Bawa anak-anak cuti ke Sekinchan. Apa yang menarik?

Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Sawah padi di Sekinchan

Sekinchan? Apa yang ada kat sana?"... "Anak-anak enjoy tak pergi sana?". Inilah antara soalan yang sering diterima apabila memberitahu kami membawa anak-anak ke Sekinchan.

Kenapa kami memilih untuk ke Sekinchan? Sudah tentu sebab utamanya ialah sawah padi. Kebetulan pula musim padi di Sekinchan sudah mulai masak, maka kami memutuskan untuk membawa mereka berjalan-jalan melihat pemandangan yang tidak selalu dapat dilihat mereka ini. Malahan, untuk tujuan  ini, kami sengaja memilih penginapan di tengah-tengah sawah padi

Namun, sawah padi bukanlah satu-satunya tarikan di Sekinchan. Sebenarnya terdapat banyak tarikan dan aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Oleh itu, tak perlu risau anak kebosanan. Jom lihat senarai aktiviti dan tempat menarik di Sekinchan. Selamat bercuti bersama anak-anak!


Hotel dan homestay best untuk cuti dengan anak-anak di Sekinchan


Aktiviti & tempat menarik di Sekinchan

1. Lawatan ke kilang padi

Memandangkan kami tiba agak awal dan bilik masih belum tersedia, kami memutuskan untuk terus ke kilang padi PLS Marketing yang terletak tidak jauh dari Padi Box. Anda tidak memerlukan temujanji untuk ke sini. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah membeli tiket di kaunter dan anda akan dibawa ke sebuah bilik di mana anda akan ditayangkan video mengenai proses penanaman padi sebelum seorang guide menerangkan dengan lebih lanjut dan membawa anda melihat aktiviti kilang menerusi viewing glass yang disediakan. Guide yang disediakan bersedia menjawab sebarang pertanyaan jika anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai penanaman dan pemprosesan padi.

Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Melihat kerja-kerja pembungkusan melalui viewing glass


Selepas penerangan diberikan, anda bebas melihat barang-barang pameran sebelum turun ke bahagian jualan untuk mereka yang berminat mendapatkan hasil padi mahupun cenderahati yang dipasarkan. Walaupun lawatan ini tidak mengambil masa yang lama, namun, ianya sudah cukup untuk kami mempelajari sesuatu yang baru mengenai makanan ruji rakyat Malaysia ini. Sebagai contoh, kami bukan sahaja mendapat tahu processing stages yang menghasilkan brown rice dan white rice, tetapi kami juga diterangkan sebab brown rice mengandungi lebih khasiat berbanding white rice yang lebih biasa dimakan dan banyak lagi.


Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Antara barangan yang dipamerkan

Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Tempat membanting tradisional

2. Ah Ma's House

Binaan rumah tradisional 'village farm house' ini mengingatkan saya kepada zaman kecil-kecil apabila pulang ke kampung. Walaupun tarikan ini tidaklah besar, namun ia dipenuhi barang-barang nostalgia yang kini telah jarang-jarang dilihat oleh anak-anak. Barang-barang seperti telefon lama, radio, typewriter, peti televisyen lama, perkakasan memasak lama lengkap dengan perabot seperti sofa rotan di letakkan di sudut rumah, mengembalikan memori suasana di kampung suatu ketika dahulu. Bukan hanya menjadi pameran, malah sesetengahnya seperti mangkuk tingkat lama turut dijual.

Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Perabot lama di Ah Ma's House

Di sini juga anda boleh melihat secara live bagaimana kuih kapit dibakar secara tradisional menggunakan arang. Bukan sahaja dapat melihat proses membakar, malah anda juga berpeluang membeli dan merasa kuih kapit yang dibuat menggunakan proses tradisional ini - memang sedap!


Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Kuih kapit dibakar cara tradisional

Selain kuih kapit tradisional, Ah Ma's House juga menjual pelbagai barangan yang sering dijual ketika saya masih kanak-kanak seperti gula-gula, bubble gum dan aiskrim Malaysia dengan asam boi.. Gula-gula zaman 80-an ini diletakkan di dalam balang-balang bertutup merah yang banyak digunakan dahulu, membuatkan saya merasakan Ah Ma's House seolah-olah kedai runcit yang sering saya kunjungi ketika zaman kanak-kanak.


Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Jajan zaman 80-an di Ah Ma's House


3. Berbasikal melihat sawah padi

Antara aktiviti menarik yang boleh anda lakukan bersama anak-anak ialah berbasikal mengelilingi sawah padi. Kami telah menyewa basikal di Padi Box yang merupakan hotel kami di sini. Padi Box menyediakan pilihan basikal biasa ataupun jenis tandem yang boleh membawa dua penunggang sekaligus. Sewaan basikal Padi Box terbuka untuk tetamu dan juga mereka yang tidak menginap di sini Selain Padi Box, anda juga boleh menyewa basikal di Farmville Cafe & Homestay ataupun di pekan.

Sambil berbasikal, kami berhenti di tepi sawah membawa anak-anak melihat dan memegang pokok padi. Di samping itu, mereka juga dapat melihat tali air dan kunci air secara dekat. Bukan selalu mereka mendapat peluang begini.

Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Berehat sebentar di tepi sawah ketika berbasikal bersama-sama
Nota: Padi di Sekinchan ditanam dua kali setahun, iaitu dari Mac ke Jun  dan September ke Disember. Januari ke Februari dan Julai ke Ogos merupakan clean up & rest time dan tiada padi ditanam ketika ini. Oleh itu, eloklah untuk merancang masa percutian anda jika ingin menikmati pemandangan sawah padi di Sekinchan.

Alang-alang ke Sekinchan, jom ke Kuala Selangor



3. Menaiki buggy mengelilingi sawah padi

Selain menunggang basikal, kami memilih untuk menyewa buggy atau clubcar untuk bersiar-siar mengelilingi kawasan sawah padi di sini. Setelah letih menunggang basikal, anak-anak seronok menaiki buggy mengelilingi bendang yang luas. Cuaca di sebelah petang yang agak redup dan berangin juga membuatkan pengalaman menaiki buggy mengelilingi sawah lebih menyeronokkan.

Kami telah menyewa buggy di Farmville Cafe & Homestay. Buggy yang disediakan boleh disewa walaupun anda tidak menginap di sana, namun sudah tentu kadarnya berbeza berbanding in-house guest. Namun kami merasakan kadar yang ditawarkan masih reasonable, iaitu RM50 sejam untuk buggy yang boleh membawa enam orang dewasa. Anda perlu memandu sendiri buggy yang disewa namun jangan risau kerana ia tidaklah sukar dan jalan di antara sawah padi juga tidak sibuk.


Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Seronok menaiki buggy sambil menikmati pemandangan sawah padi


4. Bersantai di Pantai Redang

Di sebelah petang, kami membawa anak-anak bersiar di Pantai Redang. Hajat asal hendak melihat sunset, namun nasib kami tidak begitu baik kerana langit agak mendung ketika itu. Hendak bermain layang-layang pun hari sudah agak lewat. Sudahnya kami hanya bersiar-siar sambil makan aiskrim.

Pantai Redang bukanlah pantai di mana anda boleh berenang dan bermandi-manda. Namun, jika anda ke Sekinchan, pantai ini boleh menjadi spot untuk bersiar-siar meluangkan masa bersama keluarga.


Cuti best dengan anak-anak di Sekinchan
Suasana Pantai Redang di waktu petang


Hotel dan penginapan menarik di Kuala Selangor


8. Aktiviti menarik lain di Sekinchan

Sebenarnya masih banyak tempat-tempat menarik yang tidak kami lawati semasa ke sini - sesetengahnya tiada dalam perancangan manakala ada juga kerana tidak berpeluang. Hhmmm... boleh dijadikan alasan yang baik untuk ke sini lagi! Di sini disenaraikan antara tempat menarik lain yang boleh dimasukkan dalam senarai lawatan jika anda merancang percutian ke sini. 

i. Sekinchan 3D Art Gallery

3D Art seolah-olah sudah menjadi trend masakini dan Sekinchan tidak ketinggalan dalam menampilkan tarikan sebegini kepada para pengunjung. Ketika bersiar-siar sambil menunggang basikal, kami ternampak bangunan sarang burung walit di tengah kawasan sawah padi yang kini ditukar menjadi galeri 3D Art. Kami tidak ke sini memandangkan kami pernah membawa anak-anak ke galeri seumpama ini. Namun, 3D Art Gallery ini sudah tentu boleh dimaksukkan ke list destinasi buat mereka yang berminat.


ii. SK Maze WWII The Lost Treasure

Sebuah indoor maze game, SK Maze WWII The Lost Treasure menawarkan permainan yang memerlukan perancangan dan kerja berpasukan dalam menyelesaikan misi yang diberi. Walaupun saya merasakan idea permainan ini agak menarik, namun dalam masa yang sama, saya merasakan anak-anak kami yang masih kecil masih belum dapat menghargai apalagi enjoy hiburan begini. Memandangkan kakak-kakak juga mahukan aktiviti yana mana sama-sama dapat berseronok, kami tidak menyertai permainan ini.


iii. La Familia Orchard

La Familia Orchard adalah sebuah kebun buah di mana anda berpeluang membeli buah-buahan segar dari ladang. Hasil utama di sini ialah jambu air dan lime, namun terdapat juga buah-buahan lain seperti grapefruit, ciku dan mangga. Nasib tidak menyebelahi kami kerana ketika kami ke sana La Familia Orchard tidak dibuka. Jika anda ke sini sewaktu hujung minggu atau cuti umum, anda boleh merancang untuk membawa anak-anak melihat kebun buah yang popular di Sekinchan ini.


iv. Mango King

Mango King adalah kedai yang menjual buah mangga dan bukanlah sebuah kebun. Di sini, anda boleh membeli buah mangga dalam pelbagai saiz, malah ada yang dikatakan sebesar lengan orang dewasa... wallahualam. Kami tidak membeli buah mangga di sini, oleh itu, saya tidak pasti bagaimanakah rasa buah mangga yang banyak dijual di sini. Jika anda pernah merasainya, anda dialu-alukan untuk berkongsi pengalaman anda di ruangan komen di bawah.



2 comments:

  1. Wah...banyak tempat menarik kat Sekinchan rupanya....nak kene explore ni someday..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang banyak, Farah. Tak rugi explore.

      Ni belum masuk Kuala Selangor lagi. Insya-Allah nanti akan ada entry Kuala Selangor. Cumanya timing kena betul, kalau tidak macam tak best rasanya kalau pergi masa sawah padi kosong.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...