Banglo Green Acres, Fraser's Hill |
Sebelum murid-murid memasuki asrama pasca Perintah Kawalan Pergerakan, sempat juga kami mengadakan family gathering yang tertangguh apabila Hari Raya Puasa tahun ini disambut dalam norma baharu. Alhamdulillah, walaupun gathering yang asalnya dirancang selama dua malam terpaksa dipendekkan ke satu malam, kesemua ahli keluarga dapat mencuri masa menghadiri gathering yang dirancang semula secara last minute ini. Semua dapat hadir kecuali seorang kerana terpaksa kembali ke asrama lebih awal.
Banglo Green Acres di Fraser's Hill menjadi tempat kami untuk berkumpul kali ini. Jika sudah rezeki, memang tak ke mana. Kami menempah banglo ini menerusi Agoda hanya dua minggu sebelum tarikh, itupun setelah terdapat last minute cancellation.
Di mana letaknya Banglo Green Acres?
Sesampainya di Fraser's Hill, terus kami 'waze'kan arah ke Banglo Green Acres. Terkejut kami melihat masa yang diperlukan berbaki 20 minit dari pekan Fraser's Hill ke banglo ini. Betul ke? Pekan Fraser's Hill bukanlah besar, namun kami masih perlu memandu selama 20 minit lagi untuk ke penginapan?Risau juga arah yang ditunjukkan waze tidak betul. Jadi untuk kepastian, kami menghubungi host kami. Memang tak salah.
Jika anda pernah ke Fraser's Hill, sudah tentu anda familiar dengan hotel Shahzan Inn. Untuk ke banglo ini, anda perlu melalui jalan di hadapan Shahzan Inn, dan kemudian ke arah GlassHouse Fraser's. Dari situ, bermulalah jalan yang sempit dan berliku-liku. Anda akan melihat beberapa banglo lain sepanjang jalan ini sebelum pemandangan bertukar hijau dengan hutan di kiri-kanan jalan. Nasib baik host kami telah memberitahu bahawa kami akan rasa seperti tersesat sebelum sampai ke banglo ini. Jika tidak, mungkin kami sudah berpatah balik!
Laluan sebelum tiba di Banglo Green Acres |
Oh, walaupun jalan ke sana agak sempit dan berliku, jangan risau tentang jenis kereta untuk ke sana. Tiada seorang pun antara kami yang menggunakan kereta 4WD. Malah, mereka yang membawa Perodua MyVi juga tidak menghadapi masalah dengan laluan ke sini.
Check-in
Kami tiba agak awal di Fraser's Hill dan meluangkan masa bersiar-siar dan makan tengahari di pekan kecil ini. Sebaik penginapan sudah siap untuk dimasuki, caretaker Banglo Green Acres menghubungi kami dan bersedia menunggu di kawasan banglo. Tetamu pertama daripada keluarga kami tiba dibawa melihat bilik-bilik di dalam banglo sebelum kunci diserahkan. All in all, check-in ke banglo ini berjalan dengan lancar.
Caretaker tersebut tidak berada di dalam banglo sepanjang penginapan kami. Dalam kata lain, kami mendapat privacy dan the entire place selama semalaman di sana. Walaubagaimanapun, kami diberi nombor talian caretaker yang memang membantu sepanjang semalaman kami di sana.
Layout
1. Halaman
Dua buah kereta boleh dimuatkan di porch meletak kenderaan banglo ini, manakala kereta selebihnya perlu diletakkan di kawasan kecil di luar main gate. Disebabkan banglo ini terletak di kawasan lereng bukit, anda perlu menuruni tangga untuk ke halaman banglo. Jika ada antara ahli keluarga yang mempunyai masalah mendaki dan menuruni tangga atau berkerusi roda, layout seperti ini mungkin tidak begitu sesuai.
Tangga dari porch kereta ke halaman banglo |
Halaman hadapan banglo Green Acres tidaklah terlalu besar, namun cukup untuk anak-anak bermain bersama-sama. Kawasannya juga selamat untuk mereka beraktiviti setelah lama tak berkumpul.
Ketika di sini, pintu ke halaman belakang banglo dikunci. Oleh itu, kami tidak ke kawasan belakang. Namun, bagi kami, kawasan yang ada pun sudah lebih daripada memadai.
2. Bilik
Terdapat 5 bilik tidur dan 4 tandas kesemuanya di Banglo Green Acres. Dua bilik terletak di aras bawah, manakala tiga bilik lagi di tingkat atas. Salah satu bilik di bahagian atas kelihatan seperti 2-bedroom family suite dengan dua ruangan tidur yang connected, lengkap dengan sofa, meja makan kecil dan attached toilet. Tuala bersih dan sabun mandian turut disediakan untuk kemudahan tetamu.
Seperkara yang mungkin perlu anda ambil perhatian terutamanya jika mempunyai anak-anak kecil yang aktif di mana bukaan tingkap di bahagian atas agak rendah. Kami meminta caretaker untuk mengunci tingkap di mana anak-anak kecil ingin mengadakan 'sleepover' sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian tak diingini semasa gathering ini.
Oh, ya. Jika anda tidak mahu menyewa keseluruhan kawasan, banglo ini sebenarnya turut menawarkan sewaan bilik secara berasingan. Namun, sejujurnya, melihatkan lokasi yang agak ke dalam, tanpa kumpulan yang ramai seperti ini, secara peribadi, tak tergamak rasanya untuk membawa hanya anak-anak kami menginap di sini. Kami pun bukanlah berani sangat.
Berapa kapasiti banglo ini? Sehingga 30 tetamu boleh menghuni banglo ini dalam satu-satu masa. Namun, caj tambahan sebanyak RM70 seorang dikenakan untuk jumlah tetamu seramai 17 orang dan ke atas.
Cozy... Salah satu bilik di Banglo Green Acres |
3. Dapur
Dapur yang disediakan memang lengkap. Pots and pans, pinggan mangkuk, periuk nasi, cerek, peti ais, oven, microwave dan penapis air semuanya ada untuk kemudahan anda. Pendek kata, bukan menjadi masalah untuk anda menyediakan hidangan, asalkan anda membawa bahan-bahannya. Oh, mengenai makanan yang dibawa, makanan berasaskan khinzir adalah strictly prohibited di sini.
4. Common areas
Seperti mana-mana rumah, Banglo Green Acres turut menawarkan dining area, living area dan juga activity area. Memang diakui bahawa untuk kebanyakan daripada kami yang tinggal di unit-unit apartment, setiap ruangan di banglo ini terasa sangat luas.
Selain di dining area, meja dan bench turut disediakan di balkoni banglo. Alang-alang berada di persekitaran semulajadi begini, kebanyakan masa makan kami diluangkan bersama-sama di balkoni sambil menikmati pemandangan hutan di belakang banglo. Terasa tenang dan damai. Saat-saat begini sangat berharga untuk masing-masing melupakan kesibukan urusan di kota, while catching up with each other. Alhamdulillah.
Menjamu selera sambil menikmati kehijauan hutan |
Setelah habis menjamu selera, kebanyakan kami memilih untuk terus bersembang di living area yang dilengkapi fireplace. In case anda ingin tahu, fireplace ini tidak digunakan untuk menghangatkan banglo. Tiada api dihidupkan di fireplace ini. Namun begitu, kami tetap suka meluangkan masa di sini. Setidak-tidaknya, terasa juga seperti bercuti bersama-sama di luar negara!
Anak-anak pula? Mereka lebih suka meluangkan masa di activity room yang dilengkapi set television, mainan dan pool table.
Living hall yang luas |
Aktiviti
Apa yang boleh dilakukan di sini? Memandangkan kami di sini hanya semalaman, kami merancang untuk bersantai dan meluangkan masa bersama. Alhamdulillah, walaupun tiada jadual atau perancangan khas untuk aktiviti bersama, fasiliti yang disediakan cukup untuk membuat anak-anak occupied dalam persekitaran yang selamat dan selesa.
1. Lompat, lompat dan lompat lagi!
Trampoline!!! Belum sempat turun ke halaman, itulah perkara pertama yang menarik perhatian anak-anak, terutamanya yang lebih kecil. Sementara ibu bapa sibuk memunggah barang, mereka telahpun mula melompat di trampoline besar yang disediakan di hadapan banglo. Boleh dikatakan itulah aktiviti utama anak-anak kecil sepanjang penginapan kami di sini. Tak kira siang atau malam, ada sahaja yang mencuri masa melompat. Lebih ramai, lebih meriah!
Dengan net tinggi di sekeliling trampoline, ibu bapa boleh membiarkan sahaja mereka bermain tanpa risau ada yang terpelanting keluar. Mungkin kerana tak selalu dapat berkumpul begini, sememangnya anak-anak kelihatan sangat energetic sepanjang masa.
Trampoline... Aktiviti paling diminati di Banglo Green Acres |
2. Pool table
Untuk anak-anak di usia remaja pula, masing-masing cuba menunjukkan bakat bermain pool table walaupun kebanyakannya sangat amatur. Bak kata orang, pantang menyerah sebelum kalah. Suara sorakan setiap kali bola berjaya dimasukkan ke lubang berjaya menceriakan gathering ini.
Mencuba bakat di pool table |
3. Movie Time
Setelah malam sudah lewat dan ibu bapa mengibarkan bendera putih dengan anak-anak yang tak mahu tidur malahan masih sangat aktif, kami memanggil mereka untuk sesi movie time di activity room. Kami membawa sendiri koleksi movie di dalam external hard disk dan membiarkan mereka memilih movie yang ingin ditonton bersama. Sudah tentu mereka memilih kartun untuk ditonton!
4. Masak-masak dan makan
Sejujurnya, kami tidaklah masak dengan beria di sini. Disebabkan masa yang limited, kebanyakan makanan yang dibawa adalah ready-to-eat atau yang telah siap dimasak di rumah dan disejukbekukan. Namun, jika anda mahu lebih aktiviti di dapur, kemudahan yang disediakan di Banglo Green Acres memang lebih daripada mencukupi untuk sebuah feast semasa gathering.
Melihatkan cuaca ketika ke sini yang unpredictable dan kerap kali hujan pada waktu malam, kami membatalkan hasrat untuk mengadakan BBQ. Walaubagaimanapun, jika anda ingin mengadakan sesi BBQ, anda perlu memaklumkan kepada host anda yang akan menyediakan set untuk digunakan. Caj tambahan dikenakan untuk anda mengadakan BBQ di sini.
Masak-masak ... |
... dan makan-makan! |
5. Trekking
Ini adalah satu-satunya aktiviti yang kami lakukan di luar kawasan banglo. Mereka yang lebih aktif bersama-sama memulakan trekking dari banglo melalui laluan masuk hingga ke pekan sebelum berpatah balik. Aktiviti ini langsung tidak kami rancang dan dilakukan secara impromptu. Mereka yang tidak begitu aktif pula? Tunggu sahaja di banglo sambil sambung bersembang di petang hari.
6. Lain-lain
Halaman yang ada dimanfaatkan untuk anak-anak bermain bersama-sama. Kami membawa pop-up tent kecil yang digunakan oleh anak-anak untuk take five dan minum petang sebelum sambung melompat di trampoline. Selain itu, ada juga yang membawa giant bubble untuk anak-anak berseronok bersama.
Seronok meluangkan masa bersama |
Masa bersiar-siar di sekitar Fraser's Hill? Sejujurnya, sepanjang penginapan kami di Banglo Green Acres, kami hanya banyak meluangkan masa bersama di dalam banglo. Pengunjung agak ramai di pekan Fraser's Hill ketika itu, dan memandangkan negara masih dalam RMCO, tempat-tempat yang menjadi tumpuan masih menghadkan waktu dan jumlah kemasukan pengunjung pada satu-satu masa.
Kami hanya sempat ke The Paddock untuk melayan anak-anak yang ingin menunggang kuda. Lawatan kami ke sana itupun hanya setelah selesai urusan check-out dari Banglo Green Acres. Melihatkan pengunjung yang ramai dan kesesakan di pekan Fraser's Hill, kami bersyukur berpeluang meluangkan quality time bersama-sama di kedamaian banglo yang terasing daripada kesibukan walau hanya untuk semalaman.
Menunggang kuda di The Paddock |
Banglo Fraser's Hill boleh ditempah secara online melalui laman web rasmi mereka di sini dan juga di Agoda, booking.com, Expedia dan Airbnb. Semasa ke sini, kami memilih untuk menempah melalui Agoda kerana portal tersebut menawarkan harga yang paling berbaloi berbanding yang lain. Oleh itu, jangan lupa untuk menyemak harga di portal-portal ini untuk memastikan anda mendapat tawaran terbaik semasa percutian anda ke sini.
Terpulang kepada anda untuk hanya menempah bilik secara berasingan atau keseluruhan banglo. Apapun bagi kami, dengan penginapan yang luas dan well-kept, Banglo Green Acres adalah tempat yang sesuai sebagai port family gathering yang menarik!
Menarik di Fraser's Hill:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan