Seorang kawan baru baru ini pernah menceritakan, anaknya yang berumur dalam 2 tahun suka memukul kawan di nurseri jika kawannya tak mahu berkongsi permainan dengannya. Ketika itu, saya teringatkan anak sendiri – apa kurangnya? Ketika umurnya setahun setengah, anak saya akan mengigit kakaknya apabila kakaknya tak mahu bermain bersamanya, atau tak mahu berkongsi permainan atau makanannya. Kenapa ini berlaku?
Anak pada umur ini memang tidak matang dan ramai yang masih tidak tahu memberitahu dengan jelas apa yang mereka mahu, jadi, perbuatan-perbuatan agresif seperti ini adalah caranya yang tidak matang untuk memberitahu apa yang dia mahu atau mungkin juga mendapatkan apa yang dia mahu. Dis31ebabkan kanak-kanak pada umur ini ramai yang masih kurang dari segi ‘vocab’ atau perkataan yang dia faham, dan jikapun ‘vocab’nya sudah bagus, mereka masih tidak tahu menggunakannya dengan tepat untuk memberitahu apa yang diinginkan, jadi, perkara ‘terbaik’ (pada mereka) yang boleh dilakukan adalah dengan perbuatan – dan biasanya perbuatan aggresif seperi memukul, menggigit dan menarik rambut lebih mendapat perhatian rakan dan orang dewasa.
Apa yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan sikap aggresif ini?
1. Jika anak anda memukul, menggigit atau menarik rambut, jangan membalas perbuatannya itu. Jika anda memukulnya semula, anda akan membuatkan anak anda keliru dengan perbuatan anda. Anak anda mungkin akan merasakan perbuatan memukul, mengigit atau menarik rambut itu sesuatu yang boleh diterima jika dia melihat anda juga melakukan perkara yang sama. Sesetengah dari kita akan memukul semula dan memberitahu inilah rasanya sakit dipukul. Ini tak perlu. Lagipun, kanak-kanak di dalam umur 2-3 tahun belum dapat mengaitkan kesakitan yang dia sendiri rasa dengan kesakitan yang kawannya rasa akibat perbuatannya. Beritahunya dengan tegas yang dia tak boleh berkelakuan begitu dan perbuatannya menyakitkan kawannya.
Sesetengah dari kita suka memukul atau mengigit anak kita apabila bermain dengan mereka (saya maksudkan pukul atau gigit yang tak menyakitkan, kadang-kadang kita lakukan kerana geram dan seronok bermain dengan mereka). Mungkin sudah masanya kita hentikan gurauan seperti itu. Anak kita kadang-kadang keliru dan meniru perbuatan kita. Mereka tak dapat bezakan antara pukul/gigit gurauan dan pukul/gigit yang menyakitkan.
Jangan sesekali ketawa pertama kali atau pada bila-bila anak anda berkelakuan begini (sesetengah kita merasakan perkara itu lucu, atau mungkin keadaan dan gelagat mereka ketika itu melucukan). Anak anda akan merasa yang dia tidak berbuat salah dan ‘motivated’ untuk melakukannya lagi. Jika anda mahu ketawa melihatkan gelagat mereka atau kawannya ketika anak anda memukul atau menggigit, pastikan mereka tidak nampak ketawa atau senyuman anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan