'Balik kampung' di Kuala Selangor - Dangau Panggung Pak Din KK

Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Homestay Dangau Panggung Pak Din KK (foto: airbnb.com)


Bulan Mac 2021, alhamdulillah, kami berkesempatan membawa anak-anak beristirehat di Jeram, Kuala Selangor sebelum PKP dilaksanakan sekali lagi. Lebih menarik apabila trip kali ini dirancang bersama dua ahli keluarga rapat dan keluarga masing-masing. Walaupun memang kerap bertemu atas urusan-urusan lain, waktu yang diluangkan kali ini terasa lebih berkualiti apabila dapat beristirehat bersama-sama. Rezeki kami kali ini adalah di sebuah rumah lama yang dipanggil Dangau Panggung Pak Din KK.

Dangau Panggung Pak Din KK sebenarnya adalah sebuah rumah Melayu tradisional yang asalnya dibina pada tahun 1952 di Sabak Bernam. Namun, rumah tersebut telah direlocate  dan dibina semula di tapak baharu di Pantai Remis, Jeram. Kini, rumah ini dijadikan sebuah homestay sekaligus memberi peluang generasi muda merasai pengalaman unik menginap di rumah tradisional yang sudah jarang-jarang ditemui. 


Lokasi

Dengan teknologi seperti Waze dan Google Map, rasanya tidak sukar untuk mencari lokasi penginapan ini. Terletak hanya di belakang penginapan kontena The Cabin, bagi kami lokasi homestay ini sangat memuaskan. Jika anda mahu bersiar-siar, kawasan pantai terletak hanya 2-3 minit berjalan kaki. Selain itu, jika perlu membeli barang keperluan semasa menginap di sini, anda boleh memandu ke kedai runcit yang terletak tidak jauh dari Dangau Panggung Pak Din KK. Jika terasa lapar dan ingin membeli hidangan tengahari, restoran Asam Pedas Claypot Atuk pula terletak hanya kira-kira 3 minit berjalan kaki. Pendek kata, bagi kami, walaupun homestay ini bukan di kawasan yang crowded, kemudahan berhampiran sangat memudahkan tetamu yang menginap di sini.


Check-in

Sesampainya kami di sini, kami disambut oleh caretaker Dangau Panggung Pak Din KK yang tinggal bersebelahan dengan homestay ini. Caretaker tersebut memberi sedikit short briefing tentang homestay sebelum berpesan agar memanggil dengan mengetuk pintu kediamannya jika kami memerlukan apa-apa bantuan. Beliau tidak mempunyai nombor talian telefon untuk dihubungi.

Walaupun daripada luar, unit homestay yang disewa kelihatan bersambung dengan unit kediaman caretaker, anda tidak perlu risau tentang privacy jika menginap di sini. Tiada laluan di bahagian dalam yang menghubungkan kediaman caretaker dan homestay ini. Malah, di bahagian luar, terdapat dinding dengan pintu gelongsor yang memisahkan kawasan kediaman caretaker dan homestay Dangau Panggung Pak Din KK.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Rumah caretaker bersebelahan homestay (foto: airbnb.com)


Rumah tradisional

Melangkah masuk ke Dangau Panggung Pak Din KK terasa seolah-olah kembali ke zaman silam. Walaupun telah ada penambahan struktur binaan batu, ciri-ciri tradisional di bahagian rumah asal membuatkan kami terasa pulang ke kampung. Malah, selepas beberapa bulan ke sini, anak-anak kami masih merujuk pengalaman ke sini sebagai 'balik kampung'. 

Bukan hanya dari luaran, malahan bahagian dalam homestay ini turut dilengkapi hiasan perabot lama. Bahagian kayu homestay ini didirikan di atas tiang yang tinggi menjadikan bahagian bawah rumah seolah-olah satu level terbuka. Walaupun tidak mempunyai laman yang luas, bahagian ini sesuai untuk dijadikan kawasan aktiviti dan tempat santai seisi keluarga. 


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Bersantai di ruang bawah


Bilik & Ruang

Dangau Panggung Pak Din KK mempunyai 3 bilik tidur, 3 tandas dan 2 bilik mandi. Ketiga-tiga bilik tidur dilengkapi penghawa dingin untuk keselesaan tetamu. Tiada bilik yang mempunyai attached bathroom. 

Sejujurnya, saiz bilik agak kecil dan tidak dapat menampung jumlah kami. Namun, homestay ini menyediakan 2 ruang umum yang sangat luas. Ruang ini dipisahkan oleh dinding, namun terdapat pintu yang memberi akses dan membolehkan tetamu berulang-alik antara kedua-dua ruangan ini. Semasa di sini, bilik-bilik hanya kami gunakan mainly untuk menyimpan beg manakala ruang luas ini menjadi tempat kami berkumpul dan tidur berjemaah bersama anak-anak pada waktu malam.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Berkumpul di salah satu common room yang luas

Dapur

Bahagian dapur terletak di bahagian tambahan kepada binaan asal. Bahagian ini diperbuat daripada batu dan mempunyai dua level. Ruangan dapur utama berada di tingkat atas dengan kemudahan yang lebih lengkap seperti stove, priuk nasi, peti, penapis air dan pinggan mangkuk. Semasa kunjungan kami, kami dapati alat-alatan yang disediakan kelihatan agak berusia namun tetap functional

Dapur di tingkat bawah pula hanya dilengkapi sinki, working top dan peti. Semasa di sini, kami jadikan bahagian ini sebagai tempat penyediaan aktiviti barbeku. Kedua-dua bahagian dapur ini dihubungkan oleh tangga.


Homestay ,menarik di Jeram, Kuala Selangor
Dapur di Dangau Panggung Pak Din KK


Beranda

Selain bahagian bawah rumah, bahagian beranda turut menjadi tempat kami bersantai dan berbual sambil memerhatikan anak-anak bermain di bawah. Walaupun tidak terlalu luas, ruang beranda di homestay ini cukup untuk kami jadikan kawasan menjamu sarapan bersama. Masing-masing sangat seronok duduk di atas lantai bersama-sama sepupu-sepupu sambil menikmati juadah dan menikmati udara segar di waktu pagi.  


homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Sarapan bersama di beranda


Anjung tinjau

Berhampiran dapur, terdapat laluan bertangga untuk ke bahagian paling atas iaitu anjung tinjau. Di sini, terdapat kawasan terbuka yang menawarkan tetamu aerial view kawasan berhampiran. Sejujurnya, kami tidak menjadikan anjung ini kawasan bersantai memandangkan anak-anak tidak begitu tertarik untuk meluangkan masa di sini.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Laluan tangga ke anjung tinjau


Nota: Bagi kami, tangga di homestay ini agak curam. Terdapat tiga tangga kesemuanya di sini - di beranda, ke anjung tinjau dan di bahagian dapur. Walaupun curam, tangga di beranda tidak terlalu tinggi dan menjadi tangga utama yang digunakan anak-anak dan ibu yang mempunyai masalah lutut. Tangga di bahagian dapur atas pula bukan sahaja curam, tetapi juga tinggi. Oleh itu, kami melarang anak-anak menggunakannya. Risau terjatuh pula, lebih-lebih lagi mereka tidak biasa memandangkan rumah kami tidak bertangga. Untuk ibu pula, walaupun masih boleh menggunakan tangga di beranda, beliau masih berasa sukar. Disebabkan itu, kebanyakan masa beliau tidak turun ke bawah dan hanya memerhatikan cucu-cucu bermain dari atas. Oleh itu, kami berpendapat kesesuaian homestay ini bergantung kepada rombongan anda. Jika ramai ahli yang mempunyai masalah mendaki tangga, keadaan ini mungkin boleh menimbulkan kesukaran semasa percutian anda. Wallahu'alam.


Aktiviti

1. Mandi kolam

Di mana-mana sahaja, sudah tentu pool sentiasa menjadi tarikan utama anak-anak. Tambahan pula kali ini dapat berendam dan bermain bersama-sama sepupu-sepupu. Sejak tiba di sini hingga ke tengah malam, jika boleh anak-anak langsung tidak mahu keluar dari kolam.

Kolam di Dangau Panggung Pak Din KK sebenarnya tidak besar, namun sesuai untuk anak-anak bermain. Yang menariknya, kolam tersebut terletak berhampiran tempat barbeku. Oleh itu mudah untuk kami mengawasi anak-anak sambil melakukan aktiviti barbeku. Selain itu, terdapat juga gazebo di hujung kolam sesuai untuk spot santai bersama keluarga.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Aktiviti paling best untuk anak-anak di sini


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Makan sebentar berhampiran pool


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Gazebo di hujung pool

2. Barbeku

Sementara anak-anak bermain air, mereka yang lain bersama-sama berbabeku menyediakan hidangan malam. Tiada caj tambahan dikenakan untuk menggunakan tempat barbeku. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah membawa keperluan barbeku seperti arang, starter dan daging serta ayam perapan.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Hidangan barbeku dah siap!


3. Rasa pengalaman menjadi penarik beca

Jika di tempat-tempat lain, kebiasaannya anak-anak berpeluang merasai pengalaman naik beca, lain pula kisahnya di homestay ini. Beca tua yang disediakan pihak Dangau Panggung Pak Din KK memberi peluang anak-anak merasai bagaimana rasanya mengayuh beca pula.

Sudah tentu, anak-anak kecil seronok menjadi penumpang, sementara yang lain menjadi penarik beca. Tidak pasti samada keadaan beca yang sudah agak tua atau sememangnya bukan mudah mengayuh beca, selepas hanya sekali pusingan, 'sang penarik beca' yang pada awalnya excited, terpaksa mengalah dan menyerahkan tugas kepada yang lain. Sangat berat katanya. Hmmm... sekurang-kurangnya pengalaman begini diharap membuatkan kita lebih menghargai susah-payah penarik beca apabila bercuti di tempat lain.


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Beca yang disediakan pihak homestay


4. Aktiviti-aktiviti lain

i. Bermain ting-ting

Di bahagian bawah homestay ini, pihak Dangau Panggung Pak Din KK ada menyediakan kawasan untuk anak-anak bermain ting-ting. Dengan suasana penginapan di rumah tradisional begini, melihatkan anak-anak bermain permainan yang agak popular suatu masa dahulu ini sudah tentu menggamit memori suasana kampung yang kini tinggal kenangan.


ii. Bersiar-siar di pantai

Memandangkan homestay ini terletak berhampiran pantai, sebahagian daripada kami mengambil kesempatan bersiar-siar menghirup udara segar di sini. Walaubagaimanapun, pantai di sini agak berbatu dan kurang sesuai jika anda merancang untuk membawa anak-anak merasai pengalaman mandi laut.


iii. Shopping ikan segar 

Kami diberitahu bahawa kami boleh mendapatkan ikan dan hasil laut segar di Pasar Nelayan Sungai Sembilang yang terletak tidak jauh dari homestay ini. Walaubagaimanapun, kami tidak ke sini memandangkan perancangan awal kami terpaksa diubah di saat akhir. Oleh itu, kami tidak pasti bagaimana suasana di pasar ini. Namun, jika anda dan keluarga adalah peminat makanan seafood, shopping hasil laut segar boleh dijadikan agenda wajib  percutian jika ke sini. 


Homestay menarik di Jeram, Kuala Selangor
Seronok bermain ting-ting


... rupanya hujan di tengah malam

Ketika tiba di sini, alhamdulillah, cuaca sangat baik. Tidak panas, dan dalam masa yang sama tiada tanda-tanda hari akan hujan. Selepas meletak beg dan barang-barang lain, anak-anak terus berendam di dalam kolam. Aktiviti barbeku juga dapat kami lakukan tanpa masalah. Masing-masing seronok berkumpul, bersantai, berbual dan bermain hingga ke tengah malam. 

Namun, keadaan berubah setelah masing-masing tidur kepenatan. Kami sendiri tak pasti bila hujan mula turun. Sedar-sedar, kami terbangun kerana tempat tidur terasa basah. Kami melihat bumbung homestay bocor di beberapa tempat. Cepat-cepat kami mengalihkan anak-anak ke kawasan yang kering. 

Ketika itu, hujan sedang turun dengan sangat luar biasa lebat disertai angin kencang. Nasib baik juga anak-anak tidak terbangun ketika itu. Jika tidak, rasanya mungkin mereka akan ketakutan mendengar bunyi siulan angin. Untuk kami yang tidak biasa dengan suasana berdekatan pantai begini, terasa seolah-olah ribut sedang melanda. 

Bukan itu sahaja, homestay ini juga mula mengalami masalah gangguan air. Ketika bersiap untuk solat Subuh, kami mendapati pili air kering. Pam elektrik mati dengan sendiri menyebabkan air tidak dapat naik ke bahagian atas homestay. Walaupun berkali-kali kami menghidupkan kembali pam tersebut, keadaan ini tetap berulang. Kami tidak pasti jika masalah ini disebabkan cuaca yang agak ekstrim.

Melihatkan keadaan begini, kami terus menghubungi pemilik homestay memberitahu apa yang berlaku. Hendak ke rumah caretaker agak sukar dalam keadaan malam dan ribut begitu walaupun hanya terletak bersebelahan. 

Alhamdulilah, pemilik homestay ini tidak berdiam diri. Beliau datang untuk melihat keadaan. Technician perlu dipanggil untuk membaiki pam air, dan bumbung juga perlu dibaiki. Sudah tentu semua ini mengambil masa. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk cut short penginapan kami. Alhamdulillah, pemilik homestay memahami keputusan kami. Beliau kelihatan sangat apologetic dan menyelesaikan kos penginapan yang telah dibayar dengan sangat baik dan bertanggungjawab.


OK atau tidak?

Despite shortcoming yang berlaku, kami berpuas hati dengan penginapan kami di sini. Lebih-lebih lagi apabila pemilik homestay tidak lepas tangan dengan masalah yang berlaku. Walaupun penginapan di sini bukanlah mewah dan masalah tetap terjadi, sehingga kini anak-anak gembira setiap kali bercerita mengenai pengalaman 'balik kampung' di Dangau Panggung Pak Din KK.

Homestay Dangau Panggung Pak Din KK boleh ditempah melalui platform airbnb di sini. Anda juga boleh menghubungi pemilik homestay ini di 017-6567352. Melalui pengalaman kami menginap di sini, kami lebih mengesyorkan anda menghubungi pemilik di talian di atas. Beliau menawarkan harga yang lebih berbaloi kepada kami ketika percutian kami di sini.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan