Percutian berkuda di Riders Resort, Kulai, Johor |
Nak bercuti di horse ranch masa PKPP belum tamat? Boleh je.... tak perlu rentas sempadan pun. Kat Malaysia kan macam-macam ada!
Sebenarnya, kami pun tak pernah tahu wujudnya tempat menarik begini di negara sendiri. Hanya kebetulan sahaja terlihat iklan di internet. Pada mulanya kami sangkakan iklan mengenai resort di luar negara, tapi sebenarnya hanya di Kulai, Johor!
Potongan 50% sempena Hari Merdeka dan pembukaan semula percutian di ladang kuda ini berjaya menarik perhatian kami. Setelah 20 tahun beroperasi, tempat menarik ini bertukar pengurusan dan dijenamakan semula dengan nama Riders Resort (dahulu dikenali sebagai Riders Lodge). Pihak pengurusan melakukan kerja-kerja refurbishment sebelum resort ini dibuka semula hanya 3 hari sebelum Hari Kemerdekaan ke-63 yang lepas.
Pagi-pagi lagi selepas sarapan kami bertolak menuju ke tempat menarik yang baharu kami tahu ini. Alhamdulillah, trafik agak lancar dan kami mengambil masa kira-kira 3 jam setengah untuk tiba ke destinasi. Anak-anak yang lebih kecil sangat excited hingga masing-masing cuba untuk tidak tidur sepanjang perjalanan. Riuh kereta dibuat mereka.
Ladang kelapa sawit boleh dilihat di kiri kanan laluan masuk ke Riders Resort. Terletak hanya bersebelahan dengan The Legends Golf & Country Resort, pertama kali melihat resort berskala kecil ini mengingatkan kami kepada farmhouse di dalam filem barat klasik. Terasa seperti berada di countryside Inggeris pula.
Nota: Disebabkan Riders Resort dikelilingi ladang kelapa sawit, banyak juga nyamuk yang menyerang. Oleh itu, mosquito repellent sangat membantu di sini.
Penginapan farmhouse di Riders Resort |
Check-in
Urusan check-in sangat mudah. Setiap staf yang kami jumpa sangat peramah dan bersedia membantu. Sementara anak-anak yang lebih besar membantu adik-adik mereka ke bilik, kami terus mengatur aktiviti yang hendak dilakukan sepanjang percutian ini. Aktiviti berkuda perlu diberitahu lebih awal supaya staf yang terlibat boleh melakukan persiapan sepatutnya.
Kami diberikan dua bilik dengan connecting door di tingkat atas farmhouse. Tiada lift di sini. Oleh itu, jika ada di antara ahli keluarga anda yang mempunyai masalah mendaki tangga, pastikan anda meminta bilik di tingkat bawah.
Kawasan ruang makan dan reception |
Bilik
Bilik penginapan kami tidak besar, tetapi bersih dan cukup selesa untuk kami sekeluarga. Dari bilik hingga ke tandas, jelas setiap sudut diberi nafas baharu oleh pihak resort. Simple namun menarik. Walaubagaimanapun, kemudahan bilik sangat basic. Cerek, minibar, set televisyen dan telefon room to room tidak dibekalkan untuk tetamu. WiFi juga tidak begitu stabil. Ada masa connection bagus, ada masa terlalu lambat. Kami dimaklumkan bahawa pihak resort masih lagi di dalam proses untuk melengkapkan bilik-bilik di sini.
Bilik penginapan dengan daybed |
Pada mulanya anak-anak agak kecewa melihat tiada televisyen yang boleh mereka tonton di waktu malam. Namun sejujurnya, kami sendiri tidak begitu kisah. Secara peribadi, kami merasakan percutian tanpa gajet begini adalah masa terbaik untuk kami meluangkan lebih masa kualiti bersama. Lebih banyak saluran komunikasi terbuka. Alhamdulillah, dua malam di sana berlalu dengan lebih banyak aktiviti dilakukan bersama, walau sekadar bercerita, sakat-menyakat dan bergelak ketawa di dalam bilik.
Tandas juga bersih dan selesa |
Sarapan & makan
Hidangan makan di sini adalah secara set dan bukan buffet. Sarapan pagi lebih ke arah selera moden. Kami diminta memilih antara waffle, pancake dan roti bakar yang dihidangkan bersama telur, sausage dan hash brown. Buah-buahan turut disediakan selain jus dan pilihan kopi atau teh.
Selain sarapan, kami turut makan malam di sini. Malam pertama di sini, hidangan adalah secara set dengan pilihan makanan ala-western. Malam kedua pula rezeki kami sangat baik. Pihak pengurusan memutuskan untuk megadakan barbeque dinner untuk kesemua tetamu yang menginap di Riders Resort. Malam itu, lebih pilihan makanan yang disediakan seperti salad, barbeque ayam dan daging, kepingan ikan, nasi goreng, brownies, carrot cake dan buah-buahan. Berselera sungguh anak-anak menjamu selera.
Buah-buahan sebagai starter |
Breakfast.... sedap dan fulfilling! |
Bagi kami, harga makanan di Riders Resort agak pricey. Namun, portion yang diberi adalah reasonable dan rasa hidangan sangat fantastic! Daripada salad, sup hinggalah ke hidangan utama, hanya pinggan licin yang dipulangkan ke dapur.
Untuk makan tengahari pula, kami membawa anak-anak menjamu selera di luar resort. Taman perumahan terdekat iaitu Taman Scientex terletak hanya kira-kira 10 minit memandu dari resort ini. Beberapa restoran dan kedai runcit boleh didapati di sini.
Menikmati barbeque buffet yang lazat |
Aktiviti
Beberapa aktiviti ditawarkan di Riders Resort dan sudah tentu, kesemuanya bertumpu kepada aktiviti berkuda. Sebahagian aktiviti seperti horse riding camp memerlukan masa beberapa hari, namun ada juga yang sesuai untuk percutian singkat. Di sini, saya hanya akan menulis tentang aktiviti yang kami lakukan semasa menginap di sini.
1. Pony ride
Ini adalah aktiviti pembuka kami di sini. Hanya dua anak yang berusia 8 dan 5 tahun melakukan aktiviti ini. Tujuan kami mulakan percutian kami dengan aktiviti pony ride sebenarnya adalah untuk memberanikan mereka menunggang kuda. Seperti yang kami jangka, walaupun sangat excited untuk ke sini, saat berada di hadapan kuda lain pula ceritanya. 'Drama' bermula sebaik kuda dibawa untuk ditunggang - takut dan tak confident.
Namun, sesuatu yang kami kagum adalah melihat ketenangan staf melayan dan mententeramkan anak-anak kami. Ketika itu, terdapat hanya seekor pony untuk ditunggangi. Oleh itu, salah seorang antara mereka perlu menunggang kuda yang lebih besar. Alhamdulillah, selepas masing-masing memujuk, kedua-dua mereka berjaya memberanikan diri menunggang kuda.
Untuk aktiviti ini, kuda yang ditunggang dituntun oleh seorang staf sepanjang masa. Sangkaan kami, kuda akan hanya dibawa sekeliling gelanggang menunggang. Rupa-rupanya, mereka dibawa ke kawasan ladang kelapa sawit berdekatan. Setengah jam juga mereka dibawa bersiar-siar menungggang kuda. Hasilnya, kedua-dua anak kami lebih ceria malah sudah berani melambai-lambai ketika pulang.
Lebih confident di akhir sesi |
2. Horse riding lesson
Aktiviti ini pula, kami jadualkan untuk kakak-kakak. Setiap seorang diberi seekor kuda untuk ditunggang. Pada mulanya, kedua-dua kuda dituntun oleh staf bertugas sementara mereka masih bertatih belajar mengawal kuda - bagaimana untuk mengisyaratkan kuda untuk mula bergerak, bagaimana untuk membelok dan menghentikan kuda. Apabila mereka sudah yakin, staf bertugas akan melepaskan kuda tersebut. Kuda tidak lagi dituntun dan mereka perlu mengawal sendiri kuda masing-masing.
Sejujurnya, ketika mula-mula ke sini, kami agak risau juga. Maklumlah, kami tidak biasa dengan aktiviti begini. Namun, cara instructor mengendalikan kelas membuatkan kami selesa. Tambahan pula, mengetahui bahawa beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sukan ini, malah pernah menjadi trainer untuk pasukan Singapura ke SEA Games 2017 membuatkan kami lebih lega dan yakin untuk menyertai aktiviti berkuda di sini.
Riding lesson yang dihadiri anak-anak kami mengambil masa selama sejam. Mereka hanya diajar asas menunggang kuda sahaja. Kami diberitahu jika anak-anak berminat, mereka boleh juga menghadiri kelas pengurusan kuda. Namun, kami rasakan basic lesson sudah cukup buat masa ini. Mereka belum bersedia untuk kelas yang lebih advance.
Belajar asas menunggang kuda |
3. Jungle trail
Setelah masing-masing lebih yakin menunggang, kami bersama-sama menyertai aktiviti jungle trail. Setiap kami menunggang kuda masing-masing. Hanya kuda dua anak kami yang paling kecil dituntun oleh staf. Yang lain-lain perlu menunggang dan mengawal sendiri kuda semasa aktiviti ini.
Sebelum 'berlepas', instructor sekali lagi memberi panduan untuk menunggang kuda. Kami perlu mengawal kuda masing-masing di dalam gelanggang terlebih dahulu. Setelah masing-masing yakin dan instructor juga berpuas hati, barulah kami dibenarkan keluar menuju ke trail.
Walaupun dinamakan 'jungle trail' laluan ini bukanlah merentasi hutan, tetapi melalui ladang kelapa sawit yang luas di sekeliling resort. Selain daripada instructor bertugas, seorang lagi staf turut mengikuti kami sepanjang trail ini. Kami menunggang kuda dalam satu barisan dengan instructor berada paling hadapan dan staf yang satu lagi berada paling belakang.
Kami dibawa menunggang di ladang kelapa sawit selama kira-kira sejam. Pengalaman menunggang sendiri kuda begini memang mengasyikkan. Pemandangan di ladang kelapa sawit yang sebenarnya biasa-biasa sahaja terasa sangat menyeronokkan. Kalau boleh, ingin sahaja saya merakam detik-detik menunggang kuda bersama anak-anak sepanjang trail ini. Namun, memandangkan kami sendiri tak berpengalaman, tak berani pula rasanya untuk mencapai telefon dan mengambil gambar semasa berada di atas kuda.
Nota: Hanya sekadar berkongsi, kami diberitahu bahawa kuda-kuda di sini tidak suka membawa dua penunggang pada satu-satu masa. Oleh itu, kanak-kanak tetap perlu menunggang secara solo. Anda tak dibenarkan membawa anak anda menunggang seekor kuda bersama-sama.
Latihan di gelanggang sebelum jungle trail bermula |
Menuju ke jungle trail |
Kemudahan lain menarik untuk anak-anak
TV tak ada, WiFi tak menentu. Tak boring ke anak-anak? Alhamdulilah, ada sahaja aktiviti yang boleh anak-anak lakukan selesai sesi menunggang. Tak lah mereka kebosanan. Walaupun tidak banyak, namun kemudahan tambahan di bawah membantu anak-anak kami memenuhi masa mereka sepanjang percutian di sini.
1. Dipping pool
Kolam di Riders Resort bersaiz kecil dan kurang sesuai untuk tetamu dewasa bermandi-manda. Namun, untuk anak-anak kecil, kolam ini sudah mencukupi. Masa petang yang terluang sama-sama dihabiskan dengan bermain di kawasan kolam kecil ini.
Kami diberitahu jika inginkan kolam renang yang lebih besar, tetamu boleh ke The Legends Golf & Country Resort yang terletak bersebelahan Riders Resort. Namun, kami memilih untuk hanya meluangkan masa di Riders Resort. Oleh itu, kami tidak pasti tentang keadaan kolam di The Legends Golf & Country Resort, atau tentang bayaran untuk menggunakan kolam di sana.
Pool kecil sesuai untuk kanak-kanak |
2. Children corner
Children corner di sini tidak besar. Hanya sekadar small tent dan kerusi meja diletakkan di sudut berdekatan lobi. Warna pensel disediakan dan kebetulan pula anak-anak kami mempunyai lukisan untuk diwarnakan. Oleh itu, mereka sibuk mewarna di sudut ini terutamanya ketika hujan dan di malam hari.
Children corner yang ringkas |
Penginapan farmhouse di Riders Resort mempunyai laman yang agak luas. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehidupan tak berlaman di ibu kota, anak-anak kami sangat seronok meluangkan masa bermain di laman di sini. Aktiviti yang paling mereka suka adalah bermain buai dan badminton. Tetamu bebas menggunakan laman yang ada di sini. Oleh itu, terpulang kepada aktiviti kegemaran anak-anak anda, jika merancang untuk ke sini, anda boleh menyediakan permainan untuk mereka bermain di sini.
Buai laju-laju... |
Ooopss... ter-miss |
4. Morning walk
Kalau ke tempat begini, rugi pula rasanya kalau tak bersiar-siar di pagi hari menghirup udara segar tanpa pencemaran. Setiap pagi, kami keluar hanya sekadar berjalan-jalan di sekeliling resort kecil ini menikmati ketenangan dan kedamaian jauh dari kesibukan ibu kota.
Pemandangan bangsal kuda di waktu pagi |
Info lanjut boleh didapati di laman rasmi Riders Resort di sini atau hubungi 07-6525330 untuk tempahan atau pertanyaan. Selain itu, Riders Resort turut terbuka untuk tempahan secara online melalui Agoda dan Expedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan