BULI... antara mitos dan kenyataan

kes buli
Foto: ncab.org.au
Masalah buli memang menjadi satu masalah yang semakin merisaukan terutamanya di kalangan pelajar sekolah. Pada tahun 2015, terdapat 3000 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah di Malaysia (Utusan Online, 28 Mac 2016).

Walaupun menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, ia masih belum cukup baik. Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk semua pelajar menuntut ilmu. Oleh itu, seboleh-bolehnya kita perlu berusaha ke arah sekolah sifar buli. Disebabkan itu, salah tanggapan atau mitos terutamanya di kalangan orang dewasa terhadap masalah ini perlu diperbetulkan. Mitos-mitos yang berlegar ini akan hanya mengganggu dan membantutkan usaha untuk membanteras gejala yang tidak sihat ini.


Apakah salah tanggapan atau mitos yang biasa didengari?

Kes buli
Foto: verywell.com
Mitos #1: Buli adalah sebahagian daripada pengalaman membesar. Kebanyakan orang pernah melaluinya suatu ketika dahulu.

Fakta: Buli bukanlah sesuatu yang normal atau sebahagian pengalaman biasa semasa membesar. Buli adalah satu masalah yang tidak pernah diterima dalam masyarakat. Tanggapan begini sebenarnya memberi lebih peluang kepada pembuli bertindak sesuka hati.


Mitos #2: Buat tak tahu je. Lama-lama diorang berhentila tu.

Fakta: Buat-buat tak tahu tidak menyelesaikan masalah buli. Malahan, sikap begini boleh membuatkan masalah buli bertambah teruk kerana ia membuatkan pembuli merasakan mangsa tidak mampu berbuat apa-apa. Ini memberi kepuasan kepada pembuli.


Mitos #3: Jangan jadi lemah sangat. Kalau kena tumbuk, tumbuk je balik.

Fakta: Walaupun cara ini menunjukkan keberkesanan dalam filem-filem mengisahkan buli, ia bukanlah sesuatu yang realiti. Dalam kes buli fizikal, pembuli biasanya mempunyai fizikal yang lebih kuat dan mempunyai kawan-kawan yang menggalakkan perbuatan mereka. Perbuatan ini boleh menyebabkan masalah buli semakin teruk dan meningkatkan risiko kecederaan fizikal yang serius.


Mitos #4: Kanak-kanak perlu belajar untuk selesaikan masalah mereka sendiri.

Fakta: Walaupun ada segelintir mangsa mampu menyelesaikan sendiri masalah apabila berhadapan dengan kes buli, kebanyakan kanak-kanak tidak mempunyai keyakinan untuk berbuat demikian. Masalah buli adalah masalah di mana orang yang dibuli menjadi mangsa, seperti mana mangsa kes-kes penderaan. Mereka tidak mampu melawan. Apabila kes-kes penderaan dilaporkan, masyarakat sedia membantu dan tidak mengharapkan mangsa untuk mempertahankan diri sendiri. Expectation yang sama perlu diberi kepada mangsa buli. Orang dewasa dan rakan-rakan, terutamanya yang menyaksikan kes buli sebenarnya perlu menggalas tangunggjawab untuk membantu mangsa dan menghentikan masalah ini.


Mitos #5: Hanya kata-kata ejekan? Bukan tumbuk pun... itu bukan buli! Lagipun, setakat ejek tak mencederakan!

Foto: ncab.org.au
Fakta: Setiap kali menyebut perkataan buli, sudah tentu perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah buli fizikal. Namun, ia bukanlah jenis buli yang paling kerap berlaku.  Buli yang paling kerap dilakukan tidak kira oleh lelaki atau perempuan ialah buli verbal.

Walaupun tidak mencederakan badan, buli verbal dan buli sosial mampu meninggalkan kesan yang mendalam. Buli jenis ini mampu menyebabkan mangsa mengalami kemurungan, hilang minat terhadap aktiviti-aktiviti yang disukai, hilang selera makan, tidak dapat tidur, mengadu masalah kesihatan, merosot dalam pelajaran, malahan memberi pelbagai alasan untuk tidak ke sekolah.

Masalah-masalah ini tidak hanya berhenti ketika kanak-kanak, malah boleh berlarutan ke alam dewasa menyebabkan mereka lebih cenderung untuk kemurungan dan tidak mempunyai keyakinan diri.


Mitos #6: Konflik antara budak sekolah je tu.....

Fakta: Buli adalah sikap dan kelakuan agresif yang melibatkan ketidakseimbangan kuasa (lebih kuat, lebih popular, part of a group dan sebagainya). Ia dilakukan berulang-ulang dengan tujuan untuk menyakitkan mangsa.

Konflik pula terjadi apabila ada perselisihan pendapat antara dua pihak. Ia tidak melibatkan ketidakseimbangan kuasa. Oleh itu tiada mangsa terlibat dalam konflik. Dengan menyamakan buli dan konflik, kita seolah-olah memberi isyarat yang 'kedua-dua pihak sama-sama betul dan sama-sama salah', oleh itu 'kedua-dua pihak perlu bertangunggjawab dengan masalah yang berlaku'.

Isyarat ini tidak boleh dipakai dalam kes buli. Isyarat yang lebih sesuai ialah 'buli adalah salah dan tidak boleh diterima sama sekali. Tiada sesiapa yang patut menjadi mangsa buli. Buli perlu dihentikan dan kami akan lakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan ia tidak berlaku lagi'.


Mitos #7: Budak perempuan tak membuli

Kes buli
Foto: ncab.org.au
Fakta: Buli berlaku di kalangan kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan. Walaupun buli fizikal lebih banyak dilakukan oleh lelaki, ini tidak bermakna perempuan tidak melakukannya. Pelajar perempuan kebiasannya lebih banyak terlibat dalam buli sosial dan buli verbal. Buli jenis ini walaupun tidak mencederakan, tetapi amat mengganggu mangsa dan boleh meninggalkan kesan emosi dan sosial yang dalam kepada mangsa.


Mitos #8: Pelajar yang membuli tak ada keyakinan diri, tak ada kawan... cuba tarik perhatianla tu

Fakta: Pembuli terdiri daripada pelbagai latarbelakang, malahan di antara mereka yang agresif ini sebenarnya mempunyai keyakinan diri yang baik dan mempunyai ramai kawan dari segi sosial. Bagaimanapun, buli menjadikan mereka lebih popular, dan membuatkan mereka mempunyai lebih kuasa untuk mendominasi orang lain.

Pembuli juga bijak memanipulasi orang lain dan keadaan. Disebabkan ini, kejadian buli kebiasaannya berlaku apabila tiada orang dewasa di sekitar. Ada juga yang kelihatan berkarisma di hadapan guru dan menawan di hadapan ibu bapa menjadikan kes buli, terutamanya buli verbal dan sosial sukar dikesan.


Mitos #9: Mana ada buli kat sini? Tak ada yang mengadu pun.

Fakta: Tidak dilaporkan tidak bermakna tiada kes yang terjadi. In fact, ramai kanak-kanak memilih untuk tidak melaporkan kepada orang dewasa, terutamanya pelajar lelaki dan pelajar yang lebih berusia. Ini adalah kerana mereka takut akan dibuli dengan lebih teruk atau aduan mereka diambil ringan dan tidak didendahkan oleh orang dewasa.


Mitos #10: Anak saya tak mungkin seorang pembuli.

Fakta: Saya pasti, ini adalah anggapan yang paling mahu dipercayai oleh setiap ibu bapa. Namun, sebagai orang dewasa, kita perlu mengakui yang kanak-kanak adalah tetap kanak-kanak. Mereka belajar cara berinteraksi dengan orang di sekitar dan peranan mereka dalam masyarakat. Dalam proses ini, kanak-kanak akan melakukan kesilapan dari masa ke semasa.

Jika ibu bapa tidak dapat menerima kenyataan bahawa setiap kanak-kanak, termasuk anak mereka sendiri berpotensi untuk menjadi pembuli, ini hanya akan menyukarkan, malah membantutkan usaha membanteras gejala ini. Penyelesaian yang dicari akhirnya akan hanya bertukar menjadi medan perbalahan dan sesi tuding-menuding jari antara mereka yang sepatutnya lebih rasional dan menjadi contoh untuk generasi masa hadapan.



Rujukan:
1. apa.org, American Psychological Association  
2. ncab.org.au, National Centre Against Bullying 
3. stopbullying.gov 
4. verywell.com 
5. Indeks perlakuan buli di kalangan pelajar-pelajar di sekolah menengah dan rendah di Malaysia oleh Pusat       Pengurusan Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia, 2008 
6. Tip menangani buli di sekolah, PTS Professional, 2008 
7. Utusan Online  
8. unitypoint.org 
9. bullyingawarenessweek.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan