Cuti ringkas ke Ipoh: Daytrip ke Gaharu Tea Valley, Gopeng

Tempat menarik di Ipoh dengan anak-anak
Pintu gerbang ke Gaharu Tea Valley

Terletak tidak begitu jauh dari Gua Tempurung, nama Gaharu Tea Valley menarik perhatian kami untuk menyingkap apakah tarikan yang ditawarkan untuk pengunjung di daerah Gopeng ini. Jika selama ini kami hanya mengetahui ladang teh adalah sinonim dengan Cameron Highlands, ini adalah pertama kali kami mengetahui terdapat 'tea valley' lain yang boleh dilawati di negeri Perak. Bukan itu sahaja, perkataan Gaharu di ladang ini membuatkan kami tertanya-tanya - adakah pokok Gaharu boleh digunakan untuk menghasilkan teh? Tidak pernah pula kami tahu tentang ini.

Setelah berhenti rehat seketika sambil membawa anak-anak menikmati durian, kami meneruskan perjalanan ke tea valley yang terletak hanya kira-kira 11km dari Gua Tempurung. Ketibaan kami disambut pintu gerbang besar seakan-akan sebuah fortress dengan perkataan Gaharu Tea Valley tertera di atasnya.


Sedikit mengenai Gaharu Tea Valley...

Gaharu Tea Valley adalah sebuah kawasan perladangan organik pokok gaharu di kawasan seluas 300 ekar yang diusahakan sejak tahun 1992. Bermula dengan hanya 200 anak benih, kini terdapat lebih daripada 200 000 pokok gaharu yang ditanam di Gaharu Tea Valley.

Mengapa kawasan ini dipilih untuk perladangan pokok gaharu? Kawasan tea valley ini dikatakan mempunyai kombinasi tanah dan cahaya matahari yang sesuai, taburan hujan yang mencukupi dan ketinggian tanah yang optimum untuk pertumbuhan pokok gaharu yang sihat. Disebabkan itu, tempat ini dilihat mampu menghasilkan ramuan teh yang dipercayai baik untuk kesihatan berasaskan resipi rahsia zaman purba. Teh yang dihasilkan ini dikenali sebagai HOGA, singkatan kepada 'holistic gaharu' sebagai simbol kombinasi spesis gaharu yang menjadi formula ramuan ini. 

Apakah kebaikan mengamalkan teh gaharu? Mengikut info yang ada di Gaharu Tea Valley, teh ini dipercayai membantu dalam mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan penghasilan uric acid, membantu mengatasi masalah anxiety, membantu tidur yang lebih baik, melancarkan perjalanan darah, mengurangkan risiko darah tinggi, menguatkan jantung, membantu detoxification dan juga mempunyai peranan dalam anti-penuaan.

Selain teh, produk-produk lain turut dijual di sini seperti biskut gaharu, mi segera gaharu, perencah sup gaharu, wangian gaharu dan lain-lain.

Teh HOGA? Tak pernah nampak pun di pasaraya? Kami diberitahu bahawa teh ini tidak dijual di mana-mana kedai di luar tea valley ini. Untuk mendapatkannya, anda hanya boleh membeli di ladang ini ataupun secara online di laman web rasmi mereka, ataupun kedai online mereka di Shopee, Lazada, 11Street atau Halal Food Master.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Oh, di sini rupanya Master Oogway!


Waktu operasi...

Jika anda ingin ke sini, kawasan perladangan gaharu ini dibuka setiap hari kecuali hari Selasa bermula dari pukul 9.15 pagi hingga 6 petang. Kemasukan terakhir yang dibenarkan adalah sejam sebelum closing time.


Sejarah yang menarik...

Sebaik memasuki kawasan Gaharu Tea Valley, kami ke bangunan utama yang menempatkan Deli, kiosk jualan dan time tunnel. Tidak ramai pengunjung yang ada ketika itu. Kami terus menuju ke time tunnel yang menceritakan sejarah bagaimana gaharu digunakan untuk kesihatan dan bagaimana pengetahuan tersebut akhirnya sampai ke pengasas Gaharu Tea Valley.

Kisah yang disampaikan di time tunnel ini somehow menarik minat kami dan membawa kami lebih daripada 2000 tahun yang lampau. Kisah ini menceritakan bagaimana seorang maharaja China yang obsessed dengan idea untuk mendapatkan kesihatan dan umur yang panjang telah mengarahkan tabib istana untuk mencari bahan yang mampu memberinya kesihatan yang baik. Setelah kajian demi kajian dijalankan, para tabib hampir berputus asa sebelum akhirnya mengetahui tentang pokok gaharu yang dikatakan berpotensi menawarkan apa yang diminta oleh maharaja.

Malangnya, walaupun mengetahui tentang khasiat gaharu, para tabib juga mendapati bahawa setiap spesis gaharu adalah tidak seimbang. Jika hanya satu jenis gaharu digunakan sebagai ubat, ia dapat mengubati satu penyakit tetapi dalam masa yang sama mendatangkan kemudaratan kepada bahagian tubuh yang lain. Lautan direntas dan hutan diteroka untuk mendapatkan sebanyak mungkin spesis gaharu dan akhirnya mereka berjaya menghasilkan formula gaharu yang stabil dengan menggabungkan kombinasi 12 gaharu berlainan spesis. Formula tersebut bagaimanapun menjadi rahsia istana dan hanya dibenarkan untuk kegunaan maharaja sahaja.

Rahsia tersebut bagaimanapun tidak lama tersimpan di istana apabila salah seorang tabib berjaya membawa keluar formula tersebut. Ada yang mengatakan beliau bertindak demikian kerana tidak bersetuju dengan arahan bahawa formula itu hanya boleh dimanfaatkan oleh maharaja, ada juga yang mengatakan beliau lari daripada dibunuh oleh maharaja yang terlalu inginkan formula itu kekal rahsia di dalam istana.

Ketika mencari-cari apakah cara paling sesuai untuk menggunakan formula itu, beliau mendapat idea untuk menyediakannya dalam bentuk teh agar perbuatannya tidak dapat dihidu oleh pihak istana. Walaupun ideanya bernas, idea tersebut tidak dapat direalisasikan kerana kesemua 12 spesis ini tidak mudah untuk dikumpulkan. Tabib tersebut akhirnya membawa diri ke Jepun dan formula tersebut tersimpan di kalangan ahli keluarganya untuk ribuan tahun yang akan datang.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Time tunnel yang mencatat sejarah ramuan rahsia dan Gaharu Tea Valley


Takdir menentukan salah seorang penyelidik Jepun daripada keturunan tabib tersebut ke Malaysia dan akhirnya bertemu David yang kemudiannya menjadi pengasas Gaharu Tea Valley. David yang sememangnya mengetahui tentang khasiat gaharu ketika masih di bangku sekolah berminat apabila ditawarkan untuk menanam 200 anak benih gaharu di sini. Pelbagai syarat ketat dikenakan oleh penyelidik berkenaan telah dipersetujui David. Bukan sahaja tanaman tersebut perlu dilakukan secara organik, malahan, rakan-rakan David menganggap tindakan beliau kurang bijak apabila turut menerima syarat untuk menunggu selama 15 tahun sebelum mendapatkan sebarang hasil.

Hanya selepas beberapa tahun penanaman gaharu dimulakan, barulah David mengetahui bahawa 200 anak benih yang diberikan sebenarnya terdiri daripada 12 spesis yang diperlukan dalam ramuan rahsia yang disimpan ahli keluarga penyelidik dari Jepun tersebut. Hasil kesabaran David, kini, mereka berjaya menghasilkan ramuan rahsia tersebut untuk manfaat orang ramai. Wallahualam.


Cuti best di IPoh dengan anak-anak
Sebahagian display di bahagian time tunnel Gaharu Tea Valley


Bayaran...

Tiada bayaran dikenakan untuk ke time tunnel di bangunan utama. Namun, jika anda berminat, anda boleh membeli tiket HOGA ride pada harga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun. Sebuah van akan membawa anda ke tiga tempat berlainan di sekitar ladang ini iaitu Viewing Stage, Hugging Park dan Lovers' Park. Anda boleh menaiki van yang disediakan pada bila-bila masa. Bukan itu sahaja, di setiap stop juga, anda berpeluang untuk turun dan menikmati kawasan persekitaran. Anda boleh meluangkan sebanyak mana masa di setiap perhentian yang anda mahu. No rush. Setelah puas bersiar-siar, anda hanya perlu menunggu semula untuk menaiki van di 'stesen' yang disediakan.

Jika anda mahu, tiket HOGA ride boleh dibeli secara online at slightly cheaper price di tripcarte.asia.



HOGA ride...

Viewing Stage

Hentian pertama yang akan dibawa ialah Viewing Stage. Di sini terletaknya the highest point di Gaharu Tea Valley. Anda dapat menikmati pemandangan ladang gaharu yang luas di platform yang disediakan selain menikmati minuman dan makanan yang dijual di deli yang disediakan.

Anak-anak kami lebih berminat untuk melihat ladang gaharu menerusi teropong yang disediakan di platform. Puas mereka melihat melalui teropong tersebut memandangkan tidak ramai pengunjung lain yang meluangkan masa di sini ketika itu.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Melihat ladang gaharu menggunakan teropong yang disediakan

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Sudut rehat di Viewing Stage


Hugging Park

Sebaik turun di hentian ini, anak-anak kami tertarik melihat ikan yang sedang berenang di dalam kolam. Mereka berhenti sebentar melihat ikan-ikan yang kelihatan sangat dekat memandangkan platform tempat kami berjalan di awal hentian ini dibina di atas kolam tersebut.

Selepas meniti di atas platform yang dibina di atas kolam ikan, anda akan berjalan di laluan singkat merentasi ladang gaharu. Walkway yang disediakan dibina di celah-celah pokok sekaligus memberi peluang untuk anda melihat dengan lebih dekat pokok gaharu yang ada di sini. Sesetengah pokok di kiri dan kanan laluan ini dilukiskan dengan lukisan bertema haiwan di batang pokok. Ini memberi peluang pengunjung bergambar dengan pose tersendiri dengan pokok gaharu di sini. Memandangkan kami tidak kreatif, kami hanya mengambil gambar persekitaran sahaja.

Di akhir laluan, anak-anak kami seronok melihat kura-kura di dalam sangkar yang disediakan. Oh... mengapa dinamakan Hugging Park? Kami juga tidak tahu. Yang pasti, kami tidak memeluk apa-apa  pun di sini.


Cuti best di IPoh dengan anak-anak
Bergambar di Hugging Park


Lovers' Park

Dipanggil Lovers' Park kerana keunikan dua batang pokok berusia ratusan tahun yang berpaut antara satu sama lain, tidak hairan jika pihak pengurusan turut meletakkan kawasan untuk pasangan mengunci mangga yang dipanggil 'love lock' sebagai simbol kasih yang terjalin. 

Walaupun simbol begini mungkin menjadi tarikan untuk pasangan yang sedang bercinta, untuk anak-anak kami, apa yang lebih menarik perhatian mereka adalah peluang memberi makanan kepada ikan yang terdapat di dalam kolam yang dijadikan lanskap taman ini.

Selain ikan, anak-anak kami turut menyukai tangga yang dicat berwarna-warni. Tangga ini menjadi spot menarik untuk mereka yang suka bergambar.


Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Pokok berpaut yang menjadi simbol Lovers' Park

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Tangga warna-warni tempat sesuai untuk bergambar

Cuti best di Ipoh dengan anak-anak
Anak kami seronok memberi makanan ikan

Bagi kami, walaupun Gaharu Tea Valley bukanlah must-go place, tempat ini tetap mampu memberi pengetahuan baharu yang unik untuk para pengunjung. Jika anda berada di sekitar Gopeng, tidak rugi untuk singgah sebentar untuk mengetahui keunikan pokok dan ramuan yang dikatakan menjadi rahsia maharaja China lebih 2000 tahun dahulu!





4 ulasan: