Pages

Cuti Kuantan yang best: Daytrip Terowong Sungai Lembing

Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Bersedia menjelajahi Terowong Sungai Lembing

Dari Muzium Sungai Lembing, kami terus menuju ke tujuan utama  kami di pekan kecil yang terletak kira-kira 40 km dari bandar Kuantan ini - Terowong Sungai Lembing.

Terletak tidak jauh dari muzium, anda boleh memandu kereta mendaki bukit ke pagar kawasan terowong ini. Tempat meletak kenderaan yang luas disediakan. Walaubagaimanapun, ketika kami tiba, kami melihat kawasan meletak kenderaan tersebut agak lengang. Hanya beberapa buah kenderaan selain sepasukan konvoi penunggang motosikal berkuasa besar yang kelihatan di sana.


Tiket masuk

Seperti juga di muzium, tiket masuk ke Terowong Sungai Lembing boleh dibeli di pintu masuk kawasan perlombongan ini. Bayaran sebanyak RM15 dikenakan untuk pengunjung dewasa (berusia 13 tahun ke atas), manakala kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun, warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dan OKU pula dikenakan bayaran sebanyak RM7.50.

Jika anda bukan warganegara Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah berbeza. Setiap pengunjung dewasa berusia 13 tahun ke atas yang tidak memiliki kad MyKad dikenakan bayaran sebanyak RM30, manakala pengunjung kanak-kanak berusia 6 ke 12 tahun yang tidak mempunyai MyKid dikenakan bayaran sebanyak RM15. Waktu operasi terowong ini adalah dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Pintu masuk ke kawasan Terowong Sungai Lembing


Terowong Sungai Lembing

Terowong Sungai Lembing sebenarnya adalah rangkaian lombong bijih timah bawah tanah terbesar di dunia . Jika kesemua terowong ini disatukan, panjangnya mencecah 322 km, melebihi jarak dari Kuantan ke Kuala Lumpur!

Info: Terdapat 14 buah lombong berlainan di sini dan setiap satunya mempunyai nama tersendiri. Syaf lombong yang terdalam terletak di syaf Myah yang mempunyai kedalaman sehingga 700m. Walaubagaimanapun, daripada segi kedalaman lombong, syaf Myah bukanlah lombong bijih timah terdalam di dunia. Ini adalah kerana, gelaran tersebut dimiliki lombong Dolcoath di Cornwall, United Kingdom dengan kedalaman 1000 m.

Dengan ukuran panjang begini, sudah tentu hanya sebahagian kecil lombong yang dibuka untuk dikunjungi. Perjalanan ke dalam terowong dimulai dengan tren kecil yang menunggu di pintu terowong. Jauh perjalanan dengan tren hanyalah kira-kira 80 m sahaja. Terasa terlalu sekejap, tetapi cukuplah sekadar 'pembukaan kunjungan'. Sekurang-kurangnya dapatlah juga merasa menaiki gerabak antik khas untuk mengangkut galian.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Tren kecil yang akan membawa anda masuk ke Terowong Sungai Lembing

Perjalanan ke dalam terowong seterusnya disambung dengan berjalan kaki sedalam kira-kira 500m. Sebelum ke sini, kami membayangkan perlu melalui lorong bekas perlombongan yang keci. Namun, sangkaan kami meleset sama sekali. Sungguhpun sesetengah kawasan terasa lembab, rata-rata, laluan yang disediakan tidak sempit. Selain itu, lantai dan dinding sepanjang laluan tersebut turut diselenggara dengan baik.

Cahaya lampu yang malap juga disediakan. Tidak terlalu gelap hingga menyebabkan anak-anak ketakutan, dan tidak juga terlalu cerah sehingga menghilangkan perasaan berada di dalam terowong. Information board disediakan sepanjang laluan menceritakan tentang sejarah perlombongan di sini, selain lubang-lubang asal yang dikorek boleh dilihat dikiri kanan laluan.

Apa yang menyebabkan bijih timah sangat berharga suatu ketika dahulu? Dari tahun 1750 hingga 1850, Revolusi Industri di Eropah telah melonjakkan permintaan terhadap logam timah. Dalam bidang pembuatan, timah digunakan untuk menyadur logam lain untuk mencegah proses pengaratan. Sifat toksik timah yang rendah menjadikan timah bahan yang sesuai digunakan sebagai penyadur bekas tin untuk makanan. 
Peperangan yang berlaku pada abad ke-19 meningkatkan lagi permintaan untuk bijih timah. Sehingga tahun 1921, peluru biasa yang digunakan tentera menyebabkan berlakunta tinggalan bahan logam terkumpul di dalam laras senapang. Apabila timah ditambahkan kepada aloi kuprum dan zink yang digunakan untuk membuat katrij peluru, masalah tersebut berjaya diatasi! Ini menyebabkan semakin berkembangnya perusahaan mencari dan melombong bijih timah. 
Kini, timah juga digunakan sebagai pateri, dan merupakan bahan penting yang digunakan dalam pembuatan komputer tablet, telefon pintar dan pelbagai peralatan elektronik. Ipad keluaran Apple menggunakan 1-3 gram timah untuk kesemua 700 titik paterinya.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Di dalam Terowong Sungai Lembing

Jika anda ke sini, pastikan anda meneruskan perjalanan memasuki 'Lubang Sejuta Ringgit'. Di penghujung terowong ke arah lubang ini, anda akan melihat tiga patung 'pelombong' dengan televisyen berada berhampiran. Terdapat butang untuk ditekan yang akan menghidupkan set televisyen tersebut, menceritakan lagenda lubang tersebut dan juga cara-cara perlombongan dilakukan suatu ketika dahulu. Sangat menarik dan informatif!

Lagenda Lubang Sejuta Ringgit berlaku pada tahun 1987, tidak lama selepas lombong ini ditutup. Ketika itu, sekumpulan 20 orang pelombong yang belum dibayar gaji telah mengambil keputusan untuk menjalankan aktiviti perlombongan secara haram di sebalik kegelapan malam. Usaha mereka ini berjaya mengeluarkan bijih timah bernilai antara RM2000 hingga RM3000 setiap malam untuk suatu jangka masa yang lama, sehingga jumlah keseluruhan bijih yang diambil dianggarkan bernilai sekitar RM1,000,000. Bijih timah yang dilombong ini dipercayai dipecahkan dengan tangan di rumah, sebelum dijual di pasaran gelap. Lubang ini telah dilombong sehabis-habisnya sehinggalah struktur dindingnya menjadi tidak selamat. Siapakah sebenarnya pelombong-pelombong ini dan apakah nasib mereka selepas usaha ini masih menjadi misteri hingga kini.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Patung pelombong dan peti telivisyen yang menceritakan Lagenda Lubang Sejuta Ringgit

Bukan sahaja information board disediakan dan laluan asal dipelihara, malah terdapat juga sudut interaktif seperti penerangan bagaimana bagaimana tuil membantu memudahkan kerja-kerja perlombongan di sini. Walaubagaimanapun, kami tidak bernasib baik apabila beberapa bahagian interaktif lain tidak berfungsi. Ini termasuklah kotak simulasi lif 'The Kiew' yang sepatutnya memberi pengalaman membawa pengunjung merentas aras kedalaman lombong - juga tidak berfungsi.

Tahukah anda? Pada tahun 1941, semasa Perang Dunia ke-2, Mr. Vincent Baker, pengurus besar syarikat perlombongan di Sungai Lembing ketika itu membanjirkan lombong-lombong dan memusnahkan kesemua kemudahan dan infrastruktur agar pihak Jepun yang sedang mara tidak dapat menggunakannya dengan senang-lenang.Pam air bawah tanah dipadamkan untuk membiarkan terowong lombong dipenuhi air, manakala stok simpanan bijih timah yang telah diproses dibuang ke dalam terowong paling dalam. Hasilnya, pihak penjajah Jepun hanya mengusahakan lombong kuprum dan bukannya bijih timah di lombong-lombong pinggir Sungai Lembing.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Sudut interaktif menerangkan bagaimana tuil membantu kerja-kerja perlombongan


Sebaik keluar dari terowong, anak-anak excited melihat industrial rail handcar yang berada di landasan pendek. Handcar ini bukan semata-mata dipamerkan, malah pengunjung dapat mencuba mengendalikannya jika mahu. Beberapa kali trial and error sebelum akhirnya mereka berjaya menggerakkan handcar tersebut.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Mencuba handcar di luar terowong

Seperti juga tempat-tempat menarik yang lain, di sini juga disediakan kedai souvenir bagi mereka yang ingin membawa cenderahati pulang. Kedai ini turut menjual minuman dan snek. Namun kami mendapati harga minuman dan snek yang dijual jauh lebih mahal berbanding kedai-kedai di pekan.


Cuti menarik di Kuantan dengan anak-anak
Kedai souvenir ringkas di kawasan Terowong Sungai Lembing

Secara kesuluruhan, kunjungan ke sini menarik dan anak-anak dapat menghargai serba-sedikit sejarah yang dipaparkan sangat teruja menerokai terowong bekas perlombongan ini. Walaubagaimanapun, pengalaman tersebut tentu akan terasa lebih berbaloi jika kesemua bahagian interaktif yang disediakan diselenggara dengan lebih baik. Apapun, tidak dinafikan kunjungan ke sini tetap memberi pengalaman baharu buat kami semua. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan