Jadikan ‘anak mak’ mahukan ayahnya juga



Untuk ibu-ibu: Adakah anak anda hanya mahukan anda? Selagi anda ada berhampiran, semuanya hanya harus dilakukan oleh anda. Hanya anda sahaja yang anak anda mahukan apabila waktu mandi, hanya anda sahaja yang dibenarkan menyuapkan makanan, hanya anda yang tahu memilihkan baju untuknya, hanya anda yang boleh memakaikannya baju, susu yang dibuat oleh anda sahaja yang sedap walaupun orang lain juga menggunakan sukatan yang sama, hanya anda yang dimahukan untuk menemankannya tidur, hanya anda... hanya anda... dan tugasan anda tidak pernah berhenti. Selagi anda ada, baginya, orang lain, termasuk ayahnya sendiri tidak dapat menandingi apa yang anda lakukan dan apa sahaja yang dibuat orang lain tidak sesempurna apa yang anda lakukan untuknya (ada juga sesetengah kanak-kanak yang cuma mahukan ayahnya sahaja dan bukan ibunya. Jika anak anda adalah seorang ‘anak ayah’, tips di sini boleh juga dijadikan panduan kepada pasangan ibu bapa supaya ‘anak ayah’ juga mahukan ibunya).

Bagi kebanyakan anak di sekitar umur 3 ke 4 tahun, keadaan ini adalah sesuatu perkara yang biasa berlaku. Di dalam kebanyakan keluarga, ibu adalah orang yang paling banyak menguruskan anak dan memastikan keperluan asas anak seperti makan, tidur dan mandi dipenuhi sejak anak dilahirkan, jadi, tak hairan jika anak anda menganggap hanya anda yang tahu melakukan apa juga perkara untuknya.

Keadaan ini sedikit sebanyak mungkin membuatkan ibu merasa bangga, dihargai dan diperlukan oleh anak. Tetapi, apabila tiba keadaan di mana ibu dalam keadaan tertekan oleh sesuatu perkara, preference yang ditunjukkan ini kadang-kadang boleh membuatkan ibu berasa rimas dan marah; dan kemudiannya menyesal dengan perasaan sendiri apabila keadaan stress yang dilalui telah mula reda dan ibu semakin boleh berfikir dengan lebih rasional.

Bagaimana pula dengan ayah? Walaupun pasangan anda mungkin tidak pernah mengakuinya, keadaan ini sedikit-sebanyak boleh membuatkan pasangan anda rasa dipinggirkan dan tak dihargai oleh anaknya sendiri. Walaupun anak-anak pada umur ini amat innocent dan bukannya sengaja mahu menyinggung ibu bapa, perasaan seperti ini sebenarnya adalah sesuatu yang amat normal, terutama apabila preference kepada mak ini membuatkan ayah tidak dapat meluangkan masa, bermesra dan merapatkan diri dengan anaknya sendiri.


Tetapi, apa yang perlu diketahui ialah preferance kepada mak pada peringkat umur ini adalah normal, dan kebanyakan mereka, apabila semakin membesar dan mula memasuki tadika, ayah pula menjadi nombor satu – dan kadang-kadang membuatkan ibu pula rasa dipinggirkan.

Walaupun sebagai ibu bapa, perasaan-perasaan begini adalah normal, tetapi sebagai orang dewasa, jangan pula ibu bapa terbawa-bawa dengan perasaan tersebut. Semua ini adalah perkembangan normal yang berlaku pada anak anda pada umur yang berbeza.

Tetapi, untuk mengurangkan stress dan kekecewaan yang mungkin boleh timbul daripada keadaan ini, di bawah adalah beberapa tips yang boleh dilakukan oleh ibu supaya anak masih mahukan ayahnya walaupun ibu mungkin masih nombor satu di dalam senarai pilihan anak.


  1. Percaya dan beri peluang kepada ayah
    Walaupun secara diam-diam anda mungkin merasa gembira dan diperlukan oleh anak anda, jangan biarkan perasaan ini menghalang ayah membuktikan yang dia juga boleh melakukan sesuatu perkara sebaik anda. Selain dari itu, adalah penting untuk anda sendiri percaya yang pasangan anda juga boleh menguruskan anak anda sebaik anda lakukan. Fikiran seperti ‘tak apalah, biar saya sahaja yang buat sebab Ahmad lebih suka macam tu’ atau ‘ini memang kerja orang perempuan, lelaki mana tahu macamana nak buat semua ni’ hanya akan membuatkan anak anda lebih percaya yang hanya anda seorang yang tahu melakukan apa juga perkara untuknya; sekaligus membuatkan anak anda lebih menjadi ‘anak mak’ dan ayah semakin terpinggir.
  2. Kongsi tugasan bersama
    Masa untuk melakukan tugasan menguruskan anak bersama-sama. Mmmmm.... mungkin ramai ibu yang gembira dengan suggestion ini, tetapi perlu ingat yang tugasan yang dimaksudkan di sini membabitkan semua tugasan yang membuatkan anak anda gembira dan juga rimas. Sebagai contoh, sesetengah anak tidak suka waktu mandi, dan jika tersilap langkah, waktu mandi boleh bertukar menjadi satu medan peperangan di rumah. Sebaliknya, kebanyakan anak suka apabila dibacakan buku cerita untuk mereka. Jadi, anda perlu adil di dalam berkongsi tugas ini. Biarkan ayah juga berpeluang membacakan buku untuk anaknya dan anda juga mengambil tugasan memandikan anak. Jangan biarkan ayah cuma mengambil tugas waktu mandi dan anda pula membaca buku cerita. Memandangkan waktu mandi amat tak disukai anak anda, jika ayah hanya mengambil tugas ini, anak anda akan mula mengaitkan tugas dan perkara yang ‘tak best’ dengan ayahnya dan perkara yang ‘best’ dengan ibunya, membuatkannya semakin tidak mahu ayah melakukan apa-apa untuknya.
  3. Biarkan ayah meluangkan masa dengan anak
    Sekali-sekala, tinggalkan anak anda dengan pasangan anda. Beri mereka masa meluangkan masa bersama. Lebih baik jika anda pergi kemana-mana dan tinggalkan sahaja mereka di rumah. Dengan cara ini, sebenarnya anda bukan sahaja memberi mereka masa untuk bersama, tetapi juga memberi anda masa untuk diri anda sendiri. Tetapi ingat, jangan pula menelefon pasangan anda setiap lima minit untuk memeriksa jika semuanya ok. Percayalah, ayah juga mampu menguruskan anak ketika ibu tak ada di rumah.
  4. Bersetuju dengan keputusan ayah (at least di hadapan anak)
    Sebagai pasangan suami isteri, banyak perkara yang kita mungkin tidak sependapat dengan pasangan kita; dan kita juga tidak semestinya perlu bersetuju dengan semua perkara yang berlaku. Tetapi, di hadapan anak-anak, kalau pun terdapat percanggahan pendapat, lebih baik kita bersetuju dahulu dengan keputusan pasangan kita (sekurang-kurangnya selagi anak-anak berada berhampiran), diamkan sahaja pendapat kita yang bercanggahan dengan sesuatu perkara, dan apabila anak-anak sudah tidak berada behampiran dan anda pasti yang mereka tidak mendengar perbualan anda, beritahu pasangan anda tentang pendapat anda pula dan barulah berbincang. Sebagai contoh, jika ayah sudah berkata ‘ya’ terhadap sesuatu perkara, jangan pula anda membantah dan berkata ‘tak’ di hadapan anak anda. Ini adalah kerana, jika anak anda adalah seorang ‘anak mak’, anda adalah segala-galanya untuk anak anda. Jadi, apabila anak anda melihat anda membantah ayahnya, ini akan membuatkannya lebih percaya yang ayahnya tidak sehebat ibu.
  5. Hargai usaha ayah
    Beritahu pasangan anda betapa anda menghargai usahanya untuk sama-sama terlibat menguruskan anak. Jangan biarkan pasangan anda terus merasa terpinggir dan tak dihargai kerana ini boleh membuatkannya rasa berputus asa dalam usahanya membuatkan dirinya juga dimahukan anaknya sendiri.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan