Tempat menarik di Kuala Lumpur - Taman Rama-Rama

Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Taman Rama-Rama Kuala Lumpur

Setelah beberapa kali tertangguh dan terhalang, alhamdulillah akhirnya dapat juga kami membawa anak-anak bersiar-siar di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur. Walaupun sebenarnya tempat menarik ini terletak tidak jauh dari rumah, namun kami tidak pernah berkesempatan membawa anak-anak ke sini.


1. Waktu operasi

Pagi-pagi lagi kesemua anak-anak sudah bersiap. Walaupun dekat, kami berharap untuk berada di sana sebelum cahaya matahari menjadi terik. Ketika sampai, tidak ramai pengunjung yang ada walaupun ketika itu hujung minggu. Terletak di Taman Tasik Perdana, taman rama-rama ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.


2. Harga tiket

Sesampainya di sini, terus sahaja kami menuju ke kaunter untuk urusan pembelian tiket. Harga masuk adalah berbeza untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara. Untuk warganegara Malaysia. harga tiket adalah RM11 untuk pengunjung dewasa dan RM6 untuk pengunjung kanak-kanak berusia 2 ke 11 tahun. Untuk pengunjung bukan warganegara pula, bayaran yang dikenakan adalah RM24 untuk dewasa dan RM 13 untuk kanak-kanak. Kanak-kanak di bawah 2 tahun tidak dikenakan bayaran.

Bukan itu sahaja, khas untuk warganegara Malaysia, anda juga boleh memilih untuk membeli pakej keluarga untuk 2 dewasa dan 3 kanak-kanak pada harga hanya RM34. Oleh itu, jangan lupa untuk membawa MyKad dan MyKid anda kerana petugas di kaunter akan memintanya untuk mendapatkan harga istimewa ini.


Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Di hadapan pintu masuk Taman Rama-Rama Kuala Lumpur


3. Apa ada di Taman Rama-Rama Kuala Lumpur?

Tanpa membuang masa, terus sahaja kami menuju ke pintu masuk taman berkeluasan 80,000 kaki persegi ini. Walaupun taman ini dikatakan taman rama-rama terbesar di dunia, bagi kami saiznya adalah just nice untuk membawa anak-anak bersiar-siar, tidak terlalu besar dan dalam masa yang sama tidak terlalu kecil juga.

Menempatkan kira-kira 5,000 rama-rama, taman ini dibina dengan lanskap tanam-tanaman dan flora menarik lengkap dengan fountain, kolam ikan koi dan kolam freshwater turle. Jika anda mahu, anda boleh membeli makanan ikan di kaunter tiket untuk diberi pada ikan-ikan koi yang jinak. Makanan ikan hanya dijual di kaunter tiket. Oleh itu, pastikan anda membelinya semasa membeli tiket jika ingin memberi makanan kepada ikan-ikan ini. Selain itu, terdapat juga pondok-pondok kecil untuk pengunjung berehat sambil menikmati pemandangan taman yang menarik.

Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Ikan-ikan koi yang sangat jinak


Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Antara pondok kecil yang disediakan di taman rama-rama ini


Si beberapa spot di sini terdapat kuntum-kuntum bunga yang disembur larutan madu sebagai makanan tambahan rama-rama (jika berlaku kekurangan manisan dari bunga hidup). Hmmm... rupanya bukan manusia sahaja, malah rama-rama pun memerlukan food supplement!


Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Kuntum-kuntum bunga sebagai 'food supplement' rama-rama

Jika anda melihat di celah-celah rimbunan pokok, anda mungkin turut berpeluang melihat ulat beluncas dan kepompong yang menjadi komponen penting dalam kitaran hidup rama-rama. Ketika di sini, barulah kami mengetahui bahawa bergantung kepada spesis, rata-rata jangka hayat rama-rama dewasa tidak lama. Spesis rama-rama yang biasa dilihat di halaman rumah atau di taman-taman bunga hanya mempunyai jangka hayat kira-kira selama satu ke dua minggu. Tiada satu spesis rama-rama pun yang mempunyai jangka hayat lebih dari setahun.


Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Ulat beluncas di celahan daun



4. Galeri rama-rama dan serangga

Setelah puas bersiar-siar di taman, kami ke galeri rama-rama dan serangga yang terletak di laluan keluar taman ini. Walaupun tidaklah begitu besar, anak-anak kami tetap excited melihat kepelbagaian spesis rama-rama dari negara lain yang dipamerkan. Tak kurang juga, serangga-serangga lain yang menarik, terutamanya leaf dan stick insect yang pakar 'menyamar' bersesuaian dengan persekitaran habitat mereka. Subhanallah.... sangat mengagumkan.


Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Terdapat dua leaf insect di dalam gambar ini. Bolehkah anda mencari insect ini?

Taman Rama-Rama Kuala Lumpur
Bukan kayu, tetapi stick insect

Selain serangga-serangga yang mengagumkan ini, di galeri ini juga terdapat info-info menarik. Contohnya, salah satu info menerangkan perbezaan antara rama-rama dan kupu-kupu. Jika sebelum ini kebiasaannya saya menyangka rama-rama merujuk kepada serangga jenis ini yang lebih cantik berbanding kupu-kupu, rupa-rupanya pengetahuan saya amat cetek.

Berikut adalah penerangan yang kami perolehi di taman rama-rama ini.

Sekali imbas, kupu-kupu dan rama-rama kelihatan hampir serupa, namun, terdapat perbezaan di antara kedua-duanya itu. Sungguhpun begitu, perbezaan ini adalah merupakan perbezaan secara am dan akan wujud pengecualian untuk kes-kes tertentu.
  • Kupu-kupu biasanya berehat dengan keadaan sayap yang tertentu, iaitu kedua-dua pasang sayapnya bertemu, manakala rama-rama pula berehat dengan keadaan kedua-dua pasang sayapnya terbuka.
  • Kebanyakan kupu-kupu mempunyai sesungut yang membulat pada hujungnya (seperti struktur jarum peniti) manakala sesungut rama-rama pula biasanya lurus dan berbulu-bulu.
  • Kupu-kupu terbang pada waktu malam manakala rama-rama biasanya terbang pada waktu siang. Namun begitu, ada juga rama-rama yang didapati terbang pada waktu malam.
  • Beluncas kupu-kupu begitu cerewet dalam memilih tumbuhan pemakanannya manakala beluncas rama-rama biasanya mempunyai tumbuhan pemakanan yang banyak variatinya.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga ilmu baharu yang kami perolehi semasa lawatan ini. Di penghujung galeri ini, seperti kebiasaan, terdapat kedai yang menjual barangan cenderahati untuk dibawa pulang. Namun, untuk anak-anak kami, bukan cenderahati yang menarik perhatian mereka, tetapi aiskrim yang dijual di sudut kedai sebagai penghilang dahaga di akhir lawatan!

Oh, jika anda masih tercari-cari di manakah leaf insect di dalam gambar di atas, anda bolehlah melihat jawapannya di bawah...


Taman Rama-Rama Kuala Lumpur






                                                       

2 ulasan: