Padi Box - homestay kontena menarik di tengah bendang. Anak-anak memang suka!


Homestay kontena best di Sekinchan
Penginapan homestay kontena menarik di Sekinchan

Jika anda tinggal di Kuala Lumpur, tahukah anda bahawa anda tidak perlu pergi jauh untuk menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas? Pemandangan  indah begini dapat anda nikmati hanya sejam setengah ke dua jam perjalanan dari ibu kota. Tak jauh.

Sebelum tamat musim menuai akhir tahun ini, kami mengambil kesempatan membawa anak-anak ke Sekinchan untuk melihat suasana sawah padi di sini. Walaupun kedudukannya tidak begitu jauh, kami mengambil keputusan untuk bermalam meluangkan masa bersama anak-anak di suasana yang sangat berlainan dari kehidupan sehari-harian di kota.

Untuk tujuan ini, kami telah menempah penginapan melalui airbnb di Padi Box, sebuah homestay unik di tengah-tengah bendang yang terbentang luas di sini. Walaupun kecil, namun anak-anak kami sangat tertarik dengan konsep kontena berwarna-warni yang ditampilkan.

Homestay kontena menarik di Sekinchan
Bilik 2 pax (foto:airbnb.com)

Walaupun ringkas, Padi Box menyediakan katil yang selesa lengkap dengan attached bathroom di setiap bilik. Disebabkan bilik-bilik di sini diperbuat daripada kontena, saya mendapati siling bilik agak rendah, namun ia tidaklah membuatkan kami merasa sesak atau rimas ketika di bilik. Disebabkan anak-anak sudah makin membesar, kami menyewa dua bilik sebelah-menyebelah - satu dilengkapi sebuah katil bersaiz queen manakala satu lagi dilengkapi dua katil queen. Sudah tentu, bilik dengan hanya sebuah katil queen terasa lebih lapang, manakala bilik dengan dua katil queen tidak mempunyai banyak ruang untuk berjalan. Namun begitu, ianya sudah cukup selesa untuk anak-anak kami.


Tak boring ke bawa anak-anak ke Sekinchan?

Selain bilik-bilik tersebut, masih ada jenis bilik yang boleh menjadi pilihan anda. Anda boleh memilih bilik dengan balkoni, bilik famili yang boleh memuatkan 6 orang tetamu dan juga dorm. Sejujurnya, saya sangat tertarik dengan bilik yang menawarkan balkoni di mana anda boleh melangkah keluar menerusi sliding door dan bersantai di balkoni yang disediakan betul-betul di pinggir sawah padi, namun, tiada bilik jenis ini yang available ketika kami ke sana. Bilik famili juga tidak kurang menariknya dengan cermin yang luas menghadap sawah, namun apakan daya bilik tersebut juga tidak available (Nota: bilik famili tidak mempunyai balkoni, namun mempunyai cermin luas yang memberi anda pemandangan sawah padi yang menarik).


Anjung berlatarbelakangkan sawah yang menarik

Homestay kontena menarik di Sekinchan
Minum petang sambil berbuai

Homestay kontena best di Sekinchan
Meluangkan masa bermain jongkang-jongket
sambil menikmati pemandangan sawah padi

Walaupun kawasannya kecil, pemilik homestay unik ini memaksimumkan setiap sudut dengan kawasan-kawasan rehat untuk tetamu. Bukan sahaja boleh berehat di bilik-bilik penginapan, malah tetamu juga boleh menikmati minuman di cafe sambil menikmati pemandangan indah sawah padi. Di sebelah malam, kami meluangkan masa bersama-sama di common room di mana meja pool, games Nintendo dan board games disediakan. Tiada caj tambahan dikenakan untuk menggunakan common room ini. Pendek kata, anak-anak kami tetap seronok walaupun hari telah gelap dan tiada lagi aktiviti boleh dilakukan di luar.

Jika anda mahu, anda juga boleh mengatur sesi barbeque bersama anak-anak. Barbeque pit disediakan untuk para tetamu. Sila maklumkan sahaja pada pihak Padi Box jika anda merancang untuk mengadakan barbeque. Walaupun kami tidak mengadakan sesi barbeque kali ini, ketika di sini, kami melihat sekumpulan rakan telah mengadakan sesi barbeque di 'hotel' kecil yang menarik ini. Barbeque diadakan di sudut tingkat atas di mana terdapat meja dan sinki kecil disediakan untuk kemudahan tetamu.


Homestay kontena best di Sekinchan
Meja pool di common room

Homestay kontena best di Sekinchan
Bersantai bermain games Nintendo

Homestay kontena best di Sekinchan
Teddy bear juga disediakan untuk anak-anak kecil

Pihak Padi Box juga menyediakan deretan basikal untuk disewa. Anda boleh memilih untuk menyewa basikal biasa ataupun basikal jenis tandem untuk dua penunggang sekaligus. Harga sewaan basikal biasa ialah RM10 untuk 2 jam, manakala basikal tandem ialah RM15 untuk 2 jam. Jika tidak menginap di sini, anda masih boleh menyewa basikal di Padi Box, namun sudah tentu pada kadar sewaan yang sedikit berbeza.

Anak-anak kami yang masih kecil sangat gembira melihat pihak 'hotel' juga menyediakan basikal dengan tempat duduk kanak-kanak. Seronok mereka membonceng basikal dan sama-sama menyertai kakak-kakak menikmati pemandangan sawah. Tak habis-habis berceloteh sepanjang kami mengayuh bertanya itu dan ini. Malah yang belum boleh bercakap pun tersenyum dan mengangguk-angguk tiap kali ditanya "seronok tak?".

Kawasan parking juga disediakan di bersebelahan kawasan Padi Box. Walaupun kecil, ia berpadanan dengan jumlah bilik yang ditawarkan.


Homestay kontena best di Sekinchan
Padi Box Cafe
Homestay kontena best di Sekinchan
Di salah satu sudut cafe

Padi Box tidak menyediakan sarapan pagi. Namun, jika anda mahu, anda boleh membuat bayaran tambahan untuk sarapan. Kami dimaklumkan bahawa staff Padi Box akan mendapatkan sarapan berupa nasi lemak untuk tetamu yang memilih pilihan sarapan. Bagi kami, kami lebih suka keluar dan meneroka kawasan sekitar sambil mencari tempat menjamu selera.


Mana best nak menginap di Sekinchan?


Terdapat sebuah restoran bas unik bersebelahan hotel penginapan kami. Walaupun kedudukan hanya sebelah-menyebelah, restoran bas tersebut bukan di bawah pengurusan yang sama dengan Padi Box. Anak-anak kami sangat teruja dan meminta untuk minum petang di atas bas sambil menikmati pemandangan sawah padi. Namun, nasib kami kurang baik. Kebetulan pula restoran itu tidak beroperasi pada hari kami menginap di sana. Kami diberitahu bahawa restoran ini menyediakan hidangan tengahari menu Western. Waktu operasinya sekitar tengahari ke petang dan ia dibuka setiap hari kecuali hari Selasa dan Rabu. Jika anda pernah ke sini, mungkin anda boleh berkongsi pengalaman di ruangan komen di bawah untuk rujukan bersama.


Homestay kontena best di Sekinchan
Bas ini sebenarnya adalah restoran bersebelahan Padi Box

Walaupun tidak diganggu nyamuk, banyak serangga di kawasan penginapan ini, terutamanya kelkatu pada waktu malam. Pihak Padi Box telah meletakkan screen di tingkap-tingkap bilik, namun, tiap kali pintu dibuka, pasti ada sahaja serangga yang bertandang. Namun begitu, keadaan ini tidaklah mengganggu kami, malahan kami menganggapnya sebahagian daripada pengalaman menginap di kawasan sawah padi.

Seperkara lagi, walaupun dilengkapi penghawa dingin, bilik masih terasa agak panas di waktu tengahari ketika matahari terik memancar. Keadaan ini mungkin disebabkan bilik-bilik ini dibina daripada kontena sungguhpun kami difahamkan yang pihak Padi Box telah memasang penebat di bilik-biliknya bagi mengurangkan masalah ini. Kami pasti keadaan ini bukanlah disebabkan masalah pada penghawa dingin kerana pada sebelah malam, memang sangat terasa kesejukannya. Walaubagaimanapun, perkara ini tidak mengganggu cuti kami kerana kebanyakan masa kami berada di luar di siang hari, dan jika pun pulang ke penginapan, anak-anak lebih suka berehat di kawasan-kawasan rehat yang disediakan. Walaupun ketika cuaca panas, keadaan di luar agak berangin dan dalam masa yang sama, dapat menikmati pemandangan sawah padi yang sangat-sangat menarik!

Padi Box tidak menerima tempahan menerusi talian telefon. Jika anda berminat untuk ke sini, tempahan boleh dibuat secara online menerusi website mereka, Expedia atau airbnb



Hotel best di Kuala Selangor





4 ulasan: