Jalan-jalan Bukit Bendera, Pulau Pinang bersama anak-anak

Cuti best dengan anak-anak di Bukit Bendera
Disambut 'squirrel' di Bukit Bendera, Pulau Pinang


Tak lengkap rasanya percutian ke Pulau Pinang jika tak ke Bukit Bendera. Sejak dahulu lagi, tarikan ini sudah sangat sinonim dengan Pulau Mutiara menjadikannya tempat lawatan wajib kebanyakan pelancong yang bercuti di sini.

Ketika musim cuti persekolahan terutamanya, Bukit Bendera boleh menjadi terlalu sesak dan menguji kesabaran pengunjung. Kali terakhir kami ke sini sebelum ini, saya masih ingat bagaimana panjangnya barisan pengunjung yang ingin membeli tiket sehingga melimpah ke jalan. Hampir sejam kami menunggu untuk mendapatkan tiket. Itu tidak termasuk masa menunggu sehingga lebih sejam untuk menaiki keretapi naik ke Bukit Bendera, dan lebih dua jam lagi menunggu keretapi untuk perjalanan turun.

Pun begitu, kami tetap gigih juga mengunjungi tarikan ini sekali lagi memandangkan anak-anak yang kecil sudah teruja untuk menaiki keretapi menaiki bukit setelah kakak-kakak seronok bercerita tentangnya. Hmmm... mungkin mereka sudah lupa ujian masa menunggu tempoh hari dan yang tinggal di ingatan hanyalah keseronokan menaiki keretapi tersebut.



Cuti best dengan anak-anak di Bukir Bendera
Menuju Bukit Bendera, Pulau Pinang


Untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali, kami mengambil keputusan untuk ke sini bukan pada hujung minggu. Tiket keretapi kami beli secara online di website rasmi Penang Hill untuk membantu mempercepatkan proses lawatan. Harga yang dikenakan untuk pembelian secara online sebenarnya sama sahaja dengan harga di kaunter tiket. Cuma, ketika di kaunter, kami diberi laluan khas untuk redeem tiket yang telah dibeli. Sekurang-kurangnya, jimatlah sedikit masa dalam urusan pembelian tiket. Namun, anda masih perlu beratur menunggu giliran untuk menaiki keretapi (melainkan anda membeli tiket fastlane). Oh, jangan lupa untuk membawa kesemua MyKad dan MyKid anda dan anak-anak semasa membeli mahupun redeem tiket. Pemegang MyKad/MyKid mendapat harga tiket istimewa yang lebih murah untuk menaiki keretapi ini. 

Nota: Kerana tersalah jalan (despite bantuan Waze), kami melihat deretan kenderaan pacuan empat roda di kaki bukit berdekatan Penang Botanical Garden menawarkan alternatif untuk pelancong ke Bukit Bendera. Walaupun ini bukan kali pertama kami ke Bukit Bendera, sebelum ini kami tidak pernah tahu tentang alternatif ini. Harga yang ditawarkan adalah kira-kira RM80/jeep sehala. Walaupun merasakan alternatif ini menarik, kami tidak menggunakan perkhidmatan ini memandangkan tiket keretapi telah dibeli lebih awal secara online.

Cuti best dengan anak-anak di Bukit Bendera
Tandu yang menjadi pengangkutan awal pegawai British ke Bukit Bendera 

Alhamdulillah, walaupun pengunjung tetap ramai, namun, keadaan tidaklah sesak seperti kunjungan kami sebelum ini. Keretapi Bukit Bendera mula beroperasi seawal 6.30 pagi hingga 11 malam memberikan pengunjung masa yang panjang jika merancang ke sini. Di stesen keretapi ini, anak-anak kami tertarik melihat 'pengangkutan' silam mendaki Bukit Bendera yang pernah digunakan suatu ketika dahulu. 'Pengangkutan' yang dipanggil tandu ini pernah digunakan pegawai British dan perlu diusung di atas bahu oleh empat orang pembantu. Bayangkan perlu mengusung pegawai mendaki bukit yang terletak pada ketinggian lebih 800m atas paras laut! "Kesiannya, mak. Tak letih ke orang yang nak bawa?"

Di atas Bukit Bendera, kami hanya bersiar-siar meluangkan masa bersama dan mengambil kesempatan meninjau pemandangan Pulau Pinang dari Sky Walk. Selain itu, anak-anak tidak melepaskan peluang meneropong pulau ini melalui deretan teropong yang disediakan. Teropong-teropong ini boleh anda gunakan pada bayaran RM1 untuk 2 minit. Anda hanya perlu memasukkan duit di teropong tersebut seperti membayar auto-parking di pusat membeli belah.   

Di tepi laluan di Bukit Bendera, kami melihat ramai pelukis yang menawarkan perkhidmatan melukis potret dan karikatur untuk pengunjung yang berminat membawa pulang personalised cenderahati seperti ini. Ramai juga yang mengambil peluang mengabadikan potret mereka sehingga tiada seorang pelukis pun yang tidak mempunyai pelanggan ketika itu.


Cuti best dengan anak-anak di Bukit Bendera
Sky Walk di Bukit Bendera, Pulau Pinang

Cuti best dengan anak-anak di Bukit Bendera
Deretan teropong di Bukit Bendera, Pulau Pinang


Jika kepenatan, anda boleh menjamu selera di Cliff Cafe yang menyediakan pelbagai hidangan untuk pengunjung. Walaubagaimanapun, kami tidak makan di sini dan hanya membeli minuman memandangkan cuaca ketika itu agak panas sehingga tidak terasa kedinginan udara walau berada di puncak bukit. Berbekalkan minuman dan kacang kuda yang dibeli di stall untuk mengalas perut, kami meluangkan masa bersama-sama di dataran sambil melihat keretapi funikular generasi kedua yang dipamerkan di situ.


Cuti best dengan anak-anak di Bukit Bendera
Generasi kedua keretapi funikular

Disebabkan batasan masa, kami tidak ke tarikan lain yang semakin banyak disediakan di Bukit Bendera. Namun, jika anda mempunyai masa, tarikan-tarikan ini mungkin menarik minat anak-anak anda:


1. Bermain di taman permainan

Di mana-mana sahaja, taman permainan pasti menjadi tarikan anak-anak, terutamanya anak-anak yang masih kecil dan juga mereka yang di usia sekolah rendah. Untuk ke sini, anda perlu mendaki tangga di mana taman ini terletak berhampiran Masjid Bukit Bendera dan Kuil Sri Aruloli Thirumurugan. Terdapat juga sebuah meriam lama yang pasti mencuri perhatian kanak-kanak tidak jauh dari taman permainan ini.


2.  Menaiki buggy mengelilingi Bukit Bendera

Jika letih untuk berjalan kaki, anda boleh membawa anak-anak menaiki buggy yang disediakan di sekitar dataran di Bukit Bendera ini. Pada kadar RM30 setiap buggy, anda dan anak-anak dibawa bersiar-siar sejauh kira-kira 2 km melihat pemandangan sekitar Bukit Bendera.


3. Owl Museum

Terletak berhampiran Cliff Cafe, tarikan kecil Owl Museum atau Muzium Burung Hantu ini sebenarnya mempamerkan koleksi unik replika dan kraf bertemakan burung hantu. Ia sesuai jika anda peminat spesis burung ini. Walaubagaimanapun, tiada burung hantu hidup yang boleh dilihat di sini. Tiket masuk adalah RM12 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak.


4. Toy Museum & 5D Cinema

Muzium kecil yang mempamerkan watak-watak kartun kegemaran kanak-kanak ini turut menawarkan pengalaman 5D Cinema sebagai hiburan di Bukit Bendera. Harga tiket adalah RM10 untuk dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak


5. Earthquake & Typhoon Pavillion

Di bukit yang menjadi tarikan pelancong ini, pengunjung berpeluang merasai simulasi suasana gempa bumi dan taufan di Eathquake & Typhoon Pavillion dalam persekitaran yang selamat tanpa risau kesan aftermath bencana sebenar. Walaupun secara peribadi saya merasakan konsep yang diketengahkan ini agak unik dan sesuai untuk anak-anak yang lebih besar, namun, saya tidak berani membawa anak-anak kecil merasai pengalaman ini. Takut tak tidur malam pula! Tiket masuk ke simulator ini ialah RM36 untuk dewasa dan RM24 untuk kanak-kanak.


6. Little Village

Pintu gerbang berbentuk hati yang menjadi laluan masuk ke sini bukan sahaja sesuai sebagai tempat bergambar pasangan berbulan madu, malah juga spot mengabadikan gambar keluarga bersama anak-anak. Di Little Village, anak-anak juga boleh beraksi sebagai Snow White di hadapan model rumah dwarf, bermain dengan arnab di rabbit garden kecil dan dan mengenali serba sedikit mengenai lebah di bee showroom. Bayaran masuk ke sini adalah RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.


7. The Habitat

The Habitat membuka peluang untuk anda dan anak-anak menghayati keindahan flora dan fauna di bukit yang menjadi ikon Pulau Pinang ini. Anda boleh membawa anak-anak ke nature trail sepanjang 1.6 km, tree top walk mahupun canopy walk yang menyajikan pemandangan alam semulajadi yang indah. Complimentary guided tour turut disediakan setiap 30 minit agar kunjungan anda lebih informatif. Bayaran masuk ke The Habitat adalah RM50 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Klik di sini untuk diskaun tiket ke The Habitat.





   

12 ulasan:

  1. Rupanya banyak juga tempat yg daya terlepas pandang semasa saya pergi ke Penang Hill. Anyway very good article. Seronok membacanya.

    BalasPadam
  2. Terima kasih utk info....blh jd slh satu cdgan pcutian fmly thn ni😂

    BalasPadam
  3. InsyaAllah, esok akan ke bukit bendera. Dah dpt gambaran serba sedikit perjalanan ke b.b esok. Tq puan atas perkongsian etenery di b.b 👍🏻

    BalasPadam
  4. Boleh bawa stroller tak. Atau leceh

    BalasPadam
  5. t.kaseh. skrg kat dataran,br ada idea sket nk wwt apa😅

    BalasPadam