BULI... bukan sekadar usikan dan gurauan

kes buli
Foto: stopbullying.gov

Kes buli lagi? Apa nak jadi dengan kanak-kanak sekarang? Mungkin itulah yang terlintas di fikiran kebanyakan kita setiap kali membaca tentang kes-kes buli.

Sebagai ibu bapa, pendedahan kes-kes buli saban hari yang semakin menjadi-jadi amat merimaskan dan merisaukan. Lebih-lebih lagi kes-kes ini semakin hari melibatkan kanak-kanak yang masih di bangku sekolah, seawal sekolah rendah tanpa mengira lelaki atau perempuan.


Apa itu buli?

Hmmm... Apa tu buli sebenarnya? Adakah usikan dan gurauan sudah cukup untuk dikategorikan sebagai buli? Atau adakah buli merujuk kepada sekumpulan kawan bergaduh dan bertumbuk?

Menurut American Psychological Association, buli bermaksud:

kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulangkali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram. Buli boleh terjadi secara fizikal, dalam bentuk perkataan atau secara lebih halus. Mangsa buli kebiasaannya tidak dapat mempertahankan diri dan dalam masa yang sama tidak melakukan apa-apa yang menjadikan sebab dirinya dibuli.

Daripada definisi di atas, boleh difahami bahawa buli tidak terbatas pada bentuk fizikal sahaja. 

Sebenarnya buli boleh terjadi dalam beberapa bentuk seperti:

1. Buli fizikal

Kes buli
Foto: utusan.com.my
Buli dalam bentuk ini adalah yang paling kerap didedahkan di media massa. Ini adalah kerana bentuk ini adalah yang paling ketara dan paling senang dikenalpasti. Ia terjadi apabila seseorang memukul, menendang, mencederakan, menolak, merosakkan barang kepunyaan orang lain dan sebagainya. Buli fizikal, jika serius boleh menyebabkan kematian.

Imbas kembali kes pelajar 16 tahun yang maut disepak hanya kerana dikatakan tidak menghormati pelajar senior (Utusan Online, 13 Mei 2015). Sedih dan hancur luluh hati apabila membaca kes buli ekstrim hingga mengakibatkan kematian seperti ini.


2. Buli verbal

kes buli
Foto: verywell.com
Buli melalui cara ini terjadi apabila seseorang mengejek, memfitnah, menyebarkan gosip, memanggil nama yang tidak disukai dan sebagainya untuk menyakiti dan mendominasi mangsa. Kebiasaannya, buli secara verbal dilakukan tanpa henti-henti untuk menyakiti, memperkecil-kecilkan dan memperlekeh-lekehkan mangsa.

Buli secara verbal sebenarnya adalah yang paling kerap berlaku, namun ia adalah jenis buli yang sukar dikenalpasti. Ini adalah kerana, kata-kata bulian ini hanya akan dilontarkan apabila tiada orang dewasa di sekitar. Di sekolah, buli verbal dilakukan oleh kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan.

Disebabkan ia sukar dikenalpasti, apabila diadukan, kebanyakan orang dewasa tidak begitu mengambil serius dengan mengannggap ia hanyalah gurauan dan usikan kanak-kanak. Namun begitu, kajian menunjukkan buli verbal sebenarnya mampu meninggalkan kesan emosi yang dalam terhadap mangsa.


3. Buli sosial

kes buli
Foto: verywell.com
Buli cara ini dilakukan secara halus dengan menyisihkan seseorang daripada sesebuah kumpulan, menyebarkan fitnah, mengejek, memalukan dan menakut-nakutkan untuk mengsabotaj keyakinan, pergaulan dan kedudukan sosial mangsa.

Secara umumnya, di sekolah, pe;ajar perempuan lebih banyak menggunakan cara ini berbanding lelaki. Kerapkali juga, pembuli akan menyuruh dan menghasut orang lain untuk turut menyisihkan mangsa. Disebabkan ia dilakukan secara halus, kebanyakan kes tidak disedari oleh guru dan ibu bapa.

Walaupun buli sosial tidak meninggalkan sebarang kesan parut atau lebam pada badan, kesan emosi yang ditinggalkan amat dalam dan boleh menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri dalam jangkamasa panjang.


4. Buli siber

kes buli
Foto: ncab.org.au
Buli secara ini berlaku apabila seseorang menggunakan teknologi seperti internet dan telefon bimbit untuk mengganggu, mengugut dan memalukan mangsa. Contoh buli siber adalah apabila seseorang memuat naik gambar yang memalukan mangsa atau menghantar mesej atau text yang menyakiti atau mengugut mangsa.

Disebabkan pembuli boleh berselindung di sebalik nama 'anonymous', buli siber seringkali dilakukan secara keterlaluan dan kejam. Mangsa akan merasa tidak tenteram dan tidak selamat kerana pembuli boleh mengganggu mereka di mana-mana sahaja, walhal di rumah mereka sendiri.

Dengan penggunaan teknologi yang semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja, siber buli adalah satu masalah yang semakin membimbangkan pada masa kini.



Rujukan:
1. apa.org, American Psychological Association  
2. ncab.org.au, National Centre Against Bullying 
3. stopbullying.gov 
4. verywell.com 
5. Indeks perlakuan buli di kalangan pelajar-pelajar di sekolah menengah dan rendah di Malaysia oleh Pusat       Pengurusan Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia, 2008 
6. Tip menangani buli di sekolah, PTS Professional, 2008 
7. Utusan Online 13 Mei 2015

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...