Pages

Menyelami keindahan Gua Kelam, Perlis bersama anak-anak

Gua Kelam, Perlis tempat menarik
Suasana di dalam Gua Kelam, Perlis

Perlis - sebuah negeri kecil yang menyimpan memori tersendiri untuk kami. Kali terakhir kami ke sini adalah lebih kurang 7 tahun lepas, iaitu ketika ditugaskan selama enam bulan di sini. Semenjak itu, kami belum pernah berpeluang ke sini lagi hinggalah baru-baru ini untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

Pada mulanya, terfikir juga untuk menginap beberapa hari untuk meneroka negeri ini. Maklumlah, bukan dekat jarak antara Kuala Lumpur dan Perlis. Namun, disebabkan urusan lain, kami hanya sempat berada di sini semalaman sahaja. Mujurlah kini sudah ada perkhidmatan ETS memudahkan perjalanan ke sini. Alhamdulillah, perjalanan yang lancar dan selesa membantu anak-anak terus segar walau lebih lima jam berada di dalam tren.

Alang-alang jauh perjalanan, terasa rugi pula jika langsung tidak membawa anak-anak melawat tempat menarik di Perlis. Entah bila kami berpeluang lagi untuk sampai ke negeri ini. Disebabkan itu, kami gagahkan juga mengatur jadual agar berkesempatan mengunjungi salah satu tarikan di negeri yang bersempadan dengan Thailand ini. Tarikan pilihan kami kali ini tak lain dan tak bukan ialah Gua Kelam.



Waktu kunjungan

Gua Kelam, atau 'Cave of Darkness' terletak kira-kira 36km dari bandar Kangar. Gua ini terbuka untuk kunjungan bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, dan dari pukul 8 pagi hingga 6 petang pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Awal pagi lagi, kami telah bersiap-siap untuk melihat gua sepanjang 370 meter yang dikatakan salah satu daripada gua batu kapur yang tertua di Malaysia. Perjalanan menaiki kereta sewa ke sini melalui pekan kecil dan pemandangan sawah yang mendamaikan. Walaupun kami menggunakan bantuan waze, papan tanda ke Gua Kelam kami rasakan agak jelas dan turut memudahkan pengunjung ke sini.

Nota: Kami menggunakan khidmat Kereta Sewa Kedah & Perlis. Alhamdulillah, servis mereka sangat memuaskan. Jika berminat, mereka boleh dihubungi di nombor 013-482 9336.

Gua Kelam, Perlis - tempat menarik
Di luar pintu masuk Gua Kelam


Tiket masuk

Tiket masuk boleh didapati di kaunter yang terletak di hadapan pintu masuk gua. Harga tiket dewasa adalah RM2, manakala kanak-kanak berusia 6 hingga 18 tahun pula hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1. Namun, jika anda bukan pemegang MyKad, harga dewasa yang perlu dibayar adalah RM5, manakala kanak-kanak 6 ke 18 tahun tanpa MyKad atau MyKid dikenakan bayaran RM3. Tiada bayaran dikenakan untuk pengunjung OKU.


Gua Kelam

Gua batu kapur yang terletak di Banjaran Nakawan dengan panjang kira-kira 370 meter ini boleh dikatakan merupakan sebuah terowong semulajadi. Untuk menikmati keindahan gua ini, anda boleh berjalan di jambatan kayu yang dibina, lengkap dengan platform sebagai tempat untuk anda berhenti sebentar menikmati dan melihat dengan lebih dekat keunikan bentuk muka bumi dan suasana di dalam gua. Terdapat sebatang sungai mengalir di bawah jambatan ini melalui perut gua. Namun, sejujurnya ketika di sana, deruan airnya tidak begitu kami sedari dek kerana melayan karenah anak-anak bertanya itu dan ini. 


Gua Kelam tempat menarik di Perlis
Di pintu masuk gua

Bekalan elektrik turut disediakan di sepanjang laluan, memberi pencahayaan yang cukup untuk pengunjung melihat struktur kejadian alam yang mengagumkan. Walaubagaimanapun, sesuatu kekurangan yang saya lihat semasa di sini adalah ketiadaan information board di dalam gua yang sedikit-sebanyak boleh memberi penjelasan secara ringkas mengenai fenomena alam semulajadi yang dapat dilihat. Dengan adanya penjelasan sedemikian, sekurang-kurangnya, kunjungan bersama anak-anak ke sini dapat menambah lebih ilmu pengetahuan.

Sepanjang di dalam gua, anak-anak dapat melihat sendiri kepelbagaian rupa stalaktit dan menyentuh titisan air dari stalaktit yang terbentuk. Geli hati juga melihat reaksi anak-anak pertama kali merasai titsan air tersebut... "Jaga-jaga! Air kencing kelawar".

Antara yang menarik perhatian kami adalah mini empangan traventin yang membentuk struktur seperti takungan air bertingkat. Selain itu, anak-anak turut kagum melihat sebahagian sudut dinding gua yang kelihatan berkilauan seolah-olah ditaburkan glitter. Subhanallah, sungguh hebat ciptaan Yang Maha Kuasa. 

Nota: Traventin adalah batu yang terhasil daripada endapan calcium carbonate dan kebiasaannya terbentuk di kawasan hot spring atau gua batu kapur.   

Gua Kelam tempat menarik di Perlis
Mini empangan traventin di dalam Gua Kelam


The Secret Garden

Yang lebih menarik, keunikan tarikan ini tidak hanya terhenti dengan keindahan fenomena semulajadi di dalam gua. Keluar sahaja dari pintu gua, anak-anak teruja melihat kawasan pokok yang menghijau dan sungai yang mengalir tenang lengkap dengan laluan trek yang memudahkan mereka meneruskan penerokaan. Terasa sangat tenang dikelilingi alam semulajadi begini. Ketika itu, terasa rugi pula tidak sempat menyediakan sebarang persiapan untuk perkelahan ringkas bersama anak-anak. Insya-Allah, di lain masa, kami cuba usahakan untuk mengadakan perkelahan jika berpeluang ke sini lagi.

Kami sempat meluangkan masa beberapa ketika menikmati keindahan 'Secret Garden' ini sebelum pulang melalui laluan jambatan yang sama melalui Gua Kelam.


Gua Kelam tempat menarik di Perlis
Kawasan yang sesuai untuk berkelah
Gua Kelam tempat menarik di Perlis
Menikmati pemandangan di anjung tinjau di 'Secret Garden'


Gua Kelam lagi satu?

Sebenarnya, terdapat sebuah lagi gua yang terletak tidak jauh dari gua yang kami kunjungi. Gua ini dinamakan Gua Kelam 2. Kedua-dua gua ini mempunyai laluan masuk yang berbeza walaupun terletak di banjaran yang sama.

Gua Kelam 2 merupakan satu-satunya gua di negara ini yang pernah dijadikan kawasan perlombongan. Kami pernah berkesempatan menerokai Gua Kelam 2 ketika menetap di sini 7 tahun yang lepas. Ketika itu, hanya Gua Kelam 2 yang dibuka untuk pengunjung memandangkan jambatan di gua pertama terjejas berikutan banjir yang melanda.

Walaupun telah 7 tahun berlalu, namun, kami masih mengingati pengalaman menerokai Gua Kelam 2. Ketika itu, mini tren yang sepatutnya digunakan untuk membawa pengunjung ke dalam gua tidak digunakan. Kesan-kesan perlombongan ratusan tahun yang lalu masih dapat dilihat dengan jelas.

Secara peribadi, bagi saya, kedua-dua gua ini mempunyai tarikan yang berbeza. Keunikan Gua Kelam yang lebih terkenal dan biasa dikunjungi terletak di struktur muka bumi hasil fenomena alam semulajadi, manakala keunikan Gua Kelam 2 pula terletak di kesan peninggalan perlombongan yang pernah mengukir sejarah dengan hasil bijih bermutu tinggi..

Alang-alang ke sini, pada mulanya kami turut ingin membawa anak-anak meneroka Gua Kelam 2. Walaubagaimanapun, hasrat kami tidak kesampaian apabila diberitahu petugas kaunter bahawa pengunjung perlu melakukan arrangement lebih awal dengan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis jika berhasrat untuk meneroka gua tersebut. Setiap kumpulan pengunjung diwajibkan mempunyai tour guide yang akan disediakan oleh pihak jabatan. Selain itu, pengunjung juga dikehendaki memakai topi keselamatan sepanjang di dalam gua ini. Bayaran sebanyak RM80 setiap kumpulan turut dikenakan.

Jika berhasrat untuk ke sini, anda boleh menghubungi pihak pengurusan di:

                   Jabatan Perhutanan Negeri Perlis,
                   KM. 2, Jalan Kaki Bukit,
                   01000 Kangar, Perlis
                   Tel: 04-9765966
                   Faks: 04-9767901


Gua Kelam tempat menarik di Perlis
Rombongan anak-anak di dalam Gua Kelam

Info: Sedikit mengenai sejarah perlombongan di Gua Kelam yang bermula pada akhir abad ke-19.  Mengikut sejarah yang tercatat di information board di luar pintu masuk Gua Kelam, Encik Nayan atau dikenali juga sebagai Tauke Nyan yang berasal dari Kampung Kechor Mukim Salang, Perlis bersama Puan Aminah dari Wang Kelian memulakan perusahaan mengambil bijih timah di Sungai Pelarit berdekatan dengan Gua Kelam. Tauke Nyan akhirnya telah menjual kawasan perlombongan bijih timah tersebut kepada seorang tauke China, Kong Fatt yang menubuhkan Syarikat Perlombongan Kong Fatt. 
Sistem mendulang digunakan untuk melombong bijih di Kaki Bukit. Pelombong-pelombong terpaksa turun melalui lubang-lubang yang terdapat di bukit. Lubang-lubang itu kebanyakannya sempit dan dalam. Sesetengahnya sampai 500 ke 600 kaki jauh ke dalam bukit dan setiap pelombong terpaksa membawa colok yang diperbuat daripada getah damar. Kadang-kadang hujan lebat menyebabkan lubang banjir dengan tiba-tiba dan ada pelombong yang mati akibat tidak sempat menyelamatkan diri. Ketika itu, pendapatan kasar seorang buruh antara tahun 1920 ke 1930 di Kaki Bukit adalah sebanyak RM2 hingga RM4 sebulan.



2 ulasan:

  1. Pengalaman yg sgt menarik. Bila tuan/puan oegi ni? Sy teringin nk bw anak2 ke sana. Tkasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah. Kami ke sini Disember 2018. Insya-Allah ada rezeki puan untuk bawa anak-anak ke sana 😊

      Padam