Cuti di chalet atas air Avani Sepang Goldcoast

Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Avani Sepang Goldcoast

Cuti umum bersempena Hari Krismas 2018, kami mengambil kesempatan membawa anak-anak beristirahat sebelum sesi persekolahan baharu bermula. Walaupun destinasi kali ini tidak jauh, namun, sejujurnya, kami belum pernah berkesempatan untuk ke sini sebelum ini.

Tempahan saat akhir, ditambah pula dengan waktu super peak begini, menjadikan kebanyakan tempat yang ingin kami kunjungi sama ada sudah penuh, ataupun harganya jauh lebih mahal berbanding kebiasaan. Alhamdulillah, kami came across promosi yang menjadikan harga penginapan di resort ini sangat kompetetif (ketika tempahan dilakukan, harga menerusi Agoda adalah yang paling kompetitif). Bukan itu sahaja, malah masih ada chalet yang available ketika itu!


Check-in

Sesampainya kami di Avani Sepang Goldcoast Resort, anak-anak berasa kagum melihat bangunan resort yang gah dan cantik. Tetamu agak ramai ketika itu. Walaupun kami sampai selepas pukul 3, kami diberitahu bilik masih belum dapat disiapkan. Kami diminta untuk meninggalkan nombor telefon dan pihak hotel akan menelefon sekiranya bilik penginapan telah ready.

Sementara menunggu, kami membawa anak-anak ke AVANIKIDS Club. Suasana di sana juga agak sesak dengan kanak-kanak dan keluarga yang masing-masing kelihatan menunggu bilik untuk disiapkan seperti kami. Tidak cukup dengan itu, penghawa dingin di Kid's Room juga tidak berfungsi dengan baik ketika itu, ditambah pula dengan cuaca di luar yang agak panas menyebabkan anak-anak kami masing-masing kehausan. Nasib baik juga kami telah siap-siap membawa sedikit bekalan membolehkan mereka membasahkan tekak. Tiada welcome drink disediakan untuk tetamu.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Tetamu di lobi menunggu buggy untuk dibawa ke bilik

Setelah lebih sejam menunggu dan masih tidak mendapat apa-apa panggilan, anak-anak sudah mula kelihatan restless dan kami sekali lagi ke kaunter check-in untuk bertanya tentang bilik. Alhamdulillah, masing-masing kelihatan gembira apabila diberi kunci bilik. Bolehlah masing-masing berehat melepaskan lelah.


Bilik

Kami dibawa ke bilik menggunakan buggy. Dari pandangan atas, chalet-chalet atas air di sini di susun seperti bentuk pokok palma sepanjang 1.2 km. Villa dua bilik yang kami tempah berada di salah satu 'dahan daun palma' dan agak jauh dari main entrance.

Masuk sahaja ke bilik, memang tidak dapat dinafikan chalet yang disediakan sangat spacious. Dekorasi chalet ringkas tetapi menarik. Bilik master mempunyai sebuah katil bersaiz king manakala bilik kedua mempunyai dua katil twin. Selain dua bilik tidur ini, terdapat sebuah lagi bilik seperti bilik bacaan dengan sebuah sofa yang turut boleh berfungsi sebagai daybed.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Bilik tidur master di two-bedroom chalet, Avani Sepang Goldcoast

Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Extra room yang disediakan

Bukan sahaja bilik tidur, malah bilik air juga sangat spacious. Bilik air utama mempunyai sunken bath tub dan bersambung dengan bilik tidur master, manakala bilik air kedua pula tidak mempunyai bathtub dan berada di luar bilik tidur kedua. Selain itu, terdapat ruang tamu dan set kerusi di beranda sesuai untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Walaubagaimanapun, nasib kami mungkin tidak baik semasa percutian kali ini. Tidak lama setelah masuk ke chalet tersebut, kami menyedari yang penghawa dingin di bilik tidur kedua tidak berfungsi dengan baik. Terus sahaja kami menelefon bahagian maintenance. Walaubagaimanapun, selepas dibaiki, unit penghawa dingin tersebut masih lagi tidak sejuk.

Masalah chalet tersebut tidak hanya habis di situ. Selain penghawa dingin, pintu tidak boleh dikunci dan juga water heater tidak berfungsi. Berkali-kali kami terpaksa memanggil bahagian maintenance. Masalah dengan penghawa dingin dan water heater berulang tidak lama selepas setiap kali 'dibaiki'. Malangnya, tiada solusi yang diberi sehingga keesokan hari. Alhamdulillah, hari hujan pada malam tersebut membuatkan kegagalan penghawa dingin berfungsi masih tolerable. Namun, keesokan hari anak-anak terpaksa bangun pagi menggunakan air yang sejuk.

Keesokan hari, setelah mendapati masalah masih tidak berkesudahan, kami meminta untuk ditukarkan ke unit chalet lain. Sepanjang masa tersebut, kami tidak begitu dapat meluangkan masa bersama anak-anak hanya kerana sibuk menguruskan masalah maintenance chalet. Tidak kurang daripada 7 kali pihak maintenance datang cuba menyelesaikan masalah sebelum kami meminta untuk ditukarkan ke unit lain. Itupun setelah kami mendapat tahu daripada salah seorang staff bahawa masih ada unit kosong despite tetamu yang ramai ketika itu. Pada ketika itu, penghawa dingin yang dikatakan telah berfungsi dengan 'baik' juga telah mula leaking dan air minitik membasahi lantai.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Air menitik dari penghawa dingin dan mula membasahi lantai

Alhamdulillah, setelah beberapa kali menghubungi dan berunding dengan staff bertanggungjawab, kami dibenarkan untuk bertukar ke unit chalet dua bilik yang lain. Unit kedua ini berada dalam keadaan baik dan kami tidak menghadapi apa-apa masalah seperti unit pertama.


Sarapan

Bagi kami, buffet sarapan yang disediakan di Restoran Bila Bila sangat memuaskan. Pilihan makanan adalah pelbagai dan rasanya juga sedap.

Selain sarapan, buffet makan malam turut disertakan dalam promosi yang diadakan ketika itu. Apa yang kami boleh katakan ialah seperti juga hidangan sarapan, hidangan malam di sini juga sangat lazat dan pelbagai. Terdapat juga live band yang mengadakan persembahan semasa makan malam. Walaupun kami mendapati kebanyakan tetamu kelihatan bergembira dengan persembahan ini. secara peribadi, kami merasakan keadaan di situ terlalu bising dan ambience sebegini menyukarkan kami berbual-bual bersama anak-anak. Oleh itu, kami tidak meluangkan masa yang lama di restoran tersebut.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Bersarapan di Restoran Bila Bila

Jika tidak mahu memilih buffet makan malam di sini, anda juga boleh memandu ke restoran ikan bakar yang terletak tidak jauh dari hotel ini. Terdapat banyak restoran untuk pilihan anda, dan makanan laut yang disediakan juga segar belaka.

P/S: Kami berkesempatan ke Bagan Lalang sekali lagi untuk mencuba ikan bakar di salah satu restoran yang terletak tidak jauh dari resort ini. Bagi kami, hidangan ikan bakar dan makanan laut yang disediakan sememangnya kena dengan selera kami, dan yang lebih penting, harga yang dikenakan juga berpatutan!


Aktiviti

AVANIKIDS Club

AVANIKIDS Club terletak berdekatan dengan main entrance. Bangunan Kids club ini sebenarnya adalah salah sebuah unit chalet yang kini digunakan sebagai tempat kanak-kanak melakukan aktiviti dan meluangkan masa.

Sejujurnya, saya hanya sempat menjengah AVANIKIDS Club sementara menunggu bilik disiapkan semasa check-in. Mungkin kerana ketika itu terlalu ramai tetamu yang juga menunggu, kawasan Kids Club tersebut kelihatan kecil dan sesak. Terdapat sudut menonton televisyen dan kawasan aktiviti yang dilengkapi kerusi dan meja bersaiz kecil.

Walaupun saya tidak sempat menemani anak-anak, mereka tetap meluangkan masa di sini semasa kami sibuk menghubungi dan menguruskan masalah di chalet. Kakak-kakak yang lebih besar melayan adik-adik. Selain itu, mereka juga berpeluang menghias cookie sebagai salah satu aktiviti kanak-kanak yang dilakukan di Kid's Club ini.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Suasana di AVANIKIDS Club

Swimming pool

Kolam renang berkonsep infinity pool di Avani Sepang Goldcoast terletak menghadap ke laut yang terbentang luas. Saiz kolam tidak besar dan terletak berdekatan Restoran Bila Bila. Sepanjang kami di sana, kolam renang tersebut sentiasa dikunjungi sejak awal pagi dibuka. Memandangkan ketika itu cuti sekolah, children pool terutamanya agak sesak dengan tetamu kecil yang seronok bermain air ditemani ibu bapa. Tiada water slide disediakan di children pool.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Swimming pool di Avani Sepang Goldcoast


Basikal

Basikal percuma disediakan di sekitar resort ini untuk kegunaan tetamu - first come first serve. Basikal-basikal percuma ini berwarna biru dan terpulang kepada anda sama ada ingin menggunakan basikal-basikal tersebut untuk memudahkan pergerakan di sekitar resort atau untuk beriadah.

Selain basikal biru yang disediakan, terdapat juga basikal jenis tandem, beca dan segway untuk disewa. Kami sempat menyewa basikal beca untuk sama-sama bersiar-siar sekitar resort bersama anak-anak. Kadar sewaan yang dikenakan adalah RM30 untuk sejam penggunaan.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Basikal percuma untuk kemudahan tetamu

Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Basikal beca


Fire Show

Jika anda ke sini, jangan melepaskan peluang menyaksikan fire show yang diadakan di persisiran pantai bermula dari pukul 9 setiap malam. Boleh saya katakan, ini persembahan ini adalah antara tarikan paling menarik di sini untuk anak-anak kami. Tiada caj tambahan dikenakan untuk menyaksikan pertunjukan ini. Anak-anak sangat kagum menyaksikan persembahan bertenaga yang ditunjukkan. Mereka tidak berasa jemu, malah meminta untuk sekali lagi menyaksikan persembahan tersebut pada malam kedua kami di sini.

Di akhir persembahan, anak-anak terpesona melihat corak percikan api yang dihasilkan. Sangat cantik dan memukau. Mereka juga tidak melepaskan peluang bergambar bersama The Fire Brothers yang ramah melayan penonton yang rata-rata kelihatan puas dengan persembahan yang ditunjukkan.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Fire show oleh The Fire Brothers
Percutian keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Percikan api di akhir persembahan

Mini Train

Selepas menyaksikan fire show, kami membawa anak-anak menaiki mini train yang disediakan di perkarangan resort ini. Untuk menaiki tren ini, setiap tetamu dikenakan sedikit caj tambahan. Tren ini sebenarnya adalah seperti mini train yang boleh didapati di sesetengah mall di ibu kota. Jarak anda dibawa bersiar-siar menaiki tren ini sebenarnya tidak jauh. Sekejap sahaja sudah berpatah balik ke tempat asal. Namun, jika sudah kanak-kanak, tarikan simple begini pun tetap menggembirakan.


Cuti keluarga di Avani Sepang Goldcoast
Tarikan simple mini train sesuai untuk kanak-kanak


Lain-lain

Sebenarnya, masih terdapat banyak aktiviti yang disediakan oleh pihak resort seperti lawatan ke dragon fruit farm, mangrove tour dan aktiviti sukan air. Kebanyakan aktiviti ini memerlukan caj tambahan dan info mengenainya disediakan di chalet atau anda boleh bertanya terus di kaunter reception resort.


Secara keseluruhan, Avani Sepang Goldcoast adalah resort menarik untuk short weekend getaway. Namun, pengalaman kami di sini sedikit tercalar dengan faulty unit yang diberikan. Walaupun kami faham bahawa masalah dengan unit bilik boleh berlaku di mana-mana hotel, namun, dengan reputasi lima bintang yang dimiliki, pihak Avani Sepang Goldcoast sepatutnya dapat mengendalikan masalah  seperti ini dengan lebih baik. 

Secara peribadi, saya merasakan adalah tidak reasonable untuk membuat tetamu terus berhadapan dengan masalah sama dan berulang-ulang tanpa penyelesaian sehingga menghabiskan hampir separuh masa penginapan di sana. Tiada solusi yang dicapai dan tiada langsung tawaran daripada pihak resort untuk ditukarkan ke unit lain sehinggalah kami sendiri yang meminta. Apapun, ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak dinafikan bahawa fasiliti lain yang disediakan di resort ini adalah memuaskan.

Avani Sepang Goldcoast Resort terbuka untuk tempahan secara online melalui website mereka dan juga di Agoda, booking.com dan Expedia. Pastikan anda menyemak harga resort ini untuk mendapat tawaran terbaik semasa percutian anda. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan