Catatan percutian keluarga di Fraser's Hill - santai, tenang dan mendamaikan!

Setelah beberapa lama Fraser's Hill berada dalam wishlist destinasi weekend getaway, alhamdulillah akhirnya, kami sampai juga ke tempat menarik yang diberi jolokan 'The Little England of Malaysia' ini. Dengan jarak hanya kira-kira dua jam setengah perjalanan dari Kuala Lumpur, Fraser's Hill sememangnya tempat yang sesuai jika anda ingin mencari lokasi percutian yang tenang, jauh dari kesibukan dan hiruk-pikuk kota.

Walaupun perjalanan ke sini tidaklah mengambil masa yang lama, namun, jalan bengkang-bengkok seperti ular dipalu tetap memberi cabaran untuk kami. Mengetahui sesetengah anak kami berkemungkinan besar akan mabuk, kami memilih masa nap mereka dan sedaya-upaya memastikan mereka tidur semasa perjalanan mendaki bukit. Dengan jalan yang agak sempit dan sunyi begitu, agak susah juga rasanya untuk kami pull-over jika ada yang muntah ketika itu. Alhamdulillah, mereka hanya terjaga ketika kami sudahpun hampir sampai ke atas.

Ketika ke sana, kami sudah maklum bahawa Fraser's Hill bukanlah tempat yang mempunyai banyak aktiviti, apatah lagi apabila waktu malam. Memandangkan ketika sampai hari sudah petang, kami terus check-in di Rumah Rehat Sri Berkat dan bersiap untuk aktiviti barbeque bersama anak-anak. Suasana di tenpat penginapan kami agak sunyi. Selesai barbeque, kami hanya bersantai bersama sebelum tidur.

Kebanyakan aktiviti kami lakukan keesokan harinya. Setelah bersarapan, kami membawa anak-anak meronda-ronda sekitar pekan kecil Fraser's Hill dan melihat bangunan-bangunan banglo tinggalan British. Untuk kawasan kecil seperti ini, sememangnya Fraser's Hill mempunyai banyak banglo lama yang memberi keunikan kepada tempat ini.


The Paddock

Setelah itu, kami terus menuju ke 'The Paddock', tempat wajib kebanyakan pengunjung, terutamanya jika membawa anak-anak bersama. Di sini, sudah tentu aktiviti menunggang kuda dan memanah menjadi tarikan. Harga yang dikenakan untuk menunggang kuda adalah RM6.50 untuk kanak-kanak, RM9 untuk dewasa dan RM11 untuk dewasa bersama kanak-kanak. Harga ini adalah untuk setiap pusingan. Sebenarnya, saya merasakan harga yang dikenakan adalah agak mahal, emandangkan pusingannya tidaklah begitu besar, namun, memikirkan ini adalah kali pertama kami ke sini dan anak-anak juga sudah excited untuk menunggang, maka kami membenarkan sahaja.

Tempat best di Fraser's Hill
Menunggang kuda di The Paddock, Fraser's Hill

Selesai menunggang, kami ke kawasan memanah. Anak-anak kami masing-masing mencuba aktiviti ini. Bila bercuti, semuanya nak dicuba. Walaubagaimanapun, panahan kanak-kanak amatur ini kenbanyakannya tak mengena... mendarat separuh jalan sahaja. Tak apalah, sekali-sekala. Asalkan gembira! Bayaran untuk aktiviti memanah adalah RM11 untuk sepuluh anak panah.


Tempat best di Fraser's Hill
Aktiviti memanah di The Paddock, Fraser's Hill

Yang menariknya, jika anda membawa anak yang masih terlalu kecil untuk menggunakan bow and arrow yang ada, pihak The Paddock turut menyediakan peralatan khas 'soft archery' untuk mereka. Memang gembira anak kami yang masih di usia tadika, kerana dia juga berpeluang memanah dan banyak pula mengena. Oh, selain memanah, aktiviti menyumpit turut ditawarkan.

Tempat best di Fraser's Hill
Soft Archery khas untuk kanak-kanak yang tidak sesuai
menggunakan bow and arrow biasa



Taman Flora Bukit Fraser

Selesai meluangkan masa di sini, kami menuju pula ke Taman Flora Bukir Fraser. Hajatnya ingin membeli strawberry di sini, namun nasib tidak menyebelahi kami kerana ketika itu buah strawberry masih belum boleh dipetik. Taman Agro Bukit Flora adalah sebuah kawasan tanaman kecil yang mempunyai tanaman seperti buah strawberry, sayur, bunga dan cactus dan ianya tidaklah setanding dengan ladang-ladang di Cameron Highlands.

Tempat best di Fraser's Hill
Tempat pertanian kecil di Taman Flora Bukit Fraser


Allan's Water

Taman Flora Bukit Fraser terletak berdekatan dengan Allan's Water. Alang-alang ke sini, langsung kami menuju ke Allan's Water. Anak-anak kami sangat gembira melihat dan memberi makan ikan-ikan yang banyak di tasik ini. Kemudian, mereka mengambil peluang untuk menaiki paddle boat. Hanya dua anak kami yang dibenarkan menaiki boat. Adik-adik mereka tidak mencapai minimum ketinggian yang ditetapkan untuk menaikinya. Selain paddle boat, anda juga boleh mencuba water ball jika berminat.                                    

Tempat best di Fraser's Hill
Memberi makan ikan di Alan's Water, Fraser's Hill

Tempat best di Fraser's Hill
Menaiki paddle boat di Alan's Water, Fraser's Hill


Air Terjun Jeriau

Puas bermain paddle boat, kami pulang ke tempat penginapan untuk solat dan rehat sebentar sebelum ke aktiviti seterusnya - air terjun! Aktiviti begini sememangnya yang paling dinantikan anak-anak di usia persekolahan. Kami memandu ke air terjun Jerai yang terlatak kira-kira 4km dari pekan Fraser's Hill. Walaupun tidak jauh, namun laluan ke sini sempit dan berliku. Alhamdulillah, kami bernasib baik kerana ketika itu, sebahagian laluan yang ketika itu dalam kerja-kerja pembaikan baru sahaja dibuka untuk laluan kenderaan.

Dari tempat meletak kenderaan, kami berjalan kaki menuju ke kawasan air terjun. Walaupun terasa agak jauh, namun laluan khas pejalan kaki membantu memudahkan perjalanan. Walaubagaimanapun, laluan tersebut mempunyai tangga dan tidak sesuai untuk membawa stroller.

Sesampainya kami di kawasan air terjun, Subhanallah! Itu sahaja yang dapat kami ucapkan. Air terjun setinggi 6 meter itu mempunyai kawasan kolam semulajadi dan sangat sesuai untuk kanak-kanak bermain. Apalagi, sebaik meletak barang-barang, terus sahaja anak-anak kami berseronok di dalam air walaupun ada yang menggigil kesejukan. Walaupun air terjun tersebut agak ke dalam, kehadiran beberapa kumpulan pengunjung lain ketika itu membuatkan akmi tidak terasa sunyi dan terasing. Kawasan untuk meletakkan barang-barang perkelahan agak terhad namun kami bernasib baik mendapat spot yang cantik di pinggir air. Senang anak-anak kami datang makan dan ambung bermain.

Tempat best di Fraser's Hill
Air terjun Jeriau sesuai untuk kanak-kanak mandi dan bermain


Walaupun air terjunnya memang tak dinafikan indah, sikap pengunjung yang tidak membantu dalam menjaga keindahan alam semulajadi agak menecewakan. Bungkusan makanan dan minuman dibiarkan sahaja walaupun tong sampah disediakan. Pengunjung yang datang kembbbudian terpaksa mengemas sisa-sisa perkelahan sebelum boleh menggunakan kawasan pondok yang disediakan. Bilik-bilik persalinan yang disediakan juga tidak bersih. Sayang sekali jika tempat-tempat rekreasi awam yang indah begini tidak dijaga oleh orang awam sendiri yang menggunakannya. Jika berterusan begini, tidak hairan jika satu hari nanti, kita sebagai orang awam juga yang rugi apabila tidak lagi boleh memanfaatkan tempat-tempat menarik begini dan yang tinggal hanyalah tempat-tempat rekreasi private yang sudah pastinya akan mengenakan harga yang mahal sedangkan kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan sebenarnya tidak perlu memakan kos yang terlalu tinggi jika setiap individu melakukan peranan masing-masing. Rasanya, tidak membebankan jika setiap kita memastikan kawasan yang digunakan kemas dan sampah dibuang (atau diambil pulang untuk dibuang jika tiada tong sampah) sebelum meninggalkan tempat-tempat ini. 


Taman Rekreasi Bukit Fraser

Keesokannya, pagi-pagi lagi, kami ke Taman Rekreasi Bukit Fraser - satu lagi tempat wajib pergi jika anda membawa anak-anak kecil bersama. Mengapa? Kerana di sini ada playground untuk mereka berseronok! Walaupun playground di sini ringkas, ianya kelihatan terjaga. Dalam udara segar dan dingin seperti ini, ditambah pula dengan orang yang tidak begitu ramai, anak-anak kami sangat seronok bermain di sini. Manakan tidak, mereka bebas berlari dan tiada yang berebut untuk bermain. 

Pendek kata, walaupun ringkas, kami merasakan percutian di Fraser's Hill ini sangat menarik. Memang benar bahawa tempat ini kecil dan tidak menyediakan banyak hiburan, namun ianya sangat sesuai sebagai tempat istirahat. Tiada rush, dan kami boleh mengikut sahaja pace anak-anak.


Tempat best di Fraser's Hill
Anak-anak gembira bermain di taman permainan di Fraser's Hill


Tempat makan

Disebabkan kami telah menyediakan makanan dari rumah sebelum bertolak, sepanjang di sana kebanyakan waktu kami hanya makan di tempat penginapan. Kami hanya makan di dua tempat iaitu Mimi Strawberi dan foodcourt di Taman Rekreasi Bukit Fraser. Walaupun bagi kami harga makanan di Mimi Strawberi agak pricey, namun kami merasakan ianya berbaloi. Portion yang dihidangkan memuaskan dan bahan-bahan yang digunakan dalam masakan panasnya agak generous.

Di Taman Rekreasi Bukir Fraser, kami hanya berkesempatan merasa hidangan sarapan. Kami melihat harga di sini lebih murah dan rasanya juga memuaskan. Anak-anak kami enjoy hidangan sarapan di sini. Kami juga pernah diberitahu bahawa foodcourt bersebelahan masjid Fraser's Hill turut menyediakan makanan pada harga yang berpatutan, namun, kami tidak sempat untuk ke sana.  

Jika ke sana, anda juga boleh mencuba scones di Ye Olde Smokehouse yang dikatakan sedap. Kami turut ingin mencuba dan ke sana pada sebelah pagi pada hari terakhir di sana. Malangnya, kami diberitahu bahawa scones tersebut hanya dihidangkan pada waktu tea time dan bukan untuk sarapan.

Tempat best di Fraser's Hill
Bergambar kenangan di Fraser's Hill Clock Tower


Aktiviti-aktiviti lain

Sebenarnya masih terdapat aktiviti-aktiviti menarik lain di Fraser's Hill yang boleh anda lakukan bersama anak-anak jika ke sana. Antaranya ialah hiking dan bird watching. Jika anda seorang peminat golf, di sana juga terdapat padang golf. Anda juga boleh membawa anak-anak ke Bird Interpretive Centre. Kami tidak sempat ke sana namun kami diberitahu ia adalah pameran mengenai spesis-spesis burung. Selain itu, di sana juga ada public library kecil dan anak-anak kami telah memberitahu, jika ke sini lagi, mereka meminta untuk kami membawa mereka ke library tersebut. 




1 ulasan: