Pages

Percutian keluarga ke Legoland, Johor: Legoland Hotel

Percutian ke Legoland Johor
(Foto: Agoda.com)

Baru-baru ini kami berkesempatan membawa anak-anak bercuti ke Legoland, Johor. Ini adalah kali pertama kami ke sini. Sejak ia dibuka, anak-anak sudah berkali-kali bertanya jika kami boleh membawa mereka ke Legoland. Namun, sebelum ini kami tidak berkesempatan untuk ke sana. Jadi, sebaik sahaja mereka mengetahui yang kami akan membawa mereka ke sana, anak-anak kami menjadi sangat excited.

Menambah kepada kegembiraan mereka adalah apabila mendapat tahu kami akan menginap di Legoland Hotel. Setelah empat tahun, rasanya sudah sampai masanya untuk anak-anak merasa reward atas kesabaran mereka. Seperti pucuk dicita ulam mendatang, kebetulan pada ketika itu, pihak Legoland Resort juga sedang mengadakan promosi tiket khas untuk tetamu hotel.

Apa yang boleh saya katakan ialah Legoland hotel sememangnya sebuah hotel yang mensasarkan kanak-kanak. Oleh itu, boleh dikatakan seluruh hotel didekorasi khas untuk kanak-kanak. Pilihan bilik terbahagi kepada beberapa tema iaitu Kingdom, Pirate dan Adventure. Walaupun anak-anak lebih menyukai tema Pirate, malangnya ketika itu bilik dengan tema tersebut telah habis ditempah. Oleh itu, kami menempah bilik bertemakan Kingdom.


Lobi….

Sesampainya di hotel, anak-anak sudah excited melihat suasana lobi. Kawasan lobi didekorasi dengan kapal pirate dan istana menyambut kedatangan mereka. Yang menariknya, kapal dan istana tersebut bukan hanya berfungsi sebagai penyeri, tetapi juga sebagai kawasan permainan yang boleh diexplore. Selain itu, timbunan lego di sudut tiang memberi ruang untuk kanak-kanak membina struktur lego mengikut imaginasi mereka. Untuk kanak-kanak yang lebih kecil, lego blok besar turut disediakan di sudut lain. Saiz lego begini sudah tentu lebih sesuai dan direka khas untuk tangan-tangan kecil bermain. Bukan sahaja blok-blok lego, malah mainan x-box turut disediakan untuk hiburan sekeluarga. Di sudut ini juga, kadang-kala, movie time akan diadakan.

Urusan check-in sangat mudah dan lancar. Walaupun sekejap sahaja kunci bilik telahpun diserahkan, kami terpaksa menunggu sebentar di ruang lobi - menunggu anak-anak yang sedang excited bermain!


Legoland hotel
Lobi Hotel Legoland
Legoland hotel
Sebuah lagi playground di lobi

Legoland hotel
Sudut blok gergasi. Keadaan sedikit gelap
kerana movie time sedang berlangsung


Lif….

Bukan senang hendak mengajak anak-anak meninggalkan kawasan permainan di lobi. Mereka kelihatan sayang untuk meninggalkan ‘dunia lego’ tersebut. Namun, kegembiraan mereka tetap berterusan dalam perjalanan ke bilik.

Di saat menjejakkan kaki ke dalam lif, seolah-olah seseorang telah menekan butang untuk memainkan muzik rancak beserta lampu warna-warni yang mengiringi tetamu ke bilik penginapan. Walaupun pada mulanya anak-anak tercengang-cengang dengan ‘sambutan’ tersebut, mereka tetap kagum dengan pengalaman penginapan baharu ini.


Percutian ke Legoland Johor
Model yang diperbuat daripada Lego seperti ini menjadi tarikan anak-anak di Legoland Hotel


Bilik….

Bilik bertema Kingdom yang ditempah didekorasi dengan hiasan menyerupai bendera dan lambang shield. Bilik tersebut dibahagikan kepada dua bahagian - bahagian ibu-bapa dan bahagian kanak-kanak. Bahagian ibu bapa dilengkapi katil bersaiz king manakala bahagian kanak-kanak mempunyai katil bertingkat dengan pull-out bed yang boleh memuatkan 3 kanak-kanak dengan selesa. Kedua-dua bahagian mempunyai set televisyen dan dipisahkan oleh pintu yang boleh dikunci yang memberi some privacy untuk tetamu.

Hanya terdapat satu bilik air yang terletak di bahagian kanak-kanak. Set toiletries yang disediakan juga lengkap untuk kedua-dua ibu bapa dan anak-anak.


Legoland hotel
Kingdom themed room (Agoda.com)


That extra touch….

Sesuatu yang lain daripada yang lain - jika anda ke sini, jangan lupa membuka treasure chest yang diletakkan di bahagian bilik anak-anak. Pihak Legoland Hotel menyediakan sehelai kertas dengan beberapa soalan sebagai clue untuk anda membuka treasure chest tersebut. Jawapan untuk setiap clue tersebut merupakan nombor yang perlu digamdingkan. Jika gandingan nombor anda betul, anda akan berjaya membuka peti tersebut. Di dalamnya diletakkan beberapa hadiah untuk anak-anak anda bawa pulang sebagai cenderahati!


Sarapan dan makan…

Kami turun bersarapan agak awal atas nasihat staff hotel. Ketika tiba, Restoran Bricks Family tempat buffet sarapan disediakan belum pun lagi membuka pintunya untuk tetamu. Memandangkan ketika itu musim cuti sekolah, kami diberitahu restoran tersebut kebiasaannya agak crowded jika kami turun sedikit lewat. Bukan sahaja ingin mengelakkan traffic di restoran, tetapi yang lebih penting ialah kami ingin memanfaatkan masa yang ada untuk ke taman tema Legoland. Ini adalah kerana pelanggan Legoland Hotel diberi keutamaan untuk masuk ke taman tema setengah jam lebih awal daripada pengunjung-pengunjung lain.

Pilihan makanan yang disediakan boleh dikatakan banyak. Namun, untuk hotel mesra kanak-kanak begini, secara jujurnya saya merasakan pihak hotel perlu menyediakan lebih banyak kids friendly menu. Sebagai contoh, mereka perlu menambah lebih banyak menu berperisa coklat (secara amnya, kanak-kanak = coklat!). Tentu kanak-kanak lebih berselera. Sebagai contoh, boleh diadakan coklat muffin, puff berinti coklat atau menyediakan nutella spread untuk dimakan bersama roti.

Legoland Hotel juga menawarkan buffet makan malam, namun, bagi saya, harganya agak mahal dan tidak berbaloi terutamanya untuk anak-anak kami yang kebiasaannya tidak makan banyak. Ketika kami ke sini, harga dinner buffet adalah RM100++ untuk dewasa dan RM50++ untuk kanak-kanak.

Sebagai penyelesaiaannya, kami mendapatkan makan tengahari dan malam di Medini Mall yang terletak bersebelahan Legoland Hotel. Walaupun dipanggil mall, ia bukanlah sebuah shopping complex yang sesuai untuk anda membeli-belah namun mall ini cukup sebagai tempat menjamu selera para pengunjung. Di sini, terdapat sebuah convenience store di samping beberapa restoran seperti KFC, Burger King, Chicken Rice Shop dan Secret Recipe. 


Legoland hotel
Buffet sarapan di Bricks Restaurant (foto: Agoda.com)


Nota…

Selain daripada dibenarkan masuk ke taman tema setengah jam lebih awal, tiada keistimewaan lain yang diberikan untuk tetamu hotel yang berkunjung ke taman tema Legoland. Seperti juga pengunjung lain, kebenaran multiple entry bergantung kepada jenis tiket yang dibeli. Hanya annual pass ticket dan ticket jenis combo sahaja yang dibenarkan multiple entry. Jika anda membeli theme park only ticket ataupun water park only ticket, anda masih hanya dibenarkan single entry sahaja walaupun anda adalah tetamu Legoland Hotel. Ini bermakna anda tidak dibenarkan masuk ke dalam taman tema lebih daripada sekali. Oleh itu, jika anda telah memasuki taman tema, anda tidak boleh pulang sebentar ke hotel jika mempunyai keperluan. 

Legoland Hotel boleh ditempah di laman rasminya di sini, ataupun melalui Agodabooking.com dan Expedia. Pastikan anda menyemak harga di laman-laman ini untuk memastikan anda mendapat tawaran terbaik semasa kunjungan anda sekeluarga.



Lain-lain berkaitan:
1. Percutian keluarga di taman tema Legoland
2. Percutian keluarga di homestay selesa dekat Legoland




Tiada ulasan:

Catat Ulasan