai menarik di Miri, kami hanya berkesempatan membawa anak-anak bersiar-siar di Pantai Tanjung Lobang memandangkan lokasinya yang lebih hampir dengan tempat penginapan kami di bandaraya Miri.

Walaupun ketika ke sini hari sudah hampir senja, bukan sahaja pengunjung kelihatan semakin ramai, malahan kawasan di sekitar Pantai Tanjung Lobang juga kelihatan meriah. Kami melihat kawasan pantai ini bersih dan terjaga, selain terdapat banyak gerai makanan yang menawarkan hidangan tempatan dan pengusaha kecil yang menawarkan aktiviti seperti giant bubble. 

Suasana di sini sangat tenang dan santai, dan kebanyakan pengunjung kelihatan ceria meluangkan quality time bersama keluarga dan sahabat-handai. Seperti juga kebanyakan pengunjung lain, kami juga hanya bersiar-siar dan melayan anak-anak bermain di gigi air sambil menikmati deruan ombak dan pemandangan waktu senja yang indah. 


Cuti best di Miri
Bersantai di Pantai Tanjung Lobang


Cuti best di Miri
Bermain giant bubble di tepi pantai


Subhanallah... suasana senja yang sangat cantik di Pantai Tanjung Lobang


6. Piasau Nature Reserve

Dahulu dikenali sebagai Piasau Camp dan merupakan kawasan penempatan untuk staff syarikat Shell, kawasan ini telah digazetkan secara rasminya sebagai sebuah nature reserve oleh kerajaan negeri Sarawak pada bulan Jun 2014. Sehubungan itu, kawasan berkeluasan 229 ekar ini kini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat konservasi dan penyelidikan, malah turut menjadi kawasan perlindungan burung kenyalang dari jenis Oriental Pied Hornbill. 

Selain berperanan sebagai pusat konservasi dan penyelidikan, fasiliti seperti trek jogging dan basikal juga dibangunkan di nature reserve ini sekaligus memberi ruang masyarakat bersama-sama berkongsi keindahan alam semulajadi di sini. 

Ketika ke sini, kami membawa anak-anak ke Piasau Nature Reserve Interpretation Centre, di mana sedikit-sebanyak penerangan diberikan mengenai nature reserve ini dalam bentuk pameran dan video yang menarik. Interpretation Centre ini dibuka dari pukul 9 pagi ke 3 petang dari hari Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi ke 5 petang setiap hujung minggu dan cuti umum. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke sini.

Dalam banyak-banyak penerangan yang diberikan di sini, anak-anak kami sangat tertarik dengan kisah pasangan hornbill di Piasau Nature Reserve yang diberi nama Jimmy dan Faridah yang berakhir dengan tragedi. Jimmy yang pada mulanya dikatakan hampir berputus asa untuk hidup selepas kematian Faridah akibat dibunuh, akhirnya menemui pasangan baharu bernama Juliet. Jimmy seolah-olah mendapat nyawa baharu dan kini sentiasa dilihat terbang bersama Juliet di sekitar nature reserve ini. 

Bagi kami, walaupun ringkas, Piasau Nature Reserve Interpretation Centre berjaya menjadikan informasi yang dipersembahkan menarik dan educational. Melalui kunjungan ke sini barulah kami mengetahui bahawa seperti juga swan, burung kenyalang adalah juga monogamous animal di mana kebiasaannya haiwan ini hanya mempunyai satu pasangan di sepanjang hayat mereka. 


Cuti best di Miri
Bergambar di Piasau Nature Reserve Interpretation Centre


7. Piasau Boat Club

Jika sudah ke Piasau Nature Reserve, apa kata anda bawa anak-anak singgah sebentar ke Piasau Boat Club yang terletak tidak jauh dari Piasau Nature Reserve Interpretation Centre. Jika semasa kami menetap di Miri tujuh tahun yang lalu kelab Piasau Boat Club hanya strictly opened untuk ahli kelab sahaja, ketika percutian kami ke sini, kami mendapati kelab ini sudah boleh diakses oleh non-member. 

Bayaran masuk sebanyak RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 12 ke 17 tahun dikenakan jika anda bukan ahli di sini (kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dikenakan bayaran). Sudah tentu, walaupun kini kelab ini sudah dibuka kepada bukan ahli, kami diberitahu bahawa ahli kelab tetap mempunyai special privilage yang tertentu dalam penggunaan fasiliti dan aktiviti yang disediakan. 

Suasana di Piasau Boat Club sangat tenang. Anda boleh berehat di restoran menghadap pantai sambil membiarkan anak-anak berlari dan bermain di playground menarik yang disediakan. Mungkin sudah menjadi rezeki anak-anak untuk melihat burung kenyalang terbang bebas di habitat, ketika bermain di sini, mereka sangat teruja apabila dua ekor burung kenyalang bukan sahaja terbang rendah malah hinggap tidak jauh dari kawasan mereka sedang bermain. 


Cuti best di Miri
Playground menarik surrounded by nature dan mengahadap laut di Piasau Boat Club


Cuti best di Miri
Sebahagian kawasan playground di Piasau Boat Club


Cuti best di Miri
Burung kenyalang hinggap di kawasan anak-anak bermain


8. Gua Niah

Walaupun pernah menetap di Miri selama kira-kira 3 tahun, disebabkan komitmen kerja, kami langsung tidak pernah berpeluang membawa anak-anak ke Gua Niah yang boleh dikatakan sinonim dengan tarikan penting di Miri. Oleh itu, untuk percutian kali ini, kami pastikan penerokaan Gua Niah menjadi main itinerary untuk anak-anak di sini.

Terletak kira-kira 110km atau lebih kurang dua jam memandu dari bandaraya Miri, Gua Niah merupakan gua terbesar dan tertua di Malaysia dengan sejarah kehadiran manusia seawal zaman Paleolitik, iaitu kira-kira 40 ribu tahun dahulu. 

Gua dengan kawasan dalam berkeluasan kira-kira 3 padang bola sepak ini terdiri daripada beberapa gua dengan nama-nama seperti Trader's Cave, The Great Cave, Gan Kira dan Painted Cave. Kami memilih untuk meneroka hingga ke Painted Cave di mana anak-anak dapat melihat lukisan pada dinding gua hasil tinggalan masyarakat purba. Laluan pergi balik ke Painted Cave adalah kira-kra 10km melalui platform kayu yang disediakan. Walaupun terdapat platform, jika anda merancang untuk ke sini, persediaan yang sesuai sangat diperlukan memandangkan sebahagian laluan di perut gua sangat gelap, dan beberapa kawasan juga agak licin.


Berehat di Painted Cave sebelum memulakan perjalanan pulang


9. Borneo Tropical Rainforest Resort

Atas request anak-anak yang pernah ke sini suatu ketika dahulu, kami meluangkan masa di Borneo Tropical Rainforest Resort semasa dalam perjalanan pulang dari Gua Niah. Terletak kira-kira 39km dari bandaraya Miri, resort dalam alam semulajadi ini menawarkan pakej day trip atau bermalam lengkap dengan pilihan waktu makan secara buffet mengikut kesesuaian pengunjung.

Nota: tiada tempat makan berhampiran dengan resort ini, jadi pastikan anda memilih pakej makan yang bersesuaian jika ingin membawa anak-anak ke sini.

Kami memilih pakej bermalam agar dapat berehat setelah kepenatan meneroka Gua Niah. Mungkin kerana cuti sekolah, kami lihat pengunjung masih ramai malah masih ada yang menunggu untuk check-in walaupun ketika itu hari telah petang. 

Tarikan utama resort ini, terutamanya untuk kanak-kanak sudah tentu mini waterpark dengan water slide yang agak tinggi. Sejujurnya, waterpark di sini agak kecil namun, untuk anak-anak kami sudah cukup menggembirakan. Mungkin bermain di sini dirasakan seperti satu reward terutama setelah gigih trekking hampir 10km di Gua Niah.

Selain waterpark, jika ke sini, anda juga boleh membawa anak-anak mengikuti resort tour dengan menaiki tram. Tour ini akan membawa pengunjung melihat kebun, ladang ternakan dan juga menaiki boat untuk memberi makanan kepada ikan. Jika anak-anak masih bertenaga, beberapa aktiviti tambahan turut ditawarkan dengan bayaran tambahan. 

Namun sejujurnya, semasa kami ke sini, kami perhatikan resort ini kelihatan run down. Beberapa aktiviti berbayar seperti flying fox dan pony ride juga tidak ditawarkan. Kami andaikan ketika itu, resort ini mungkin belum beroperasi secara full swing selepas PKP. Bukan rezeki anak-anak kami untuk melakukan aktiviti-aktiviti itu di sini. Kami mendapat tahu aktiviti-aktiviti tersebut mula diadakan semula tidak lama selepas kunjungan kami.

Oleh itu, jika anda ingin ke sini, mungkin anda boleh menghubungi pihak resort terlebih dahulu untuk memastikan aktiviti-aktiviti yang tersenarai di laman web mereka telah ditawarkan semula. Maklumat lanjut mengenai Borneo Tropical Rainforest Resort boleh didapati di laman web mereka di sini. Pihak resort boleh dihubungi di talian 019-885 8593. Selain itu, tempahan turut terbuka melalui Agoda dan booking.com.


Cuti best di Miri
Borneo Tropical Rainforest Resort


Cuti best di Miri
Waterpark di Borneo Tropical Rainforest Resort


10. Rong Reng 

Ingin souvenir shopping di Miri? Walaupun Miri Handicraft Centre dan Tamu Muhibbah mungkin lebih popular, atas saranan sahabat di Miri, kami memilih untuk ke sebuah kedai bernama Rong Reng yang terletak di Soon Hup Complex, berdekatan dengan Mega Hotel, Miri. Walaupun nama kedai di signboard tertulis sebagai Reng Rong, entah kenapa kedai ini lebih dikenali sebagai Rong Reng di kalangan sahabat-sahabat kami di Miri. 

Mungkin dari luar, Rong Reng kelihatan biasa-biasa sahaja. Namun, pilihan cenderahati yang ditawarkan adalah banyak dan pelbagai dengan harga yang jauh lebih murah dari tempat lain. Malah, kami mendapat tahu bahawa Rong Reng bukan sahaja menjual terus kepada pelanggan, malah mereka turut menjadi pembekal untuk kedai-kedai cenderehati lain di sekitar Miri. 

Mungkin kerana mereka lebih menumpukan kepada bisnes mereka sebagai pembekal, waktu operasi kedai Rong Reng juga sangat singkat, iaitu hanya dari pukul 10 pagi ke 1 petang dari hari Isnin ke Sabtu. Oleh itu, jika anda ingin memborong souvenir di sini, pastikan anda merancang waktu anda sebaiknya.


Cuti best di Miri
Tempat kami memborong souvenir di Miri



Tiada ulasan:

Catat Ulasan