Pages

Cuti ringkas di Bayou Lagoon Park Resort, Melaka

Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort
Taman tema air di Bayou Lagoon Resort, Melaka

Panggilan saat akhir urusan persekolahan membuatkan kami tergesa-gesa mencari penginapan berdekatan Ayer Keroh, Melaka. Memandangkan hanya beberapa hari sahaja tinggal sebelum bertolak, ditambah pula dengan urusan yang jatuh pada hujung minggu menjadikan kebanyakan penginapan di sekitar Ayer Keroh telah penuh ditempah.

Alhamdulillah, akhirnya kami mendapat penginapan yang sesuai di Bayou Lagoon Park Resort, Bukit Katil, Melaka. Jarak resort ini sebenarnya ialah 10 km dari tempat urusan, iaitu kira-kira 15 minit berkenderaan, namun, itu sudah memadai. Alang-alang hujung minggu, sudah tentunya kami tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak bersama.


1. Penginapan

Bayou Lagoon Park Resort mempunyai beberapa jenis bilik seperti bilik studio, apartment 2 dan 3 bilik serta penthouse. Kebanyakan unit-unit ini adalah di bawah pengurusan resort ini sendiri, namun, ada juga unit yang telah dibeli dan dibuka untuk sewaan sebagai homestay oleh orang perseorangan. Unit yang kami ambil adalah milik orang perseorangan yang dibuka untuk tempahan melalui airbnb dan bukan di bawah pengurusan resort ini.

Unit homestay yang kami sewa adalah jenis apartment 2 bilik. Unit ini tidak besar dan tidak mewah  tetapi bagi kami cukup untuk tujuan kami ke sini. Terdapat 2 bilik tidur dan 2 bilik mandi (hanya bilik tidur utama mempunyai attached bathroom), ruang rehat, ruang makan dan kitchenette. Kedua-dua bilik tidur dan ruang tamu dilengkapi penghawa dingin dan setiap bilik mandi juga dilengkapi water heater. Walaubagaimanapun, tiada stove, microwave ataupun mini fridge di bahagian kitchenette. Namun, cerek dan serba-sedikit cawan dan pinggan tetap disediakan. Hanya sebuku sabun kecil disediakan di setiap bilik mandi. Secara jujurnya, penginapan yang disewa serba ringkas namun, apa yang penting ruang yang ditawarkan bersih dan rapi.

Memandangkan unit ini bukan di bawah pengurusan Bayou Lagoon Park Resort, tiada sarapan atau room service disertakan. Walaubagaimanapun, kami tetap mendapat 4 tiket percuma ke taman tema air yang terletak hanya di bahagian belakang bangunan apartment.

Nota: Ulasan penginapan di atas hanyalah ulasan tentang unit homestay yang kami sewa. Memandangkan unit ini bukan di bawah pengurusan Bayou Lagoon Park Resort sendiri, kami tidak pasti bagaimana keadaan bilik, servis dan sarapan yang ditawarkan oleh pihak resort.


Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Bilik tidur anak-anak di apartment dua bilik yang disewa

Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Kitchenette ringkas


2. Waktu operasi

Walaupun trip ke sini sebenarnya bukan satu percutian, urusan yang perlu diselesaikan bukanlah memakan masa sepanjang hari. Oleh itu, sempat juga kami membawa anak-anak bermain di taman tema air di sini.

Taman tema air di Bayou Lagoon Park Resort beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan. Pada hari bekerja, taman ini beroperasi dari 9 pagi hingga 7 malam, kecuali pada hari Selasa di mana water park ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan.



3. Harga tiket

Harga tiket ke taman tema air juga berbeza mengikut hari. Pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan, harga tiket dewasa ialah RM28, kanak-kanak RM20 dan warga emas RM14. Pada hari bekerja, tiket masuk adalah RM22 untuk dewasa, RM16 untuk kanak-kanak dan RM11 untuk warga emas. Kanak-kanak di bawah ketinggian 3 kaki tidak dikenakan bayaran.

Taman tema air di sini sebenarnya turut terbuka untuk mereka yang tidak menginap di resort. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan antara tiket yang dibeli di kaunter dan tiket yang diberikan bersama tempahan bilik. Kami diberitahu, tidak seperti tiket yang diberikan bersama tempahan bilik, tiket yang dibeli di kaunter hanya membenarkan single entrance. Oleh itu, anda tidak dibenarkan masuk semula jika telah keluar dari taman tema air ini.

Jika merancang untuk taman tema air di sini tanpa menginap, anda juga boleh mendapatkan lebih penjimatan dengan membeli tiket lebih awal pada harga diskaun melalui fave atau TripCarte


Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Bahagian utama di taman tema air Bayou Lagoon Resort


4. Taman tema air

Sejujurnya, taman tema air di Bayou Lagoon Park Resort tidaklah begitu besar. Taman tema ini ringkas dan sudah tentu tidak adil untuk dibandingkan dengan taman tema yang lebih popular seperti Legoland atau Sunway Lagoon.

Walaupun ringkas, anak-anak kami seronok bermain di taman tema air Bayou Lagoon. Taman tema ini terbahagi kepada 3 bahagian - 2 bahagian dengan slide dan satu bahagian untuk kanak-kanak yang lebih kecil. Untuk anak-anak kami yang lebih besar, mereka seronok bermain di bahagian slide, terutamanya rainbow slide yang terletak di tengah-tengah taman ini. Tidak jemu-jemu mereka berulang kali naik turun slide-slide ini. Selain daripada itu, aktiviti merentasi air dengan berpaut pada tali yang merentangi sudut kolam turut menjadi tumpuan mereka.

Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Satu lagi bahagian slide di Bayou Lagoon Resort
Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Percubaan merentasi kolam


Anak yang lebih kecil pula sudah tentu lebih seronok bermain di bahagian kanak-kanak. Bahagian ini lebih mirip playground, bezanya hanyalah ia berada di tengah-tengah kolam yang cetek. Slide yang ada di bahagian ini tidak tinggi untuk disesuaikan dengan kanak-kanak kecil. Rata-rata, air di taman tema ini kelihatan bersih dan tidak keruh.


Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Bahagian kanak-kanak

Selain bahagian slide dan playground air, terdapat juga kawasan kolam renang biasa disediakan. Setelah penat bermain slide, anak-anak kami sempat meluangkan masa sebentar di dalam kolam renang yang relatively tidak begitu ramai pengunjung.

Sungguhpun anak-anak kami seronok bermain di sini, secara peribadi saya merasakan taman tema ini lebih sesuai untuk kanak-kanak kecil dan juga kanak-kanak di usia sekolah rendah. Untuk anak-anak remaja dan mereka yang lebih sukakan aktiviti yang lebih mencabar, Bayou Lagoon Park Resort berkemungkinan dirasakan terlalu basic.


Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka


Pada hujung minggu kami berada di sini, terdapat sekurang-kurangnya 2 syarikat korporat yang mengadakan program hari keluarga dan team building. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan aktiviti diadakan di serata kawasan di dalam taman tema ini. Walaupun aktiviti mereka tidak melibatkan penggunaan kolam di taman tema air, saya memerhatikan terdapat kumpulan yang melakukan aktiviti di tengah-tengah laluan utama pengunjung. Beberapa kali saya terlihat hampir berlaku perlanggaran antara peserta team building yang berkejar menamatkan games dengan pengunjung kanak-kanak yang sedang berlari di laluan tersebut. Saya merasakan ada baiknya jika pihak pengurusan memantau lokasi aktiviti-aktiviti yang diadakan di sini.

Selain itu, tiada lifeguard kelihatan di dalam taman tema air ini. Oleh itu, jika anda membawa anak-anak, pastikan anda sentiasa memantau mereka terutamanya pada hujung minggu di mana pengunjung kebiasaannya lebih ramai berbanding hari-hari biasa.

Mungkin kerana jumlah pengunjung yang agak ramai, tandas di taman tema air juga kurang diselenggara pada hari kami ke sana. Mujurlah penginapan di apartment Bayou Lagoon memudahkan kami membawa balik anak apabila mereka ingin menggunakan tandas.


5. Tarikan lain

Selain taman tema air, Bayou Lagoon Park Resort juga menawarkan amusement park kecil, game arcade, 9D motion theatre dan Magic Art Museum. Walaubagaimanapun, kami tidak mencuba mana-mana tarikan ini dan melihat kawasan-kawasan tersebut juga agak lengang.


Cuti keluarga di Bayou Lagoon Resort, Melaka
Amusement park bersebelahan taman tema air

Bayou Lagoon Park Resort terbuka untuk temapahan secara online di lawan web mereka dan juga di Agoda, booking.com dan Expedia. Selain itu, beberapa unit turut available untuk tempahan di airbnb. Jika merancang untuk ke sini, pastikan anda menyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan anda mendapat tawaran terbaik semasa percutian anda. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan