Felda Residence Hot Springs, Sungkai memang best!

Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Felda Residence Hot Springs, Sungkai, Perak

Sungkai? Selalu juga melihat papan tanda ke sini setiap kali melalui lebuhraya PLUS, tapi tak pernah pula kami tahu tentang keunikan tempat ini jika tidak diberitahu sahabat yang rupanya sering menjadikan Sungkai lokasi percutian kegemarannya.

Sejak mengetahui tentang tarikan di sini beberapa tahun yang lepas, berkali-kali kami cuba untuk membawa anak-anak ke sini. Malangnya, jika tidak kerana masa dan situasi yang tidak mengizinkan, kekosongan bilik di Felda Residence Hot Springs turut menjadi penghalang kami ke sini. Memang sangat laku unit-unit penginapan di sini... seperti pisang goreng panas! Memandangkan trip kami kebiasaannya hanya boleh diatur pada hujung minggu dan pada saat akhir, sentiasa kami dapati unit-unit yang ada kesemuanya telah habis ditempah.

Disebabkan itu, kali ini, kami memastikan kami menempah jauh lebih awal, iaitu lebih sebulan sebelum ke sini. Seperti orang mengantuk disorong bantal, kebetulan pula Agoda mengadakan diskaun hingga 40%. Alhamdulillah, tempahan terasa sangat berbaloi.



Lokasi

Felda Residence Hot Springs, Sungkai terletak kira-kira sejam setengah memandu dari Kuala Lumpur. Perjalanan ke sini memberi peluang anak-anak menikmati pemandangan ladang kelapa sawit sebelum melalui penempatan Felda Sungai Klah yang terletak hanya kira-kira sepuluh minit dari Felda Residence Hot Springs.



Check-in

Sebaik tiba, kami terus ke bangunan utama Felda Residence Hot Springs untuk check-in. Alhamdulillah, urusan check-in untuk tempahan yang kami lakukan melalui Agoda mudah dan lancar.

Selesai check-in, kami diberi kunci untuk ke unit penginapan yang ditempah. Memandangkan kami menempah unit berkonsepkan villa, kami perlu memandu ke kawasan penginapan yang terletak on the other side of Felda Residence ini. Untuk tetamu yang menginap di bilik hotel, mereka hanya perlu berjalan ke bilik penginapan memandangkan unit berkonsepkan bilik terletak di dalam kawasan yang sama dengan bangunan utama.


Tempat menarik di Sungkai, Perak untuk anak-anak
Kaunter check-in yang ringkas


Villa di Felda Residence Hot Springs

Terdapat beberapa jenis villa dengan kapasiti berbeza di sini iaitu villa 1 bilik, 2 bilik, 3 bilik dan 6 bilik. Kesemua bilik di unit villa mempunyai attached toilet. Bukan itu sahaja, yang lagi best adalah setiap villa turut mempunyai private jacuzzi sendiri KECUALI villa 6 bilik (Nota: Selain villa 6 bilik, unit bilik hotel atau deluxe room juga TIDAK mempunyai private jacuzzi).

Villa 3 bilik yang kami tempah terasa luas untuk kumpulan kami seramai tujuh orang. Terdapat 3 bilik dengan ensuite bathroom, kawasan dapur dan juga living room. Yang paling menarik untuk anak-anak sudah tentulah private jacuzzi yang terletak di tengah-tengah unit!

Belum sempat meletakkan barang-barang di bilik, masing-masing sudah tidak sabar-sabar untuk berendam. Bagi kami, jacuzzi yang disediakan agak besar dan berfungsi dengan baik. Jacuzzi ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya lima orang dewasa dalam satu-satu masa dengan selesa. Jika anda ingin air di dalam jacuzzi ini ditukar, anda hanya perlu menelefon ke bahagian reception dan segalanya akan dikawal dari sana. Air sedia ada akan dialir keluar sebelum air baharu dari hot spring dimasukkan untuk memenuhi jacuzzi.


Cuti best di Sungkai, Perak untuk anak-anak
Tak sabar untuk berendam

Rata-rata, kemudahan yang disediakan adalah basic namun bersih dan selesa. Setiap bilik tidur dan living hall mempunyai penghawa dingin. Master bedroom dilengkapi katil bersaiz king manakala dua bilik lagi dilengkapi dua katil single. Gel mandian, tea and coffee set, cutlery set, peti sejuk dan televisyen turut disediakan. Cuma kami berpendapat adalah lebih memudahkan jika villa tersebut turut dilengkapi ampaian. 

Walaupun sahabat yang pernah ke sini memberitahu alatan memasak ada disediakan, semasa kami di sini, tiada pinggan mangkuk, periuk, kuali, rice cooker ataupun microwave yang kami lihat di dapur. Nasib baik juga kami sememangnya tidak merancang untuk memasak. Oleh itu, perkara tersebut tidak menjadi masalah. Namun, jika anda merancang untuk memasak, mungkin lebih baik jika anda membawa sendiri perkakas yang diperlukan.


Cuti best di Sungkai, Perak untuk anak-anak
Master bedroom yang luas

Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Salah satu bilik dengan dua single bed

Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Living hall bersambung dengan master bedroom

Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Kawasan dining yang turut memuatkan dapur ringkas

Kami diberitahu bahawa layout unit-unit villa di sini tidak kesemuanya sama. Contohnya, ada unit yang private jacuzzi terletak di tengah-tengah, dan ada juga yang terletak di bahagian belakang villa. Apapun, kesemua jacuzzi di villa adalah private. Walaupun tidak terletak di tengah-tengah villa, jacuzzi yang disediakan tetap tertutup. 

Oh, seperkara lagi yang anda mungkin ingin tahu adalah TIADA WiFi disediakan di villa. Oleh itu, percutian di sini tidak sesuai jika dalam masa yang sama anda perlu melakukan kerja-kerja yang memerlukan internet connection. Just relax and enjoy!

Cuti best dengan anak-anak di Sungkai, Perak
Villa 3 bilik yang menjadi tempat penginapan kami


Sarapan & makan

Kami bersarapan di Meranti Coffee House yang terletak berdekatan dengan bangunan utama tempat check-in dilakukan. Buffet sarapan biasa sahaja, namun cukup buat anak-anak mengalas perut. Pilihan makanan lebih memenuhi selera tempatan. Selesai bersarapan, anak-anak meluangkan masa bermain di playground bersebelahan coffee house sementara kami pula terus menikmati pilihan makanan yang ada.

Bagi kami, makan tidak menjadi masalah di sini. Untuk lunch, anda boleh membeli makanan di gerai di dalam kawasan Hot Spring Sungai Klah yang terletak berdekatan kawasan villa. Terdapat snek, minuman dan pilihan makanan seperti nasi ayam dijual ketika kami di sini. Walaupun pilihan makanan agak limited, apa yang ada cukup selain harga yang dikenakan juga berpatutan. 

Untuk makan malam, sekali lagi kami memilih untuk makan hidangan ala carte di Meranti Coffee House. Selain makanan ala carte, pihak Felda Residence Hot Springs juga menyediakan set steamboat untuk pilihan pengunjung. Jika anda ingin menikmati set steamboat, pastikan anda membuat tempahan lebih awal.  


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Buffet sarapan di Meranti Coffee House

Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Anak-anak bersarapan di pondok berdekatan coffee house sebelum bermain di playground


Kemudahan BBQ

Kawasan khas untuk tetamu mengadakan sesi barbeque turut disediakan di sini. Beberapa barbeque pit disediakan lengkap dengan kerusi dan meja untuk kemudahan tetamu. Jika anda ingin berbaque, anda hanya perlu membawa sendiri alatan yang diperlukan termasuk arang.

Ketika ke sini, kami tidak merancang mengadakan sesi barbeque atau melihat mana-mana tetamu lain menggunakan kemudahan barbeque yang disediakan. Namun, jika anda mempunyai kelapangan, sudah tentu sesi begini sangat seronok jika dapat diadakan bersama keluarga dan anak-anak!


Cuti best di Sungkai, Perak dengan anak-anak
Kawasan khas untuk aktiviti barbeque

Felda Residence Hot Springs, Sungkai kini terbuka untuk tempahan secara online melalui Agoda, booking.com dan Expedia. Jika anda mempunyai apa-apa persoalan, anda juga boleh terus menghubungi pihak Felda Residence Hot Springs di      . 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan