Tempat dan aktiviti menarik best untuk anak-anak di Pulau Pinang

Pulau Pinang sememangnya satu destinasi pelancongan sesuai bukan sahaja untuk kanak-kanak, malah pelbagai peringkat usia. Tarikan yang sesuai untuk seisi keluarga menjadikannya salah satu destinasi percutian popular setiap kali tiba cuti sekolah. Saban masa ada sahaja tarikan baru yang menarik menjadikan ramai yang berkunjung tak jemu-jemu walau telah ke sini berkali-kali.

Sebenarnya terlalu banyak tarikan yang ada di Pulau Pinang. Apa sahaja minat anda, insya-Allah ada tarikan yang kena dengan citarasa anda. Untuk kami, selain tarikan evergreen seperti Bukit Bendera, kami cuba selitkan sejarah, keunikan dan tentulah tempat-tempat menarik sesuai dengan selera anak-anak.


1. Menaiki feri

Walaupun kini Pulau Pinang sudah mempunyai bukan satu, malah dua jambatan, perkhidmatan feri masih menjadi tarikan dalam memenuhi keperluan masyarakat berulang-alik ke sini. Kerana itu, kami membawa anak-anak merasai pengalaman menaiki feri ke pulau ini.

Seperi biasa, banyak kereta 'beratur' menunggu giliran menaiki feri. Hmmm.... sememangnya perkhidmatan ini tidak lapuk ditelan arus pemodenan. Anak-anak pula seronok walaupun terpaksa menunggu. Maklumlah, feri di sini turut membawa kenderaan sebagai penumpang.

Sebaik feri bergerak, anak-anak turun dari kereta untuk merasai perasaan ditiup bayu laut. selain kami, penumpang lain turut berdiri di bahagian hadapan kapal, mungkin kerana ia lebih selesa dan memberi pemandangan yang lebih menarik berbanding berada di dalam kereta.

Walaupun mungkin ramai yang merasakan menaiki feri begini satu perkara biasa, namun, bagi anak-anak kami ia tetap pengalaman yang menyeronokkan.


Aktiviti best di Pulau Pinang bila cuti dengan anak-anak
Menikmati angin laut di atas feri


2. Melawat Bukit Bendera

Tak lengkap pula rasanya percutian ke Pulau Pinang jika tak ke Bukit Bendera. Mungkin disebabkan itu, hampir setiap kali ke Pulau Mutiara bersama anak-anak, pasti kami membawa mereka ke tarikan ikonik ini.

Terletak lebih 800m dari paras laut, tarikan utama untuk anak-anak sudah tentulah keretapi funikular yang membawa pengunjung naik dan turun bukit ini. Tidak seperti generasi sebelum ini, kini, keretapi ini lebih moden, selesa dan pantas. Namun, pada waktu cuti persekolahan, kesesakan pengunjung masih mampu menguji kesabaran.

Walalupum masih ramai yang memilih untuk hanya bersiar-siar, sebenarnya kini terdapat pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan buat pilihan pengunjung. Klik di sini untuk catatan percutian kami di bukit ikonik Pulau Pinang ini.

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Tempat bergambar wajib di Bukit Bendera, Pulau Pinang


3. Bersantai di Padang Kota

Selain Bukit Bendera, Padang Kota merupakan satu lagi tarikan wajib anak-anak kami apabila bercuti di Pulau Pinang. Apa yang menarik di sini? Sejujurnya, tiada apa yang spesifik. Namun, kami menyukai kawasan yang kami rasakan sesuai sebagai tempat santai keluarga ini.

Kawasan lapang yang luas berhampiran laut memberi ruang untuk anak-anak berlari dan bermain dengan bebas. Di sebelah petang terutamanya, kami melihat banyak keluarga yang berkunjung melayan telatah anak-anak kecil bermain giant bubble, belon dan sebagainya.

Di sini juga disediakan taman permainan awam yang semestinya menjadi tumpuan anak-anak kami. Walaupun kawasan taman permainan ini tidaklah besar, namun ia dijaga dengan baik. Apabila anak-anak sudah lapar dan letih bermain, terus sahaja bawa ke foodcourt untuk mereka mengisi perut.


Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Playground di Padang Kota

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Anak-anak bebas bermain di padang yang luas


4. Menyelusuri serpihan sejarah di Fort Cornwallis

Dalam beberapa kali ke Pulau Pinang, inilah pertama kali kami menjejakkan kami ke dalam kawasan Fort Cornwallis. Sebelum ini, kami hanya menjenguk dari luar. Entah mengapa, sebelum ini tak pernah pula kami masuk ke dalam.

Terletak hanya bersebelahan Padang Kota, kota yang dibina oleh Kapten Francis Light pada tahun 1786 ini pada awalnya menggunakan kayu dan batang nibung sebagai struktur binaan. Hanya pada tahun 1808, ia diperbaharui dan batang nibung asal digantikan dengan binaan batu.

Nama Cornwallis diambil sempena nama Jeneral-Gabenor British di India yang baru ketika itu, Charles Cornwallis. Charles Cornwallis pernah terlibat dalam Perang Revolusi Amerika sebelum menyerah kalah kepada pasukan Jeneral George Washington. Beliau kemudiannya pulang ke Britain sebelum dilantik menjadi Jeneral Gabenor British di India. Hmmm... semasa kanak-kanak dahulu saya ingatkan Cornwallis adalah tokoh penting yang terlibat dalam sejarah Pulau Pinang. Saya mengagak pengaruhnya dalam kerajaan British ketika itu pastinya kuat sehingga nama kota yang dibina di sini pun diambil bersempena namanya, dan bukannya founder of British colony di Pulau Pinang yang juga bertanggungjawab membina kota ini.

Tahukan anda bahawa Fort Cornwallis juga dikenali sebagai Kota Keamanan? Ini adalah kerana Fort Cornwallis dipercayai tidak pernah terlibat dalam peperangan. Namun, sejarah ini mungkin berubah dengan penemuan meriam berkembar awal tahun ini. Penemuan ini juga menyebabkan sebahagian kota ini ditutup untuk kerja-kerja ekskavasi semasa kunjungan kami. Oleh itu, tidak banyak yang kami berpeluang melihat. Namun, bagi kami ia cukup untuk memperkenalkan sebahagian sejarah negara kepada anak-anak.

Fort Cornwallis terbuka untuk kunjungan bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Harga tiket masuk ialah RM20 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak. Walaubagaimanapun, warganegara Malaysia layak mendapat harga istimewa iaitu RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Oleh itu, jangan lupa untuk membawa MyKad dan MyKid jika merancang untuk ke sini.


Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Bergambar di dalam kawasan Fort Cornwallis

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Memasuki tempat simpanan serbuk senjata api di Fort Cornwallis


Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Kawasan di Fort Cornwallis yang ditutup untuk kerja-kerja arkeologi
(gambar diambil dari luar kawasan)



5. Tak habis-habis bergambar di 3D Art

Walaupun kebiasaannya anak-anak kami tidak begitu pandai bergaya mengambil gambar, tarikan 3D Art tetap menjadi kegemaran mereka tiap kali ke Pulau Pinang. Malah, bukan sahaja beria-ria bergambar, mereka juga tidak kaku apabila mengunjungi tarikan ini. Mungkinkah mural dinding dan lantai dengan effect 3D ini menyerlahkan daya imaginasi mereka? Wallahualam.

Pada percutian ini, kami memilih untuk ke Penang 3D Trick Art Museum. Bagi saya, tarikan Penang 3D Trick Art ini tidaklah besar, namun setiap ruang di rumah kedai dua tingkat ini dimanfaatkan sebaik-baiknya. Lukisan mural 3D kreatif di sini juga sememangnya menarik perhatian anak-anak kami. Spot terbaik untuk anda mengambil gambar ditanda dengan jelas, dan terdapat gambar berdekatan setiap mural menunjukkan cadangan pose untuk gambar yang menarik. Jika terdapat staf di situ, mereka dengan senang hati bersedia menolong anda mengambil gambar.

Selain Penang 3D Trick Art, terdapat juga pilihan lain seperti Made in Penang dan Penang Time Tunnel yang mengetengahkan konsep yang sama. Made in Penang Interactive 3D Museum adalah tarikan 3D Art yang mengetengahkan kepelbagaian dan keunikan Pulau Pinang berkaitan makanan, budaya, etnik, tarikan dan juga tokoh negeri ini. Tidak hanya memberi peluang pengunjung bergambar di mural 3D, malah Made in Penang Interactive 3D Museum turut mempamerkan miniature yang menggambarkan gaya hidup dan budaya masyarakat Pulau Pinang pelbagai etnik.

Jika Made in Penang Interactive 3D Museum mempamerkan miniature selain 3D Art sebagai tarikan, Penang Time Tunnel yang mula beroperasi sejak tahun 2013 pula membahagikan tarikannya kepada beberapa bahagian - bahagian sejarah yang mengimbau sejarah Pulau Pinang selain barangan antik yang semakin sukar dijumpai pada masa kini, bahagian 3D Mural Art, bilik flourescent dengan mural yang bercahaya di dalam gelap dan bilik terbalik yang mengetengahkan konsep serupa dengan rumah terbalik yang semakin popular di negara kita. Dalam kata lain, Penang Time Tunnel memberi pengalaman merasai serba sedikit tarikan yang pelbagai.

Mana satu pilihan terbaik? Tepuk dada tanyalah selera. Bagi kami, tujuan kami hanyalah ingin melayan anak-anak beraksi di 3D Art dan kebetulan pula ketika itu Penang 3D Trick Art Museum berada berdekatan dengan tempat kami bersiar-siar. Maka, terus sahaja kami menuju ke situ. Namun, kami akui tempat-tempat lain mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri, bergantung kepada apa yang anda mahu.

Nota: Selain daripada tarikan-tarikan yang disebutkan di atas, beberapa tempat lain turut mampu menjadi pilihan menarik. Antaranya ialah Dark Mansion di mana mural dengan kesan flourescent menawarkan suasana yang cantik untuk dirakam. Selain itu, Wonderfood Museum yang mempamerkan replika makanan yang realistik turut mampu memberi pengalaman bergambar yang unik, manakala Phantamania Magic World pula menggunakan kesan ilusi seakan-akan silap mata untuk gambar dan hiburan menarik.


Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Row, row, row your boat

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Giant vs dwarf ?

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Aksi anti-graviti

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Errrk, tak payahla bawak balik souvenir macam tu!


Untuk lebih penjimatan, anda boleh membeli tiket di fave atau Wonderfly yang menawarkan diskaun ke tempat-tempat seperti berikut:

  • Penang 3D Trick Art Museum - lihat diskaun di fave dan Wonderfly
  • Made in Penang Interactive 3D Museum - lihat diskaun di fave dan Wonderfly
  • Dark Mansion - lihat diskaun di fave dan Wonderfly
  • Wonderfood Museum - lihat diskaun di fave 
  • Phantamania Magic World - lihat diskaun di fave


6. Menjejaki Street Art

Sejujurnya, kami bukanlah street art enthusiast, namun, alang-alang di Georgetown, rugi pula rasanya jika tidak membawa anak-anak melihat tarikan yang memberikan keunikan tersendiri kepada Bandaraya Warisan Dunia ini. Memandangkan kami hanya berjalan kaki di sekitar Georgetown, kami mengambil kesempatan itu untuk menyelusuri lorong-lorong dan jalan-jalan yang mempunyai street art ini. Ada yang kami sememangnya pergi dengan tujuan untuk melihat, namun banyak juga yang kami hanya terserempak semasa bersiar-siar di sini. Apa pun, kebiasaannya kami berhenti sebentar sekadar menunjukkan anak-anak street art tersebut.

Bagaimana mencari lokasi street art yang banyak di sekitar sini? Kami bernasib baik kerana diberikan pamphlet yang menyenaraikan street art popular di Georgetown daripada seorang peniaga cenderahati di sini. Walaupun pamphlet yang diberi lengkap dengan peta, namun, bagi kami yang lebih penting ialah mengetahui nama street art tersebut. Kenapa? Dengan mengetahui nama street art yang hendak dilihat, kami seterusnya hanya menggunakan bantuan Google Maps untuk mengetahui lokasi yang hendak dituju. Mudah sahaja, kan? Hanya masukkan nama street art dan kami tahu bukan sahaja ke mana perlu kami pergi, malah anggaran jarak yang perlu kami lalui.

Kami memastikan bekalan, terutamanya air dibawa bersama. Ia sangat-sangat diperlukan apatah lagi cuaca ketika itu agak panas. Selain itu, memandangkan lorong di mana terdapatnya street art ini ada yang turut dikongsi kenderaan, adalah penting untuk memastikan anak-anak sentiasa berada berdekatan. Walaupun kami melihat kenderaan yang melaui lorong-lorong ini tidak dipandu laju, namun, risau juga jika anak terus berlari apabila excited ingin bergambar.

Sesetengah mural kami lihat sudah agak pudar walaupun usia tarikan street art ini kurang dari sedekad. Jika anda ke mural popular seperti "Little Children on the Bike", anda akan dapat melihat kumpulan pengunjung yang agak ramai. Namun, apa yang dapat kami lihat, dalam cuaca yang panas ketika itu, masing-masing bersabar menunggu giliran dan tidak seorang pun yang berebut. Kesemuanya sangat bertimbang rasa. Alhamdulillah, sikap begini sudah tentu membuatkan kunjungan lebih menyeronokkan.


Aktiviti menarik best di Pulau Pinang untuk anak-anak
'Little Children on the Bike' antara street art popular di sini

Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Siapa pula panjat dinding di sini?
(bukan dalam senarai street art namun idea ini menarik perhatian kami)



7. Ronda-ronda atas beca

Walaupun agak baru menaiki beca, anak-anak kami tetap ingin menaiki beca di Pulau Mutiara ini, apatah lagi melihat beca di sini berlainan dengan beca yang pernah dinaiki di Melaka. Jika di Melaka, penarik beca berada di sebelah penumpang, di Pulau Pinang pula, penarik beca mengayuh basikal di belakang penumpang.

Beca sebenarnya merupakan satu alternatif menarik untuk bersiar-siar di sekitar Georgetown. Malahan, penarik beca di sini juga menyediakan "pakej" di mana pelanggan ditawarkan untuk ke beberapa tempat menarik pada harga yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, kami tidak memilih pakej yang ditawarkan memandangkan ketika itu kami telah ke kebanyakan tempat yang ingin kami lawati dan anak-anak hanya sekadar ingin merasa menaiki beca.

Selain di Georgetown, banyak beca turut boleh didapati di Batu Ferringhi. Kami diberitahu terdapat perbezaan dari segi saiz beca di kedua-dua tempat ini di mana beca di Georgetown lebih kecil berbanding beca di Batu Feringghi. Di samping itu, beca di Batu Feringghi juga dihias lampu-lampu yang menjadikannya kelihatan menarik di waktu malam.


Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Tak melepaskan peluang menaiki beca



8. Main, main dan main lagi di Adventure Zone

Jika anda berada di Batu Ferringhi, anda boleh membawa anak-anak meluangkan masa di Adventure Zone yang terletak di kawasan Golden Sands Resort. Walaupun berada di bawah pengurusan Shangri-La, kawasan indoor playground Adventure Zone ini sebenarnya terbuka untuk orang ramai, walaupun mereka bukan tetamu di resort ini.

Kawasan Adventure Zone ini sebenarnya tidak besar, namun, permainan yang disediakan menarik dan sesuai untuk pelbagai peringkat umur. Walaupun ini bukanlah pertama kali kami ke sini, anak-anak kami tetap tidak jemu bermain di sini. Jika adik-adik lebih suka menghabiskan masa mengexplore kawasan dan bermain rainbow slide, kakak-kakak pula berulang kali bermain drop slide yang lebih mencabar.

Adventure Zone menawarkan peluang untuk anak-anak bermain di indoor playground dalam persekitaran yang selesa dan selamat. Malahan, terdapat staf yang sentiasa bertugas di kawasan slide untuk memastikan perlanggaran tidak berlaku semasa kanak-kanak menuruni gelongsor. Walaubagaimanapun, kanak-kanak masih perlu ditemani orang dewasa untuk bermain di sini.

Jika anda ingin membawa anak-anak ke sini, pastikan mereka memakai stokin dan baju berlengan panjang. Pakaian berlengan panjang diwajibkan untuk sesetengah permainan di sini. Adventure Zone dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam. Bayaran masuk adalah RM35 untuk 2 jam. Namun, untuk tetamu resort, bayaran yang dikenakan adalah RM24 untuk 2 jam atau RM48 untuk separuh hari.


Aktiviti best di Pulau Pinang untuk anak-anak
Wee! Bermain bersama-sama di Adventure Zone.


Lain-lain

Sebenarnya masih terlalu banyak tarikan yang menarik buat anak-anak di Pulau Pinang. Sebagai sebuah destinasi percutian keluarga, sudah tentu kanak-kanak adalah tetamu penting di Pulau Mutiara ini. Di sini disenaraikan beberapa lagi tarikan menarik yang boleh dijadikan pilihan semasa percutian keluarga bersama anak-anak di Pulau Pinang.


i. Muzium

Di Pulau Pinang, terdapat banyak muzium yang mengetengahkan pelbagai konsep, sesuai untuk citarasa berbeza para pelancong. Muzium Gohkaki umpamanya memberi peluang anda memperkenalkan pelbagai permainan yang pernah menjadi kegemaran kanak-kanak di Malaysia sebelum bermulanya era digital. Sudah tentu muzium begini mampu mengembalikan nostalgia dan dalam masa yang sama, kanak-kanak lebih menghargai keseronokan permainan-permainan tanpa gajet ini.

Jika anak-anak gemar bermain teddy bear, apa kata anda raikan minat mereka dengan ke Muzium TeddyVille? TeddyVille adalah sebuah muzium bertemakan teddy bear yang terletak di hotel DoubleTree by Hiltom, Batu Ferringhi. Koleksi teddy bear comel pelbagai saiz di sini pastinya mampu membuatkan anak-anak terpesona di samping anda dapat bersama-sama mengetahui sejarah patung kegemaran kanak-kanak sejak zaman-berzaman ini. Bukan itu sahaja, muzium menarik ini juga menyelitkan sejarah dan kebudayaan negeri Pulau Pinang yang dipersembahkan dalam bentuk patung-patung beruang yang cukup inovatif. Klik di sini untuk diskaun tiket ke TeddyVille Museum, Pulau Pinang.



ii. The Top@KOMTAR

Tahukah anda bahawa bangunan Komtar kini diberikan nafas baru dengan pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk percutian bersama kanak-kanak di pelbagai peringkat usia. Anak-anak boleh mengembara merentasi melihat zaman dinosaur menguasai dunia. Dengan bantuan teknologi animatrics, sebanyak 200 dinosaur 'kembali' menguasai Jurassic Research Centre sekaligus menawarkan pembelajaran interaktif menarik bukan sahaja untuk anak-anak tetapi juga untuk orang dewasa.

Setelah seronok mempelajari mengenai haiwan prasejarah, anak-anak boleh bergembira di Dino Gym - sebuah indoor playground sesuai untuk kanak-kanak aktif berlari, slide, melompat dan memanjat semasa percutian ini.

Untuk anak-anak yang lebih besar, mereka mungkin lebih meminati tarikan seperti Tech Dome yang menawarkan aktiviti sains secara interaktif ataupun 7D Discovery Motion Theater yang membolehkan anda bukan sahaja menonton, malah merasai pengalaman seolah-olah menjadi sebahagian movie yang sedang ditonton.

Selain tarikan-tarikan di atas, terdapat banyak lagi tarikan seperti Ocean Explorer, Magic Mirror Maze, Musical Carousel dan lain-lain yang boleh anda lawati semasa di sini. Di sini juga, anda boleh menikmati pemandangan bird's eye view Pulau Pinang dan berjalan di lantai kaca di Window of the TOP.



iii. Escape

Jika anak-anak mahukan aktiviti yang lebih mencabar, anda boleh memilih untuk meluangkan masa bersama di Escape yang menjanjikan pelbagai aktiviti mencabar semasa percutian anda di Pulau Pinang. Aktiviti-aktiviti yang disediakan sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal pengunjung. 

Aktiviti seperti Monkey Business yang menguji keberanian anda pada ketinggian, Flying Lemur berkonsepkan aktiviti flying fox merentasi kehijauan hutan, Atan's Leap yang memerlukan anda melompat dari ketinggian 13m atau 20m, Gecko Tower yang menguji kemahiran memanjat, Jungle Swinger dan Kite Flyer yang memberi anda peluang berbuai di 'buaian gergasi', Aerobat yang memberi anda peluang beraksi seolah-olah anli akrobatik di pertunjukan circus dan pelbagai lagi aktiviti di sini semestinya menawarkan kelainan semasa percutian anda sekeluarga.

Jika anak-anak lebih sukakan aktiviti di waterpark, Escape juga menyediakan taman tema air sesuai untuk pelbagai peringkat umur. Daripada pengunjung kanak-kanak hingga ke dewasa, mereka yang sekadar ingin bermain air hingga ke mereka yang sukakan cabaran, insya-Allah terdapat aktiviti menarik yang disediakan untuk anda di sini. Jika anda mempunyai masa yang agak panjang semasa percutian, Escape sudah tentu antara tarikan menarik yang perlu dimasukkan ke dalam wishlist destinasi anda.

Jika ingin ke sini, adalah dinasihatkan anda merancang lebih awal. Lebih awal perancangan, lebih murah juga harga tiketnya.











No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...