Tempat menarik di Kuching : Sarawak Cultural Village


Percutian keluarga menarik di Kuching
Sarawak Cultural Village

Sudah lama kami berhajat untuk membawa anak-anak ke Sarawak Cultural Village atau Kampung Budaya Sarawak, namun tak pernah kesampaian. Sejak membawa mereka ke Mari-mari Cultural Village di Sabah, memang kami menyimpat hajat untuk ke sini dengan harapan mereka dapat lebih memahami budaya etnik yang pelbagai di Sarawak pula.

Percutian keluarga menarik di Kuching
Di pintu masuk Sarawak Cultural Village
Sarawak Cultural Village terletak di kaki Gunung Santubong, kira-kira 35km dari Kuching. Untuk ke sini, anda boleh menggunakan perkhidmatan shuttle dari Kuching ke Sarawak Cultural Village. Shuttle ini berlepas di depan Hotel Grand Margherita pada waktu-waktu yang telah dijadualkan (klik di sini dan scroll down the page untuk melihat jadual dan kos untuk meggunakan shuttle tersebut). Jika tidak, anda boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi ataupun GrabCar yang telah mula beroperasi di Kuching.

Sarawak Cultural Village dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari. Ketika kami tiba, tempat ini masih belum dibuka. Terlalu awal, tapi tak mengapa. Kami merancang untuk berjalan dan melihat kawasan living museum ini sebelum hari menjadi terlalu panas dan kemudian menyaksikan cultural show yang dijadualkan pada pukul 11.30 pagi (cultural show diadakan sebanyak dua kali setiap hari, iaitu pada pukul 11.30 pagi dan 4 petang). 

Sebaik entrance dibuka, kami orang pertama yang beratur untuk mendapatkan tiket. Tiket masuk ke sini dijual pada harga RM60 untuk orang dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak 6-12 tahun. (Tips: Kami melihat harga online tiket di website mereka lebih murah berbanding walk-in rate. Namun, tiket perlu dibeli secara online beberapa hari sebelum lawatan dan kami pula hanya memutuskan untuk ke sana sehari sebelumnya)

Percutian keluarga menarik di Kuching
Demonstrasi tarian tradisional di Rumah Panjang Orang Iban
Setiap pengunjung berbayar diberikan passport, dan anda boleh mengecop passport anda di setiap rumah yang ada di sana. Passport ini tidak boleh digunakan untuk menebus apa-apa barangan atau makanan yang dijual di sana. Cop-cop ini hanyalah sistem yang digunakan untuk keep-track lawatan anda di perkampungan budaya ini. Sekurang-kurangnya, tidaklah anda terpusing-pusing dan tanpa sedar melawat rumah yang sama!

Kawasan Sarawak Cultural Village agak luas. Terdapat 7 rumah masyarakat etnik utama di Sarawak di perkampungan ini - Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Melanau, Penan, Melayu dan Cina. Di sesetengah rumah, anda mungkin berpeluang melihat tarian tradisional, merasa kuih tradisional (anda perlu membeli kuih tersebut jika ingin merasanya) atau mendapatkan cenderehati untuk di bawa pulang. Tidak seperti di Mari-mari Cultural Village, tiada in-house guide disediakan di sini. Oleh itu, jika anda mempunyai apa-apa soalan, anda boleh bertanyakan kepada 'penduduk' di rumah-rumah tersebut. Jadi, rajin-rajinlah bertanya untuk lebih memahami apa yang dilihat.   

Percutian keluarga menarik di Kuching
Cuba menyumpit di rumah Orang Penan
Ketika di sana, secara kebetulan, kami terserempak dengan beberapa kumpulan yang membawa tour guide masing-masing di beberapa buah rumah. Walaupun kami tidak menyertai mereka, kami terdengar sedikit-sebanyak penjelasan yang diberikan - sememangnya jauh lebih banyak informasi berbanding soalan-soalan kami kepada 'penduduk' perkampungan tersebut. Maklumlah, kadang-kadang, bukanlah malu bertanya, tapi tak tahu apa yang nak ditanya! Secara peribadi, kami merasakan lawatan tersebut akan menjadi lebih educational jika tour guide dapat disediakan (lihat di sini pakej ke Sarawak Cultural Village dan lain-lain tour melalui ejen).

Kami selesai melawat rumah-rumah di sana sebelum cultural show bermula. Memang melegakan apabila berada di dalam dewan yang ber-aircond setelah penat berjalan. Persembahan daripada beberapa kumpulan etnik Sarawak ini sememangnya unik dan menghiburkan. Anak-anak kami amat kagum melihat pahlawan iban yang mengangkat lesung yang besar dan berat hanya menggunakan gigitannya semasa persembahan Ngajat Lesung, lelaki Melanau yang berpusing-pusing di atas tiang yang tinggi dan kehandalan Orang Ulu menggunakan sumpit.

Percutian keluarga menarik di Kuching
Cultural show di Sarawak Cultural Village
Di sebelah dewan ini, anda boleh menjamu selera dengan mencuba pelbagai masakan etnik Sarawak atau anda boleh memilih hidangan-hidangan lain di Damai Central Complex yang terletak berhadapan dengan Sarawak Cultural Village. 

Sememangnya negeri Sarawak menawarkan pelbagai tarikan yang unik buat para pelancong. Namun, disebabkan kekangan masa, kami hanya sempat ke Sarawak Cultural Village dan Kuching Waterfront, selain river cruise di Sungai Sarawak. Jika mempunyai rezeki, kami berharap akan dapat ke negeri bertuah ini lagi untuk meneroka keindahan ciptaan Allah di bumi ini, insya-Allah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan