Dah cuti ke Belum dengan anak-anak?

Cuti best di Perak dengan anak-anak
Belum Rainforest Resort (foto: belumrainforestresort.com)

Belum pernah kami sampai ke Belum sebelum ini. Selama ini teringin juga untuk membawa anak-anak bercuti di sini, merasai suasana dikelilingi hutan yang masih terpelihara. Pastinya sangat berbeza dengan kehidupan seharian di kota.

Sudah hendak dijadikan rezeki, ketika masih 'memasang' angan-angan, kami mendapat tahu Belum Rainforest Resort mengadakan promosi untuk pakej penerokaan yang ditawarkan. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, kami tidak melepaskan peluang untuk menempah percutian di Gerik, Perak ini.


Lokasi

Pulau Banding yang terletak di Gerik dan menjadi alamat Belum Rainforest Resort sebenarnya adalah sebuah pulau buatan yang terbentuk dengan terbinanya Empangan Temenggor. Tidak seperti pulau semulajadi, tiada pantai dengan deruan ombak atau pasir putih tempat anak-anak boleh bermain istana pasir di sini.

Bot juga tak diperlukan untuk ke Pulau Banding. Ini memandangkan pulau ini dihubungkan oleh Jambatan Temenggor yang menjadi sebahagian daripada Lebuhraya Timur Barat. Lebuhraya sepanjang 125 km ini menghubungkan Gerik di sebelah Barat dan Jeli di sebelah Timur. Jika anda memandu dari arah Gerik, anda akan melihat pintu masuk ke Belum Rainforest Resort terletak di sebelah kanan selepas melintasi Jambatan Temenggor. Kenderaan 4WD tidak diperlukan untuk ke resort ini.


Check-in

Urusan check-in mudah dan lancar. Kami disambut mesra oleh staf yang bertugas. Tiada welcome drink disediakan, namun suasana alam sekitar ditambah kemesraan setiap staf yang tidak lokek dengan senyuman mengubati rasa penat setelah menempuh perjalanan kira-kira 366 km dari Kuala Lumpur. Sebaik selesai urusan check-in, anak-anak kelihatan tidak sabar-sabar untuk memulakan percutian di sini.


Cuti best di Belum, Perak dengan anak-anak
Kawasan reception tempat menyambut kedatangan tetamu

Bilik

Kami menempah 2 unit bilik jenis Azlanii yang dihubungkan dengan interconnecting door. Bilik jenis ini adalah yang termurah ditawarkan di sini, namun bagi kami lebih daripada cukup sebagai tempat istirahat bersama anak-anak. Katil yang disediakan selesa, dan bilik air juga luas, lengkap dengan tuala, gel mandian dan shampoo. Kedua-dua bilik bersih dan lengkap dengan kemudahan seperti minibar, cerek, daybed dan WiFi. Bagaimana dengan kelajuan WiFi yang disediakan? Sejujurnya, kami kurang pasti tentang itu memandangkan kebanyakan masa kami dihabiskan dengan aktiviti di luar bilik.

Seperkara lagi yang mungkin sebahagian anda ingin tahu ialah TIADA televisyen disediakan di dalam bilik. Walaubagaimanapun, bagi kami, perkara ini adalah major advantage memandangkan kami memang tidak mahu anak-anak banyak meluangkan masa menonton televisyen di sini. Rugi rasanya jika tidak mengambil peluang untuk keluar menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar apabila berada di tempat begini.

Nota: Bilik kami berada di tingkat atas. Jika ada di kalangan ahli keluarga anda yang mempunyai masalah mendaki tangga atau anda ingin membawa stroller, adalah lebih baik jika anda meminta untuk ditempatkan di bilik di tingkat bawah.

Cuti best di Perak dengan anak-anak
Tangga ke bilik di bahagian atas


Satu kekurangan tentang bilik kami ialah view dari bilik tidak menghadap ke arah tasik. Jika anda inginkan view dari bilik yang lebih cantik, anda perlu memilih bilik jenis Chengal dengan pemandangan tasik atau unit chalet pada harga tambahan. Untuk kami, cukuplah sekadar kami membawa anak-anak meluangkan masa di kolam renang dan bersiar-siar di terrace yang turut menawarkan pemandangan Tasik Temenggor yang indah.

Nota: Unit-unit penginapan di Belum Rainforest Resort terbahagi kepada jenis bilik seperti Azlanii, Balau dan Chengal selain chalet seperti Tualang, Pulai dan Meranti. Perbezaan antara bilik dan chalet yang berlainan adalah dari segi keluasan dan pemandangan dari dalam bilik. Dari segi kemudahan pula, hanya bilik jenis Azlanii dan Balau yang TIDAK disediakan kemudahan televisyen. Untuk mereka yang berkunjung dalam jumlah ahli yang ramai, resort ini turut menawarkan penginapan jenis villa dan houseboat untuk sewaan.

Cuti best di Perak dengan anak-anak
Bilik jenis Azlanii di Belum Rainforest Resort


Sarapan & makan malam

Kami menikmati hidangan sarapan di Hornbill Restaurant yang terletak tidak jauh dari bilik penginapan. Pagi-pagi lagi, kami sudah tiba untuk bersarapan sebelum memulakan aktiviti di sini. Bagi kami, breakfast spread di sini biasa-biasa sahaja, tetapi enak dan cukup untuk mengalas perut sebelum memulakan aktiviti yang dirancang.

Selain sarapan, kami juga membawa anak-anak untuk makan malam di sini. Bagi kami, hidangan dinner ala-carte di sini memuaskan dari segi rasa, namun, apa yang penting ialah portion yang diberi banyak dan berbaloi. Maklumlah, anak-anak sudah kelaparan setelah pulang dari trip ke Royal Belum. Alhamdulillah, anak-anak menghabiskan hidangan yang diorder sehingga licin.


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Makan malam di Hornbill Restaurant


Fasiliti

1. Swimming pool

Setiap kali bermalam di hotel, soalan biasa anak-anak kami ialah "ada swimming pool tak kat sana?". Disebabkan itu, kebiasaannya kami cuba juga membawa mereka ke swimming pool walaupun sekejap. Seperti di kebanyakan hotel kini, pool di sini berkonsepkan infinity pool. Saiz kolam tidak terlalu besar dan tidak juga kecil. Bahagian cetek untuk kanak-kanak pula agak limited. Namun apa yang menarik ialah view dari pool yang berhadapan dengan Tasik Temenggor yang luas. Subhanallah, unbeatable!

Disebabkan kami tiba ketika hari sudah petang, kami tidak dapat meluangkan masa yang lama di swimming pool ini. Anak-anak perlu pulang ke bilik untuk berehat sebagai persediaan aktiviti keesokan hari.


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Meluangkan masa di infinity pool di Belum Rainforest Resort


2. Children playroom

Ketika pulang dari jeti selepas seharian di hutan Royal Belum, kami ternampak playroom yang disediakan khas untuk tetamu kanak-kanak meluangkan masa di resort ini. Playroom tersebut tidak besar tetapi kelihatan kemas dan ceria untuk kanak-kanak bermain. Walaubagaimanapun, tiada tetamu yang menggunakan kemudahan ini ketika itu, malah kami mendapati playroom tersebut berkunci.

Kami diberitahu bahawa kami perlu memaklumkan staff di bahagian reception jika ingin membawa anak-anak bermain di situ. Namun, bukan sahaja kami tidak berkesempatan membawa mereka, malah anak-anak juga tidak meminta untuk ke sana memandangkan mereka sudah kepenatan. 


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Playroom di Belum Rainforest Resort


Aktiviti

1. Pakej-pakej penerokaan hutan

Terdapat beberapa pakej kembara yang ditawarkan di Belum Rainforest Resort seperti Night Trekking, Rafflesia Walk, Discover Lower Belum, Temenggor Walk dan Discover Belum. Berikut adalah perincian secara ringkas tentang pakej-pakej yang ditawarkan berdasarkan maklumat yang diberikan kepada kami:


a) Night Trekking
  • Meneroka hutan hujan di Pulau Banding pada waktu malam
  • Minimum peserta diperlukan: 2 orang (tempahan perlu dilakukan selewat-lewatnya pukul 4 petang hari yang dipilih)
  • Tempoh: 1.5 - 2 jam
  • Harga: RM 45 per pax

b) Rafflesia Walk
  • Meneroka hutan hujan di Lower Belum
  • Menjejaki bunga Rafflesia
  • Minimum peserta diperlukan: 2 orang
  • Tempoh: 2.5 - 3 jam
  • Harga: RM150 per pax (harga termasuk boat transfer)

c) Discover Lower Belum
  • Meneroka hutan hujan di Lower Belum
  • Menjejaki bunga Rafflesia
  • Melawat orang asli di Kampung Chuweh
  • Menikmati piknik makan tengahari di Sungai Nam Base Camp Waterfall
  • Minimum peserta diperlukan: 2 orang
  • Tempoh: 4 - 4.5 jam
  • Harga: RM250 per pax (harga termasuk boat transfer dan packed lunch)

d) Temenggor Walk
  • Meneroka hutan hujan di Lower Belum
  • Menjejaki bunga Rafflesia
  • Melawat orang asli di Kampung Chuweh
  • Melihat Salt Lick  di Sira Gajah
  • Menikmati piknik makan tengahari di Sungai Nam Base Camp Waterfall
  • Minimum peserta diperlukan: 2 orang
  • Tempoh: 6 - 7 jam
  • Harga: RM370 per pax (harga termasuk boat transfer dan packed lunch)

e) Discover Belum
  • Meneroka hutan hujan di Royal Belum
  • Menjejaki bunga Rafflesia
  • Melawat orang asli di Kejar Hill
  • Melihat Salt Lick di Jenut Papan
  • Menikmati piknik makan tengahari di air terjun Sungai Ruok
  • Minimum peserta diperlukan: 2 orang (Entry permit diperlukan untuk pakej ini. Salinan IC atau passport perlu diserahkan selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh pakej untuk urusan permit)
  • Tempoh: 6 -7 jam
  • Harga: RM380 per pax (harga termasuk boat transfer dan packed lunch)

Nota: Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun diberi diskaun 30%, manakala kanak-kanak di bawah umur 4 tahun adalah percuma kecuali packed lunch diperlukan.


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Di atas bot sebelum memulakan penerokaan hutan Royal Belum

Banyak pakej yang ditawarkan, kan? Terpulang pada diri masing-masing yang mana menjadi pilihan. Tapi, sebelum membuat pilihan, mungkin anda ingin mengetahui apa perbezaan Pulau Banding, Lower Belum dan Royal Belum.  Bukan ke semua ni tempat yang sama? Kami sendiri pada awalnya keliru dengan semua ini, dan kerana itu kami bertanyakan pada guide yang membawa kami. Ini sedikit sebanyak apa yang kami faham tentang hutan ini.

Hutan Belum-Temenggor merupakan kompleks hutan yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Jika dilihat pada peta di bawah, pulau dalam bulatan merah ialah Pulau Banding di mana terletaknya Belum Rainforest Resort. Ke sebelah utara kawasan ini adalah Royal Belum yang berkongsi sempadan dengan Thailand, manakala ke sebelah selatan pula ialah Hutan Simpan Temenggor atau juga dikenali sebagai Lower Belum.


Cuti best di Gerik, Perak dengan anak-anak
Peta Belum-Temenggor (image: wonderfulmalaysia.com)


Walaupun kedua-dua Royal Belum dan Lower Belum adalah sebahagian daripada kompleks hutan yang sama, sesiapa sahaja yang ingin memasuki kawasan Royal Belum perlu memiliki permit tetapi permit tidak diperlukan jika hanya ingin ke Lower Belum. Disebabkan peraturan ini, hutan Royal Belum dikatakan lebih 'virgin' memandangkan kawasan ini kurang menerima pengunjung berbanding hutan Lower Belum.

Bagi kami, kami memilih pakej Discover Belum untuk percutian bersama anak-anak kali ini. Kenapa Royal Belum? Bukan sahaja kerana hutan Royal Belum relatively lebih terpelihara keasliannya, tetapi juga kerana ketika melakukan tempahan, kebetulan pula Belum Rainforest Resort sedang mengadakan promosi on selected package, sekaligus menjadikan pakej Discover Belum paling berbaloi berbanding pakej-pakej lain.



2. Cruise

a) Houseboat lake cruise

Tak berpeluang menginap di houseboat tapi teringin merasa menaiki rumah di atas air ini? Jangan risau. Anda masih boleh merasa pengalaman menaiki houseboat di sini melalui aktiviti houseboat lake cruise yang ditawarkan. Aktiviti ini mengambil masa kira-kira 2 jam setiap petang dan akan membawa anda ke sekitar Pualu Banding. Sekurang-kurangnya 4 orang peserta diperlukan sebelum houseboat ini 'berlepas'. Maksimum peserta adalah seramai 15 orang. Tour ini bermula pada pukul 5.30 petang setiap hari dan anda perlu memastikan untuk melakukan tempahan selewat-lewatnya pada pukul 3 petang pada tarikh yang dipilih.

Harga: RM100 per pax untuk dewasa dan RM50 per pax untuk kanak-kanak.
  

b) Round island cruise

Jika anda lebih gemarkan cruise di pagi hari, anda boleh menyertai aktiviti round island cruise yang bermula pada pukul 10 setiap pagi dan tambahan waktu pada pukul 3 petang setiap hujung minggu dan cuti umum. Aktiviti selama 45 minit ke 2 jam ini akan membawa anda sekitar Pulau Banding untuk anda menikmati dan menghargai keindahan alam semulajadi. Minimum 2 orang peserta diperlukan. Walaubagaimanapun, berbeza dengan houseboat lake cruise, aktiviti ini membawa anda menaiki speed boat dan bukannya houseboat.

Harga: RM150 per pax



3. Elephant spotting

Jika selama ini kebanyakan kita hanya berpeluang melihat gajah di dalam zoo, di sini pengunjung berpeluang melihat gajah liar yang semestinya bukan di dalam kurungan. Aktiviti elephant spotting yang ditawarkan ini dijalankan di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat dan bermula dari pukul 9 setiap malam. Aktiviti ini memerlukan minimum peserta seramai 4 orang. Perlu diingatkan bahawa memandangkan gajah-gajah di sini adalah hidupan liar, sighting is NOT guaranteed. Walaubagaimanapun, ketika bertanya salah seorang staff, kami diberitahu peluang untuk melihat gajah kebiasaannya adalah tinggi.

Harga: RM30 per pax



4. Lain-lain

Sebenarnya masih banyak aktiviti lain yang disediakan untuk pilihan pengunjung seperti bamboo rafting dan kayak (RM80 per pax), fishing trip (RM900 full day, RM600 half day), fish feeding dan sewaan basikal. Namun, bagi kami, full day tour ke hutan Royal Belum sudah mencukupi untuk mengisi kebanyakan masa di sini. Yang pasti, percutian kami di sini sememangnya memberi pengalaman baharu kerana belum pernah kami membawa anak-anak bercuti di hutan begini!


Jika berminat untuk menginap di Belum Rainforest Resrt, anda boleh melakukan tempahan secara online di laman web mereka dan juga melalui Agoda, booking.com dan Expedia. Jangan lupa untuk menyemak harga dan tawaran di laman-laman ini untuk memastikan anda mendapat deal terbaik semasa percutian nanti.







2 ulasan:

  1. Salam. Anda membawa anak2 bersama trip ni, so saya nak tahu tahap kesukaran nya. Anak umur berapa? Dan mereka ok kah
    ...perjalanan hutan x begitu sukar atau bahaya?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam. Sorry for the late reply. Anak kami yang paling kecil ketika itu berumur 4 tahun 2 bulan dan dia tak mengahadapi masalah mengikuti trip ini. Most of the time, dia berjalan sendiri. Memang ada bahagian di mana anak kami need help seperti ketika melihat bunga rafflesia di kawasan lereng bukit. Namun, guide yang membawa kami sangat cekap dan sentiasa membantu.

      Padam