Cuti best di Miri - Gua Niah yang awesome!

Cuti best di Miri
Bersemangat memulakan penerokaan

Setelah sekian lama bercita-cita untuk ke Gua Niah, alhamdulillah akhirnya tercapai juga hasrat untuk meneroka gua terbesar dan tertua di Malaysia ini. Bukan sahaja merupakan gua terbesar di Malaysia, malahan Gua Niah juga adalah antara gua batu kapur terbesar di dunia. Ditambah dengan penemuan bukti kewujudan manusia seawal 40,000 tahun dahulu, bagi kami, penerokaan Gua Niah memberi peluang bersama-sama menghayati keindahan dan kehebatan ciptaan-Nya. 

Selesai bersarapan di bandaraya Miri, terus sahaja kami bertolak menaiki kereta sewa menuju ke Taman Negara Niah. Perjalanan kami ke headquarters Taman Negara Niah mengambil masa lebih kurang dua jam. Walaupun perjalanan ke sini lancar, sedikit urusan yang perlu diselesaikan di awal pagi menyebabkan kami tiba sedikit lewat daripada rancangan asal.


Tiket Masuk

Selepas mendaftar dan membayar harga tiket masuk, kami mengambil bagpack yang telah  disediakan sebagai preparation untuk penerokaan ini. Harga tiket ke sini berbeza antara warganegara dan bukan warganegara. Untuk warganegara, tiket dewasa (18 ke 59 tahun) berharga RM10, kanak-kanak (6 ke 17 tahun) berharga RM3, manakala tiket OKU berusia 6 ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas kedua-duanya berharga RM5. Untuk bukan warganegara pula, pengunjung dewasa (18 ke 59 tahun) dikenakan caj RM20, kanak-kanak (6 ke 17 tahun) dikenakan caj RM7, manakala OKU berusia 6 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas dikenakan caj RM20.


Tiket masuk dijual di headquarters Taman Negara Niah


Penginapan

Walaupun kami tidak menginap di sini, kami melihat terdapat kemudahan chalet disediakan di kawasan headquarters untuk pengunjung yang lebih suka bermalam dan ingin meluangkan lebih masa di Taman Negara Niah. Jika anda berminat untuk bermalam di Taman Negara Niah, tempahan boleh dilakukan terus di laman web rasmi mereka di sini.


Penerokaan bermula...

Berbalik kepada penerokaan Gua Niah, setelah membeli tiket, kami berjalan ke sebatang sungai kecil yang terletak tidak jauh dari headquarters Taman Negara Niah. Terdapat bot disediakan untuk menyeberangi sungai tersebut dengan kadar bayaran RM1 seorang. Bayaran ini perlu dibuat terus kepada pengendali bot dan tidak termasuk di dalam harga tiket yang dibeli di headquarters sebentar tadi.


Cuti best di Miri
Di dalam bot merentasi sungai


Setibanya kami di seberang sungai, kami agak excited melihat terdapat Muzium Arkeologi Gua Niah didirikan di sini. Pada fikiran kami, bolehlah kami mengetahui sedikit-sebanyak informasi mengenai taman negara ini sebelum memulakan penerokaan. Malangnya, muzium tersebut ditutup  ketika itu untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Tak apa, bukan rezeki kami. Memandangkan muzium tidak dibuka, anak-anak mengajak untuk langsung meneruskan perjalanan menuju ke pintu Gua Niah.


Muzium Arkeologi Gua Niah


Untuk ke Gua Niah, pengunjung perlu berjalan di atas plankwalk melalui kawasan hutan yang menghijau. Perjalanan ke pintu Gua Niah adalah sejauh kira-kira 3km, namun tidaklah begitu sukar memandangkan laluan yang disediakan adalah mendatar. Di sepanjang perjalanan, sambil menghirup udara segar, kami mengambil kesempatan menghayati keindahan flora dan fauna di kiri kanan laluan. 


Permulaan perjalanan sebelu laluan bertukar kepada plankwalk

Cuti best di Miri
Antara tumbuhan menarik di sepanjang laluan ke pintu Gua Niah

Sebelum tiba di pintu gua, terdapat kawasan rehat disediakan di mana kami melihat terdapat wanita tempatan berbangsa Iban menjual air minuman dan hasil kraftangan. Kawasan ini boleh dikatakan umpama R&R di tengah-tengah hutan. Kami diberitahu bahawa terdapat laluan ke rumah panjang yang boleh dilawati tidak jauh dari kawasan 'R&R' ini. Walaupun terdetik juga rasa ingin ke sana, memikirkan kami sudah behind schedule dan perjalanan juga masih jauh, kami terpaksa membatalkan hasrat membawa anak-anak ke rumah panjang tersebut.  

Jika ke sini, anda tidak perlu risau tentang cuaca panas memandangkan pokok-pokok hutan membentuk kanopi yang melindungi pengunjung daripada terik matahari. Kami langsung tidak merasa bahang sungguhpun cuaca sudah panas di permulaan perjalanan. Walaubagaimanapun, cuaca panas tersebut bertukar menjadi hujan dengan cepat. Hujan yang turun agak lebat walaupun tidak berlarutan. Mujurlah kami telah bersedia dengan baju hujan untuk anak-anak. 

Bagaimana dengan nyamuk? Sejujurnya, kami tidak menghadapi masalah serangan nyamuk sepanjang penerokaan ini. Walaupun membawa mosquito repellant, mungkin kerana excited untuk memulakan penerokaan, kami langsung terlupa untuk mengenakannya. Namun, alhamdulillah, tiada anak-anak yang mengadu gatal akibat gigitan nyamuk sepanjang perjalanan ini. 


Berhenti rehat di 'R&R' Taman Negara Niah


Gua Dagang

Di pintu masuk gua, trek mendatar sebentar tadi bertukar menjadi anak-anak tangga, menandakan bermulanya pengalaman trekking yang lebih mencabar. 

Gua pertama yang akan anda jumpai jika ke sini ialah Gua Dagang. Nama Gua Dagang diberikan berdasarkan kegiatan perdagangan sarang burung antara pemungut sarang burung dan peniaga dari pekan. Di sini, anda akan dapat melihat tinggalan pondok tidak beratap yang diperbuat daripada kayu belian. Tinggalan pondok yang masih kukuh ini digunakan oleh pemungut sarang burung pada musim menjolok sarang burung sehingga akhir tahun 1970-an.


Cuti best di Miri
Bermulanya laluan bertangga


Cuti best di Miri
Gua Dagang adalah gua pertama yang akan dijumpai di Gua Niah


Cuti best di Miri
Tinggalan pondok yang masih kukuh hingga kini

Great Cave 

Selepas Gua Dagang, penerokaan seterusnya akan membawa anda ke Great Cave. Sampai sahaja di Great Cave, anak-anak kami terus mengecam pemandangan gua ini. Pemandangan di sini sangat familiar untuk mereka memandangkan gambar Great Cave biasa mereka lihat dalam buku teks sejarah sekolah. Dengan ketinggian siling gua melebihi 60m dan kelebaran seluas 250m, memang sangat berpadanan nama Great Cave diberikan untuk gua ini.

Di Great Cave, anda akan dapat melihat juntaian batang-batang buluh yang digunakan bagi tujuan mengambil sarang burung. 'Rumah' yang biasa dilihat dalam buku teks sejarah pula bukanlah tinggalan arkeologi, sebaliknya digunakan oleh pihak yang bertanggungjawab memungut sarang burung di sini. 

Disebabkan penerokaan masih jauh, kami hanya berehat sebentar sahaja di sini. Suasana di Gua Dagang dan Great Cave tidak gelap kerana cahaya matahari masih boleh sampai ke kedua-dua gua ini. Walaubagaimanapun, kami boleh lihat laluan selepas Great Cave yang gelap gelita. Tiada lampu disediakan di sepanjang trek. Disebabkan itu, kami melihat sebahagian pengunjung yang tidak membawa bersama lampu suluh mengambil keputusan untuk menamatkan penerokaan mereka di Great Cave dan berpatah balik mengikut laluan asal.


Cuti best di Miri
The Great Cave


Gan Kira 

Memandangkan kami memang telah bersedia membawa lampu suluh, kami menyambung penerokaan ke gua seterusnya. Cabaran pertama untuk kami ialah mendaki tangga yang tingginya terasa seperti sayup mata memandang. Sejujurnya, lihat tangga tersebut sahaja sudah membuatkan kami terasa penat, namun masing-masing gagahkan juga langkah. Mujurlah anak-anak sudah agak besar dan mampu mendaki tangga sendiri. Jika ada yang perlu didukung, rasanya mungkin kami terpaksa surrender sahaja. 

Semakin jauh penerokaan, keadaan gua menjadi semakin gelap. Sebahagian plankwalk juga licin, selain banyak laluan naik turun tangga. Setiap langkah perlu lebih berhati-hati menjadikan pace perjalanan kami menjadi lebih perlahan. 


Cuti best di Miri
Tangga yang perlu didaki untuk penerokaan seterusnya


Semakin menghampiri kegelapan, kami memutuskan untuk berjalan dalam barisan yang lebih teratur. Seorang dewasa berjalan paling hadapan dan seorang lagi di bahagian paling belakang. Anak-anak berjalan di tengah-tengah barisan. 'Ketua' yang berada paling hadapan bertugas memberi warning tentang keadaan dalam gua seperti laluan naik atau turun tangga, laluan licin dan sebagainya. Orang yang berada paling belakang pula perlu memastikan anak-anak, terutamanya yang masih di sekolah rendah dan prasekolah supaya aware dan mengikut arahan, selain berusaha mengurangkan rasa takut mereka kerana keadaan yang gelap. Kami langsung tidak mengambil sebarang gambar dalam keadaan begini kerana keutamaan ketika itu sudah tentu perlu diberikan untuk mengawasi anak-anak.

Setelah beberapa ketika melalui kegelapan, kami dapat menghela nafas lega apabila tiba di bahagian yang dianamakan Padang. Di sini, terdapat lubang yang yang membenarkan cahaya matahari menyuluh bahagian dalam gua. Terasa lega, bersyukur dapat melihat cahaya walaupun sebentar. 

Kelegaan tersebut bagaimanapun tidak lama kerana penerokaan kemudiannya membawa kami ke Gan Kira atau Moon Cave di mana pengunjung akan melalui laluan dengan total darkness. Betul-betul gelap, malah lebih gelap daripada laluan sebelumnya.


Berjalan sebelum memasuki kegelapan perut gua


Lubang cahaya di Padang sebelum penerokaan memasuki Gan Kira
(photo: niahnationalpark.my)

Painted Cave 

Setelah beberapa ketika dalam kegelapan, akhirnya kami dapat melihat cahaya di penghujung gua. Laluan plankwalk membawa kami keluar dari gua sebelum sekali lagi merentasi hutan sejauh kira-kira 400m sebelum tiba di Painted Cave. Subhanallah, akhirnya selepas kira-kira dua jam setengah penerokaan bersama anak-anak, tak sabar pula rasanya untuk melihat tinggalan lukisan manusia purba secara live di depan mata. 

Sebaik masuk ke dalam Painted Cave, kami melihat kawasan lukisan purba yang bersejarah ini telah dipagarkan. Ini menjadikan pengunjung tidak dapat melihat tinggalan ini secara dekat. Dengan suasana gua yang agak kelam ditambah pula cuaca di luar yang mendung ketika itu, menjadikan lukisan tersebut tidak begitu jelas kelihatan. Namun begitu, alang-alang sudah sampai ke sini, kami besama-sama meluangkan masa menyuluh dinding gua. Lama juga kami mencari dan alhamdulillah, akhirnya anak-anak berjaya menjumpai sebahagian lukisan purba tersebut. 


Nota: Kawasan di dalam Painted Cave dipagar oleh Muzium Sarawak untuk tujuan konservasi memandangkan lukisan purba ini amat sensitif dan mudah rosak. Selain lukisan purba, keranda berbentuk perahu turut ditemui di sini. Penyelidikan mendapati lukisan gua dan artifak keranda perahu yang ditemui menceritakan kepercayaan masyarakat purba tentang pelayaran mereka yang telah meninggal dunia ke alam barzakh.


Kekal bersemangat untuk meneroka baki 400m ke Painted Cave


Menyuluh lukisan purba di Painted Cave

Mengalas perut di Painted Cave sebelum memulakan perjalanan pulang

Persiapan

Sebelum pulang kami memastikan anak-anak mengalas perut serba-sedikit. Perjalanan pulang perlu melalui laluan yang sama untuk ke sini. Ini bermakna, jika ke sini, untuk pulang anda perlu bersedia melalui jarak, kegelapan dan laluan yang sama seperti ketika datang ke sini. 

Alhamdulillah, persiapan yang kami lakukan sangat membantu penerokaan ini walaupun tetap ada yang terlepas pandang. Berikut kami senaraikan persiapan yang kami rasakan boleh anda take into consideration jika merancang untuk membawa anak-anak ke sini.

1. Pakaian yang selesa. Bagi kami, paling penting ialah kasut  yang sesuai memandangkan sebahagian laluan agak licin.

2. Air minuman dan snek. Satu-satunya kawasan jualan 'R&R' terletak sebelum tiba di gua pertama, iaitu Gua Dagang. Sejujurnya, kami rasakan laluan dari headquarters ke Gua Dagang adalah yang paling santai, manakala bahagian penerokaan yang jauh kebih mencabar bermula dari The Great Cave hingga ke Painted Cave. Kami melihat air minuman yang dijual sebelum tiba di Gua Dagang sangat limited, dan langsung tiada jualan lain sebelum atau selepas itu. Disebabkan itu, jika anda ingin ke Painted Cave terutamanya, bekalan sendiri yang mencukupi sangat penting. Ini adalah untuk memastikan anda sentiasa hydrated dan anak-anak juga kekal bertenaga sepanjang penerokaan.  

3. Baju hujan atau poncho. Ada baiknya anda memeriksa ramalan cuaca sebelum kunjungan ke sini. Alhamdulillah, baju hujan yang kami bawa membantu anak-anak untuk kekal kering. Jika tidak, kami risau anak-anak kesejukan dan tidak selesa. Keadaan begini ditambah pula dengan rasa letih boleh sahaja membuatkan anak-anak kami hilang mood dan berdrama. Bukan itu sahaja, selain digunakan sebagai baju hujan, kami doublekan fungsi disposable poncho yang kami bawa sebagai alas tempat duduk dalam perjalanan pulang. Ini adalah untuk tidak mengotorkan kereta sewa memandangkan baju dan seluar masing-masing telah terpalit lumpur. 


Alhamdulillah, baju hujan dan poncho came in handy

4. Lampu suluh atau headlight. Walaupun ada yang mencadangkan untuk hanya menggunakan lampu telefon bimbit, bagi kami, adalah lebih baik untuk membawa lampu suluh ataupun headlight terutamanya jika anda ingin membawa anak-anak bersama. Semasa penerokaan ini, sekurang-kurangnya, kami masih mampu bertenang dan mengawal anak-anak apabila salah satu lampu suluh yang kami bawa menjunam dari tangan dan terkorban di dalam gua.

5. Sarung tangan. Ini adalah salah satu preparation yang kami terlepas pandang, namun kami rasakan penting jika anda ingin ke sini. Sarung tangan diperlukan untuk memegang railing di dalam gua. Walau dalam kegelapan, dengan bantuan cahaya lampu suluh, kami dapat melihat railing dipenuhi tahi; berkemungkinan tahi kelawar. Memandangkan kami tidak membawa sarung tangan, kami terpaksa juga memegang railing tersebut dengan barehand untuk mengelakkan terjatuh akibat laluan yang licin. Kami memastikan anak-anak tidak menyentuh bahagian badan lain dan masing-masing menyental tangan menggunakan air minuman yang dibawa sebelum mengalas perut. 

6. Mulakan perjalanan awal. Disebabkan sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan, rancangan kami untuk bertolak lebih awal ke sini tidak menjadi kenyataan. Disebabkan itu, kami tidak sempat untuk singgah di rumah panjang dalam perjalanan pulang. Namun alhamdulillah, kami tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami sempat meneroka hingga ke Painted Cave. Dalam perjalanan pulang, kami terserempak dengan kumpulan yang baru tiba di The Great Cave agak terlalu lewat. Disebabakan lewat, mereka terpaksa membatalkan hasrat ke Painted Cave kerana risau tidak sempat pulang ke headquarters sebelum hari beransur gelap. 




Bestnya cuti di Miri!

Cuti best di Miri
Kuda laut merupakan ikon dan mercu tanda Bandaraya Miri

Bagi anak-anak kami, bumi bertuah Miri sememangnya mempunyai tempat yang istimewa di hati mereka. Kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Pengalaman membesar selama beberapa tahun di sini sudah tentu meninggalkan pelbagai memori selain persahabatan yang kekal terjalin hingga kini.

Walaupun selama enam tahun lebih sejak pulang ke semenanjung kami tidak pernah berkesempatan untuk melawat Miri semula, anak-anak kami terutamanya yang kini sudah di usia remaja masih tidak habis-habis bercerita tentang kenangan mereka di Miri kepada adik-adik yang ketika itu masih terlalu kecil. Kadang-kadang ada juga mereka bertanya bila kami boleh melawat Miri.

Alhamdulillah, Disember 2021, akhirnya kami berpeluang membawa mereka ke bandar yang sentiasa dalam ingatan mereka ini. Untuk kakak-kakak, percutian ini bukan sahaja percutian down memory lane, tetapi juga peluang untuk mereka berkongsi kenangan dengan adik-adik. Sebelum bertolak lagi, mereka sudah mempunyai list tempat-tempat penting bagi mereka suatu ketika dahulu yang kini mereka ingin tunjukkan pula kepada adik-adik - rumah sewa, tadika, sekolah, taman permainan, shopping mall, dan juga tempat santai favourite mereka. On top of list yang dibuat oleh anak-anak, kami juga menambah tempat menarik lain yang tak sempat kami lawati semasa tinggal di Miri kerana kesibukan kerja.

Sudah tentu, perubahan dapat kami lihat berbanding tujuh tahun lepas. Beberapa bahagian di Miri yang dahulunya belum dibangunkan kini mempunyai deretan kedai, hotel dan sebagainya. Di Miri, kami menyewa kereta dari orang perseorangan yang bernama Clement Ting di 019-835 0333. Alhamdulillah, walaupun hanya orang perseorangan, kami mendapati beliau sangat professional dan sangat mudah berurusan. 

Di sini kami kongsikan tempat-tempat menarik yang kami lawati di Miri. Semoga boleh menjadi rujukan berguna jika anda sedang merancang percutian ke bandaraya ini. 


1. The Grand Old Lady

Merupakan salah satu monumen bersejarah terpenting di Sarawak, The Grand Old Lady adalah antara tempat pertama kami membawa anak-anak di bandaraya Miri. Mengapa mercu tanda setinggi 30 meter ini dianggap penting? Ini adalah kerana, tanggal 22 Disember 1910, di sinilah tercatatnya sejarah pengeluaran minyak yang menjadi titik tolak kejayaan industri minyak sehingga berjaya mengubah Miri daripada sebuah perkampungan nelayan menjadi sebuah bandar moden yang dapat kita lihat hari ini. Terletak di atas Bukit Kanada, mercu tanda setinggi 30 meter ini bukan sahaja menjadi pemangkin industri oil and gas di sini, malah juga merupakan telaga minyak pertama yang menggunakan peralatan kabel di negara kita. 

Jika ke sini, anda juga boleh membawa anak-anak melawat Muzium Petroleum Miri yang terletak sangat berhampiran The Grand Old Lady. Muzium yang dibina hasil kerjasama Shell Malaysia dan Petronas ini mungkin sangat ringkas jika dibandingkan dengan Petrosains KLCC, namun masih mempunyai tarikan tersendiri. Semasa kami tinggal di Miri tujuh tahun yang lalu, muzium ini adalah tempat wajib anak-anak kami membawa sepupu-sepupu yang bertandang ke Miri. Walaubagaimanapun, kali ini, kami tidak begitu bernasib baik apabila hajat untuk ke tempat wajib ini tidak kesampaian kerana muzium ini ditutup sempena cuti perayaan Krismas.

Walaupun tidak dapat ke Muzium Petroleum Miri, alang-alang sudah berada di atas Bukit Kanada, kami tetap meluangkan masa sebentar bersiar-siar di belakang bangunan muzium menikmati panorama Miri dari atas bukit bersejarah ini.


Cuti best di Miri
Di The Grand Old Lady, Miri
  
Cuti best di Miri
Melihat pemandangan indah Bandaraya Miri dari atas Bukit Kanada


2. Taman Awam Miri

Setelah menikmati pemandangan indah Bandaraya Miri, kami membawa anak-anak menghirup udara segar di Taman Awam yang terletak hanya kira-kira 5 km dari Bukit Kanada. Seperti namanya, taman ini adalah sebuah public park yang terbuka untuk kunjungan warga Miri dan juga pelancong beriadah atau sekadar bersiar-siar menikmati lanskap menarik dan kemudahan yang disediakan.   

Di sini, anda boleh berpiknik, membawa anak-anak berjalan di atas jambatan gantung menikmati pemandangan taman, bermain di taman permainan atau bermain di taman air mini yang sudah tentu menjadi tarikan terutamanya jika anda membawa bersama anak-anak kecil. Namun, sekali lagi anak-anak kami kurang bernasib baik memandangkan ketika kami ke sini, kemudahan seperti taman permainan dan taman air mini masih belum dibuka semula pasca Covid-19. 


Tempat menarik di Miri
Menyeberangi jambatan gantung di Taman Awam Miri

Tempat menarik di Miri
Taman air mini ditutup ketika kami ke sana


Tempat menarik di Miri
Beberapa jenis pokok buah-buahan turut ditanam di sekitar Taman Awam Miri


3. Taman Bulatan

Satu lagi taman rekreasi awam yang menjadi kunjungan kami adalah Taman Bulatan. Walaupun jauh lebih kecil berbanding Taman Awam Miri, khususnya untuk anak-anak kami, taman ini banyak meninggalkan kenangan buat mereka memandangkan lokasi taman yang berdekatan dengan tempat tinggal kami semasa mereka membesar di sini.

Terdapat taman permainan ringkas, selain trek sesuai jika anda ingin berjoging atau berbasikal di waktu pagi ataupun petang. Kawasan parking yang agak luas juga disediakan dan rata-rata kami melihat keseluruhan taman ini bersih dan kemudahan dijaga dengan baik. 


Cuti best di Miri
Meluangkan masa di Taman Bulatan


4. Taman Buaya Miri

Antara to do list wajib ketika merancang untuk ke Miri, sudah tentulah ke Taman Buaya yang terletak di Kuala Baram, kira-kira setengah jam memandu dari Bandaraya Miri. Taman ini sebenarnya bukan sahaja menempatkan pelbagai spesis buaya, tetapi juga berperanan sebagai sebuah mini zoo di mana pengunjung dapat melihat dan berinteraksi dengan haiwan-haiwan lain.

Sesampainya kami di sini, terus sahaja kami mendapatkan tiket masuk yang dijual di kaunter. Jangan lupa untuk membawa penegnalan diri kerana harga tiket berbeza untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara. Untuk warganegara Malaysia, tiket dewasa berharga RM25 berbanding RM40 untuk bukan warganegara, manakala tiket kanak-kanak berusia 3-12 tahun dijual dengan harga RM15 untuk warganegara berbanding RM20 untuk bukan warganegara. 

Update: bermula May 2022, harga tiket ke Taman Buaya Miri adalah RM30 untuk pengunjung berusia 12 tahun ke atas dan RM15 untuk pengunjung kanak-kanak berusia 3 ke 11 tahun

Dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, jika anda ingin membawa anak-anak ke sini, jangan lupa untuk merancang lawatan anda sekitar crocodile feeding show. Tiada bayaran tambahan dikenakan untuk melihat feeding show tersebut, namun anda perlu berada di sana sekitar waktu yang telah ditetapkan iaitu pada pukul 10.30 am, 11.30 am, 3.30 pm dan 4.30 pm. 

Memandangkan kami tiba sekitar feeding time kedua, anak-anak tidak membuang masa untuk terus ke kawasan feeding show yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Anda perlu menaiki platform kayu ke kawasan seperti anjung di atas sangkar buaya. Melalui celah-celah lantai kayu, anda dapat melihat buaya seakan-akan 'bersantai' di bawah anda.  Di depan platform ini, anda dapat melihat ketulan daging digantung di tali sebagai umpan dan diluncurkan merentasi kawasan kolam yang dipenuhi buaya.


Cuti best di Miri
Di atas platform sementara menunggu feeding show bermula


Cuti best di Miri
Aksi salah seekor buaya semasa feeding show

Selesai melihat feeding show tersebut, kami membawa anak-anak bersiar-siar ke kawasan berkeluasan 22 ekar yang juga berperanan sebagai mini zoo ini. Di sini, anak-anak dapat melihat haiwan seperti ular, beruang, monyet, landak, kuda dan pelbagai spesis burung. Terdapat juga makanan haiwan yang dijual dalam pek berharga RM1 jika anak-anak ingin memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sini. 

Selain itu, dengan bayaran tambahan, anda juga berpeluang bergambar sambil memegang buaya kecil atau ular, atau memberi makan kepada buaya menggunakan kayu seperti joran. Kami bagaimanapun tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini semasa di sini.


Cuti best di Miri
Memberi makanan kepada kuda


5. Pantai Tanjung Lobang

Walaupun terdapat beberapa pantai menarik di Miri, kami hanya berkesempatan membawa anak-anak bersiar-siar di Pantai Tanjung Lobang memandangkan lokasinya yang lebih hampir dengan tempat penginapan kami di bandaraya Miri.

Walaupun ketika ke sini hari sudah hampir senja, bukan sahaja pengunjung kelihatan semakin ramai, malahan kawasan di sekitar Pantai Tanjung Lobang juga kelihatan meriah. Kami melihat kawasan pantai ini bersih dan terjaga, selain terdapat banyak gerai makanan yang menawarkan hidangan tempatan dan pengusaha kecil yang menawarkan aktiviti seperti giant bubble. 

Suasana di sini sangat tenang dan santai, dan kebanyakan pengunjung kelihatan ceria meluangkan quality time bersama keluarga dan sahabat-handai. Seperti juga kebanyakan pengunjung lain, kami juga hanya bersiar-siar dan melayan anak-anak bermain di gigi air sambil menikmati deruan ombak dan pemandangan waktu senja yang indah. 


Cuti best di Miri
Bersantai di Pantai Tanjung Lobang


Cuti best di Miri
Bermain giant bubble di tepi pantai


Subhanallah... suasana senja yang sangat cantik di Pantai Tanjung Lobang


6. Piasau Nature Reserve

Dahulu dikenali sebagai Piasau Camp dan merupakan kawasan penempatan untuk staff syarikat Shell, kawasan ini telah digazetkan secara rasminya sebagai sebuah nature reserve oleh kerajaan negeri Sarawak pada bulan Jun 2014. Sehubungan itu, kawasan berkeluasan 229 ekar ini kini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat konservasi dan penyelidikan, malah turut menjadi kawasan perlindungan burung kenyalang dari jenis Oriental Pied Hornbill. 

Selain berperanan sebagai pusat konservasi dan penyelidikan, fasiliti seperti trek jogging dan basikal juga dibangunkan di nature reserve ini sekaligus memberi ruang masyarakat bersama-sama berkongsi keindahan alam semulajadi di sini. 

Ketika ke sini, kami membawa anak-anak ke Piasau Nature Reserve Interpretation Centre, di mana sedikit-sebanyak penerangan diberikan mengenai nature reserve ini dalam bentuk pameran dan video yang menarik. Interpretation Centre ini dibuka dari pukul 9 pagi ke 3 petang dari hari Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi ke 5 petang setiap hujung minggu dan cuti umum. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke sini.

Dalam banyak-banyak penerangan yang diberikan di sini, anak-anak kami sangat tertarik dengan kisah pasangan hornbill di Piasau Nature Reserve yang diberi nama Jimmy dan Faridah yang berakhir dengan tragedi. Jimmy yang pada mulanya dikatakan hampir berputus asa untuk hidup selepas kematian Faridah akibat dibunuh, akhirnya menemui pasangan baharu bernama Juliet. Jimmy seolah-olah mendapat nyawa baharu dan kini sentiasa dilihat terbang bersama Juliet di sekitar nature reserve ini. 

Bagi kami, walaupun ringkas, Piasau Nature Reserve Interpretation Centre berjaya menjadikan informasi yang dipersembahkan menarik dan educational. Melalui kunjungan ke sini barulah kami mengetahui bahawa seperti juga swan, burung kenyalang adalah juga monogamous animal di mana kebiasaannya haiwan ini hanya mempunyai satu pasangan di sepanjang hayat mereka. 


Cuti best di Miri
Bergambar di Piasau Nature Reserve Interpretation Centre


7. Piasau Boat Club

Jika sudah ke Piasau Nature Reserve, apa kata anda bawa anak-anak singgah sebentar ke Piasau Boat Club yang terletak tidak jauh dari Piasau Nature Reserve Interpretation Centre. Jika semasa kami menetap di Miri tujuh tahun yang lalu kelab Piasau Boat Club hanya strictly opened untuk ahli kelab sahaja, ketika percutian kami ke sini, kami mendapati kelab ini sudah boleh diakses oleh non-member. 

Bayaran masuk sebanyak RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 12 ke 17 tahun dikenakan jika anda bukan ahli di sini (kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dikenakan bayaran). Sudah tentu, walaupun kini kelab ini sudah dibuka kepada bukan ahli, kami diberitahu bahawa ahli kelab tetap mempunyai special privilage yang tertentu dalam penggunaan fasiliti dan aktiviti yang disediakan. 

Suasana di Piasau Boat Club sangat tenang. Anda boleh berehat di restoran menghadap pantai sambil membiarkan anak-anak berlari dan bermain di playground menarik yang disediakan. Mungkin sudah menjadi rezeki anak-anak untuk melihat burung kenyalang terbang bebas di habitat, ketika bermain di sini, mereka sangat teruja apabila dua ekor burung kenyalang bukan sahaja terbang rendah malah hinggap tidak jauh dari kawasan mereka sedang bermain. 


Cuti best di Miri
Playground menarik surrounded by nature dan mengahadap laut di Piasau Boat Club


Cuti best di Miri
Sebahagian kawasan playground di Piasau Boat Club


Cuti best di Miri
Burung kenyalang hinggap di kawasan anak-anak bermain


8. Gua Niah

Walaupun pernah menetap di Miri selama kira-kira 3 tahun, disebabkan komitmen kerja, kami langsung tidak pernah berpeluang membawa anak-anak ke Gua Niah yang boleh dikatakan sinonim dengan tarikan penting di Miri. Oleh itu, untuk percutian kali ini, kami pastikan penerokaan Gua Niah menjadi main itinerary untuk anak-anak di sini.

Terletak kira-kira 110km atau lebih kurang dua jam memandu dari bandaraya Miri, Gua Niah merupakan gua terbesar dan tertua di Malaysia dengan sejarah kehadiran manusia seawal zaman Paleolitik, iaitu kira-kira 40 ribu tahun dahulu. 

Gua dengan kawasan dalam berkeluasan kira-kira 3 padang bola sepak ini terdiri daripada beberapa gua dengan nama-nama seperti Trader's Cave, The Great Cave, Gan Kira dan Painted Cave. Kami memilih untuk meneroka hingga ke Painted Cave di mana anak-anak dapat melihat lukisan pada dinding gua hasil tinggalan masyarakat purba. Laluan pergi balik ke Painted Cave adalah kira-kra 10km melalui platform kayu yang disediakan. Walaupun terdapat platform, jika anda merancang untuk ke sini, persediaan yang sesuai sangat diperlukan memandangkan sebahagian laluan di perut gua sangat gelap, dan beberapa kawasan juga agak licin.


Berehat di Painted Cave sebelum memulakan perjalanan pulang


9. Borneo Tropical Rainforest Resort

Atas request anak-anak yang pernah ke sini suatu ketika dahulu, kami meluangkan masa di Borneo Tropical Rainforest Resort semasa dalam perjalanan pulang dari Gua Niah. Terletak kira-kira 39km dari bandaraya Miri, resort dalam alam semulajadi ini menawarkan pakej day trip atau bermalam lengkap dengan pilihan waktu makan secara buffet mengikut kesesuaian pengunjung.

Nota: tiada tempat makan berhampiran dengan resort ini, jadi pastikan anda memilih pakej makan yang bersesuaian jika ingin membawa anak-anak ke sini.

Kami memilih pakej bermalam agar dapat berehat setelah kepenatan meneroka Gua Niah. Mungkin kerana cuti sekolah, kami lihat pengunjung masih ramai malah masih ada yang menunggu untuk check-in walaupun ketika itu hari telah petang. 

Tarikan utama resort ini, terutamanya untuk kanak-kanak sudah tentu mini waterpark dengan water slide yang agak tinggi. Sejujurnya, waterpark di sini agak kecil namun, untuk anak-anak kami sudah cukup menggembirakan. Mungkin bermain di sini dirasakan seperti satu reward terutama setelah gigih trekking hampir 10km di Gua Niah.

Selain waterpark, jika ke sini, anda juga boleh membawa anak-anak mengikuti resort tour dengan menaiki tram. Tour ini akan membawa pengunjung melihat kebun, ladang ternakan dan juga menaiki boat untuk memberi makanan kepada ikan. Jika anak-anak masih bertenaga, beberapa aktiviti tambahan turut ditawarkan dengan bayaran tambahan. 

Namun sejujurnya, semasa kami ke sini, kami perhatikan resort ini kelihatan run down. Beberapa aktiviti berbayar seperti flying fox dan pony ride juga tidak ditawarkan. Kami andaikan ketika itu, resort ini mungkin belum beroperasi secara full swing selepas PKP. Bukan rezeki anak-anak kami untuk melakukan aktiviti-aktiviti itu di sini. Kami mendapat tahu aktiviti-aktiviti tersebut mula diadakan semula tidak lama selepas kunjungan kami.

Oleh itu, jika anda ingin ke sini, mungkin anda boleh menghubungi pihak resort terlebih dahulu untuk memastikan aktiviti-aktiviti yang tersenarai di laman web mereka telah ditawarkan semula. Maklumat lanjut mengenai Borneo Tropical Rainforest Resort boleh didapati di laman web mereka di sini. Pihak resort boleh dihubungi di talian 019-885 8593. Selain itu, tempahan turut terbuka melalui Agoda dan booking.com.


Cuti best di Miri
Borneo Tropical Rainforest Resort


Cuti best di Miri
Waterpark di Borneo Tropical Rainforest Resort


10. Rong Reng 

Ingin souvenir shopping di Miri? Walaupun Miri Handicraft Centre dan Tamu Muhibbah mungkin lebih popular, atas saranan sahabat di Miri, kami memilih untuk ke sebuah kedai bernama Rong Reng yang terletak di Soon Hup Complex, berdekatan dengan Mega Hotel, Miri. Walaupun nama kedai di signboard tertulis sebagai Reng Rong, entah kenapa kedai ini lebih dikenali sebagai Rong Reng di kalangan sahabat-sahabat kami di Miri. 

Mungkin dari luar, Rong Reng kelihatan biasa-biasa sahaja. Namun, pilihan cenderahati yang ditawarkan adalah banyak dan pelbagai dengan harga yang jauh lebih murah dari tempat lain. Malah, kami mendapat tahu bahawa Rong Reng bukan sahaja menjual terus kepada pelanggan, malah mereka turut menjadi pembekal untuk kedai-kedai cenderehati lain di sekitar Miri. 

Mungkin kerana mereka lebih menumpukan kepada bisnes mereka sebagai pembekal, waktu operasi kedai Rong Reng juga sangat singkat, iaitu hanya dari pukul 10 pagi ke 1 petang dari hari Isnin ke Sabtu. Oleh itu, jika anda ingin memborong souvenir di sini, pastikan anda merancang waktu anda sebaiknya.


Cuti best di Miri
Tempat kami memborong souvenir di Miri



Cuti tepi pantai best di Thistle Port Dickson

Hotel menarik di Port Dickson
Berlatarbelakangkan swimming pool di Thistle Port Dickson


November 2021, sekali lagi kami berpeluang berkunjung ke Port Dickson - salah satu tempat percutian paling popular di Malaysia. Kali ini, kami memilih untuk menginap di Thistle Port Dickson, sebuah resort menghadap Selat Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Guoman Resort Port Dickson. Kebetulan pula ketika merancang ke sini, Thistle Port Dickson sedang mengadakan promosi potongan 30% untuk tetamu yang telah lengkap divaksin. Bagai orang mengantuk disorong bantal, terus sahaja kami mengambil peluang untuk menginap di sini.


Check-in

Hanya beberapa jam sebelum bertolak, kami mendapat panggilan telefon dari pihak resort. Eh... pelik pula rasa. Ada apa ya? Sekadar ingin confirm waktu arrival, atau terdapat masalah pada tempahan? Kalau ada masalah, perlu ke kami tangguh atau batalkan percutian ni? Macam-macam dalam fikiran. Anak-anak pula dah excited. Segalanya telah siap, hanya menunggu masa untuk bertolak. Kesian kalau tiba-tiba terpaksa beritahu holiday perlu dicancel

Alhamdulillah, lega kami apabila diberitahu tiada apa-apa masalah pada tempahan yang dibuat. Namun, semakin terkejut apabila diberitahu pihak resort ingin membuat tawaran. Tak pernah pula kami mendapat panggilan seperti ini. Berkali-kali juga kami lihat semula nombor di telefon? Scammer ke?

Kami diberitahu bahawa pihak resort memilih tempahan kami untuk diupgrade ke bilik suite. Betul ke? Mengapa kami? Lagipun kami bukanlah regular guest di Thistle Port Dickson. In fact, ini adalah pertama kali kami menginap di sini.


Hotel best di Port Dickson
Ruangan lobi Thistle Port Dickson

Out of curiosity, kami bertanya sebab tawaran ini dibuat. Jawapan yang diberi sangat simple. Ketika itu, Thistle Port Dickson sedang membuat pilihan bilik untuk diupgrade secara random. Jika bersetuju, bilik kami akan diupgrade free of charge, jika tidak, mereka akan memilih tempahan lain untuk dinaik taraf. Memandangkan tiada bayaran tambahan dikenakan dan pemanggil juga tidak meminta apa-apa maklumat peribadi, kami bersetuju dengan tawaran yang dibuat. 

Sesampainya di sini, sekali lagi kami bertanya untuk memastikan panggilan telefon yang diterima sebentar tadi adalah genuine. Mana taknya, terasa too good to be true pula. Selama ini tak pernah kami terima tawaran begini. Sejujurnya, memang timbul juga rasa ragu-ragu. Namun alhamdulillah, urusan check-in berjalan lancar. Staf di bahagian reception sudah sedia maklum tentang perkara ini. Malah, bilik yang dijanjikan juga telah ready. 


Hotel menarik di Port Dickson
Pemandangan pool dari lobi


Bilik

Masuk sahaja ke bilik, subhanallah... memang cantik dan luas. Tak pernah kami menginap di bilik seperti ini. Alhamdulillah, sudah menjadi rezeki anak-anak. 

Suite penginapan kami mempunyai dua ruangan iaitu ruang tidur dan living room. Kedua-dua ruangan ini dipisahkan oleh pintu, menjadikan unit ini seolah-olah mempunyai dua bilik berasingan. Setiap ruang dilengkapi set televisyen dan tandas, namun bilik mandi (shower room) dan bathtub hanya terdapat di ruang tidur. Bagi kami, menjadi satu kelainan pula apabila melihat bathtub ditempatkan secara terbuka di luar bilik mandi. Tak pernah kami lihat layout begini sebenarnya... atau mungkin ini satu kebiasaan untuk penginapan suite? 


Hotel menarik di Port Dickson
Ruang tidur yang luas

Hotel best di Port Dickson
Shower room


Di bahagian kedua, ruang living room pula dilengkapi set sofa, televisyen, mini bar dan counter bar. Di sinilah kami dan anak-anak meluangkan masa bersama di bilik. Overall, segalanya memang kelihatan sangat cantik dan elegant. 

Memandangkan unit kami berada berhampiran children pool, sangat mudah untuk anak-anak ke kawasan kolam melalui beranda. Walaupun berada dekat dengan pool yang menjadi tumpuan tetamu di sini, privasi di bilik tidak menjadi masalah. Layout bahagian luar bilik menjadikan kawasan di hadapan beranda TIDAK menjadi laluan tetamu lain yang sedang berseronok di kawasan pool.


Hotel menarik di Port Dickson
Ruang living room

Hotel best di Port Dickson
Counter bar di ruangan living room


Makan

Bagi kami, buffet sarapan di Thistle Port Dickson biasa-biasa sahaja. Pilihan hidangan yang ditawarkan tidak mewah, dan rasa makanan juga average. Seperti di kebanyakan hotel lain, gandingan hidangan western seperti roti dan pastry dan makanan tempatan disediakan untuk pilihan tetamu. Alhamdulillah, walaupun tidak mewah, anak-anak tidak cerewet. Apa yang ada cukup buat mereka mengalas perut untuk melakukan aktiviti semasa percutian ini.



Hotel menarik di Port Dickson
Menikmati hidangan di Fresh Restaurant


Aktiviti

1. Swimming pool

Kemana-mana sahaja kami pergi, swimming pool sentiasa menjadi tarikan untuk anak-anak kami, apatah lagi jika ada slide disediakan di pool kanak-kanak. Cukup hanya simple slide membuatkan mereka excited untuk bermain.

Swimming pool di sini dibuka sekitar pukul 8 pagi, namun ditutup sementara pada pukul 12 tengahari. Di sebelah petang pula, pool dibuka semula selama 4 jam bermula dari pukul 3 petang hingga 7 malam. Kami tidak pasti jika ini adalah kebiasaan atau timing begini hanya dilakukan sejak dibuka semula selepas PKP. Kami melihat terdapat dua kawasan slide yang ada di sini. Namun, hanya satu kawasan yang dibuka semasa kunjungan kami. 

Untuk mengelakkan crowd, sebelum pukul 8 pagi lagi, anak-anak kami telah bersedia di tepi pool kanak-kanak menanti waktu dibuka. Alhamdulillah, sempat mereka berseronok di pool slide sebelum lebih ramai pengunjung datang untuk turut bermain. Semasa di sini, kami melihat pool kanak-kanak adalah bahagian pool yang paling cepat dipenuhi tetamu. Apabila tetamu semakin ramai, anak-anak kami beralih untuk berenang di pool dewasa sebelum mengajak kami untuk sambung bermain pula di pantai.


Hotel menarik di Port Dickson
Bermain slide di children pool


2. Main pantai & mandi laut

Tidak seperti kunjungan kami di Avillion dan Grand Lexis, kami lihat pantai di Thistle Port dickson comparatively agak bersih. Disebabkan itu, kami tidak teragak-agak mengiyakan apabila anak-anak mengajak untuk mandi laut. 

Walaupun sentiasa terdapat pengunjung di sepanjang pantai, alhamdulillah, masih ada kawasan yang sesuai untuk anak-anak bermain. Mungkin kerana pantai ini adalah private beach, secara keseluruhan, suasana di pantai tidak begitu crowded. 

Selain mandi di laut, kami melihat pengunjung-pengunjung di sini turut berseronok menaiki banana boat. Walaubagaimanapun, anak-anak kami hanya meluangkan masa bermain pantai dan ombak bersama-sama. Oleh itu, kami tidak pasti berapa bayaran yang dikenakan untuk menaiki banana boat di sini. 


Hotel best di Port Dickson
Seronok bermain di pantai bersama-sama


3. Breakfast by the beach

Sarapan di tepi pantai, menikmati hidangan roti, kuih-muih, cereal, kopi, teh, jus dan buah-buahan yang disediakan di dalam bakul piknik rotan sememangnya menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak kami. Perkelahan bersama keluarga ini sebenarnya adalah sebahagian daripada aktiviti yang ditawarkan oleh pihak resort. Jika berminat untuk menikmati sarapan dalam suasana tepi pantai begini, anda hanya perlu memaklumkan hari dan waktu yang anda kehendaki untuk pihak resort menyediakan bakul piknik lengkap berisi makanan dan juga tikar untuk digunakan. 

Kami memilih waktu yang disarankan staf di sini, iaitu sekitar pukul 9 pagi untuk bersama-sama menikmati perkelahan tepi pantai ini. Kami diberitahu bahawa waktu tersebut lebih sesuai memandangkan kebiasaannya air sudah mula surut, dan dalam waktu yang sama matahari belum terik memancar. 

Sebelum menuju ke pantai, kami ke Fresh Restaurant di mana buffet breakfast disediakan untuk semua tetamu. Di sini, kami diberi bakul picnic yang telah lengkap berisi makanan dan juga tikar untuk dibawa ke pantai. Pihak resort tidak reserve spot untuk tetamu di pantai. Tetamu perlu membawa bakul dan tikar yang disediakan dan memilih sendiri spot yang sesuai untuk keluarga berkelah. Bagi kami, perkara tersebut tidak menjadi masalah memandangkan pantai di sini tidaklah crowded.

 

Hotel menarik di Port Dickson
Breakfast by the beach


Bagaimana pula dengan makanan yang disediakan? Kami melihat makanan yang dibekalkan untuk aktiviti ini adalah sama dengan pilihan makanan yang disediakan untuk buffet. Kami TIDAK memilih sendiri makanan untuk dibawa. Namun begitu, kami berpuas hati dengan apa yang disediakan - sangat generous dengan variety yang memuaskan. Malah makanan tersebut agak banyak untuk kami sekeluarga. Untuk tidak membazir, kami membawa pulang makanan yang berlebih ke bilik untuk dijadikan hidangan tengahari. 

Memandangkan sarapan pagi sudah termasuk dalam pakej penginapan, kami tidak dikenakan sebarang caj tambahan. Ini bermakna, bufet sarapan digantikan dengan breakfast by the beach pada hari kami memilih untuk melakukan aktiviti ini. Kami diberitahu caj tambahan hanya dikenakan jika sarapan tidak termasuk dalam harga penginapan.


4. Melihat sunset

Memandangkan cuaca sangat baik semasa kunjungan kami di sini, kami tidak melepaskan peluang melihat fenomena matahari terbenam yang sentiasa menarik perhatian anak-anak. Kami meluangkan masa sebentar di waktu senja untuk bersiar-siar di tepi pantai sambil bersama-sama melihat matahari seolah-olah tenggelam di tengah-tengah lautan.


Hotel best di Port Dickson
Bersiar-siar di pantai di waktu senja


5. Lain-lain

Beberapa permainan seperti di game arcade disediakan di satu sudut berhampiran swimming pool. Sejujurnya, kami melihat tidak ramai tetamu yang bermain di situ, dan game yang disediakan juga sangat limited dan hanya sesuai untuk kanak-kanak yang masih kecil. Semasa di sini, beberapa kemudahan mesra kanak-kanak yang lain seperti lego room, play room, petting zoo dan giant chess masih belum dibuka semula. 


Hotel best di Port Dickson
Antara permainan di game arcade

Walaupun dari segi kemudahan yang disediakan, bagi kami Thistle Port Dickson belum beroperasi sepenuhnya pasca PKP, anak-anak tetap gembira dengan percutian di sini. Berehat sambil menghirup udara segar di tepi pantai serta keseronokan bermain pasir dan ombak terasa sangat menenangkan terutamanya selepas beberapa ketika berkurung akibat PKP. Bagi kami, Thistle Port Dickson menawarkan keunikan tersendiri, terutamanya dari segi kawasan pantai yang kami rasakan lebih bersih jika dibandingkan dengan resort lain di Port Dickson yang pernah kami kunjungi sebelum ini.

Jika anda merancang untuk ke sini, Thistle Port Dickson terbuka untuk tempahan secara online melalui laman web mereka di sini. Semasa ke sini, kami melakukan direct booking di laman web mereka memandangkan pihak resort sedang mengadakan promosi yang lebih berbaloi. Namun, jangan lupa juga untuk menyemak harga penginapan di Agoda, booking.com dan Expedia untuk memastikan anda mendapat tawaran yang paling berbaloi semasa percutian anda.


Lain-lain yang menarik:

Percutian dalam suasana kampung di Avillion Port Dickson

Percutian keluarga di Grnad Lexis Hotel, Port Dickson