Tak lama lagi, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadhan. Sedar tak sedar, satu lagi bulan berpuasa akan kita tempuhi dan pastinya ramai yang tertunggu-tunggu ketibaan bulan yang penuh kemuliaan ini.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, di Malaysia sekurang-kurangnya, ramai yang mengambil kesempatan berbuka puasa dengan menjamu selera di banyak restoran dan hotel-hotel yang membuat pelbagai promosi berbuka puasa.... dan tak kurang juga yang berpusu-pusu ke pasar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Dan bukan itu sahaja, semakin menghampiri Syawal, dengan banyak promosi-promosi raya yang akan dijalankan, Gedung-gedung membeli-belah akan penuh sesak dengan orang ramai yang ingin membuat persiapan raya.
Tetapi, pada tahun ini, Ramadhan mungkin lain sedikit dari tahun-tahun sebelum ini. Kenapa? Kerana ketika kita semua bergembira menyambut bulan mulia ini, dunia juga sedang mngalami satu masalah yang membelenggu seluruh masyarakat dunia. Ya, jangkitan H1N1.
Dalam meniti bulan mulia ini, jangan kita terlupa dengan ancaman virus berbahaya yang telah mengorbankan beribu orang di seluruh dunia. Jangan kita lupakan langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh badan-badan kesihatan dalam kemeriahan menyambut bulan-bulan yang penuh kegembiraan ini. Kebersihan diri perlu dijaga, tutup mulut apabila batuk dan bersin, amalkan teknik membasuh tangan yang betul dan terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil. Pastikan anda tetap menjauhkan anak-anak dari tempat sesak dalam kesibukan dan kemeriahan menyambut Ramadhan. Ingat, anak-anak kecil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi dari jangkitan ini.
Jika boleh, tak perlulah membawa anak-anak ke pasar-pasar Ramadhan, atau berbuka di tempat yang sesak. Cari alternatif untuk membuat persiapan raya... mungkin anda dan pasangan sahaja yang pergi membeli-belah sudah mencukupi dan tinggalkan anak-anak di bawah penjagaan orang dewasa yang dipercayai, atau, mungkin sesetengah ibu bapa memilih untuk membeli pakaian anak-anak menerusi internet sahaja. Apapun penyelesaian anda, pastikan kita tak terleka dari melindungi ana-anak kita dari virus yang membawa maut ini. Tak mengapa jika raya kali ini kurang meriah dari tahun-tahun sebelumnya, insya-Allah jika dipanjangkan umur, tahun depan masih ada. Ingat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan