Discover Belum - penerokaan Royal Belum yang best dengan anak-anak!

Cuti best di Perak bersama anak-anak
Sebuah houseboat menyusuri tasik di Belum-Temenggor

Alhamdulillah, setelah beberapa ketika memasang angan-angan, akhirnya hajat untuk membawa anak-anak meneroka hutan hujan akhirnya tercapai menerusi pakej Discover Belum yang dianjurkan oleh Belum Rainforest Resort. Walaupun sering mendengar tentang keunikan Royal Belum, kami sendiri tidak pernah berkesempatan untuk mengunjungi khazanah negara yang berharga ini.

Royal Belum sebenarnya adalah sebahagian daripada kompleks hutan Belum Temenggor. Seperti yang telah diterangkan sebelum ini di sini, kawasan di sebelah Utara kompleks ini dikenali sebagai Royal Belum, manakala kawasan di bahagian Selatan pula dikenali sebagai Hutan Simpan Temenggor atau Lower Belum.

Luasnyaaa Belum-Temenggor!
Hutan Belum-Temenggor berkeluasan 300,000 hektar, menjadikan keseluruhan kompleks hutan ini empat kali lebih besar daripada Singapura.


Urusan permit

Walaupun berada di dalam kompleks hutan yang sama, permit hanya diperlukan hanya jika anda ingin mengunjungi hutan Royal Belum. Disebabkan kami memilih pakej Discover Belum, iaitu pakej tunggal Belum Rainforest Resort yang membawa pengunjung ke hutan Royal Belum, kami perlu meyerahkan salinan dokumen pengenalan diri selewat-lewatnya seminggu sebelum lawatan. Urusan permit diuruskan sepenuhnya oleh pihak Belum Rainforest Resort. Tanpa permit ini, kami tidak akan dibenarkan meneruskan kunjungan yang dirancang.

Bagaimana jika anda tidak sempat mendapatkan permit? Anda masih boleh memilih daripada pakej-pakej lain yang ditawarkan seperti pakej Temenggor Walk, Discover Lower Belum atau Rafflesia Walk yang menawarkan penerokaan hutan Lower Belum.

Apa bezanya kedua-dua hutan Royal Belum dan Lower Belum? Jika dilihatkan dari segi ekosistem dan kepelbagaian spesis flora dan fauna, yang sebenarnya tiada perbezaan antara kedua-dua hutan ini. Namun begitu, peraturan mengenai permit menjadikan syarat untuk memasuki Royal Belum lebih ketat. Ini menjadikan Royal Belum relatively kurang dikunjungi, sekaligus menjadikan hutan ini lebih 'virgin' dan terpelihara keasliannya berbanding Lower Belum. Wallahualam. 

Buat apa bina empangan luas macam ni?
Idea untuk membina empangan di kompleks hutan Belum-Temenggor sebenarnya adalah projek serampang dua mata hasil buah pemikiran Tun Abdul Razak pada tahun 1974. Selain memberi manfaat menerusi penjanaan kuasa hidroelekrik, projek ini juga merupakan strategi menghapuskan ancaman komunis di Tanah Melayu. Kedudukan bersempadan dengan Thailand menjadikan hutan ini tempat persembunyian gerila komunis ketika itu. Walaubagaimanapun, dengan terbinanya empangan di sini, laluan rahsia pihak komunis tenggelam sekaligus memaksa komunis meninggalkan kawasan ini.


Perjalanan bermula

Sebaik selepas bersarapan, kami terus bersiap untuk ke jeti resort di mana bot telah siap menunggu. Selain daripada kami dan anak-anak, terdapat dua buah keluarga lagi yang turut menyertai pakej Discover Belum pada hari tersebut. Seperti kebetulan pula, kesemua kami datang dari Kuala Lumpur untuk menikmati percutian yang jauh dari hiruk pikuk di bandar!

Setiap kami diberikan life jacket untuk keselamatan. Anak-anak tak sabar untuk memulakan penerokaan ini. Ini adalah kali pertama mereka menyertai aktiviti sebegini. Kami diberi briefing ringkas mengenai program pada hari itu sebelum bot memulakan perjalanan. Bismillah...


Cuti best di Perak bersama anak-anak
Excited untuk memulakan penerokaan

Khazanah yang tak ternilai....
Hutan hujan tropika Belum-Temenggor telah wujud sejak 130 juta tahun dahulu, menjadikannya salah satu hutan hujan tertua di dunia - lebih tua daripada hutan Amazon di Brazil dan Congo di Afrika!


Menjejak bunga Rafflesia

Stop pertama kami adalah di salah satu pulau kecil di tasik ini. Setibanya kami di pulau tersebut, kami perlu mendaki sedikit untuk ke kawasan di mana bunga ini sedang bertunas. Mungkin anda hairan... all the way mendaki hanya untuk melihat tunas bunga? Nasib kami kurang baik kerana pada waktu kunjungan tersebut, tiada bunga Rafflesia yang sedang berkembang. Oleh itu, apa yang kami dapat lihat hanyalah flower bud yang kelihatan seolah-olah kubis berwarna cokelat.

Guide yang membawa kami sebenarnya awal-awal telah memaklumkan kami mengenai perkara ini. Walaupun tidak dapat melihat bunga ini in full bloom, tour ini tetap menarik apabila guide kami banyak berkongsi information mengenai bunga yang unik ini.

Tumbuhan parasit ini tumbuh di atas tumbuhan perumah dan tidak mempunyai akar, daun mahupun batang sendiri. Kesemua spesis Rafflesia yang diketahui adalah ekslusif terdapat di hutan hujan tropika di Asia Tenggara sahaja. Daripada spesis-spesis ini pula, hanya tiga yang boleh dijumpai di kompleks hutan Belum-Temenggor. Tiga spesis ini ialah Rafflesia Azlanii, Rafflesia Cantleyi dan Rafflesia Kerii.

Rafflesia terbesar pernah direkodkan ialah dari spesis Rafflesia Arnoldi yang mencatatkan saiz lebih 1m diameter dan berat kira-kira 10kg. Walaubagaimanapun, Rafflesia Arnoldi TIDAK TERDAPAT di hutan Belum-Temenggor.

Bau busuk yang dikeluarkan setelah bunga Rafflesia berkembang pula sebenarnya berperanan untuk menarik perhatian serangga seperti lalat untuk proses pendebungaan. Memandangkan ketika ke sini bunga Rafflesia yang kami lihat masih diperingkat flower bud, sudah tentu kami tidak dapat mengesan bau busuk yang dikatakan.

Adakah Rafflesia mempunyai kegunaan? Menurut guide yang membawa kami, tunas bunga ini pernah digunakan sebagai ubat tradisional suatu ketika dahulu, terutamanya untuk membantu memulihkan kesihatan wanita selepas bersalin. Malahan, sebahagian orang asli masih menggunakan air rebusan tunas Rafflesia sebagai ramuan ubatan mereka. Namun begitu, keberkesanan amalan ini tidak dapat dipastikan.

Hayat yang hanya sebentar...
Bunga Rafflesia juga dikenali sebagai Bunga Pakma. Bunga Rafflesia mengambil masa selama sembilan bulan untuk pertumbuhan tunas bunga sehingga mekar. Setelah mekar, bunga ini hanya bertahan selama lima ke tujuh hari sahaja sebelum mati.

Cuti best di Perak dengan anak-anak
Site melihat Rafflesia di lereng bukit. Gambar kecil menunjukkan rupa tunas Rafflesia


Melawat perkampungan orang asli

Setelah melihat tunas bunga Rafflesia, kami menaiki bot untuk melawat orang asli di perkampungan mereka. Dari jauh, kami dapat melihat rumah-rumah dibina salah satu pulau buatan yang banyak terdapat di sini. Beberapa orang kanak-kanak sedang mandi sementara beberapa orang wanita sedang mencuci pakaian di pinggir tasik ini.

Kami melihat kanak-kanak orang asli di perkampungan tersebut agak pemalu, walaupun kami pasti mereka sudah biasa melihat orang luar datang melawat. Kebanyakan mereka terus ke dalam rumah apabila melihat kami dan sebahagian lagi hanya mengintai dari celah pintu rumah. Nasib baik juga kami sudah siap membawa sedikit buah tangan. Sekurang-kurangnya kanak-kanak ini kelihatan gembira dan keluar sebentar untuk mengambil buah tangan yang dihulurkan.

Rumah-rumah di sini masih dibina menggunakan buluh dan beratapkan daun. Kami melihat sebuah pondok kecil dengan akar kayu yang dibungkus di dalam beberapa plastik kecil tergantung di dalamnya. Kami diberitahu itu adalah 'kedai' yang menjual hasil hutan yang dikutip untuk pengunjung yang berminat. Memandangkan 'kedai tersebut unattended, kami sempat masuk dan berehat di dalamnya untuk merasa suasana di dalam pondok buluh yang dibina. Siapa sangka, keadaan di dalam pondok tersebut terasa nyaman dan tidak panas walaupun matahari agak terik ketika itu.

Tiada aktiviti menyumpit yang disediakan untuk anak-anak mencuba di kampung ini. Walaubagaimanapun, kami tetap gembira dapat melihat kehidupan dan berkongsi buah tangan dengan kanak-kanak di sini. Melihatkan kehidupan mereka yang sangat simple, kami mengharapkan anak-anak belajar untuk bersyukur dengan apa yang miliki di rumah.


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Dari jauh kelihatan masyarakat Orang Asli menjalankan kehidupan seharian

Cuti best di Perak dengan anak-anak
Menghulurkan sedikit buah tangan untuk dikongsi


Melihat salt lick

Sebelum ke salt lick, kami berhenti makan di sebuah camp base di Sungai Papan. Setiap kami mendapat bungkusan makanan yang mengandungi sandwich ayam, cokelat, pisang dan air. Saiz sandwic agak besar dengan inti ayam yang agak tebal. Anak-anak kami tidak mampu menghabiskan kesemua sandwic dan berkongsi bungkusan walaupun setiap seorang daripada mereka mempunyai bahagian masing-masing.

Salt lick... apa tu?
Salt lick yang dikenali sebagai nira atau jenut dalam Bahasa Melayu merupakan kawasan yang mengandungi simpanan garam galian yang penting untuk nutrisi mamalia tertentu. Tumbuh-tumbuhan di kawasan hutan hujan tropika kebiasaannya mempunyai kandungan mineral yang rendah, terutamanya garam natrium. Oleh itu, sira dikunjungi oleh haiwan herbivor bagi mendapatkan nutrisi yang penting untuk kesihatan dan penghadaman mereka.

Setelah recharge, kami dibawa merentasi jambatan dan ke kawasan di mana terdapatnya salt lick. Kami melihat kawasan tanah dengan beberapa batu di mana haiwan herbivor dikatakan datang untuk mendapatkan 'supplement' yang diperlukan. Sejujurnya, tanpa guide, saya pasti kami tidak akan tahu bahawa peri pentingnya kawasan tersebut. Bagi kami, tanah dan batuan di sana kelihatan lebih kurang sahaja dengan kawasan lain di dalam hutan tersebut. Betullah kata-kata seorang guru suatu ketika dahulu - your eyes do not see what your brain does not know.


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Berehat sebentar sambil menikmati packed lunch

Cuti best di Perak dengan anak-anak
Melalui jambatan untuk melihat salt lick

Apakah peluang untuk melihat hidupan liar di salt lick ini? Sejujurnya, sangat tipis. Kami diberitahu bahawa kawasan tersebut sebenarnya bukanlah lagi kawasan yang aktif. Ini bermaksud, haiwan yang mengunjungi sudah berkurang. Bagaimana mereka mengetahuinya? Kawasan tersebut dipantau oleh camera trap yang dipasang berdekatan. Ketika kami di sana, kesan haiwan yang dapat kami lihat hanyalah najis gajah yang dianggarkan berusia dua minggu. Tiada kesan baru tapak kaki haiwan, apalagi melihat haiwan itu sendiri.

Kegunaan lain salt lick...
Selain daripada salt lick yang terbentuk secara semulajadi, salt lick juga boleh dihasilkan secara tiruan. Salt lick tiruan atau artificial salt lick digunakan dalam aktiviti penyelidikan, pemburuan dan penternakan. Walaubagaimanapun, salt lick di Royal Belum adalah semulajadi dan bukan tiruan.


Mengapa ke kawasan yang tidak lagi aktif? Guide kami menerangkan bahawa kawasan salt lick yang aktif bukan sahaja akan kerap dikunjungi haiwan herbivor, malah akan turut menarik perhatian haiwan pemangsa. Ini memandangkan senang untuk mereka mendapatkan sumber makanan. Kerana itu, atas faktor keselamatan, kami hanya dibawa melihat kawasan yang tidak lagi aktif.


Cuti best di Perak untuk anak-anak
Khusyuk mendengar penerangan guide (anak panah menunjukkan kawasan salt lick)



Air terjun!!!

Kemuncak aktiviti untuk anak-anak kami semestinya peluang untuk mandi di air terjun di hutan hujan tropika Royal Belum. Bukan sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga tak kurang excited untuk ke sini menyejukkan badan di penghujung trip ini.

Masing-masing perlu melalui laluan trekking untuk sampai ke air terjun ini. Persekitaran dikelilingi pokok-pokok yang merimbun membuatkan panas matahari tidak begitu dirasakan. Kami bersama anak kecil mungkin yang paling lambat di dalam kumpulan ini, namun, kami bersyukur mendapat ahli kumpulan yang saling membantu.

Anak-anak sangat gembira sebaik melihat air terjun. Subhanallah, sangat cantik. Air yang mengalir terasa sangat dingin dan kami juga dapat melihat kumpulan ikan berenang-renang di kaki. Memang terlupa penat seharian mengikuti trip ini.

Oh, jika anda ke sini, jangan lupa untuk membawa bersama life jacket yang disediakan di dalam bot. Sebahagian kawasan di sini agak dalam, walaupun untuk orang dewasa. Kami menghabiskan lebih banyak masa di sini berbanding di tempat-tempat lain.

Kami mula bergerak pulang ke bot setelah melihat langit menjadi mendung. Dalam perjalanan pulang menaiki bot, hujan mula turun. Anak-anak kesejukan dan sejujurnya, kami terasa sedikit risau apabila hujan bertukar menjadi lebat. Alhamdulillah, pemandu bot mengendalikan bot dengan cekap dan tenang membawa kami pulang ke jeti dengan selamat.


Cuti best di Perak dengan anak-anak
Highlight of the trip untuk anak-anak... Seronok!


Pakej masuk hutan macam ni... sesuai ke untuk anak-anak?

Pada mulanya, kami sendiri agak ragu-ragu untuk menyertai pakej ini. Risau jika si adik yang berusia 4 tahun tidak mampu mengikut jungle trekking, atau mungkin mula meragam memandangkan tempoh pakej dianggarkan agak lama iaitu 6 ke 7 jam.

Namun alhamdulillah, anak-anak kami enjoy keseluruhan pakej ini walaupun ini adalah kali pertama mereka mengikuti trip seumpamanya. Bagi kami, walaupun agak lama, penerokaan ini tidaklah begitu memenatkan.  Laluan jungle trekking tidaklah begitu jauh. Walaupun di sesetengah tempat, kami perlu sedikit mendaki, rata-rata trek yang perlu dilalui tidaklah begitu sukar.


Cuti best di Perak untuk anak-anak
Laluan trek rata-rata tidak sukar

Jikapun ada bahagian yang agak sukar untuk anak-anak, guide yang membawa kami sentiasa sedia membantu. Malah, di sesetengah kawasan yang agak curam, mereka akan mendukung atau menggendong anak kami yang masih kecil. Aktiviti jungle trekking yang diselang-seli dengan boat ride turut membantu memudahkan penerokaan ini untuk anak-anak.

Secara keseluruhan, kami merasakan pakej yang disediakan bukan sahaja sesuai untuk orang dewasa, malah turut membantu kanak-kanak mendekati khazanah alam yang tidak ternilai ini.

Kami mengatur pakej ke Royal Belum ini menerusi hotel penginapan kami iaitu Belum Rainforest Resort. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut tentang pengalaman penginapan kami di hotel ini di sini. Namun, Belum Rainforest Resort bukanlah satu-satu ejen yang menawarkan pakej penerokaan seperti ini. Jika anda tidak mahu menginap di Belum Rainforest Resort, anda masih boleh mengambil pakej ke Royal Belum melalui ejen lain seperti di sini. Malah, ada juga ejen yang menawarkan pakej dengan penginapan di boathouse.






Tiada ulasan:

Catat Komen