Cuti ringkas ke Ipoh: Daytrip ke Gua Tempurung, Gopeng

Tempat menarik di Ipoh dengan anak-anak
Pemandangan dalam Gua Tempurung yang awesome!

Alang-alang mempunyai urusan di Ipoh, kami cuba mencuri masa untuk membawa anak-anak ke tempat-tempat menarik yang belum pernah kami kunjungi. Hendak membawa anak-anak untuk menjejaki bangunan-bangunan heritage dan melihat street art di sekitar bandar, rasanya anak-anak belum dapat menghargai semua ini memandangkan hanya adik-adik yang bersama dan kakak-kakak yang lebih besar tidak ikut bersama.

Setelah berkira-kira, akhirnya kami membawa mereka ke Gua Tempurung - gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia. Melihatkan anak-anak seronok ketika ke Gua Kelam di Perlis, kami berharap mereka akan tetap enjoy walaupun jumlah ahli rombongan kali ini berkurang daripada biasa.



Lokasi

Gua Tempurung terletak di Gopeng, kira-kira setengah jam memandu dari hotel penginapan kami di Ipoh. Jarak yang tidaklah begitu jauh ini menjadikan gua ini destinasi sesuai untuk daytrip jika anda berada di Ipoh.



Tiket

Tiket masuk boleh dibeli di pintu gua. Terdapat 4 tour yang boleh anda pilih. Dua tour pertama adalah dry tour, manakala tour ketiga dan keempat adalah wet tour di mana peserta akan dibawa sehingga ke underground river. Pastikan anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai jika ingin menyertai wet tour.

Tour ke Gua Tempurung bermula pada pukul 9 pagi setiap hari, dan kemasukan terakhir ke dalam gua yang dibenarkan adalah pada pukul 4 petang. Berikut adalah harga setiap tour yang ditawarkan di Gua Tempurung:

  • Tour 1 
    • Warganegara Malaysia : Dewasa RM8, kanak-kanak dan warga emas RM4
    • Bukan warganegara Malaysia : Dewasa RM20, kanak-kanak dan warga emas RM10 
  • Tour 2  
    • Warganegara Malaysia : Dewasa RM12, kanak-kanak dan warga emas RM6
    • Bukan warganegara Malaysia : Dewasa RM30, kanak-kanak dan warga emas RM15 
  • Tour 3  
    • Warganegara Malaysia : Dewasa RM15, kanak-kanak dan warga emas RM7.50
    • Bukan warganegara Malaysia : Dewasa RM40, kanak-kanak dan warga emas RM20 
  • Tour 4  
    • Warganegara Malaysia : Dewasa RM30, kanak-kanak dan warga emas RM15
    • Bukan warganegara Malaysia : Dewasa RM50, kanak-kanak dan warga emas RM20 

Nota: Harga kanak-kanak adalah untuk pengunjung berusia 6 ke 12 tahun manakala harga warga emas pula adalah untuk pengunjung berusia 60 tahun ke atas.


Cuti best di Ipoh untuk anak-anak
Excited di hadapan pintu gua


Tour mana pilihan anda?

Apa perbezaan keempat-empat tour yang ada? Secara ringkasnya, tour 1 dan tour 2 hanya memerlukan anda berjalan di atas platform yang dibina. Di samping laluan platform dan tangga yang agak mudah, keseluruhan perjalanan tour ini diterangi cahaya lampu yang cukup untuk anda melihat laluan dan keadaan di dalam gua. Perbezaan kedua-dua tour ini hanyalah dari segi jarak penerokaan di mana tempoh jangkaan penerokaan untuk tour 1 adalah selama 40 minit dan tour 2 selama 1 jam.

Tour 3 dan tour 4 adalah pilihan yang lebih mencabar. Perjalanan tour ini dimulai sama sahaja dengan dry tour, namun peserta akan meneruskan penerokaan lebih dalam ke perut gua. Anda akan dibawa ke underground river yang mengalir di dalam gua. Tiada bekalan elektrik pada peringkat ini dan anda akan hanya bergantung kepada headlamp masing-masing. Penerokaan akan dipandu oleh ranger bertugas dan kedua-dua tour ini tidak dibuka semasa musim hujan atas sebab-sebab keselamatan. Beza kedua-dua tour ini? Laluan tour 4 sudah tentu lebih mencabar berbanding tour 3. Tempoh jangkaan penerokaan untuk tour 3 adalah selama 3 jam manakala tour 4 pula adalah 4 jam.

Setiap tour ini mempunyai nama tersendiri. Tour 1 dinamakan Golden Flowstone Tour, Tour 2 dinamakan Top of the World Tour, tour 3 dinamakan Short River Adventure Tour dan tour 4 pula ialah Grand Tour. Kami memilih tour 2 atau Top of the World. Rasanya anak-anak kami terutamanya yang berusia 4 tahun belum bersedia untuk penerokaan di perut gua yang gelap gelita dan lebih mencabar.

Jika anda mempunyai apa-apa persoalan tentang tour yang ditawarkan anda boleh menghubungi pihak pengurusan Gua Tempurung di 014-220 4142.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Platform dan cahaya lampu disediakan sepanjang dry tour


Gua Tempurung yang... WOW!

Selepas mendapatkan tiket, kami terus berjalan masuk ke gua batu kapur ini. Tour 2 atau Top of The World Tour memberi kami peluang untuk ke 6 platform kesemuanya. Penerangan secara ringkas tentang setiap platform ada di sediakan di luar pintu gua. Permulaan penerokaan ke platform pertama, iaitu Entrance Platform adalah sangat mudah.

Sampai sahaja di Entrance Platform, kami cuba mencari batu marmar putih yang dikatakan dapat dilihat di sini. Namun, kami agak kecewa kerana sejujurnya kami sendiri tidak dapat appreciate apa yang dilihat, apalagi untuk bercerita kepada anak-anak. Kami akui ini adalah kelemahan diri kami sendiri dan has nothing to do dengan tarikan di depan mata. Kami tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang struktur di dalam gua dan ilmu yang ada kebanyakannya hanyalah daripada pelajaran Geografi di bangku sekolah. Tanpa guide, kami terasa seolah-olah melihat buku yang penuh dengan ilmu tetapi ditulis dalam bahasa asing yang tak dapat difahami. Empty.

Alhamdulillah, nasib kami agak baik kerana semasa sedang mengagak-agak apa yang dilihat, sekumpulan 20 pengunjung yang ingin memulakan tour 3 tiba di platform yang sama. Mereka mempunyai ranger yang juga bertindak sebagai guide. Ranger tersebut berhenti di setiap platform untuk menyampaikan penerangan dan berkongsi ilmu. Kami bertanya jika kami boleh menyertai mereka hingga ke platform terakhir dan mereka membenarkan without hesitation.

Penerokaan selepas platform pertama memerlukan anda mula mendaki anak tangga yang banyak. Terasa letih juga, namun sangat berbaloi. Di setiap platform, anda akan dihidangkan pemandangan yang sangat memukau... subhanallah! Pembentukan stalagtit dan stalagmit serta keseluruhan gua just WOOOWWW!!! Susah untuk digambarkan dengan kata-kata.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Ranger dan sebahagian peserta yang membenarkan kami mengikuti kumpulan mereka 


Mr. Bat

Setiap platform mempunyai nama sendiri, dan nama-nama ini menerangkan keunikan yang ada. Contohnya, selepas Entrance Platform, anda akan menuju ke platform yang dinamakan Mr. Bat. Kenapa Mr. Bat? Ini adalah kerana kawasan ini merupakan tempat di mana kelawar singgah dari bulan April hingga Jun untuk mengawan. Memandangkan kami ke sini bukan semasa musim mengawan, apa yang kami dapat lihat hanyalah kesan tahi kelawar di lantai dan dinding gua.


Echo-Echo

Seterusnya, platform Echo-Echo adalah personal favourite saya. Saya merasakan platform ini menawarkan pemandangan tercantik di dalam gua ini. Nama Echo-Echo diberikan kerana bunyi gema boleh di dengar paling jelas di sini. Anak-anak kami cuba menjerit untuk mendengar bunyi gema. Walaupun suara mereka tidaklah begitu kuat, kami masih dapat mendengar gema yang dihasilkan. Di sini juga anda boleh melihat kesan tinggalan alatan yang digunakan untuk mengorek bijih timah.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
View dari platform Echo-Echo

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Sebahagian tinggalan alatan aktiviti mengorek bijih timah yang dapat dilihat


Golden Flowstone

Platform Golden Glowstone adalah platform terakhir jika anda memilih untuk menyertai tour 1. Di sini, anda boleh melihat struktur seperti empangan bertingkat, mengingatkan kami struktur di Gua Kelam yang pernah kami kunjungi sebelum ini. Bezanya, 'empangan' di sini lebih besar berbanding 'empangan' di Gua Kelam.

Nota:
Jika anda memilih dry tour, kami menyarankan untuk anda memilih tour 2. Tour 1 terasa sangat sekejap. Walaupun tour 2 memerlukan anda mendaki lebih banyak anak tangga, bagi kami pendakian tersebut adalah berbaloi. Platform seterusnya menawarkan tarikan dan pengalaman berbeza berbanding platform 1 ke platform 3.

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Anak panah menunjukkan struktur empangan bertingkat


Wind Tunnel

Kami meneruskan penerokaan ke Platform Wind Tunnel. Ranger yang membawa kami berhenti sebentar di sini untuk memberi setiap orang peluang menikmati deruan angin yang sejuk. Terasa seperti gua ini dilengkapi penghawa dingin semulajadi pula. Sangat lega dan selesa.


Top of The World

Platform terakhir untuk tour 2 dinamakan Top of The World. Jika anda ke sini, anda akan faham mengapa platform ini dinamakan sedemikian. Berada di ketinggian 125m dan melihat kegelapan di bawah, memang terasa seperti anda berada tinggi di puncak dunia!

By this time, anak-anak sudah kepenatan dan kami berehat sebentar bersama kumpulan yang akan meneruskan penerokaan ke peringkat seterusnya. Sedar tak sedar, kami telah mendaki sebanyak 640 anak tangga untuk sampai ke sini. Nasib baik kami membawa bekalan air yang cukup buat anak-anak menghilangkan dahaga. Sejujurnya, kami tidak tahu bahawa kami perlu mendaki tangga sebanyak ini semasa membeli tiket. Alhamdulillah anak-anak tidak merengek minta didukung, cuma sekadar mengadu keletihan.

Kami mengucapkan selamat tinggal dan menunggu mereka yang akan meneruskan penerokaan ke Tour 3 menuruni anak tangga ke perut gua dan hilang dalam kegelapan.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Sebahagian peserta wet tour melihat kegelapan perut gua yang bakal ditempuhi

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Peserta wet tour menuruni tangga ke perut gua untuk meneruskan penerokaan


Kami berharap jika dikurniakan rezeki ke sini lagi, kami dapat membawa kakak-kakak pula menikmati keindahan gua yang memukau ini. Jika mereka berani, mungkin boleh mencuba wet tour yang lebih mencabar pula... insya-Allah!





2 ulasan:

  1. hi. boleh tahu klau saya pergi bawak anak usia 3tahun sesuai ke amik road yang mudah?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hi Qaixani. Semasa ke sini, anak kami yang kecil berusia 4 tahun. Insya-Allah, usia 3 tahun juga rasanya sesuai.

      Untuk tour 1 dan 2, kedua-duanya hanya perlu berjalan di atas platform. Tapi jika dibandingkan dengan tour 2, tour 1 lebih mudah kerana paling sekejap dan tak perlu mendaki terlalu banyak anak tangga.

      Padam