Tasik Kebun Serendah, Serendah, Selangor |
Tercari-cari tempat sesuai untuk weekend getaway yang best bersama keluarga? Serendah mungkin boleh menjadi destinasi keluarga dalam senarai list percutian anda!
Sebelum ke sini, sejujurnya kami agak ragu-ragu dengan aktiviti yang boleh dilakukan. Tak banyak yang kami tahu tentang tempat ini, dan kami risau juga anak-anak akan kebosanan. Namun, memandangkan kebelakangan ini hampir setiap hujung minggu agak occupied, kami ingin membawa anak-anak bercuti apabila terbuka peluang untuk meluangkan masa bersama-sama.
Kali ini, kami ingin ke destinasi yang tidak jauh dari Kuala Lumpur, dan dalam masa yang sama jauh dari hiruk-pikuk bandar. Kalau boleh, biarlah sesuatu ala-ala back to nature. Untuk itu, kami memilih Tasik Kebun Serendah sebagai destinasi pilihan weekend getaway ini.
Check-in
Perjalanan dari rumah ke Tasik Kebun Serendah hanya mengambil masa kira-kira 40 minit. Tak jauh.
Pada mulanya, kami menyangkakan sudah tersalah arah apabila waze membawa kami menuju ke kawasan perumahan. Tasik Kebun Serendah ini adalah kawasan perumahan ke?
Tak jauh ke dalam kawasan perumahan tersebut, barulah kami melihat pagar dengan signboard tempat yang dituju. Tak sangka, kawasan seluas 15 ekar ini sememangnya terletak di kawasan kejiranan tersebut. Walaubagaimanapun, sebaik melangkah ke dalam pagar Tasik Kebun Serendah, terasa seperti kami di tempat lain. Jika tidak kerana bumbung beberapa buah rumah masih boleh kelihatan dari penginapan ini, memang kami terlupa bahawa kami sebenarnya berada di tengah-tengah kawasan perumahan!
Kami disambut mesra oleh staf Tasik Kebun Serendah. Urusan check-in untuk tempahan yang kami lakukan melalui booking.com lancar dan tidak mengambil masa yang lama.
Chalet
Alhamdulillah, kedua-dua unit chalet Superior Deluxe yang kami tempah telah diupgradekan secara percuma ke Garden Pool Deluxe yang lebih besar. Dekorasi chalet ringkas, namun moden. Terdapat satu bilik tidur dengan katil bersaiz queen, bilik air, satu ruang tamu dilengkapi sofa dan set televisyen, serta kawasan pantry ringkas dengan minibar. Selain itu, meja dan kerusi ringkas turut disediakan di kawasan luar chalet, sesuai sebagai tempat minum petang dan meluangkan masa bersama keluarga.
Penghawa dingin disediakan di dalam bilik tidur tetapi tidak di ruang tamu. Namun, jangan risau. Ketika kami di sini, kami mendapati penghawa dingin tersebut cukup untuk membuatkan keseluruhan chalet berasa selesa, cuma memerlukan sedikit masa. Kami diberitahu bahawa hanya unit Farmhouz Villa mempunyai penghawa dingin di bahagian ruang tamu memandangkan saiz unit yang lebih besar. Selain itu, Farmhouz Villa turut mempunyai interconnecting door yang menyambungkan dua unit untuk kumpulan yang lebih besar.
Kami turut dibawa melihat unit-unit lain yang ada di sini, termasuklah unit dua bilik yang baru disiapkan. Secara keseluruhan, kesemua unit mempunyai dekorasi yang tidak jauh berbeza - moden dan menarik. Yang membezakan hanyalah layout dan keluasan.
Nota: Ketika menginap di sini, kami diberitahu bahawa WiFi hanya disediakan di bahagian reception.
Sarapan
Sarapan disertakan bersama tempahan bilik yang dibuat. Hidangan sarapan yang ditawarkan ringkas, namun cukup untuk anak-anak kami sebagai pembekal tenaga di pagi hari. Anda boleh memilih untuk makan di meja yang disediakan, atau di hamparan tikar di dua pondok berdekatan restoran. Anak-anak kami dengan excited memilih untuk makan di salah satu pondok kecil tersebut. Bagi saya, suasana begitu membuatkan saya teringat kenangan semasa kecil-kecil apabila sesekali menjamu selera bersama-sama keluarga di beranda rumah ktika pulang ke rumah datuk dan nenek.
Tasik Kebun Serendah turut menyediakan makan tengahari dan malam, namun tetamu perlu order hidangan yang diingini lebih awal. Walaubagaimanapun, kami tidak makan tengahari mahupun malam di sini. Memandangkan eco-resort ini terletak di kawasan perumahan, terdapat restoran dan kedai serbaneka yang terletak berdekatan, sekaligus memudahkan percutian anda di sini.
Kolam renang
Kolam renang ringkas bersaiz sederhana yang disediakan dikelilingi chalet dan terletak bersebelahan tasik. Terdapat kawasan kolam dewasa dan kanak-kanak untuk tetamu meluangkan masa bersama keluarga.
Walaupun kolam renang yang disediakan ringkas, suasana dikelilingi alam semulajadi begini membuatkan anak-anak gembira bermandi-manda bersama-sama. Terdapat beberapa batang pokok buah-buahan turut menyerikan kawasan kolam di penginapan berkonsepkan eco-resort ini.
Aktiviti
Sejujurnya, langsung kami tidak menyangka bahawa masa kami di sini akan terisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama anak-anak.
1. Berbasikal
Pihak Tasik Kebun Serendah menyediakan deretan basikal untuk kegunaan para tetamu secara percuma. Anak-anak kami seronok berbasikal sambil adik-adik yang lebih kecil membonceng di belakang. Selain di dalam kawasan penginapan, kami turut membawa mereka berjalan-jalan sambil berbasikal di kawasan perumahan di sekitar.
2. Kayak
Antara aktiviti menarik yang dipelajari anak-anak yang lebih besar di sini adalah berkayak. Pada mulanya, kami berkayak bersama-sama mereka untuk mengajar serba-sedikit cara mendayung memandangkan mereka masih teragak-agak. Namun, setelah beberapa ketika, mereka mula confident dan mampu untuk berkayak sendiri, alhamdulillah.
Aktiviti berkayak di sini memerlukan caj tambahan. Harga kayak satu tempat duduk adalah RM25 sejam, manakala kayak dengan dua tempat duduk adalah RM40 sejam. Aktiviti berkayak dilakukan di tasik yang terletak bersebelahan kolam renang.
3. Paddle boat
Jika anak-anak yang lebih besar seronok berkayak, anak-anak yang lebih kecil pula boleh bergembira menaiki paddle boat bersama-sama. Paddle boat yang disediakan boleh memuatkan dua orang dewasa (atau anak yang lebih besar) dan dua orang anak kecil sebagai penumpang di bahagian belakang. Aktiviti paddle boating ini boleh dilakukan dengan bayaran RM50 untuk jangka masa selama sejam.
4. Memancing
Jika anda minat memancing, jangan lupa untuk membawa joran semasa percutian anda di sini. Kami diberitahu bahawa tetamu dibenarkan memancing di kolam, namun, pihak Tasik Kebun Serendah TIDAK menyediakan alatan memancing. Kami bagaimanapun tidak memancing di sini.
5. Buah-buahan segar dari pokok
Kawasan Tasik Kebun Serendah sebenarnya dipenuhi pelbagai jenis pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, ciku, jambu air dan sebagainya. Jika anda ke sini semasa musim buah-buahan, anda dibenarkan untuk mengambil buah yang ada TANPA perlu caj tambahan.
Kami ke sini bukan ketika musim buah-buahan, namun, kami masih bernasib baik memandangkan tidak kesemua buah-buahan yang ditanam di sini bermusim. Anak-anak berjaya memetik jambu air yang telah masak dan menikmati bersama-sama di tepi kolam. Sangat sedap dan manis! Selain jambu air, kami juga melihat beberapa pokok buah ciku yang sedang mengeluarkan hasil, namun masih belum cukup ranum untuk dipetik.
6. Mandi air terjun
Serendah sememangnya terkenal dengan air terjun. Jadi, tak sah jika tidak merasa mandi air terjun jika ke sini. Untuk pengalaman yang lebih menarik, pihak Tasik Kebun Serendah menawarkan trip ke air terjun menaiki pacuan 4 roda. Kenderaan 4WD yang disediakan 5 orang dewasa dan bertolak pada sebelah pagi dan juga petang. Anda akan dibawa ke kawasan air terjun menarik yang lebih secluded dan jarang dikunjungi orang awam. Terpulang kepada anda untuk meluangkan masa seberapa lama yang anda suka semasa di air terjun. Tiada had masa.
Terdapat dua jenis kenderaan 4WD yang disediakan - satu berbumbung manakala satu lagi tidak berbumbung. Anak-anak kami meminta untuk menaiki kenderaan tidak berbumbung. Memang seronok menaiki 4WD melalui kawasan perumahan orang asli dan memasuki kawasan hutan. Guide yang membawa kami juga tidak lokek berkongsi sejarah kawasan hutan tersebut. Kami tidak pernah tahu bahawa kawasan hutan itu dahulunya adalah kawasan hitam dan menjadi laluan pasukan askar Jepun dan tempat persembunyian gerila komunis.
Excited menaiki jip untuk ke air terjun |
Kami dibawa ke kawasan air terjun yang dirasakan sesuai untuk anak-anak. Di salah satu bahagian di sana juga terdapat kawasan di mana arus air terjun menghasilkan kawasan seolah-olah jakuzi semulajadi. Tiada makanan disediakan oleh pihak Tasik Kebun Serendah untuk trip ke sini. Oleh itu, anda perlu menyediakan makanan sendiri jika ingin berkelah di air terjun ini.
Walaupun seronok, nasib kami kurang baik pada pagi itu apabila hujan mula turun menjadikan arus di kawasan tersebut mula deras. Tidak lama kami dapat menikmati mandi di sana sebelum memanggil anak-anak untuk beredar kerana bimbangkan keselamatan mereka. Walaubagaimanapun, dalam perjalanan turun, kami mendapati hujan mula reda dan kami meminta untuk singgah di kawasan air terjun yang disediakan untuk orang awam. Kebetulan pula pengunjung belum ramai ketika itu. Dapatlah anak-anak mandi sepuas-puasnya.
Kawasan air terjun yang lebih secluded |
Sesuatu yang kami kagumi ialah guide kami langsung tidak tergesa-gesa ketika trip ini. Dalam perjalanan pulang, sempat lagi kami dibawa ke kawasan telaga tujuh. Kami diberitahu bahawa struktur 'telaga' itu dibina untuk mengelakkan kawasan tersebut dinaiki air banjir. Pengunjung tidak dibenarkan mandi di sana disebabkan arus air yang deras.
Setiap trip pergi-balik ke air terjun menaiki 4WD ini dikanakan bayaran sebanyak RM75. Sebenarnya, jika tidak mahu menggunakan perkhidmatan ini, anda boleh memandu kenderaan sendiri ke kawasan air terjun awam. Terdapat banyak kawasan parking selain kemudahan seperti tandas, pondok dan taman permainan disediakan. Cuma untuk ke kawasan yang mempunyai kurang pengunjung, rasanya kurang sesuai untuk memandu kenderaan sendiri.
Lain-lain
Kemudahan
Tasik Kebun Serendah sebenarnya sering menjadi pilihan lokasi mereka yang ingin menganjurkan aktiviti berkumpulan seperti family day. Melihatkan kemudahan yang disediakan, kami sendiri merasakan tempat ini sangat sesuai untuk tujuan seperti itu. Selain chalet penginapan, Tasik Kebun Serendah juga menyediakan dewan dan ruang solat yang besar dan selesa untuk kegunaan pengunjung.
Akan datang
Kami juga diberitahu tentang perancangan untuk menjadikan tempat ini lebih menarik. Selain aktiviti yang telah sedia ada, pihak Tasik Kebun Serendah dalam perancangan untuk mengadakan aktiviti seperti ATV ride dan petting zoo. Kami tidak pasti bila perancangan ini akan direalisasi namun kami yakin percutian di Tasik Kebun Serendah bakal menjadi lebih menarik untuk tetamu di masa hadapan, insya-Allah.
Jika berminat untuk menginap di sini, Tasik Kebun Serendah boleh di tempah secara online di Agoda dan booking.com. Pastikan anda menyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan harga terbaik semasa percutian anda yang akan datang. Tempahan juga boleh dilakukan melalui email di laman web mereka di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan