Glamping bersama anak-anak di Janda Baik - memang terbaik!

Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Tiarasa Escapes, Janda Baik

Selesa, unik, tersendiri. Itulah yang boleh saya katakan mengenai glamping resort yang baru membuka pintu buat para tetamu pada pertengahan tahun 2018.

Terletak di Janda Baik, Tiarasa Escapes mengetengahkan konsep percutian baharu bermalam di khemah-khemah kanvas tanpa mengetepikan keselesaan setaraf bilik-bilik hotel. Mengambil kesempatan opening promotion yang ditawarkan, kami membawa anak-anak menerokai pengalaman menarik yang belum pernah kami rasai ini.


1. Check-in

Alhamdulillah, urusan check-in berjalan lancar. Sementara menunggu process check-in selesai, anak-anak sempat menghilangkan haus di sudut minuman yang disediakan. Bukan sahaja air yang disediakan terasa sangat menyegarkan, tetapi anak-anak kami juga seronok merasa beberapa jenis snek yang diletakkan di dalam balang khas untuk para tetamu. Sambil mengalas perut, mereka berehat di sofa, membelek-belek buku di rak yang disediakan dan meneliti beberapa barangan perhiasan yang jarang dapat dilihat tandu dan Sementing Ringgit atau gobeng yang merupakan lingkaran tali pinggang yang berjuraian ibarat tali pinggang wang.

Walaupun kelihatan sibuk, staff di Tiarasa Escapes sentiasa ramah dan bersedia menerangkan tentang resort dan aktiviti yang disediakan. Memandangkan unit yang ditempah telah disiapkan, terus sahaja kami menuju ke khemah penginapan untuk pengalaman glamping pertama kami.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Lobi di khemah reception

Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Tandu di Tiarasa Escapes


2. Khemah penginapan

Terdapat 26 buah khemah penginapan kesemuanya di Tiarasa Escapes. Khemah penginapan kami menghadap ke sebatang sungai dan sememangnya sesuai dengan citarasa kami. Bayangkan, bangun di pagi hari ditemani udara segar sambil mendengar kicauan burung dan deruan sungai. Subhanallah. Bagi kami, suasana begini sememangnya satu nikmat untuk mana-mana warga kota yang saban pagi terperangkap di dalam kesesakan jalanraya ditemani bunyi hon dan deruan enjin kereta yang sentiasa in a rush ke destinasi yang dituju.

Masuk sahaja ke khemah, kami kagum melihat kemudahan dan dekorasi yang disediakan. Walaupun berdinding kanvas, bahagian interior khemah cukup menarik. Bukan sahaja pintu masuk ke khemah boleh dikunci untuk keselamatan, malah lantai juga diletakkan tiles. Saya perhatikan, ruang di anatara bahagian dinding yang menggunakan kanvas dan lantai di sealed dengan baik. Tiada gap kelihatan yang membolehkan haiwan atau serangga merayap ke dalam khemah.

Khemah Rajah Brooke yang disewa mempunyai dua ruang tidur. Satu ruang dilengkapi sebuah katil bersaiz king manakala ruang kedua dilengkapi dua katil single. Kedua-dua ruang ini dipisahkan oleh kawasan tempat duduk dilengkapi sofa.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Ruang tidur anak-anak dengan dua katil single

Setiap ruang tidur dilengkapi kipas dan portable air-cond. Sejujurnya, pada waktu matahari agak terik memancar, terasa juga bahang di dalam safari tent ini walaupun aircond dan kipas kedua-duanya digunakan. Namun, pada waktu malam dan awal pagi, cuaca di sini agak sejuk dan kami langsung tidak menggunakan portable air-cond yang disediakan.

Jika anda membawa minuman atau snek, tak perlu bimbang kerana khemah penginapan di sini turut dilengkapi mini cooler. Sekurang-kurangnya dapatlah kami menyimpan air-air kotak yang dibawa sebagai bekalan untuk anak-anak. Walaubagaimanapun, TIADA televisyen disediakan di dalam khemah. Namun, bagi saya ini adalah satu pluspoint! Alang-alang ke sini, saya lebih suka anak-anak keluar dan melihat alam semulajadi dan melakukan aktiviti bersama berbanding menghabiskan masa di hadapan televisyen.

Bukan sahaja ruang tidur yang disediakan sangat selesa, malah khemah penginapan ini turut mempunyai en-suite bathroom lengkap dengan water heater. Bukan satu, tetapi dua!


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Kawasan sinki di bilik air

Bilik mandi utama mempunyai bath tub dan ruang ke sini hanya ditutup oleh langsir yang tebal. Jika segan, anda boleh menggunakan bilik air kedua yang mempunyai pintu yang boleh dikunci. Namun, tidak seperti bilik mandi utama, bilik mandi kedua lebih kecil dan tidak mempunyai bath tub. Sudah tentu, anak-anak kami, terutamanya yang masih kecil memilih bilik air utama setiap kali membersihkan diri.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Bathtub di bilik mandi utama

'Tingkap' khemah di Tiarasa Escapes merupakan net yang boleh ditutup dengan langsir tebal. Walaupun net yang digunakan berwarna hitam dan warna tersebut dikatakan dipilih untuk memberi privasi kepada tetamu, namun, kami masih boleh melihat dengan agak jelas keadaan di dalam bilik apabila berdiri di luar khemah. Disebabkan itu, saya lebih selesa untuk bertudung walaupun berada di dalam khemah melainkan langsir dilabuhkan.

Selain khemah-khemah penginapan, Tiarasa Escapes juga menawarkan penginapan jenis tree house. Memandangkan kami mempunyai anak yang gemar memanjat, kami tidak memilih penginapan jenis ini atas sebab keselamatan.


3. Sarapan

Tidak seperti di kebanyakan hotel di mana kebiasaannya sarapan dihidang secara buffet, Tiarasa Escapes menawarkan kelainan dengan khidmat 'breakfast delivery' setiap pagi.

Hari pertama kami di sini, kami membuat request untuk menikmati hidangan sarapan di tepi sungai. Tikar dibentang dan staff Tiarasa Escapes turut menyediakan pallet bercat putih yang dialas runner sebagai meja sarapan. Kami tidak menunggu lama sebelum sarapan dibawa di dalam bakul Penan yang menarik. Menu sarapan sebenarnya biasa sahaja. Nasi lemak bungkus, kopi di dalam thermos, jus oren, buah dan cereal serta susu untuk anak-anak. Namun, mungkin kerana ambience sekitar membuatkan anak-anak kami cukup berselera. Habis licin makanan yang disediakan. Pada hari kedua pula, kami meminta sarapan dihantar ke khemah untuk dinikmati bersama.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Menikmati breakfast di tepi sungai



4. Aktiviti

Sungai & Swimming Pool...

Perkara pertama yang diminta oleh anak-anak kami sebaik sampai ialah... ke sungai! Sememangnya sejak mula berkenalan dengan aktiviti mandi di laut dan sungai, aktiviti seperti ini sentiasa menjadi agenda yang dinanti-nantikan oleh mereka. Selepas sahaja meletakkan beg di dalam khemah, kesemua mereka terus meniti batu-batu licin untuk mencari spot yang sesuai untuk menikmati kedinginan air sungai. Sungai yang menjadi sempadan Tiarasa Escapes ini bagaimanapun agak berbatu-batu dan lebih sesuai untuk berendam dan bukan berenang. Pun begitu, mereka meluangkan masa agak lama di sungai sebelum mengajak ke swimming pool. 


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Sungai di Tiarasa Escapes

Sejujurnya, pertama kali melihat swimming pool yang terletak di tengah-tengah resort ini, terasa seperti melihat sebuah oasis indah dikelilingi safari tent right here di Malaysia. Swimming pool di sini terbahagi kepada dua bahagian yang disambungkan oleh mini slide. Kedua-dua pool ini tidak dalam dan selamat untuk anak-anak bermain.

Anak-anak kami gembira meluangkan masa di pool bersama-sama, terutamanya di bahagian slide. Yang menariknya, mungkin kerana ketika itu cuti sekolah, mereka turut berpeluang mendapat kawan baharu. Kanak-kanak yang berada di pool ketika itu tidak kekok untuk bermain dan berkongsi mainan yang dibawa sungguhpun mereka tidak begitu mengenali satu sama lain.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Pool di Tiarasa Escapes

Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Bermain slide yang menghubungkan dua pool


Barbeque & Bonfire...

Glamping tanpa barbeque dan unggun api? Macam tak lengkap pula, kan? Memandangkan ini adalah pengalaman glamping pertama anak-anak, kami ingin melengkapkannya dengan pakej barbeque yang ditawarkan pihak resort pada malam kedua kami di sini.

Tiarasa Escapes menawarkan pakej barbeque dinner yang diadakan di tepi swimming pool. Pakej ini berharga RM80 untuk seorang dewasa dan RM50 untuk seorang kanak-kanak. Jika anda mahu aktiviti barbeque yang lebih personalised, anda boleh meminta untuk peralatan barbeque disediakan di hadapan khemah penginapan anda pada harga tambahan. Bahan mentah dan peralatan barbeque disediakan, oleh itu, anda tidak perlu menyediakan apa-apa dari rumah. Bukan itu sahaja, malah anda juga tidak perlu menghidupkan bara mahupun memasak. Semuanya dilakukan oleh staf resort. Walaupun pakej begini sangat convenient, anak-anak kami sebenarnya mengharap dapat bersama-sama memasak sendiri makanan mereka seperti yang pernah kami lakukan di tempat lain sebelum ini. Apapun, mereka tetap gembira.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Barbeque in process

Portion hidangan barbeque yang disediakan agak banyak. Kami pasti anak-anak kami tidak mampu menghabiskannya jika kami membayar untuk setiap mereka. Selera mereka tidak besar. Bagi mengelakkan pembaziran, kami berbincang dengan pihak resort dan mereka membenarkan kami membayar hanya untuk sebahagian daripada anak-anak kami. Alhamdulillah, hidangan yang disediakan just nice untuk kami sekeluarga.

Anda boleh memilih untuk makan di dalam khemah berhampiran pool yang dijadikan dining area ataupun di bawah sinaran bulan di bahagian luar. Kami memilih untuk makan di dalam khemah - lebih terang untuk enjoy hidangan yang disediakan.


Glamping di Tiarasa Escapes bersama anak-anak
Menikmati hidangan barbeque dinner

Selesai makan malam, kami terus ke lokasi bonfire atau unggun api. Oh, ya... pakej barbeque di atas turut termasuk aktiviti 'bonfire ceremony'. Walaupun dinamakan bonfire ceremony, hakikatnya, tiada apa-apa upacara khas yang dilakukan. Unggun api telah siap dihidupkan dan marshmallow telah disediakan beserta dengan skewer. Api yang dihidupkan agak besar dan sudah tentu anak-anak perlu dipantau apabila mereka ingin membakar marshmallow. Mungkin kerana sudah kekenyangan, anak-anak kami hanya mampu makan beberapa marshmallow. Kebanyakan masa, kami hanya duduk di sekeliling unggun api berbual-bual sambil menghangatkan badan pada malam yang dingin.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Meluangkan masa bersama sekitar unggun api
Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Suasana malam di Tiarasa Escapes

Selain pakej barbeque dinner, hidangan ala-carte turut ditawarkan. Pada malam pertama kami di sini, kami memilih hidangan ala-carte. Walaubagaimanapun, menu ala-carte agak terhad dan anda perlu membuat pesanan lebih awal supaya hidangan dapat disediakan pada waktunya. Kami membuat pesanan di sebelah petang dan alhamdulillah, hidangan disediakan on time seperti yang dijanjikan.

Jika tidak berminat untuk makan di resort ini, anda boleh memilih untuk memandu ke Genting Sempah yang terletak hanya kira-kira 10 minit dari Tiarasa Escapes.


Moonlight Cinema...

Aktiviti ini adalah antara yang paling disukai oleh anak-anak kami. Memandangkan ketika itu musim cuti persekolahan dan terdapat beberapa keluarga lain yang juga membawa anak-anak bersama, pihak Tiarasa Escapes bersetuju melayan permintaan anak-anak kami untuk tayangan kartun pada malam kedua kami di sini.

Setiap malam, pihak resort menawarkan tayangan filem menggunakan projector dan screen besar di dataran terbuka di bawah sinaran bulan dan bintang - dan kami mengagak dari situlah nama moonlight cinema ini diberi. Moonlight cinema di Tiarasa Escapes tidak menayangkan filem terkini yang sedang ditayangkan di panggung-panggung wayang. Mereka hanya memilih dari ratusan koleksi filem yang terdapat dalam database mereka. Walaupun anak-anak kami pernah menonton kartun yang ditayangkan, mereka tetap gembira dengan suasana dan pengalaman unik yang diperolehi.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Suasana ketika Monnlight Cinema sedang berlangsung

Untuk menonton wayang ini, harga yang dikenakan ialah RM20 setiap seorang. Kerusi dan tikar disusun di hadapan layar besar, lengkap dengan kusyen dan selimut untuk keselesaan tetamu. Ada tetamu yang lebih suka duduk di kerusi, dan ada juga yang memilih untuk berbaring di atas tikar. Kesemua anak kami berbaring dengan selesa sambil berselimut seakan-akan menonton televisyen beramai-ramai di rumah.

Di pertengahan filem, kami dihidangkan dengan hot chocolate dan freshly made popcorn. Heavenly! Terpulang kepada anda, jika tidak mahu hot chocolate, anda boleh memilih hot tea ataupun coffee.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Menikmati popcorn sambil menonton 'wayang'

Daripada yang paling besar hingga yang paling kecil, anak-anak kami jelas seronok dengan pengalaman unik ini. Walaubagaimanapun, cuaca kurang menyebelahi kami apabila hujan mulai turun di akhir filem. Kesemua tetamu yang juga menonton 'wayang' ini terpaksa berlari pulang ke khemah tanpa menghabiskan filem apabila hujan beransur lebat.


Picnic by the river...

Salah satu aktiviti yang kami lihat mendapat sambutan para tetamu ialah picnic by the river. Picnic by the river diadakan pada sebelang petang dan tetamu akan diberi hidangan tea-time yang diatur di atas meja pallet di tepi sungai. Harga aktiviti ini ialah RM30 setiap seorang.

Kami tidak pasti apakah menu tea-time yang ditawarkan memandangkan kami tidak memilih untuk turut serta. Waktu petang adalah waktu anak-anak kami sibuk bermain. Tambahan pula, mereka telah mendapat pengalaman menikmati hidangan di tepi sungai semasa sarapan menyebabkan mereka lebih berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain.


Arts & Craft...

Khas untuk tetamu kanak-kanak, pihak resort menawarkan aktiviti arts & craft semasa penginapan di sini. Pada masa yang dijanjikan, staf Tiarasa Escapes membawa anak-anak kami ke conference tent yang turut dijadikan tempat kanak-kanak melakukan aktiviti kraf. 

Anak-anak kami memilih untuk menghasilkan puppet socks. Semua alatan disediakan oleh pihak resort, dan staff in-charge juga sabar melayan karenah mereka. Memandangkan anak-anak kami tidak pernah menghasilkan kraf seperti ini, mereka diajar step-by-step dan dibenarkan untuk take their own time dalam menghasilkan kraf mereka. No rush.

Walaupun kraf yang dihasilkan ringkas, anak-anak kami puas dan bangga dengan hasil masing-masing. Bayaran? Aktiviti ini adalah complimentary. 


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Menghasilkan puppet socks masing-masing


Nature walk & Birdwatching...

Setiap pagi, para tetamu berpeluang menyertai sesi nature walk & birdwatching di sekitar kawasan resort. Aktiviti ini sesuai untuk semua peringkat umur dan tidak memerlukan anda berpakaian sukan. Laluan yang digunakan hanyalah walkway di dalam resort ini sendiri. Untuk ramai kanak-kanak, 'bekalan' binocular yang diberi membuatkan masing-masing excited untuk memulakan 'pengembaraan'.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Mengikuti nature walk & birdwatching
Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Red dragonfly yang banyak terdapat di Tiarasa Escapes

Walaupun tiada hutan atau sungai yang perlu diredah, kami tetap merasakan nature walk ini sangat menarik. Guide yang membawa kami sangat berpengetahuan dan langsung tidak lokek berkongsi informasi mengenai flora dan fauna yang boleh didapati di kawasan resort ini. Secara peribadi, banyak pengetahuan baru yang saya pelajari daripada aktiviti ini. 

Pernahkah anda dengar tentang pokok yang mencekik pokok lain hingga mati? Kejam bunyinya, bukan? Hakikatnya, pokok strangler fig yang asalnya hidup menumpang pada pokok lain, perlahan-lahan 'menghisap' nutrien daripada pokok yang ditumpanginya. Dari hari ke hari, dahan dan akar pokok ini akan membesar dan menjalar mengelilingi batang pokok yang ditumpangi, all the way ke tanah. Apabila akarnya sudah mula mendapatkan nutrien yang lebih banyak dari tanah, bahagian yang tumbuh mengelilingi pokok yang ditumpangi akan menjadi lebih besar dan kuat, sekaligus menyekat aliran nutrien dan 'mencekik' pokok tersebut hingga mati. Pokok yang telah mati tersebut akan terurai dan meninggalkan kawasan kosong di tengah-tengah strangler fig yang boleh dilihat sendiri di Tiarasa Escapes.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Pokok Strangler Fig dengan ruang kosong di tengah-tengahnya

Birdwatching pada pagi tersebut pula kurang menyebelahi kami memandangkan tidak banyak spesis burung yang kelihatan. Namun, kami sangat berpuas hati dengan penerangan sepanjang walk ini. Bayaran? Juga complimentary.


Berbasikal...

Berbasikal seperti sudah menjadi aktiviti wajib setiap kali kami ke tempat-tempat seperti ini. Tiarasa Escapes menyediakan beberapa basikal untuk para tetamu. Tiada bayaran dikenakan untuk menggunakan basikal-basikal ini.

Pada waktu pagi dan petang, anak-anak kami akan ke khemah reception untuk mendapatkan basikal. Berbasikal di kawasan resort yang dikelilingi alam semulajadi memang menyeronokkan. Walaubagaimanapun, hanya kakak-kakak sahaja yang dapat berbasikal memandangkan tiada basikal kanak-kanak disediakan. Mungkin pihak resort dapat mempertimbangkan untuk menambah basikal kanak-kanak.

Selain basikal, kami melihat ada juga tetamu yang membawa foldable scooter untuk anak-anak mereka bermain.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Berbasikal di kawasan Tiarasa Escapes


Outdoor & Indoor games...

Kawasan resort yang spread out over kawasan yang luas menjadikan Tiarasa Escapes sesuai untuk aktiviti outdoor. Pihak resort ada menyediakan raket badminton tetapi bergantung kepada availability. Kami melihat kebanyakan tetamu lain telah bersiap-sedia dengan membawa permainan sendiri seperti badminton, bola dan frisbee.

Selain outdoor games, Tiarasa Escapes juga ada menyediakan permainan indoor yang boleh anda pinjam untuk dimain di khemah, terutamanya pada waktu malam. Kepada yang gemar membaca, tetamu juga dibenarkan meminjam buku-buku yang diletakkan di rak di khemah reception untuk dibaca di khemah masing-masing.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Bermain badminton di kawasan resort

5. Lain-lain

Terdapat pokok buah-buahan seperti manggis, duku dan durian di dalam kawasan Tiarasa Escapes. Kami tidak langkah kanan semasa ke sini kerana musim durian baru sahaja berkahir. Manggis pula baru berbunga. Kami diberitahu tetamu yang berkunjung hanya beberapa minggu sebelum itu berpesta durian memandangkan durian di resort tersebut sangat menjadi. Tetamu bebas mengambil durian yang gugur dan mengait buah-buahan lain bila tiba musimnya. Hanya sepohon durian yang masih berbuah ketika penginapan kami di sana, namun, tiada buah durian yang gugur.

Selain itu, kami juga memerhatikan terdapat banyak serai wangi ditanam dan dijadikan lanskap di seluruh resort. Bath gel dan shampoo mempunyai bau serai wangi, selain welcome drink turut memanfaatkan tumbuhan ini. Kami diberitahu bahawa serai wangi tersebut ditanam sebagai natural mosquito repellent, dan kami berpendapat strategi tersebut sangat menjadi. Tiada seorang pun antara kami yang digigit nyamuk sepanjang berada di sini.

Tiarasa Escape dibuka untuk tempahan secara online di laman web mereka di sini atau hubungi pihak resort di 012-887 7777 untuk maklumat lanjut mengenai Tiarasa Escapes.


Glamping di Tiarasa Escapes dengan anak-anak
Buaian menarik berbentuk kon berdekatan khemah penginapan kami



Lain-lain berkaitan:


Janda Baik...




Bentong/Bukit Tinggi...




2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Kami ke sana ketika opening promotion. Klik link di atas untuk harga terkini Tiarasa Escapes.

      Padam