Pages

Stroller pilihan: Peg Perego Pliko P3 Compact

Stroller pilihan
Model baru Peg Perego Pliko P3 Compact
(sumber foto: babymarkt.com)

Sepuluh tahun dan masih bertahan... selama itulah saya telah menggunakan stroller sejak anak pertama hingga sekarang. Kata orang, alah membeli menang memakai, memang saya rasakan stroller ini adalah antara barangan bayi paling berbaloi pernah saya beli.

Pertama kali memilih stroller, memang keliru dibuatnya. Terlalu banyak jenis stroller, masing-masing dengan pro dan contranya sendiri. Setelah survey dan berfikir, akhirnya saya tertarik untuk membeli Peg Perego Pliko P3. Pemilihan dibuat atas beberapa sebab, walaupun ketika itu terasa berat juga poket ketika membayar. Alhamdulillah, walaupun kosnya bagi saya agak tinggi, ia telah bertahan dan berkhidmat selama 10 tahun (setakat ini).


Kenapa saya memilih Peg Perego Pliko P3 Compact? Di bawah adalah kriteria yang saya look into ketika memilih stroller berserta pengalaman sepanjang menggunakan Peg Perego Pliko P3 Compact.

Pertama, ia boleh digunakan sejak lahir. Ketika memilih stroller, saya perhatikan seseparuh stroller terutamanya jenis lightweight tidak boleh dibaringkan. Ia hanya boleh digunakan dengan anak dalam keadaan duduk. Ini bermakna, ia hanya boleh mula digunakan apabila umur anak anda sekitar 4-6 bulan. Ciri boleh baring sepenuhnya ini bagi saya bukan sahaja penting untuk bayi baru lahir, tetapi juga apabila anak anda tertidur di dalam stroller - sekurang-kurangnya anak akan lebih selesa. Mengikut manualnya, Peg Perego Pliko P3 Compact ini boleh digunakan sehingga anak berumur 3 tahun. Namun, setelah menggunakan selama ini, saya tidak mempunyai masalah meletakkan anak sehuingga umur 5-6 tahun! Manual yang dibuat mungkin berdasarkan saiz badan kanak-kanak Eropah, manakala kita di sini rata-rata berbadan lebih kecil dan ini adalah advantage untuk memaksimumkan penggunaan produk seperti ini. 

Kedua, ia tidak begitu berat. Stroller ini bukanlah stroller paling ringan di pasaran, tetapi ia juga tidak begitu berat. Berat stroller ini adalah sekitar 8 kg, dan bagi saya ia masih reasonable. Ketika itu, berat stroller paling ringan yang saya jumpa adalah stroller jenama Combi, iaitu lebih kurang separuh daripada berat Peg Perego Pliko P3 Compact.

Namun, saya tidak merasakan saya memerlukan stroller yang terlalu ringan kerana kebanyakan masa saya hanya perlu mengangkatnya ke dalam boot kereta. Pada masa yang sama, saya tidak mahu stroller yang terlalu berat juga.


memilih stroller
Peg Perego Pliko dalam keadaan dilipat
(sumber foto: reviewstrollers.com)
Ketiga, cara lipatannya seperti payung. Saya mencari stroller yang dilipat begini kerana ia memakan kurang ruang. Kebanyakan masa saya menggunakan kereta MyVi yang mana boot kereta agak kecil.

Oleh itu, saya terpaksa memastikan stroller yang dibeli boleh dimuatkan ke dalam boot kereta yang digunakan. Jika tidak, ia tidak serve the purpose. Peg Perego Pliko P3 Compact juga mudah dilipat. Satu ciri tambahan pada Peg Perego Pliko P3 Compact ini ialah setelah dilipat, stroller ini boleh berdiri sendiri dalam keadaan folded. Ini bukan sahaja memudahkan saya meyimpannya apabila di rumah, malahan ciri ini tidak memerlukan saya membongkok ketika melipatnya dan membuatkan fabriknya tidak menyentuh lantai, oleh itu, ia tidak cepat kotor.


Keempat, fabriknya boleh ditanggalkan keseluruhannya untuk dicuci. Memang kriteria ini amat penting bagi saya. Maklumlah, barangan seperti ini. Kadang-kadang, anak akan makan biskut, minum air dan sebagainya ketika di atas stroller dan sudah tentu, ini akan mengotorkan fabriknya. Jadi, bagi saya, fabrik stroller perlu mudah dicuci.

Stroller pilihan
Anak panah menunjukkan platform
tempat anak boleh berdiri
Kelima, dan antara ciri yang paling saya suka ialah ia mempunyai platform di belakang yang boleh digunakan untuk seorang lagi kanak-kanak berdiri. Jadi, apabila anak anda mempunyai adik, kedua-dua mereka masih boleh menggunakan stroller ini pada masa yang sama. Seorang di tempat duduk hadapan, dan seorang lagi berdiri di platform tersebut. Platform ini boleh digunakan dengan syarat anak di hadapan dalam kedudukan duduk dan bukan berbaring. Memang ada platform yang boleh disambung ke kebanyakan stroller dijual secara berasingan (dipanggil buggy board), namun, bagi saya, built-in platform seperti ini memudahkan untuk saya terutama apabila travel menaiki kapal terbang dan sebagainya. (Satu lagi jenama Peg Perego Pliko iaitu Peg Perego Pliko Mini TIDAK mempunyai platform ini, namun ia lebih ringan - berat stroller Peg Perego Mini ialah sekitar 5kg)


Keenam, ia mempunyai bakul simpanan di bawah. Saiz tempat simpanan di bawah stroller ini bagi saya tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Sesuatu yang agak pelik tentang design stroller ini ialah di bahagian belakangnya mempunyai palang-palang yang bagi saya agak menghalang untuk meletakkan barangan ke dalam bakul. Namun, sepanjang menggunakan stroller ini, saya merasakan masalah ini boleh diatasi dengan mudah hanya dengan meletakkan barang dari arah hadapan stroller, dan bukan dari belakang. 

Ketujuh - accessory yang boleh didapati di tempat lain. Jika anda membawa stroller untuk travel ke negara lain, kadang-kadang anda mungkin memerlukan stroller accessory yang kebiasaannya tidak digunakan di Malaysia. Sebagai contoh, ketika kami ke UK, saya memerlukan stroller accessory untuk melindungi anak dari kesejukan. Alhamdulillah, accessory untuk stroller ini mudah didapati dan saya tidak menghadapi masalah atau membuang masa mencari accessory yang sesuai.

Kelapan dan paling penting jika anda merancang untuk menggunakan stroller yang dibeli untuk long-term ialah stroller tersebut mestilah mempunyai service centre sendiri yang boleh dirujuk jika anda mempunyai apa-apa masalah. Saya pernah menghantar stroller ini sebanyak dua kali untuk dibaiki. Sesetengah stroller tidak mempunyai service centre, jadi, walaupun harganya mungkin agak murah, jika ia mempunyai masalah, ia tidak boleh digunakan lagi.

(Service centre untuk Peg Perego juga merupakan service centre untuk beberapa jenama lain seperti Quinny, Maxi-Cosi, Safety First dan lain-lain)

Pertama kali saya menghantar stroller ke service centre adalah ketika roda stroller tersangkut di escalator yang sedang bergerak. Ini menyebabkan rodanya bengkok. Saya sendiri tidak tahu bagaimana perkara ini berlaku sedangkan roda Peg Perego Pliko P3 Compact tidak kecil. Alhamdulillah ketika itu stroller tersebut kosong dan anak sedang saya dukung (anda tak dibenarkan membawa anak di atas stroller ketika menaiki escalator, bukan?). Roda tersebut ditukar baru dengan kos hanya RM50. 

Stroller pilihan
Bulatan menunjukkan bahagian roda yang patah namun 
stroller ini masih bertahan dan boleh digunakan tanpa
masalah selama setahun
Kali kedua juga kerana roda stroller. By now, mungkin anda berfikir jika roda stroller ini tidak kuat. Sebenarnya tidak. Mungkin kedua-dua kejadian yang berlaku hanya kebetulan. Kejadian pertama di mana roda tersangkut di escalator - saya rasa anda boleh bayangkan bagaimana force yang dikenakan terhadap stroller tersebut. Kejadian kedua - saya sebenarnya tak pasti apa yang berlaku. Ia berlaku selepas 8 tahun kejadian pertama. Ketika travel menaiki kapal terbang, saya telah check-in kan stroller tersebut bersama bagasi. Saya tidak meletakkan stroller tersebut di dalam stroller bag atau paling tidak membalut menggunakan wrapping service di airport. Mengapa saya lakukan ini? Saya sendiri tak pasti. Memang kesilapan sendiri. Kebiasaannya saya akan membawa stroller ke dalam pesawat atau saya letakkan stroller tersebut di dalam stroller bag sebelum check in. Dipendekkan cerita, sesampai di airport yang dituju, apabila mengambil stroller tersebut, saya dapati salah satu rodanya telah patah. Saya mengagak mungkin pengendalian bagasi di airport tersebut agak kasar (bukan airport di Malaysia). Nasib baik, setiap sudut stroller ini mempunyai sepasang roda (menjadikan stroller ini mempunyai 8 roda kesemuanya), dan hanya salah satu roda yang patah. Oleh itu, saya masih boleh menggunakannya. Mengapa saya katakan roda stroller ini sebenarnya agak kuat? Kerana walaupun dalam keadaan tayarnya begitu, saya masih boleh menggunakannya sehingga setahun sebelum ia mula menimbulkan masalah dan saya perlu menghantarnya ke service centre.  

Dari segi rupa, Peg Perego Pliko P3 bukanlah antara stroller yang bergaya. Pendek kata, nilai aesthetic stroller ini biasa-biasa sahaja. Namun, bagi saya, yang lebih penting apabila membeli stroller ialah ia mestilah praktikal dan boleh digunakan untuk jangkamasa yang lama. Barulah berbaloi.

Apapun, ini hanyalah pengalaman peribadi. Saya tahu, masih banyak lagi stroller lain yang bagus-bagus di pasaran, dan pemilihan stroller bergantung kepada keperluan dan citarasa masing-masing.

Kini, Peg Perego Pliko P3 Compact telah menambahbaik beberapa ciri seperti tayar getah yang dikatakan lebih smooth apabila digunakan, hanya single lock untuk mengunci kedua-dua tayar (model yang saya pakai memerlukan anda mengunci tayar satu peratu) dan fabrik yang dikatakan lebih lembut dan selesa berbanding model yang sebelumnya.

Terdapat banyak jenis stroller di pasaran untuk memenuhi citarasa dan keperluan pelanggan. (Klik di sini untuk mengetahui jenis-jenis stroller di pasaran) Apakah kriteria penting dalam memilih stroller? Tepuk dada tanyalah selera, terpulang pada diri, citarasa dan keperluan masing-masing.

Jika anda sedang mencari stroller, anda boleh melihat pilihan stroller yang pelbagai di motherhood.com.my, sebuah kedai online Malaysia yang menjual pelbagai barangan keperluan ibu dan bayi yang berkualiti dan boleh dipercayai.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan