Kembali ke dunia dinosaur di Dinoscovery, Avenue K, Kuala Lumpur

Tempat menarik cuti persekolahan
Di hadapan entrance Dinoscovery, Avenue K

Jalan-jalan cuti sekolah yang lalu membawa kami sekeluarga ke Dinoscovery yang terletak di tingkat 4, Avenue K, Kuala Lumpur. Kebetulan anak-anak baru sahaja menonton kartun The Good Dinosaur, maka trip ke Dinoscovery ini memang membuatkan mereka amat tertarik dengan haiwan-haiwan purba yang telah lama pupus ini. Sudah tentu soalan-soalan related kepada kartun tersebut juga ditanya seperti "ini ke burung jahat yang nak makan Spot tu?". 

Dinoscovery adalah satu pameran dinosaur interaktif yang sesuai untuk kanak-kanak. Mempunyai keluasan 13,000 kaki persegi, dinoscovery memaperkan kira-kira 22 patung animatronik dinosaur. Walaupun bagi saya pergerakan dinosaur tersebut agak terbatas, namun, ia cukup membuatkan anak-anak kami tertarik.

Jika anda ke sana, pastikan anda membawa myKad dan myKid jika anda adalah warganegara Malaysia. Harga adalah berbeza untuk pelawat-pelawat yang membawa myKad/myKid. Seperkara lagi, anda tidak dibenarkan mengambil gambar ketika berada di dalam Dinoscovery.

Masuk sahaja ke 'pintu gerbang' alam dinosaur ini, setiap anda akan diberikan jacket ala ranger dan setiap kanak-kanak akan diberikan peta untuk memulakan 'pengembaraan'. Anda perlu memilih seorang ketua untuk group anda, dan ketua tersebut akan diberikan headlamp dan wristband.

Apa kegunaan wristband tersebut? Di beberapa lokasi sepanjang 'pengembaraan', anda akan menemui beberapa item. Anda perlu swipe wristband tersebut di paparan yang berada berdekatan item tersebut. Anda akan diberitahu apakah item yang ditemui dan anda perlu melekatkan sticker yang diberi bersama-sama peta dan untuk menunjukkan tempat anda menemui item tersebut. Secara kesimpulan, permainan ini adalah seperti treasure hunt. Habuannya? Jika anda melekatkan kesemua sticker pada tempat yang betul, anda akan mendapat sijik mengiktiraf anda sebagai paleontologist. (Sebenarnya, ini adalah apa yang kami diberitahu. Walau bagaimanapun saya merasakan permainan ini setakat untuk menggembirakan kanak-kanak dan kesemua kanak-kanak akan tetap mendapat sijil tersebut tak mengira kalau mereka melekatkan sticker itu dengan betul atau tidak. Sebabnya? Anak saya yang berumur 4 tahun dan tak faham dengan permainan ini tetap mendapat sijil tersebut)

Selain daripada permainan ala-ala treasure hunt tersebut, terdapat aktiviti lain yang disediakan sepanjang 'pengembaraan' tersebut. Antaranya, wall climbing, 'lumba lari' dengan dinosaur, main pasir untuk mencari tulang dinosaur dan menembak dinosaur. Terdapat juga patung dinosaur dimana anda boleh menunggang dinosaur tersebut dan berposing untuk diambil gambar oleh staff Dinoscovery. Jika anda tak mahu menunggang dinosaur, anda boleh memilih untuk bergambar di dalam replika telur... seolah-olah anda baru menetas dari telur tersebut.

Secara keseluruhannya, Dinoscovery adalah destinasi yang sesuai untuk kanak-kanak. Jika anda belum pernah ke sini, tempat ini sesuai dimasukkan ke list destinasi jalan-jalan keluarga di masa akan datang.


            

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...