Anak bertengkar memeningkan anda?
Baru-baru ini saya terbaca satu artikel menarik tentang pertengkaran anak-anak. Kata penulis artikel itu yang telah menerbitkan beberapa buah buku mengenai relationship, parenting dan sebagainya, pertengkaran di antara adik beradik sebenarnya adalah sesuatu yang sihat. Wow, saya sentiasa risau apabila anak anak mula bertengkar, dan kebanyakan masa mereka cuma bertengkar atas sebab-sebab yang kecil... atau kadang-kadang tiada sebab langsung.
Mungkin sesetengah dari kita lebih bernasib baik di mana anak anak kurang bertengkar antara satu sama lain, tetapi ramai juga ibu bapa yang mengatakan anak mereka suka bertengkar atas perkara yang remeh temeh (sekurang-kurangnya pada pandangan ibu bapa). Pentingkah untuk anak anak bertengkar semata-mata mahu menjadi watak hero di dalam televisyen? Atau pentingkah siapa yang duduk di atas kerusi yang terletak di sudut bilik sedangkan ada satu lagi kerusi yang betul-betul serupa dengan kerusi yang direbutkan itu? Pentingkah siapa yang sampai di pintu terlebih dahulu untuk membuka pintu apabila ada tetamu sampai? Mungkin pada kita sebagai ibu bapa perkara-perkara ini tidak penting, tetapi walau apapun yang kita fikir, inilah di antara perkara-perkara remeh yang sentiasa menjadi bahan pertengkaran anak anak kita.
Tetapi, kenapa penulis artikel itu mengatakan pertengkaran adik beradik adalah sesuatu yang sihat? Mmmm.... begini hujahnya. Anak anak sebenarnya perlu bertengkar sebagai jalan untuk mereka belajar bagaimana untuk bertengkar secara baik, dan apabila mereka sudah belajar untuk bertengkar secara baik, barulah mereka akan belajar untuk tidak bertengkar apabila mereka dewasa. Mengelirukan?
Sebenarnya, inilah cara anak anak belajar bertolak-ansur dan berdiplomasi – menerusi pertengkaran. Daripada bertengkar, anak anak akan belajar skil-skil ini yang amat diperlukan apabila dewasa. Tetapi, skil-skil ini bukanlah perkara yang senang dipelajari dan oleh itu anak anda perlukan banyak masa (dan pertengkaran) untuk perlahan-lahan mempelajarinya. Sedangkan di kalangan orang dewasa sendiri masih ramai yang masih perlu belajar bagaimana mahu bertolak-ansur dan berdiplomasi, inikan pula anak anak kecil.
Pertengkaran adik beradik mengajar anak anak kita tentang perkara yang akan membuatkan orang di sekeliling bekerjasama dengan kehendak kita dan sebaliknya. Sebagai contoh, anak anda belajar yang dengan menumbuk abangnya, abangnya tidak akan menolongnya membaiki permainannya yang rosak dan dengan tidak berkongsi permainan, kakaknya juga tidak akan membenarkannya bermain patung-patung Barbienya atau tidak akan membenarkannya masuk ke bilik. Sebaliknya, apabila anak anda mula belajar untuk bertolak-ansur (secara perlahan-lahan, anak anda akan belajar cara untuk membuatkan orang di sekeliling menolongnya dan bermain dengannya) dan belajar meminta dengan baik daripada abangnya, dia akan menyedari abangnya akan menolongnya membaiki permainannya dan dengan mahu berkongsi permainan, kakaknya juga akan mula membenarkannya masuk dan bermain di bilik bersama-sama.
Kenapa anak anak lebih kerap bergaduh sesama adik beradik, tetapi tidak pula dengan kawan-kawan? Penulis di dalam artikel itu menjelaskan, anak anak tahu yang jika mereka memilih untuk bergaduh dengan kawan-kawan, chances are mereka akan diketepikan kawan-kawan. Kawan-kawan akan berkata “aku tak mahu berkawan dengan kau lagi” dan mereka akan kehilangan geng untuk bermain. Tetapi, apabila mereka bergaduh dengan adik beradik, abang dan kakak mereka tiada pilihan melainkan tetap menjadi abang dan kakak mereka, jadi, apabila bersama adik beradik, mereka tidak akan kehilangan satu sama lain dan ini sekaligus mengajar mereka bertolak-ansur, berdiplomasi dan juga memaafkan satu sama lain.
Wah, saya tak pernah terfikir perkara ini sebelum ini. Mungkin selepas ini, bila melihat anak anak bergaduh, saya boleh menjadi lebih tenang dan lihat pergaduhan itu dari satu sudut yang baru. Tak perlu lagi panadol untuk meringankan pening kepala. Biarkan saja mereka belajar sesuatu perkara yang amat penting sebagai persediaan ke alam dewasa.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan